Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 1 Februari 2019

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan .

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan 

        Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau secara mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

       Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  yang dapat menarik minat pengunjung dari pelbagai negara. Banyak produk pelancongan yang boleh diterokai, misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan pada musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.  Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita hendaklah mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  dapat meningkatkan sektor pelancongan negara.    

      Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam sambil minum air. Jelaslah penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negara kita.

     Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan, contohnya tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan kepada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan, Timur Tengah dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Sesungguhnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

      Selanjutnya langkah untuk memajukan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan pelbagai syarikat, firma, badan kerajaan dan swasta. Kempen Tahun Melawat Malaysia disasarkan untuk menggalakkan sejumlah besar pelancong datang ke negara kita. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara yang dapat menarik minat pelancong seperti persembahan pelbagai acara kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negara kita.. Penyertaan pelbagai pihak memang amat digalakkan bagi memeriahkan  sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Kita sama-sama memikul tanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan   bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pengusaha hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Ternyata, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan dan memajukan sektor pelancongan di negara kita.

        Di samping itu, untuk kita menggalakkan kehadiran berganda para pelancong kita perlulah mengekalkan suasana aman damai di negara kita. Tidak ada pelancong yang sudi atau mahu berkunjung ke negara yang dalam kancah perang. Kemesraan perlu kita ketengahkan kepada  pelancong dengan penuh keikhlasan. Ungkapan  luhur penuh keikhlasan seperti 'terima kasih', 'jumpa lagi', 'maafkan saya'  adalah antara nostalgia indah yang menggamit kehadiran pelancong ke negara kita., Hasilnya nama negara akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir  para pelancong. Pelancong akan datang dan pergi dan datang kembali ke Malaysia, persis penyu di Rantau Abang, datang dan pergi dan datang kembali!. Industri pelancongan negara akan tampil lebih hebat, apabila Malaysia dijadikan destinasi utama pelancong sedunia. Sememangnya, suasana aman damai penuh kemesraan  ini bagaikan tarikan magnet, dapat menarik kunjungan ribuan pelancong ke negara kita.

          Kesimpulannya, semua pihak hari ini, tampil dengan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Segala keunikan dan keistimewaan budaya pelbagai kaum di negara ini kini diketengahkan untuk dinikmati oleh para pelancong dari dalam dan dari luar negara. Malaysia sentiasa ada di hati dan di minda masyarakat, yang menterjemahkan negara kita sebagai sebuah destinasi pelancongan terhebat, lagi tersohor di dunia. Syukur, alhamdulillah.


Hasil Karya : Nur Athirah binti Mohd Nor  Tg 5  -SMKDMPR2   2019

PERANAN SAYA SEBAGAI ANGGOTA BADAN PENGAWAS SEKOLAH. BINCANGKAN.

PERANAN SAYA SEBAGAI  ANGGOTA BADAN PENGAWAS SEKOLAH. BINCANGKAN.
        Pakaian saya berbeza dengan pelajar lain. Saya seorang pengawas sekolah . Saya dilantik sebagai pengawas sejak dari tingkatan satu lagi. Kemudian saya ditawarkan ke tingkatan empat sains di MRSM. Di MRSM ini  pada tahun lalu saya dilantik sebagai pengawas dan syukur Alhamdulillah pada tahun ini saya diberi kepercayaan dan  mandate oleh pihak sekolah, dilantik sebagai ketua pengawas sekolah. Syukur, syukur Alhamdulillah. Saya sebagai seorang pengawas  mempunyai kaedah tersendiri dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar . Ahli Lembaga Pengawas Sekolah menjadi pelengkap  kepada pembentukan sebuah sekolah yang mantap, dinamik dan gemilang . Saya nekad menjalankan tugas saya dengan rasa tanggungjawab  dan tidak  akan menghampakan hasrat dan harapan barisan guru disiplin dan pihak pentadbir sekolah yang menaruh harapan kepada saya sehingga saya diberi kepercayaan, dilantik sebagai Ketua Badan Pengawas Sekolah.

                 Antara tugas saya sebagai pengawas ialah saya perlu   menunjukkan teladan yang baik kepada semua pelajar dalam semua aspek termasuk perwatakan dan sikap saya, cara pemakaian, cara saya berkomunikasi, berinteraksi dengan guru, dengan rakan  dan prestasi akademik saya perlu lebih menyerlah .  Saya perlu menjadi suru teladan kepada pelajar-pelajar lain dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan bersabit persoalan disiplin pelajar. Guru-guru saya jadikan sumber rujukan , tempat saya meminta pandangan  dan pendapat. Keupayaan untuk melakukan pengawasan dan pengawalan secara berhikmah merupakan aset berharga yang perlu saya miliki sebagai seorang pengawas. Saya amat yakin dan percaya bahawa para pengawas yang mempunyai berkeperibadian mulia , berwibawa lagi berintegriti  mampu meningkatkan prestasi sekolah dari disiplin.  Sememangnya , apabila seorang pengawas itu mampu menunjukkan teladan yang baik, sudah  pasti badan  pengawas sekolah bersedia  membantu sekolah membentuk murid yang berdisiplin dan sikap  pengawas yang sebegini  dikagumi oleh semua pelajar dan guru.

                Selanjutnya, pengawas bertugas membantu pihak sekolah dalam membentuk disiplin murid, sekaligus  barisan pengawas lah yang mengimplikasikan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah. Pengawas perlu mempunyai jiwa yang kental dalam semua aspek termasuk rohani dan jasmani sekaligus dapat memperkasakan peranannya sebagai sub organisasi penting kepada sekolah. Dengan  semangat berani,  penuh yakin  pengawas perlu sedar bahawa mereka adalah  orang kedua penting selepas guru dalam membentuk disiplin dan tingkah laku pelajar . Dengan ‘buku kecil ada  di tangan pengawas mencatat  kesalahan dan kealpaan pelajar di sekolah berkaitan disiplin. Pengawas  perlu bersikap adil tidak memilih antara pelajar ikan bilis atau pelajar ikan yu, sama ada pelajar dari keluarga aristokrat yang ayahnya kaya raya mahupun dari keluarga yang hidup melarat dan papa  kedana. Yang salah tetap salah dan perlu dihantar kepada guru disiplin untuk diambil tindakan. Pelajar yang melanggar disiplin biasanya akan dirotan atau ibu bapanya akan dipanggil ke sekolahRasa bersalah tidak sepatutnya ada pada diri pengawas yang menghantar nama pelajar bermasalah kepada guru disiplin   Demi tugas, dan demi menjaga nama baik sekolah saya sebagai pengawas perlu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.Ternyata tugas pengawas ialah membentuk disiplin pelajar.

                Di samping itu, pengawas sekolah sentiasa bersedia  berurusan dengan  pelajar  bermasalah dan bersedia memberi nasihat, tunjuk ajar dan panduan mengikut situasi dan  keperluan. Mereka bertindak sebagai pemimpin rakan sebaya. Sebagai pengawas dan calon SPM saya mengajak mereka belajar bersama-sama kumpulan saya membentuk study group.. Apabila pengawas mendekati pelajar dengan cara begini, suasana harmoni dapat dibentuk  dan iklim pembelajaran jadi lebih ceria dan menyeronokkan.  Tiada garis pemisah antara pengawas dan yang  bukan pengawas.  Pengawas mendekati  rakan pelajar serta bertanya khabar, bertanya tentang hitam putih kehidupan seharian yang dilalui. Ketika inilah pengawas mengambil kesempatan mengeuarkan pendapat dan buah fikiran ke arah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakan sebaya. Situasi sebeginilah yang memungkinkan pengawas dianggap sebagai tulang belakang sekolah dalam menyelesaikan kemelut disiplin.  Sebarang masalah yang berbangkit, akan diajukan kepada guru disiplin atau kepada Pengetua dan diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putu dan tepung tidak berselerak. Sesungguhnya kesediaan pengawas bertindak, berurusan sebagai pemimpin rakan sebaya pelajar dapat menyelesaikan  ‘seribu satu permasalahan’  pelajar.

                Seterusnya, sebagai pengawas kami menghadiri mesyuarat badan pengawas sekurang-kurangnya sebulan sekali. Di sinilah saya dan rakan-rakan serta pengawas junior, menyuarakan pandangan dan pendapat demi memantapkan prestasi dan wibawa Badan Pengawas Sekolah.  Semasa mesyuarat kami berkolaborasi berbincang tentang cabaran, halangan dihadapi semasa melaksanakan tugas. Kami sebagai pengawas bertugas dan berbakti seikhlas hati tanpa mengganggu prestasi akademik. Kami sentiasa ringan tulang membantu antara satu sama lain, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kami pastikan persekitaran sekolah sentiasa sifar sampah, tiada pelajar yang berwewenangan membuang sampah merata-rata, tiada pelajar yang lepak di sudut sepi kawasan sekolah. Kesemuanya disuarakan dalam mesyuarat pengawas dan penyelesaian masalah dicari dan diperolehi ketika mesyuarat itu. Pengawas junior, pengawas tingkatan satu dan dua,  dinasihatkan agar beri tumpuan  kepada rakan sebaya mereka. Elakkan menegur pelajar-pelajar senior, kerana kata bidalan sarang tebuan jangan dijolok’. Biarlah pengawas senior yang menegur dan menasihati kakak-kakak dan abang-abang senior.  Realitinya menghadiri mesyuarat pengawas merupakan tempat paling berkesan untuk Majlis Pengawas bermuhasabah diri, mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah pelajar.

                Selain itu, tugas yang terindah badan pengawas sekolah saya ialah, kami membantu menjayakan pelbagai program perdana sekolah. Semasa perjumpaan ibu bapa atau PIBG misalnya, pengawaslah yang sentiasa siap siaga berada di meja pendaftaran ibu bapa, membantu meringankan tugas guru pendaftaran.  Semasa majlis penyampaian anugerah Hari Sukan, anugerah Pelajar Cemerlang, pengawas lah yang bertungkus lumus, ke sana ke mari dengan tugas menyusun kerusi meja, membalut hadiah, mengawasi pergerakan pelajar sehinggalah ke tahap menjadi juruacara program rasmi sekolah. Dan seandai berlaku perpisahan guru, guru bersara, sebagai Ketua Pengawas saya perlu menyampaikan ucapan mewakili seluruh pelajar. Kesemuanya berakhir dengan Jamuan Akhir Tahun Badan Pengawas 2018 yang diadakan dalam suasana penuh syahdu, di tempat yang eksklusif, lazimnya di kota serambi Mekah, yakni di Kota Bharu. Hakikatnya pengawas turut membantu menjayakan program perdana  sekolah

                Kesimpulannya, sebagai pengawas sekolah kita sepatutnya mampu memikul amanah dengan sempurna dan menjalankan tugas dengan baik, dalam usaha membantu pihak sekolah melahirkan pelajar cemerlang dari aspek sahsiah dan disiplin diri . Pengawas yang dilantik perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan bidang akademik. Pengawas sekolah sentiasa bersifat insaf dan bermuhasabah diri semasa melaksanakan tugas seorang pengawas dan ...... jadilah seorang pengawas yang disegani.

Oleh : Nur  Arisya Husna binti Nor Zarodi  tg 5  DM2  Tanah Merah Kelantan  2019

LATIHAN INTENSIF BAHASA MELAYU TATABAHASA MENJELANG SPM 2019


LATIHAN INTENSIF  BAHASA MELAYU  MENJELANG SPM 2019
Lengkapkan  peribahasa ini
1.             Bagai ________________ menyalak _______________
2.             Bunga di_________________ perdu  di_______________________
3.             Air setitik di__________________ Tanah sekepal di_____________________
4.             Membuka _________________________ di dada
5.             Menahan jerat di _______________________
6.             Indah ____________ daripada rupa
 Berikan peribahasa yang sama maksud, lengkapkan
Musuh yang tidak diketahui
1. Musuh dalam _____________________
2. Gunting dalam____________________________
3. Duri dalam _________________________
4. Api dalam ____________________________
Mengambil kesempatan pada saat kesusahan orang lain
1. Menahan jerat di______________________
2. Jong pecah yu ___________________________
3. Bagai menangguk di ____________  ______________
BANDINGAN SEMACAM

1.     Cantik macam_____________
2.     Hodoh macam_____________
3.     Tinggi macam _____________
4.     Gemuk macam_____________
5.     Kurus macam_______________
6.     Hitam macam_____________
7.     Putih macam____________
8.     Rajin macam_______________
9.     Garang macam_____________
10.   Kuat macam ____________


Nyatakan sama ada  ayat berikut ayat transitif atau ayat tidak transitif
1.    Bungkusan  itu diletakkan di   belakang pintu
2.    Dia akan pulang ke Kelantan pada hari raya Aidiladha
3.    Saya menulis surat
4.    Mereka mengikuti kelas tambahan bersama-sama
5.    Negeri Kelantan mempromosikan dunia pelancongan
6.    Saya berbincang dengan rakan sekumpulan.
7.    Ayah terpijak semut
8.    Adik merungut bersendirian
9.    Ibu memujuk adik
10.  Abang ketawa berdekah-dekah

Kenal pasti dan tandakan  S/P subjek dan predikat yang lengkap bagi setiap ayat seperti yang berikut:
1.     Beberapa ekor anjing liar menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa-sisa makanan.
2.     Kejayaan itu dikecapinya selepas mengharungi pelbagai halangan dan jerih payah.
3.     Kenaikan harga barangan di negara kita semakin sukar untuk dibendung.
4.     Kerajaan tidak mengizinkan kemasukan beberapa jenis ubat ke negara ini.
5.     Orang tengah mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan ke atas golongan petani.
6.     Setiap pengguna berhak mendapatkan perkhidmatan yang terbaik di hospital
SOALAN 1:Nyatakan pola bagi ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat tersebut berpolakan Frasa Nama + Frasa Nama ( FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA) atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS).  
1.                   Budak itu  gemuk (___________)
2.                   Hadiah  itu untuk adik saya (___________)
3.                   Baju saya berwarna biru. (___________)
4.                   Pakar bedah yang terkenal itu sedang melakukan pembedahan  (___________)
5.                   Menara yang tinggi itu memang hebat (___________)
6.                   Atlet-atlet  sedang menjalani, latihan . (___________)
7.                   Isteri saya bertugas di pejabat sekolah itu. (___________)
8.                   Perempuan Melayu terakhir itu sangat cantik. (___________)
9.                   Pemuda yang kacak itu  dari Kuala Lumpur. (___________)
10.                Peniaga itu berjualan di pasar. (___________)
11.                Ali menyepak bola (___________)
12.                Ali  merindui suasana di kampungnya (___________)

Bagi pelajar SPM daerah TM  Kelantan yang mengikuti  Kelas Tambahan , kelas berjalan seperti biasa pada musim cuti CNY-  hubungi saya - 0199852430

ISTILAH SASTERA (KOMSAS) SPM 2019


ISTILAH SASTERA (KOMSAS)
 Pelbagai istilah sastera digunakan untuk mencantikkan bahasa. Berikut sedikit istilah  boleh membantu dalam KOMSAS.
1. Personafikasi:   memberi unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda hidup”.
Contoh:
i. Angin sepoi-sepoi bahasa di pinggiran pantai itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku pulang.
(melambai ialah perbuatan/sifat manusia)
iii. Dingin malam menggigit tulangku. (menggigit ialah perbuatan manusia)
2. Metafora:    Perbandingan secara langsung tanpa menggunakan kata bandingan seperti, bak, umpama dan sebagainya”.
Contoh:
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
iii. Merah darah mengalir di tubuhku.
3. Simile:
perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan sebagainya”.
Contoh:
i. Hatinya remuk bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
iii. Wajahnya sehebat peribadinya.
4. inversi:      Pembalikan kata.
Contoh:
i. Semalam pagi dia datang menjengukku. (sepatutnya “pagi semalam”)
ii. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya. (sepatutnya “cuaca panas”)
iii. Kopi secawan diteguknya dengan rakus. (sepatutnya “secawan kopi”)
5. Sinkof:
Singkatan perkataan.
Contoh:
i. “Dia dah datang semalam, Pak Abu” kata Ariff perlahan.
ii. “Biarlah kubawa diri yang kecewa ini”, balas Kamal.
iii. “Cerita tu mungkin rekaan”, jelas Nina ringkas.
6. hybrid:
Penggabungan beberapa perkataan menjadi satu perkataan sahaja.
Contoh:
i. Hatinya bisupilu mendengar penerangan itu.
ii. Dia akan ikut rentaktari pengikutnya itu.
iii. Begitulah adattari kehidupan sebagai seorang pemandu.
7. Anafora:
Pengulangan perkataan pada awal baris atau ayat.
Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati saat manisnya di kampung halaman.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah lagi detik itu kau simpan.
iii. Belum tiba masanya dia bersuara. Belum tiba masanya dia mengakui hakikat itu.
8. Epifora:
Pengulangan perkataan pada akhir baris atau ayat.
Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Kila menangis. Atau Sani juga akan menangis.
iii. Ayah membesar dengan lampu minyak tanah. Aku Berjaya juga dengan lampu minyak tanah.
9. Diksi:
Pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu cerita yang ditulis.
i. Contoh:
(Katakan cerita tentang perjuangan seorang tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan hendap di garisan hadapan platun itu.
ii. Contoh: (Katakan cerita tentang keagamaan)
Malam itu dia mendengar usrah daripada ustazah. Bibit-bibit nur menjelma di jiwanya.
iii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/ kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu sering kudambakan.
10. Asonansi:
Pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat. Huruf vokal a, e, i, o, u
Contoh:
i. Adakah kakak amat marah akan Abang Din lagi.
Pengulangan vokal ‘a” sebanyak 14 kali.
ii. Di sini kita masih tercari-cari erti harga diri sendiri.
Pengulangan vokal “i” sebanyak 12 kali.
iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal “u” sebanyak 6 kali.
11. Aliterasi:
Pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat. Huruf konsonan selain huruf vokal
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7 kali.
ii. kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8 kali
12. Bombastik/ hiperbola: Perbandingan atau pemilihan kata yang berlebih-lebihan.
Contoh:
i. Jeritannya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan kapas yang beterbangan di udara.
13. Alusi:
Penggunaan watak atau watak sejarah dalam puisi.
Contoh: (sajak)
Pemudaku hari ini
gigihlah berjuang demi tanah air
bawalah pesan Hang Tuah Melayu tak kan hilang di dunia
sambutlah hasrat sang Maharajalela
13. Watak dan perwatakan:
Pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi untuk menyampaikan idea penulis.
i. Watak utama : watak penting yang menghidupkan sesuatu cerita. ( watak penting 1 sahaja)
ii. Watak sampingan : watak pembantu kepada watak utama. (banyak watak sampingan)
iii. Watak bulat/ bundar : Watak yang dinamis dan boleh berubah sifat/ sikapnya.
iv. Watak pipih : watak yang statik dan tidak berlaku perubahan. Contoh: Jika jahat terus jahat hingga akhir)
v. Watak antagonis : watak penyambut yang biasanya negatif.
vi. Watak protagonis : watak pemula yang biasanya bersifat positif.
vii. Watak kodi : watak nenek kebayan (Contoh: cerpen Peminangan Puteri Gunung Ledang)
14. Plot:
Jalinan peristiwa atau rentetan cerita yang berasaskan sebab dan akibat.
Terbahagi dua:
i. Perkembangan plot (terbahagi 5)
Perkembangan cerita bermaksud “jalinan/ jalan cerita dari awal hingga akhir”.
a. Pengenalan
b. Perkembangan
c. Pertentangan / konflik
d. Puncak cerita / klimaks
e. Peleraian
ii. Teknik plot (terbahagi 6)
Teknik plot bermaksud “cara sesuatu cerita / teknik sesuatu cerita itu disampaikan”.
i. Pemerian/ penceritaan : biasanya pengarang bertindak sebagai pencerita.
Contoh:
Halim datang dari kampung di Kelantan. Dia hanya lulus darjah lima sekolah. Dia ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan……..
ii. Dialog :
Penceritaan melalui perbualan 2 orang watak atau lebih dengan secara jelas.
Contoh:
“Bila kau datang, Halim?” Datuk Johar bertanya. “Pagi tadi. Ibu kirim salam”, balas Halim.
iii. Monolog :
Penceritaan melalui kaedah watak bercakap seorang diri.
Contoh:
“Oh, aku harap kau akan subur terus, cantik dan wangi!”, kata Hilmi pada bunga di hadapannya.
iv. Monolog dalaman :
Watak berkata di dalam hati atau dalam fikirannya serta tidak terkeluar kata-kata.
Contoh:
“Cis, sial sungguh budak Didi ini!” getus hati Datin Roza.
v. Imbas kembali/ flashback:
Pengulangan semula cerita lama.
Contoh:
Halim tersandar di kerusi di rumah Datuk Johar. Fikirannya melayang mengingati kisah lama. (Saban hari menorah getah. Hasil getah dijualnya kepada Taukeh Lim. Duit itulah digunakan menyara ibunya yang sudah tua. Ibunya sakit tenat………)
vi. Imbas muka :
Menceritakan peristiwa yang belum berlaku.
Contoh:
Halim tersandar di kerusi di rumah Datuk Johar. Fikirannya melayang memikirkan nasib dirinya. Alangkah baiknya jika dia juga anak orang kaya. (Setiap hari dia akan berkereta mewah. Memandu laju sambil di kelilingi gadis kota. Setiap malam dia akan mengunjungi nite club. Kalau tidak di Kuala Lumpur pasti dia akan ke …….)
15. latar:
Latar terbahagi kepada 3:
i. Latar tempat
Tempat sesuatu cerita itu berlaku.
Contohnya, di Kuala Lumpur, di sekolah , di rumah Pak Mail, di kedai Ah Seng dan sebagainya.
ii. Latar masa
Waktu atau masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Contohnya pada zaman dahulu, pada tahun 2009, pada minggu lepas, pada bulan Januari, pada waktu malam, pada siang hari, pada pukul 5.00 petang dan sebagainya.
iii. Latar budaya/ masyarakat
Keadaan masyarakat atau budaya di mana peristiwa itu berlaku. Contohnya, masyarakat Malaysia, masyarakat moden, masyarakat petani, masyarakat seniman, masyarakat Cina, masyarakat yang suka membantu, masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan tahyul, masyarakat pelajar dan sebagainya.

Jangan Tiru