Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Sabtu, 20 April 2019

Peranan ibu bapa membantu anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Bincangkan


Peranan ibu bapa membantu anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Bincangkan

Setiap kali menjelang peperiksaan, ibu bapa biasanya lebih bimbang  berbanding anak-anak. Kebimbangan ini lebih ketara di pihak ibu berbanding bapa. Ibulah yang lebih gemuruh dan risau. Bapa pula biasanya lebih tenang dan terkawal perasaannya. Harapan diletakkan terlalu tinggi terhadap seseorang anak, membuatkan ibu bapa  kelam kabut sehingga lupa akan apa-apa yang sepatutnya dilakukan pada saat menjelangnya  peperiksaan   anak. Ibu bapa perlu tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu meningkatkan prestasi  peperiksaan anak-anak.

Antara langkah yang perlu dilakukan apabila anak akan menduduki peperiksaan penting, ialah mewujudkan suasana kondusif. Ibu bapa dan ahli keluarga  menghormati waktu ulangkaji anak itu dan setiap ahli keluarga turut menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar, misalnya ibu bapa memanfaatkan waktu itu dengan membaca bahan-bahan bacaan yang berfaedah. Adik kecil pula diberi kertas dan pensel untuk bagi menconteng. Begitulah juga dengan ahli keluarga yang lain. Pastikan tiada seorang pun ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main sehingga mengganggu anak yang sedang bertungkus lumus mengulangkaji membuat persediaan menghadapi peperiksaannya. Sesungguhnya, dengan menyediakan tempat belajar yang selesa, menghormati  waktu ulangkaji anak, sianak akan dapat merasakan  dirinya dan perjuangannya dihargai

Selain itu ibu bapa perlu elakkan daripada terlalu banyak aktiviti luar yang melibatkan anak yang sedang menghadapi SPM 2019. Kurangkan membuang masa dengan aktiviti di luar seperti keluar membeli-belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi keluarga dan sebagainya. Ingatlah bahawa setiap minit amat berharga bagi sianak yang sedang berjuang di medan ilmu.. Ibu bapa perlu pastikan setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaan anak menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-anak.  Perlu diingat kekerapan berada di luar rumah hanya akan mendedahkan anak terhadap perkara yang tidak diingini dari segi kesihatan mahupun keselamatan. Jelaslah ibu bapa berperanan memastikan setiap masa dirancang untuk tujuan pembelajaran anak

Seterusnya ibu bapa perlu pastikan anak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam bagi menghabiskan ulang kaji mereka. Jangan biarkan keadaan seperti ini berlarutan Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulang kaji pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30 minit. Pada waktu ini, fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Kajian menunjukkan banyak maklumat yang dibaca ketika ini mudah diingati bagi tempoh masa yang lebih lama. Hakikatnya ibu bapa perlu cakna akan masa rehat anak, masa tidur anak mencukupi dalam menghadapi cabaran SPM

Selanjutnya, ibu bapa perlu berikan anak layanan istimewa setiap kali menjelangnya peperiksaan.Bebaskan sianak daripada melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya. Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa sendiri. Dengan cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan seluruh ahli keluarga benar-benar mahu melihat dirinya cemerlang. Dalam dirinya akan timbul rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan semua orang memberikan kerjasama. Sianak juga akan mengharapkan suasana peperiksaan seperti ini akan datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-anak yang lain pula tidak ada sebab untuk cemburu kerana apabila tiba masa mereka, mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa. Ternyata pelepasan tugas di rumah merupakan suatu usaha ibu bapa  memberi banyak ruang untuk anak belajar.

Selain itu ibu bapa perlu banyak berdoa dan lakukan solat hajat. Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna bagi seseorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu daripada ibu bapanya. Ketika inilah  ibu bapa meluangkan lebih banyak masa berdoa untuk anak  supaya dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati. Berdoalah dengan suara yang jelas supaya didengar oleh anak dan biarlah anak aminkan doa ibu dan bapanya itu. Biar anak menyedari yang ibu bapa sering melakukan solat hajat, menadah tangan dan berdoa untuknya. Dengan cara ini, anak-anak jadi lebih menghargai hasrat dan impiannya, anak pasti terharu dan situasi sebegini memperkuatkan lagi azamnya untuk berjaya.   Hakikatnya, apabila ibu bapa  mendambakan impian dan harapan dengan penuh keikhlasan,Yang Maha Esa akan permudahkan segala usaha ibu bapa membantu anak-anak menghadapi peperiksaan, InsyaAllah.

Kesimpulannya ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar dan berjaya. Berikanlah anak keyakinan dalam menghadapi peperiksaan. Berikan nasihat kepada mereka dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantu anak-anak menghadapi cabaran SPM 2019. Ilmu itu luas, bagaikan lautan tidak bertepi. Bantulah anak-anak menghadapi saat-saat getir pencarian ilmu ini, dan pastikan doa ibu bapa sentiasa mengiringi perjuangan anak-anak.


Karya : Ahmad Haziq bin Mohd Nor - Tingkatan 5 - SM(U) Padang Siam TM

( Yang pasti kejayaan jadi milik pelajar yang rajin, tekun berusaha. Semoga doa kalian mengiringi perjuangan saya dan rakan-rakan untuk cemerlang  SPM )

Jangan Tiru