Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 17 Mac 2019

Langkah-langkah Untuk Mengawal Kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI). Bincangkan.


Langkah-langkah Untuk Mengawal Kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI). Bincangkan.

Pertumbuhan ekonomi  dan pembangunan negara yang pesat di negara kita telah meningkatkan keperluan buruh asing dalam pelbagai bidang utama. Lantas, ratusan ribu penduduk dari negara jiran mengambil kesempatan memasuki negara kita secara beramai-ramai. Sejak akhir-akhir ini kehadiran mereka telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin dan rakyat tempatan. Jadi  kehadiran pendatang tanpa izin ini perlu dibendung dan diawasi.

Antara usaha membendung kehadiran PATI, pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak polis dan tentera perlu lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI.  Polis hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Sesungguhnya, usaha pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan pengawasan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.

Seterusnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah sentiasa mengawasi  orang tengah, dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis perlu meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Mereka yang diberkas sewajarnya nya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman penjara mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini perlu  dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan. Jelaslah pihak berkuasa tempatan perlu lebih agresif  mengawasi kegiatan sindiket membawa masuk pekerja asing dan membanteras kegiatan mereka.

Di samping itu, pihak peneraju undang-undang berkaitan keselamatan negara perlu melipatgandakan operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerja-pekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasi-operasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan. Ternyata operasi besar-besaran dapat membendung kemasukan pendatang asing ke negara kita.

Selanjutnya  pihak majikan di Malaysia perlu mengurangkan pengambilan pekerja asing  sebaliknya lebih mengutamakan pekerja tempatan.  Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja atau lebih mudah, ambil sahaja anak tempatan sebagai pekerja di firma atau pejabat masing-masing. Hakikatnya  menggaji pekerja tempatan merupakan langkah paling afdal mengurangkan kemasukan pekerja asing.

Selain itu kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama-sama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif.  Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal. Sememangnya  kemasukan pekerja asing perlu dilakukan mengikut tatacara, rundingan yang sah, untuk mengelakkan lambakan pekerja asing di negara kita.

Kesimpulannya, keperluan, peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi  negara boleh kita kurangkan. Apabila dunia kerjaya di Malaysia dimonopoli oleh pendatang asing, apa akan terjadi kepada anak-anak tempatan? Janganlah kita  jadi seperti kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan.  Limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin perlu dikawal atau disekat demi kelestarian hidup masyarakat setempat. Jika tidak dikawal, kita bimbang akan terjadinya tragedi bumi dipijak milik orang! Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah.

Oleh : Ahmad Syahid Hakimi  - tingkatan 5 -  SMU Padang Siam
(doakanlah kejayaan saya menghadapi SPM dengan tenang  dan bersedia menghadapi cabaran SPM - semoga impian saya beroleh  cemerlang BM SPM jadi kenyataan  ... amin......)

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru