Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 21 Ogos 2020

Bagaimana saya memanfaatkan cuti hujung minggu. Bincangkan. (karangan bahagian A-karya terbaik pelajar)

 

Bagaimana saya memanfaatkan cuti hujung minggu. Bincangkan. (karangan bahagian A-karya terbaik pelajar)

Bagi remaja seusia saya , cuti hujung minggu adalah sinonim dengan tidur. Alangkah enaknya berada di alam mimpi hingga lewat tengah hari, sehingga mentari mengintai di celah-celah dedaunan sehingga ibu membebel tanpa henti, kita masih lagi lena dan terlena dibuai mimpi. Tapi Alhamdulillah saya sedar langit itu tinggi rendah, saya tahu membezakan antara kaca dan permata. Masa itu emas jadi cuti hujung minggu saya manfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Antara perkara paling bermakna, paling 'berprestij', saya lakukan pada cuti hujung minggu ialah, saya mencuci kereta , tolong ayah menebas di sekeliling rumah. Yang banyak bekerja ialah ayah. Saya cuma tolong sedikit –sedikit sahaja. Masa banyak kami habiskan dengan berbual-bual sambil bekerja. Ayah bercerita tentang pengalaman sepanjang minggu bekerja di pejabat, saya pula bercerita tentang sekolah, diselangi dengan cerita lucu ayah. Saya ketawa. Ayah senyum. Sambil-sambil itu saya mengurut-ngurut bahu ayah apabila ayah mengadu lenguh-lenguh apabila terlalu lama memesin rumput. Saya teruskan kerja saya mencuci halaman rumah dan membakar sampah. Apabila gema azan  berkumandang saya dan ayah bergegas pergi ke masjid untuk solat Jumaat.  Jarak rumah kami kira-kira sepelaung sahaja dari masjid. Yang jelas sebagai anak lelaki, pada hujung minggu, saya membantu ayah melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumah.

Selanjutnya , pada cuti hujung minggu  tidak ketinggalan saya lakukan riadah atau senaman. Saya berlari perlahan-lahan atau jogging bersama-sama rakan-rakan yang tinggal di kawasan kejiranan. Saya berpakaian lengkap, kasut sukan  kemeja T dan seluar sukan. Kami berlari merentas kawasan perumahan hingga menghampiri  tebing sungai Kelantan secara berulang alik. Aktiviti sebegini dapat mendamaikan minda saya apabila melihat kehijauan persekitaran dan secara serampang dua mata, saya dapat menyihatkan tubuh, dalam erti kata lain ‘badan cergas minda cerdas’. Matlamat ini tercapai apabila riadah saya jadikan rutin pada setiap petang, pada setiap hujung minggu. Selepas riadah kami singgah di warung tepi sungai untuk membasah tekak sambil berbual-bual tentang isu-isu semasa, tentang diri sendiri, dan tentang masa depan kami. Sesungguhnya beriadah melengkapkan lagi aktiviti hujung minggu saya.

Seterusnya, cuti hujung minggu saya manfaatkan untuk ulang kaji semua subjek SPM saya. Saya jua mengikuti kelas tambahan, kelas tuisyen berjadual, berbayar, di pusat tuisyen berhampiran. Latih tubi, ulangkaji berterusan saya lakukan pada setiap hujung minggu secara bersendirian atau bersama-sama rakan-rakan sekelas.  Saya lakukan persediaan menghadapi SPM secara agresif tetapi dalam suasana tenang dan damai kerana saya yakin akan hakikat ‘ dalam tenang kita boleh meneroka dunia’. Saya memberi tumpuan total terhadap subjek kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik, Fizik, Kimia dan Bio. Saya berazam untuk dapatkan A+ terutama dalam subjek BM dan BI yang merupakan ‘subjek favourite’ saya. Ternyata cuti hujung minggu memang saya manfaatkan banyak masa, setiap detik dan saat, jadi begitu berharga bagi saya untuk membuat persediaan dan persiapan rapi, dalam  menghadapi peperiksaan paling penting dalam hidup saya iaitu SPM .

Kesimpulannya, cuti hujung minggu menginsafkan saya betapa pentingnya kita menghargai masa terutama bagi remaja seperti saya, yang bakal menduduki peperiksan awam iaitu SPM. Saya sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga  hasrat dan impian saya  untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM menjadi kenyataan. Kecemerlangan SPM, bakal saya jadikan hadiah terindah buat ayah dan ibu saya. Dan cuti hujung minggu ini  telah, sedang dan akan saya manfaatkan sepenuhnya. InsyaAllah.

Oleh Muhd Hanif 5 sc 1 - Hanif mendapat A+ BM SPM 2018 dan sekarang sedang menuntut  di UIA




****************************************************

Hari ini 22hb Ogos 2020 suatu kejutan berlaku. pelajar Chung Zhi Shin masuk pintu pagar rumah saya, bawa baldi. Dia terus senyum pabila pandang saya.  Aik , apa tu Zhi Shin?  
 Ummp  cikgu, ayah dan ibu saya bagi cikgu durian. Ayah saya tanam sendiri cikgu. 
 Terharunya saya.... hari ini dapat makan durian. Terima kasih  Zhi Shin dan  Zhi Ming

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru