Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 17 Mac 2019

Kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat pada setiap tahun. Huraikan punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut



Kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat pada setiap tahun.
Huraikan punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut. - (khas untuk semua pelajar  SPM )
     Sejak akhir-akhir ini ini, kadar kemalangan jalan raya semakin hari semakin meningkat sehingga ke tahap amat membimbangkan.. Secara puratanya, terdapat satu kemalangan yang berlaku pada setiap saat. Isu kemalangan jalan raya telah menjadi buah mulut masyarakat dan turut mendapat perhatian media perdana negara. Kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia meningkat secara mendadak sehingga tiada penghujungnya. Persoalannya, apakah punca-punca  berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita? Ayuh, kita bincangkan bersama-sama.

     Antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu sendiri yang  kurang sabar.  Biasanya, pemandu lebih suka memandu  laju agar cepat sampai ke destinasi. Pemandu juga tidak suka berhenti di lampu isyarat kerana menganggap akan memperlambat pergerakan mereka. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku di lampu isyarat melibatkan penunggang motosikal. Mereka telah lupa akan ungkapan Pandu Cermat Jiwa Selamat dan ketidaksabaran mereka akhirnya telah meragut nyawa. Terdapat juga pemandu motosikal atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ yang sering berlumba motosikal secara haram di jalan raya. Mereka bukan sahaja menggadaikan nyawa mereka sendiri malah menjadi salah satu punca kemalangan jalan raya. Ternyata, pemandu yang bersikap agresif dan tidak sabar  menjadi punca berlakunya banyak kemalangan jalan raya di negara kita.

     Selain itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu juga adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya. Kajian menunjukkan sebanyak 90 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Kebanyakan daripada mereka menggunakan laman sosial semasa memandu. Perbuatan ini amat berbahaya kerana pemandu berkemungkinan tinggi akan ‘diganggu’ oleh telefon bimbit dan apabila mereka telah ‘tertarik’ mereka  terlupa bahawa mereka sedang memandu. Akibatnya,kemalangan akan berlaku.Penggunaan telefon bimbit semasa memandu adalah salah di sisi undang-undang jalan rayaJelaslah, kemalangan berlaku apabila pemandu cenderung menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

     Di samping itu, kemalangan jalan raya  berlaku kerana pemandu memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk  atau keletihan. Sesetengah  pemandu tanpa sedar  leka  memandu kenderaan mereka dalam keadaan mabuk. Keadaan inilah yang mengundang kemalangan jalan raya dan seterusnya meragut nyawa pemandu tersebut. Berita terkini memaparkan banyak kemalangan jalan raya berlaku berpunca daripada fenomena tidak stabil pemandu semasa memandu kenderaan . Pemandu yang letih atau tidak cukup tidur juga akan menjadi punca dan mangsa kemalangan jalan raya. Hal ini demikian kerana ,mereka akan mudah terlelap ketika memandu dan akan melanggar apa-apa sahaja di depan.  Hakikatnya, pemandu yang mabuk, letih  dan mengantuk perlu mengelakkan diri daripada memandu kerana merekalah  punca tragedi di jalan raya.

      Selanjutnya, keadaan jalan raya yang kurang sempurna juga  mengakibatkan kemalangan jalan raya. Jalan raya yang licin semasa dan selepas hujan akan mengurangkan kecekapan brek kenderaan dan boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Jalan raya yang berselekoh tajam juga amat berbahaya kerana kenderaan di sebelah sana tidak dapat melihat kenderaan  di sebelah sini, dan akan berlanggar. Terdapat juga jalan raya yang berlubang-lubang yang boleh menyebabkan tayar kenderaan pecah dan kenderaan yang datang belakang akan melanggar kenderaan yang tersangkut jika tidak berhati-hati. Keadaan jalan raya yang sempit, dibina pula di cerun bukit yang curam  boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh yang berlaku di sepanjang jalan di Brincang dan di Tanah Tinggi Cameron telah memusnahkan banyak kenderaan dan meragut banyak nyawa .  Sesungguhnya  jalan raya tidak sempurna merupakan punca berlakunya kemalngan yang meragut nyawa.

         Di samping itu, kerosakan pada kenderaan juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Kenderaan yang lama tidak diservis ataupun telah rosak berkemungkinan tinggi akan berhenti di tengah-tengah jalan.Sekiranya situasi ini berlaku, kenderaan yang laju di belakang tidak sempat menekan brek dan melanggar kenderaan rosak yang berhenti  di depan.  Banyak berlaku, kenderaan mengalami kerosakan pada brek, akibatnya, kenderaan gagal berhenti, gagal mengurangkan kelajuan dan  menjadi punca kemalangan jalan raya.   Realitinya keadaan kenderaan yang tidak sempurna, yang rosak, akan mengakibatkan kemalangan yang ngeri di tengah jalan.

    Kesimpulannya, setiap pemandu perlu berhemah semasa memandu di jalan raya kerana biar lambat asalkan selamat. Pastikanlah kenderaan dalam keadaan yang baik sebelum bertolak dari rumah. Jabatan Kerja Raya perlu membuat pemantauan, pastikan jalan raya berada dalam keadaan yang selamat. Polis trafik perlu siap siaga menjalankan ‘Ops Selamat’ dan sebagainya untuk mengurangkan kadar kemalangan terutamanya sepanjang musim perayaan. Semua pihak perlu berganding bahu agar usaha kita mengurangkan kadar kemalangan jalan raya berjaya dan pandulah dengan cermat, menuju destinasi dengan selamat.

Oleh :Muhammad Aiman Hafiz bin Osman (doakan kejayaan kami untuk A+ BM SPM ) 



Catatan : 14 Mac 2019 (hari keputusan SPM 2018 diumumkan)

Hari ini, Tou Zher, Yen,  Su,  Ida, Jehan, Syafiqah, Izuddin. Iqram, Zana, Izzah, Azam, Nasrul &  sekumpulan pelajar Maahad Tahfiz datang ke rumah untuk ucap terima kasih kerana semuanya cemerlang A+ BM 2018. Saya bersyukur kerana punyai pelajar yang berbudi  bahasa, bersopan santun, berbudi pekerti mulia. 

Anthony pagi-pagi lagi telefon ucap terima kasih- dia jua dapat A+ BM SPM. Kemudian Pudin telefon ucap terima kasih kerana dapat A+ BM.   Alya yang menuntut di KB jua telefon ucap terima kasih kerana cemerlang A BM.  Fariq datang ke rumah, dia dapat A BM.  Anis dapat A+ BM. Yati dapat A+. Tahniah semua!


Sesungguhnya terima kasih adalah yang terindah. Syukur alhamdulillah





Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru