Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Bahasa Melayu kertas 1 SPM- Bahasa- ‘laluan Menuju Kecemerlangan


Bahasa Melayu kertas 1 SPM
Bahasa ‘laluan Menuju Kecemerlangan
TAJUK-TAJUK  KARANGAN PERBINCANGAN SEBELUM SPM 2018
1.     Walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya, namun kes-kes kemalangan semakin meningkat. Nyatakan langkah –langkah mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya di negara kita

2.     Perpaduan amat penting dalam sesebuah negara. Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di sekolah.

3.     Sejak akhir-akhir ini Kuala Kangsar sering dilanda banjir kilat. Bencana ini menimbulkan pelbagai kesulitan kepada semua pihak. Kemukakan pandangan anda tentang kaedah mengelakkan berlakunya banjir kilat itu.

4.     Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam sektor pelancongan. Bincangkan cara-cara meningkatkan pembangunan industri pelancongan negara.

5.     Ada segelintir masyarakat yang sanggup menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah kebajikan. Anda tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Berikan pendapat anda tentang tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang berada pada usia senja.

6.     Semangat kejiranan kurang diamalkan oleh masyarakat. Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.

7.     Sejak belakangan ini isu hutan sering kali dipersoalkan kerana banyak hutan telah dimusnahkan. Jelaskan kepentingan hutan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

8.     Kerajaan telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di negara ini. Huraikan usaha-usaha untuk memupuk amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

9.     Industri pertanian merupakan sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara. Huraikan usaha-usaha untuk meningkatkan lagi pembangunan industri pertanian di Negara kita.

10.   Dadah merupakan musuh nombor satu di Negara kita. Ramai anak muda menjadi pengedar dan penagih dadah. Berikan pendapat anda tentang Langkah-langkah untuk Membasmi Penyalahgunaan Dadah di negara ini.


CONTOH KARYA TERBAIK PELAJAR

Walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya, namun kes-kes kemalangan semakin meningkat. Nyatakan langkah–langkah menangani kejadian kemalangan jalan raya.

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah van dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju ke Kota Bharu. Dalam kemalangan maut berkenaan, enam orang pelajar Maahad  Tahfiz maut, manakala  yang lain cedera parah apabila van berkenaan terbabas lalu merempuh sebuah rumah. Antara punca yang menjadi polemik perbualan sosial termasuklah kecuaian pemandu, keadaan permukaan jalan dan sifat fizikal van berkenaan yang dikatakan uzur. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh mengambil beberapa langkah yang proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut dan kejadian kemalangan jalan raya tidak terus meningkat.

Sebagai pembuka tirai perbincangan, langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna, bagaikan mencurah air ke daun keladi. Sesungguhnya, mendidik para pemandu agar lebih berdisiplin merupakan cara paling afdal mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Hakikat yang tidak boleh dipinggirkan ialah, kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya. Insya’Allah apabila anak-anak ini dewasa nanti tidaklah mereka menjadi parasit di jalan raya, atau menjadi pelumba tegar sebaliknya mereka akan menjadi generasi yang lebih berdisiplin di jalan raya. Sememangnya, pendidikan di sekolah menjadi prakarsa paling eksklusif, efektif serta paling praktikal dalam  mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya

Sesuatu yang sering menjadi dambaan dan harapan orang ramai ialah langkah drastik lagi efektif untuk mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya adalah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang perlu  diselenggara dengan baik agar tidak  mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai  analoginya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini membuka seluas-luasnya risiko  berlakunya kemalangan  jika kenderaan di belakang ‘mengekori’ terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Yang jelas lagi nyata, membaiki jalan raya yang rosak menjadikan jalan raya itu lebih selamat dan lebih meyakinkan pengguna memandu tanpa halangan, maka tidaklah berlaku kejadian kemalangan.

Perincian saya seterusnya ialah pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak kita dapat mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Hakikatnya peranan pihak yang berwajib lagi bertanggungjawab perihal keselamatan di jalan raya, merupakan langkah paling dominan mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya

Hati ini berkata-kata bahawa dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar 
hangat-hangat tahi ayam sebaliknya dilakukan pada bila-bila masa sama ada di jalan-jalan raya di kota mahupun di desa. Rentetan kempen yang pragmatik lagi agresif secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya sekali gus meminimumkan kejadian kemalangan itu.

Kesimpulannya, banyak langkah, kaedah dan prakarsa yang mampu kita lakukan  bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat system pengangkutan dan perhubungan Negara bertaraf dunia, tanpa ada titisan darah pengguna  mengalir  di atas jalan raya akibat kemalangan. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga  akan mengubah minda masyarakat untuk lebih berhemah ketika memandu kerana pandu cermat jiwa selamat

801  patah perkataan

Hasil karya An Nur Huda pelajar cemerlang A+ BM 2016



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru