Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 1 Februari 2019

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan .

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan 

        Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi antara sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau secara mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

       Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  yang dapat menarik minat pengunjung dari pelbagai negara. Banyak produk pelancongan yang boleh diterokai, misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan pada musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.  Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita hendaklah mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  dapat meningkatkan sektor pelancongan negara.    

      Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam sambil minum air. Jelaslah penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negara kita.

     Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan, contohnya tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan kepada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan, Timur Tengah dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Sesungguhnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

      Selanjutnya langkah untuk memajukan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan pelbagai syarikat, firma, badan kerajaan dan swasta. Kempen Tahun Melawat Malaysia disasarkan untuk menggalakkan sejumlah besar pelancong datang ke negara kita. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara yang dapat menarik minat pelancong seperti persembahan pelbagai acara kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negara kita.. Penyertaan pelbagai pihak memang amat digalakkan bagi memeriahkan  sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Kita sama-sama memikul tanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan   bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pengusaha hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Ternyata, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan dan memajukan sektor pelancongan di negara kita.

        Di samping itu, untuk kita menggalakkan kehadiran berganda para pelancong kita perlulah mengekalkan suasana aman damai di negara kita. Tidak ada pelancong yang sudi atau mahu berkunjung ke negara yang dalam kancah perang. Kemesraan perlu kita ketengahkan kepada  pelancong dengan penuh keikhlasan. Ungkapan  luhur penuh keikhlasan seperti 'terima kasih', 'jumpa lagi', 'maafkan saya'  adalah antara nostalgia indah yang menggamit kehadiran pelancong ke negara kita., Hasilnya nama negara akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir  para pelancong. Pelancong akan datang dan pergi dan datang kembali ke Malaysia, persis penyu di Rantau Abang, datang dan pergi dan datang kembali!. Industri pelancongan negara akan tampil lebih hebat, apabila Malaysia dijadikan destinasi utama pelancong sedunia. Sememangnya, suasana aman damai penuh kemesraan  ini bagaikan tarikan magnet, dapat menarik kunjungan ribuan pelancong ke negara kita.

          Kesimpulannya, semua pihak hari ini, tampil dengan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Segala keunikan dan keistimewaan budaya pelbagai kaum di negara ini kini diketengahkan untuk dinikmati oleh para pelancong dari dalam dan dari luar negara. Malaysia sentiasa ada di hati dan di minda masyarakat, yang menterjemahkan negara kita sebagai sebuah destinasi pelancongan terhebat, lagi tersohor di dunia. Syukur, alhamdulillah.


Hasil Karya : Nur Athirah binti Mohd Nor  Tg 5  -SMKDMPR2   

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru