Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 30 Oktober 2019

Karya terbaik pelajar. - Amalan Rumah Terbuka di Malaysia. Beri pendapat anda tentang kebaikan amalan ini

Amalan Rumah Terbuka di Malaysia. Beri pendapat anda tentang kebaikan amalan ini(

            Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan  pelbagai  perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Pesta Keamatan, dan Hari Krismas..  Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 mengambil keputusan, sebanyak enam perayaan masyarakat berbilang kaum yang dikategorikan sebagai perayaan utama negara  diraikan pada peringkat kebangsaan setiap tahun dalam 'rumah terbuka'.  Biasanya ratusan khemah dipasang di kawasan padang nan luas untuk menempatkan  kehadiran ribuan pengunjung rumah terbuka

              Apabila kita  menyebut istilah ‘rumah terbuka’ pasti yang pertama  terbayang di minda kita ialah makanannya yang enak, lazat dengan aromanya yang menyelerakan berlegar memenuhi segenap ruang ...! Kita jadi rambang mata, tidak tahu yang mana satu hendak dipilih. Makanan terhidang rapi dengan petugas-petugas pramusaji yang cekap dan berkarisma melayani tetamu. Masakan pula disediakan oleh tukang masak  tersohor negara.  Aneka juadah, kuih muih kegemaran rakyat Malaysia tersusun di ruang legar yang luas memanjang, dengan hiasan kain rentang, poster ‘selamat datang’ bunga-bungaan yang serba indah.. Di sinilah kita berpeluang mengenali aneka juadah tradisi kaum-kaum lain . Ohoh... alangkah enaknya,  lazat dan sedapnya lemang dan ketupat, rendang ayam dan serunding daging dimakan bersama-sama cendol, air kelapa muda dan ABC! Sajian enak nasi kapit, nasi dagang, nasi kerabu, nasi ‘hujan panas’ kuih muih tradisi turut dihidangkan, dan jangan sesekali lupa akan  SATE ayam, sate daging, sate kambing  jadi tumpuan tetamu, dimakan panas-panas, sate  dibakar dalam deretan tempat membakar di tepi khemah. Segala-galanya ada di depan mata jadi makanlah sepuas-puasnya hingga menjilat jari, kerana peluang menjamu selera terbuka kepada semua. Limau mandarin dan kuih bakul ketika sambutan Tahun Baharu Cina, atau maruku tosei dan roti canai ketika sambutan Deepavali melengkapkan lagi sajian sambutan rumah terbuka Malaysia. Realitinya beraneka juadah, kuih muih tradisi dan modern dapat kita nikmati ketika ‘berkampung’ di rumah terbuka rakyat Malaysia.

  Di samping itu, amalan rumah terbuka sudah tentulah dilihat  sebagai penyumbang kepada pembentukan identiti nasional  kerana di sinilah dan ketika inilah kita memperkenalkan pelbagai budaya tradisi yang menjadi amalan setiap lapisan rakyatnya. Sambutan aidilfitri tetamu disambut dengan 'kpak, kpak, kpak kpum' paluan kompang, tarian zapin inang dan persembahan dikir barat, manakala ketika sambutan Tahun Baharu Cina tetamu disambut dengan tarian naga, dengan paluan gegendang 'dung,dung ceih, dung, dung ceih, deepavali pula dengan tarian tradisi lagu-lagu tamil dan hindustan. Senario ini memperlihatkan sambutan rumah terbuka  lebih berkonsep budaya negara. Pertembungan budaya antara dua atau lebih budaya masyarakat Malaysia sebenarnya membawa kepada kesamaan dan kesaksamaan untuk semua pihak. Kita sama-sama menghulur tangan, berjabat mesra, sambil berhibur dengan pelbagai persembahan yang menarik yang melambangkan identiti dan budaya negara itulah yang sebenarnya magis tersembunyi di sebalik perayaan Rumah Terbuka rakyat Malaysia.. Keindahan, keunikan dan kehalusan budaya terbentuk dan disebarluasknn melalui rumah terbuka. Sememangnya budaya nasional diterapkan dan  sama-sama kita nikmat aneka persembahan budaya mewarnai majlis rumah terbuka  

        Seterusnya, rumah terbuka  merupakan satu lagi  daya tarikan  pelancong asing untuk berterusan berkunjung dan melancong ke negara kita . Para pelancong dari seluruh dunia bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan menghayati sendiri keunikan budaya, adat resam,dan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan istilah romantika, cinta pandang pertama . Suasana mesra rakyat Malaysia menyebabkan pelancong terpaut hati, jatuh cinta, dengan negara kita dan akan datang, dan datang lagi ke Malaysia. Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun bersatu tenaga  menganjurkan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia  menjadikan nama Malaysia sentiasa tersohor  meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan lagi industri pelancongan negara. Ternyata, konsep rumah terbuka dapat memberikan input atau hasil diharap-harapkan, suatu suasana yang harmonis di mata pelancong asing sehingga meningkatkan lagi paradigma sektor pelancongan negara sebagai sumber ekonomi negara.

       Tidak lengkap rasanya perbincangan kita tentang rumah terbuka kalau saya tidak menyebut tentang perpaduan kaum. Melalui amalan rumah terbuka  kita dapat  mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sedia terjalin sejad berabad lamanya. Bayangkanlah suasana indah kita bertemu  rakan taulan berlain bangsa dalam kemeriahan rumah terbuka. Melayu Cina India, iban dan Kadazan berbalas senyum, berbual mesra bertegur sapa sambil menikmati juadah rumah terbuka. Tiada sengketa  antara kita sebaliknya kita bersatu, berjabat tangan, berbual mesra tentang keluarga, tenatng isu semasa, mengenali hati nurani masing-masing dalam sesingkat masa semasa duduk semeja sambil menjamu selera Secara tidak langsung penerapan nilai perpaduan, persefahaman jadi cukup mudah melalui amalan rumah terbuka rakyat Malaysia yang dikendalikan secara terancang, ceria lagi menyeronokkan. Usaha yang sebegini, menjadikan Malaysia begitu tersohor sebagai sebuah negara paling aman, paling damai di dunia. Sesungguhnya kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional menginsafkan kita akan kepentingannya terutama dalam menyatukan masyarakat berbilang ras di negara kita

Selanjutnya saya berpandangan jauh, bagi saya amalan rumah terbuka merupakan ‘singgahsana’ pertemuan yang paling bermakna, paling canggih, paling unik antara  warga. Mimpi jadi realiti  apabila pada hari ini, detik nan indah ini, kita bertemu rakan sekampung, rakan sekolah, bertemu sanak saudara yang lama menghilang. Kita bertemu dalam suatu majlis jamuan raksasa, berbual-bual mesra maklumlah ‘lama tak jumpa’ sambil berswafoto.  Semuanya saling bermaafan bertanya khabar tanpa ada ada sedikit pun sikap seperti enau  dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.. Ikatan silaturahim dan kekeluarga  jadi lebih mesra dan seterusnya  terjana kasih sayang,  apatah lagi yang datang berkeluarga.. Semasa menghadiri rumah terbuka, kita beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan yang tak terucap dek kata-kata. Masing-masing  bertanya khabar  tentang ahli keluarga yang lain. Suasana jadi riuh rendah, berdakapan mesra sanak saudara, seolah-olah seribu tahun tidak berjumpa tiba-tiba tanpa tanpa diduga bertemu di majlis rumah terbuka.Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat, merealisasi ungkapan indah, yang tua dihormati, yang muda disayangi. Hakikatnya, siapa sangka, pertemuan berlaku di rumah terbuka, mempertemukan keluarga yang lama terpisah, lama tidak berjumpa dan “ayuh kita ‘selfie’ dan kita ‘viral’kan ke seluruh alam, ke seluruh dunia....!


            Kesimpulannya amalan rumah terbuka memberi banyak  manfaat kepada masyarakat dan negara.  Setiap tahun, pada setiap perayaan, amalan rumah terbuka menghiasi kehidupan berteraskan ikatan perpaduan, silaturahim nan erat ‘satu untuk semua,dan semua untuk satu’ dan siapa sangka, ‘majlis rumah terbuka’lah yang mempertemukan kita. Sambil makan-makan, mata bertentang mata, bicara pun bermula. Kita berkongsi pendapat,  berkongsi pahit manis kehidupan  sehingga terjalin perpaduan yang erat  antara kita, berpaksikan ikrar setia bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

.
karya kreatif  sumbangan Ahmad Tajudin bin Mohd Saufi.  . TK atas hantaran skrip. Saya semak dan saya siarkan.  KARYA TERBAIK PELAJAR


Pada 26 oktober 2019 hari sabtu- rumah saya 'diserang' oleh serombongan pelajar  tahfiz dari Maahad Tahfiz al quran wal qira'at  Pulai Chondong Machang Kelantan. Terima kasih kerana sentiasa menceriakan suasana di rumah saya. Syahdu terasa pabila pelajar, sama-sama solat berjemaah di ruang yang serba sederhana, dan bacaan doa oleh Arsyad benar-benar menyentuh perasaan saya
Faris Haikal, Irfan, Azzfar, Haziq naufal, Isma, Habib, Harraz, Azizaroy, Aizad, Muaz, Judien, Arsyad ( yang baca doa tuuu.....) Zayyad, Aiman, dan Rushdan.  Terima kasih kerana datang bertamu ke rumah saya.  (haiihh.. ada sorang tu, tertinggal beg di rumah saya, saya tengok ada nota  BI di dalamnya... maih cepat ambil....)
.
Program hari jumaat dan sabtu ini kita buat operasi besar-besaran, menyeluruh, secara habis-habisan, bincang semua tajuk karangan semua negeri di Malaysia, karangan bahagian B dan bincang semua tajuk Komsas negeri-negeri, teknik dan cara menjawab dalam suasana santai  & tenang. INGAT, dalam tenang kita mampu meneroka dunia-  DUNIA BAHASA.      Sasaran kita cemerlang A+  BM SPM 2019 .  Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru