Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 24 Februari 2019

Panduan menjawab BM SPM Kertas I & Kertas II 2019



Panduan untuk menjawab BM kertas 1 2019
KERTAS 1


Bahagian A
1. Baca arahan dengan teliti. Gariskan kata kunci kehendak soalan.
2. Terdapat 2 bentuk kehendak soalan iaitu umum dan terperinci. Bagi soalan kehendak umum, anda boleh menulis karangan apa sahaja berkaitan dengan bahan grafik contohnya “huraikan tentang kemalangan jalanraya di Malaysia” atau “huraikan tentang amalan gotong-royong di negara kita” manakala kehendak terperinci, tulislah karangan mengikut kehendak soalan contohnya ‘huraikan langkah-langkah”, “huraikan faktor-faktor” dan sebagainya.
3. Tulis pendahuluan seperti yang telah dipelajari tetapi memadai jika anda membincangkan serba sedikit isu/fenomena semasa berkaitan topik.
4. Bagi bahan berpandu yang mempunyai senarai isi, tulislah karangan berdasarkan senarai isi yang diberikan, isi di luar daripada senarai boleh juga diterima.
5. Buat lima perenggan: pendahuluan, isi (3) dan kesimpulan.
6. Masukkan sekurang-kurangnya satu ungkapan menarik (peribahasa, kata-kata hikmat, slogan dan sebagainya) dalam karangan.
7. Jangan tulis terlalu panjang kerana anda perlu menulis satu lagi karangan yang panjang dalam Bahagian B.
8. Panjang karangan bagi Bahagian A sekitar 250 hingga 300 patah perkataan sudah memadai.
9. Karangan Bahagian A, 1½ muka surat sudah memadai.


Bahagian B
1. Baca semua soalan terlebih dahulu. Pilih soalan yang anda mampu jawab.
2. Buat rangka isi bagi soalan yang telah dipilih.
3. Tiga isi diterima, tetapi sebaik-baiknya lima isi dengan huraian lengkap.
4. Masukkan sekurang-kurangnya satu ungkapan menarik.
5. Bina ayat yang mudah untuk mengelakkan ayat berbelit-belit. Seboleh-bolehnya tidak perlu ayat majmuk yang terlalu kompleks. Ayat majmuk yang mempunyai 2 predikat sudah mencukupi.
6. Gunakan formula IMBAKUP (isi, mengapa, bagaimana, kesan, ungkapan menarik daan penegasan)
7. Pemerengganan amat penting. Lima perenggan bagi karangan 3 isi dan 7 perenggan bagi karangan 5 isi.
8. satu perenggan mempunyai 60-70 patah kata sudah memadai.
9. Tulis jumlah perkataan di akhir karangan anda.
10. 4 halaman sudah memadai.

Catatan: 1. Karangan pendek menggambarkan isi kurang dan karangan terlalu panjang menggambarkan huraian meleret-leret dan terjadi isi berulang-ulang.
2. Anda dinasihatkan menjawab Bahagian B terlebih dahulu. Sediakan 2 helai (4 halaman) kertas jawapan untuk menjawab Bahagian A


Panduan menjawab BM SPM kertas 2  2019

KERTAS II

Soalan 1
1. Baca arahan dan gariskan kehendak soalan.
2. Isi tersurat yang terdapat dalam petikan kebiasaannya melebihi 10 isi. Gariskan isi-isi ini. Ambil 6 atau 7 isi yang benar-benar mantap.
3. Sediakan paling kurang 3 isi tersirat (kalau satu salah, yang lain boleh cover).
4. Buat 4 perenggan tetapi tidak mengapa jika 1 perenggan sekalipun.
5. Jumlah perkataan jangan melebihi 120, tetapi jika lebih 5 atau 10 perkataan tidak mengapa.
6. Tulis jumlah kata diakhir jawapan.

Soalan 2
Soalan 2 (a)
(i) Berikan maksud perkataan secara perbandingan terus. Bina ayat yang lengkap, contoh: maksud rangkai kata bercanda di tepi pantai ialah…………. Jangan huraikan maksud rangkaikata
(ii) Jawab dengan lengkap dengan mengambil sebahagian soalan. Jawapan kebiasaannya terdapat dalam petikan.
(iii) Paling mudah kerana jawapan daripada anda sendiri. Jawab dengan lengkap. Ambil sebahagian daripada soalan.

Soalan 2 (b)
(i) Soalan berdasarkan petikan (jawapan ada dalam petikan)
(ii) Paling mudah kerana jawapan daripada anda sendiri. Jawab dengan lengkap. Ambil sebahagian daripada soalan.
(iii) Soalan aspek sastera berdasarkan petikan (menguasai aspek sastera)

Soalan 2 (c) 
(i) Berikan maksud perkataan secara perbandingan terus. Bina ayat yang lengkap. (beri maksud ikut konteks ayat)
(ii) Jawapan ada dalam petikan. Jangan salin dari petikan, gunakan ayat sendiri.
(iii) Paling mudah kerana jawapan daripada anda sendiri. Jawab dengan lengkap. Ambil sebahagian daripada soalan.

Soalan 2 (d)
(i) Soalan berdasarkan petikan (jawapan ada dalam petikan)
(ii) Paling mudah kerana jawapan daripada anda sendiri. Jawab dengan lengkap. Ambil sebahagian daripada soalan.
(iii) Soalan aspek sastera berdasarkan petikan (menguasai aspek sastera)

Catatan:
1. Pastikan semua jawapan anda mempunyai subjek dan predikat (ayat lengkap)
2. Jawab berpandukan peruntukan markah. Kebiasaannya 1 isi untuk satu markah

Soalan 3
Soalan 3 (a)
i. Baca arahan dengan teliti.
ii. Jangan tambah atau ubah imbuhan pada perkataan.
iii. Perkataan yang diberi mesti ada dalam ayat yang dibina.
iv. Bina ayat yang gramatis (subjek + predikat + penerang)
v. Bagi ayat yang sukar dibina jika tidak ditambah imbuhan, gunakan ayat pasif atau dalam bentuk dialog

Soalan 3 (b)
i. Baca arahan dengan teliti.
ii. Tulis nombor jika perlu
iii. Jangan tinggalkan sebarang maklumat dalam ayat asal.

Soalan 3 (c) 
i. Baca arahan dengan teliti.
ii. Cari satu kesalahan imbuhan dan satu kesalahan ejaan dalam setiap ayat. Betulkan kesalahan tersebut dengan imbuhan dan ejaan yang betul.
iii. Jangan pedulikan perkara selain kesalahan imbuhan dan ejaan.

Soalan 3 (d)
i. Baca arahan dengan teliti.
ii. Cari satu kesalahan kata/istilah dan satu kesalahan bahasa dalam setiap ayat. Betulkan kesalahan tersebut dengan kata/istilah dan aspek bahasa yang betul.
iii. Kesalahan bahasa meliputi kata sendinama, kata hubung, Hukum DM, kelewehan bahasa dan sebagainya.

Soalan 3 (e)
i. Baca arahan dengan teliti.
ii. Bina ayat yang menggambarkan maksud peribahasa.
iii. Masukkan peribahasa dalam ayat (jika perlu).
iv. Berikan peribahasa mengikut ungkapan yang betul.
v. Jangan beri lebih peribahasa (serkap jarang).

Soalan 4
Soalan 4(a) 
1. Markah 7 (isi 4 + bahasa 3)
2. 1 X (isi + huraian/contoh) =2 markah, oleh itu 2 X (isi + huraian/contoh) = 4 markah.
3. Markah bahasa adalah impression (1 markah bahasa lemah, 2 markah sederhana, 3 markah baik)
4. Tulis dengan ayat yang lengkap dan gramatis, insyaallah markah bahasa 3)
5. Jangan jawab dalam bentuk senarai atau point form.

Soalan 4(b)
1. Markah 8 (isi 6 + bahasa 2)
2. 1 X (isi + huraian/contoh) = 2 markah, oleh itu 3 X (isi + huraian/contoh) = 6 markah.
3. Markah bahasa adalah impression (1 markah bahasa lemah, 2 markah baik)
4. Tulis dengan ayat yang lengkap dan gramatis, insya-Allah markah bahasa 2)
5. Jangan jawab dalam bentuk senarai atau point form.

Catatan:
1. Jawapan berdasarkan novel yang dipelajari di tingkatan 4 dan 5 sahaja.
2. Jawab dengan ayat yang lengkap dan gramatis

Isnin, 4 Februari 2019

FAEDAH MEMBELI BARANG BUATAN TEMPATAN. BINCANGKAN (karya terbaik pelajar)



Faedah membeli barang buatan tempatan. Bincangkan

Ketika melancong ke Paris, banyak barang dibeli. Almaklum untuk dibawa pulang ke tanah air, dijadikan kenangan terindah.  Haihhh.... Ada sesuatu yang cukup unik.cukup menarik, yang diklasifikasikan berjenama ditemui.. Direnung-renung, ditilik-tilik, tercatat pada kotaknya ‘Made in Malaysia’. Dan...  hati ini berkata-kata, kalaulah barang buatan Malaysia sudah berjaya merentasi benua, dijual di pasaran negara-negara Eropah dan Timur Jauh jadi apa salahnya kita memanfaatkan faedah membeli barang buatan tempatan. Kita perlu lebih nekad memilih dan MEMBELI barang buatan tempatan.Ayuh, sama-sama kita hayati faedah-faedah membeli barang buatan tempatan.

Antara faedah membeli barang buatan tempatan ialah  kita dapat menjimatkan perbelanjaan. Barangan buatan Malaysia, harganya amat berpatutan, jauh lebih murah  berbanding barangan import. Wang boleh kita jimatkan untuk terus membeli produk jenama tempatan yang lainnya. Pinggan-mangkuk, periuk belanga dan pelbagai lagi keperluan dapur buatan Malaysia memang terbukti jauh lebih murah dan menjimatkan perbelanjaan. Produk pakaian, kasut, keperluan harian kita, harganya murah dan tahan lama dan ada yang telah mendapat pengiktirafan dunia. Kasut buatan Malaysia, jenama Bata misalnya telah mendapat anugerah kasut paling laris jualan di peringkat antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Harga kasut Bata murah, berbanding jenama luar negara.  Sesungguhnya dengan harga yang lebih murah, kita dapat menjimatkan perbelanjaan apabila membeli barangan buatan Malaysia

Selanjutnya aspek kualiti mengatasi segala-galanya  apabila kita bercakap tentang produk buatan Malaysia. Pengusaha dan  pengeluar produk tempatan amat mengutamakan mutu barang keluaran syarikat masing-masing. Produk tempatan dijamin kualiti dan daya tahannya oleh SIRIM.  Lihat sahaja perabot buatan Malaysia, memang tahan lasak dan boleh digunakan oleh dua hingga tiga generasi keluarga. Ditenggelami banjir pun perabot –perabot buatan Malaysia tetap kukuh, teguh dan catannya pun tetap ‘bertenaga’ tidak mudah luntur. Produk makanan ringan jenama tempatan jua dijamin kualiti kebersihannya dan disahkan HALAL  dimakan oleh masyarakat Islam. Tahap keyakinan kita terhadap produk tempatan jadi lebih kukuh 100 peratus. Kualiti beras tempatan pula  jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beras Siam atau beras dari India. Ternyata jaminan kualiti yang tinggi menjadi penanda aras untuk kita lebih tertarik membeli barang buatan tempatan.

Di samping itu, faedah membeli barangan buatan Malaysia, ialah semangat cinta akan negara yang tinggi dapat disemai dan diterap  di minda masyarakat apabila rakyat  lebih cenderung membeli produk tempatan. Orang yang ego, sombong suka berlagak, jenis spesies ‘SS’ atau syok sendiri akan membeli produk import, atau produk luar negara. Situasi inilah yang dikatakan 'sombong tak bertempat' Sebaliknya rakyat yang kasih akan negara, cinta akan negara dengan rasa rendah hatinya memilih membeli barangan buatan tempatan. Apabila semua rakyat Malaysia membeli jenama tempatan, maka jenama tempatan akan melonjak jualannya di pasaran tempatan dan mempunyai potensi untuk disebarluaskan ke pasaran global. Demi cinta terhadap Malaysia kita beli produk tempatan dan secara langsung kita melonjakkan rasa kasih sayang, apabila jenama tempatan meningkat berganda permintaannya di pasaran tempatan dan di pasaran dunia.. Barangan keluaran Malaysia mendapat sambutan yang hebat daripada masyarakat dan melahirkan rasa cinta kita yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Sememangnya membeli barang buatan tempatan adalah antara prakarsa paling indah kita mencurahkan rasa kasih terhadap negara.

Seterusnya,  membeli barangan buatan tempatan merupakan antara kejayaan Malaysia meneroka bidang industri. Industri pembuatan produk  negara kita  berkembang maju apabila kita  menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Produk tempatan kini membanjiri pasaran . Produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan  meningkat setiap tahun, sepanjang tahun.. Pembelian  berterusan secara borong, secara pukal, secara runcit, produk tempatan mampu meningkatkan perkembangan industri pengeluaran negara . Peningkatan jumlah pengguna dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan. Negara kita bakal membina lebih banyak pusat perindustrian, kilang-kilang untuk mengeluarkan produk tempatan Kita terus majukan industri tempatan sehingga mencapai aspirasi negara menjadikan Malaysia sebuah  negara perindustrian.Kawasan perindustrian, kawasan perkilangan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Jelaslah, membeli produk tempatan dapat  menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang berdaya maju

Selain itu kita beli barang buatan tempatan kerana barangan tempatan ada di mana-mana. Tak perlu tunggu hari esok untuk mendapatkannya. Sebut sahaja nama produk itu, ahaa.., produk itu sudah ada di depan mata, ‘ you name it, you got it. Tidak perlu bertangguh. Mudah sangat untuk mendapatkannya, sama ada di gerai tepi jalan, di pasar, di gedung-gedung eksklusif, barangan buatan tempatan jadi kebanggaan kita. Kalau bukan kita mempopularkannya, membelinya, memilikinya, siapatah lagi. Dan betapa bangganya kita apabila masyarakat dunia turut memilih, membeli barang buatan tempatan dan dijadikan sebagai aset dalam dunia pelancongan negara.  Produk tempatan terjual di merata ceruk rantau kota dan desa. Realitinya, membeli barang buatan tempatan tidaklah sesukar mana untuk kita mendapatkannya, kerana produk yang kita idam-idamkan itu ada di mana-mana. Mudah untuk dicari, ditemui dan dibeli.

Kesimpulannya membeli barangan buatan tempatan memberi banyak kebaikan kepada kita. Masyarakat Malaysia usahlah teragak-agak untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia.  Banyak faedah kita perolehi dengan membeli produk tempatan. Hanya jauhari yang mengenal manikam, yakni hanya kita sebagai pengguna yang tahu dan kenal keunikan, kualiti  dan keistimewaan produk tempatan. PENGGUNA BIJAK FAEDAHNYA  BANYAK. Sama-sama kita sokong usaha mempromosi dan membeli barang buatan tempatan. Mudah-mudahan usaha kita itu membuahkan kejayaan.

Raymond Koick Zhie Shiang - Tingkatan 5  - SMKDM1 Tanah Merah Kelantan.
.
.


 Bacaan santai. Sekadar berkongsi cerita..............
Pagi semalam, saya terima panggilan telefon daripada seorang guru, menjemput saya berceramah di sekolahnya. Katanya,muridnya ada 105 orang(semua lelaki). Saya tidak pernah menolak sebarang jemputan berceramah. Saya setuju. Ketika terima panggilan telefon itu saya dan suami baru sahaja kembali dari UM Lembah Pantai KL menjenguk anak lelaki saya yang dilanda musibah, cermin keretanya dipecah orang dan lap topnya berserta semua pen drive, kamera, kertas kerja untuk pengajiannya yang dalam satu beg semuanya hilang.Laporan polis dibuat.Keletihan ketika itu amat terasa, sebab perjalanan jauh KL - Tanah Merah.Kami balik pada tengah malam hari yang sama.
     Selepas terima panggilan telefon saya terus buat persiapan untuk ceramah, saya keluar ke bandar Tanah Merah beli kertas, beli dakwat untuk printer. Beli di kedai bekas pelajar saya, memang murah. Sempat pula bergurau senda,mengimbau kisah lucu zaman persekolahan dengan mereka.
Sepanjang malam santak ke pagi saya menaip dan print bahan untuk ceramah. Saya hanya berhenti  untuk solat. Saya sediakan bahan yang saya yakin terbaik untuk pelajar. Banyak bahan saya print. Saya amat berhati-hati lakukan kerja-kerja percetakan. Saya print sampai kekeringan dakwat. Dua printer saya gunakan. Bayangkanlah.......... kesibukan saya ketika itu. Tapi saya positif........ tak letak masalah di kepala...... letak sahaja di hujung jari. Happynya saya pabila semuanya lengkap dan kemas. Very, very happy.

    Pagi, saya bertolak ke sekolah berkenaan. Dalam perjalanan  ohohhh.......baru saya sedar saya tidak makan apa-apa sejak semalam. Saya terasa lapar. Lapar yang amat sangat. Saya pujuk hati ini, di tempat ceramah sudah tentu ada makanan disediakan terutama untuk penceramah seperti saya yang datang dari daerah kejauhan. Saya tawakal!
        Walaupun saya tidak tahu lokasi sekolah, akhirnya selepas berhati-hati menjengah dan mencari, sekolah saya temui. Sunyi dan sepi. Saya tawakal. Haih... saya silap sekolah ke? Saya tawakal.....!
        Dalam saya bermenung seorang diri, seorang pelajar tampil ke  kereta saya, beri arahan agar saya terus pandu ke satu bangunan di belakang sekolah. Saya berjalan ke satu lorong, naik tangga ke tempat ceramah. 
          Jam 8 pagi saya mulakan ceramah saya.Saya berceramah diselang seli sesi soal jawab. Suasana memang cukup indah. Tetapi kelaparan tidak tertanggung rasanya ketika itu, sebab sehari semalam, hingga ke hari ini saya tak makan apa-apa. Huihh laparnya... saya tekan perut saya sambil berceramah. Saya berceramah selama 4 jam (8 pagi hingga 12 tengah hari) .Sempat jua saya memeriksa karangan seorang pelajar.
             Jam 12 hingga 12.30 pelajar mengelilingi saya bertanyakan banyak lagi soalan berkaitan BM .  Banyak perkara tentang sekolah ini, turut diceritakan oleh  pelajar. Walau baru kenal terasa berada dengan anak-anak sendiri, dalam satu keluarga besar. Mereka tidak kekok bercerita.Saya bakar semangat mereka untuk terus berjuang dalam SPM.
                   Tiba-tiba..........................................
                   Seorang pelajar menegur saya.
                   Cikgu, cikgu nak milo?
                   Oh... Ohohhh.....Nakkkkkkkkk..............................nakk.....!!
Pelajar itu menghulurkan plastik milo yang air batunya telah lama cair
Saya minum sepuas-puasnya
Terasa lega dalam kelaparan dan kehausan
Bagi saya pemberian pelajar yang tiba-tiba muncul dalam  himpunan lebih seratus pelajar, memberi saya minuman dalam plastik miliknya, pada pagi  ini adalah sesuatu yang terindah. Cuma... dia tak offer makanan goreng yang sedang enak dimakannya. Haishhhh... terlebih-lebih pulak saya nih.....
Saya memandu perlahan-lahan menyusur keluar daripada kawasan sekolah.......
Saya suka akan cabaran. Berceramah di sekolah ini merupakan satu cabaran yang  menjadi memori terindah dalam hidup saya.  Pelajar mendengar ceramah dengan penuh tertib, sopan dan naluri ingin tahu mereka tinggi.
Kepada pelajar sekolah ini, pesan saya, usaha sungguh-sungguh untuk SPM nih. Doa cikgu mengiringi perjuanganmu anak-anakku  
Suami tunggu saya kat masjid Tanah Merah dengan senyuman. Singgah sekejap di masjid.  Saya memandu kereta. Suami menyusuri di belakang dengan motosikal.
Malam.
Lepas isyak saya dan suami pergi ke Manal untuk makan malam di kedai favourite kami. Masakannya sesuai dengan citarasa kami orang Kuala Kangsar. Masa membayar tauke restoran beritahu, cikgu tak payah bayar, tadi murid cikgu sudah bayar.
(siapa murid saya itu, saya tidak tahu. Semoga Allah murahkan rezekinya)
Begitulah kehidupan saya.


Ahad, 3 Februari 2019

SENARAI PEPATAH MELAYU - untuk hayatan pelajar-pelajar SPM 2019


SENARAI PEPATAH MELAYU  - untuk hayatan pelajar-pelajar SPM 2019
A
Ada air, adalah ikan [Ada negeri tentulah ada rakyatnya]
Ada angin, ada pokoknya [Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya]
Ada bangkai adalah hering [Di mana ada perempuan jahat di situlah ada lelaki jahat]
Ada gula adalah semut [Di tempat yang mudah memperoleh rezeki, di situlah banyak orang berkumpul]
Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras [Sesuatu pekerjaan dilakukan dengan cepat dan sempurna jika cukup upahnya]
Ada ubi ada batas, ada budi ada balas [Sekiranya seseorang membuat kebaikan, akan mendapat balasan yang baik juga]
Ada udang di sebalik batu [Ada sesuatu tujuan di sebalik apa-apa yang dilakukan]
Adakah buaya menolak bangkai? [Orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk berbuat jahat]
Air dicencang tidak akan putus [Perbalahan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan]
Air digenggam tidak tiris [Orang yang kedekut atau terlalu cermat apabila berbelanja]
Air mudik sungai, semua teluk diranai [Orang yang boros akan berbalanja tanpa perhitungan]
Air pun ada pasang surutnya [Keadaan hidup seseorang tidak menentu, kadangkala susah]
Air yang tenang jangan disangka tiada buaya [Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut]
Alah bisa, tegal biasa [Pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah jika kerap dilakukan]
Alah jadi abu, menang jadi arang [Dalam sesuatu pertikaian, sama ada menang atau kalah, kedua-dua pihak mendapat kerugian]
Alah membeli, menang memakai [Tidak mengapa barang yang dibeli itu mahal sedikit asalkan barang itu tahan lama]
Alah sabung, menang sorak [Kalah dalam sesuatu perlawanan tetapi masih bercakap besar]
Alang-alang berminyak biar licin [Sesuatu kerja yang dilakukan itu hendaklah dilakukan sehingga selesai]
Alang-alang mandi biar basah/ Alang-alang berminyak biar licin [Melakukan sesuatu perlu sehingga selesai]
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan [Kalau sudah terlanjur dalam membuat sesuatu perbuatan yang tidak baik, biarlah dibuat sehingga memperoleh hasilnya]
Anjing bercawat ekor [Orang yang menyisihkan dirinya kerana perasaan malu atau sebagainya]
Anjing biasa makan tahi, jika tidak makan, dicium ada juga [Orang yang pada suatu masa pernah berbuat jahat, sekali sekala teringat akan perbuatan jahatnya itu]
Anjing ditepuk menjongket ekor [Orang yang tiada berbudi pekerti jika dihormati akan menjadi sombong]
Apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada [Cukup mempunyai segala yang diperlukan]
Apa peduli pada kukuran, nyiur juga yang akan habis [Memang mudah menyuruh seseorang melakukan sesuatu kerja tetapi orang yang melakukan kerja itu akan menghadapi kesukaran]
Aur ditanam betung tumbuh [Mendapat laba yang banyak dengan modal yang sedikit]
Ayam baru belajar berkokok [baru cukup umur]
Ayam berinduk, sirih berjunjung [Setiap orang yang lemah harus mendapat bantuan dan perlindungan]
Ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan [Orang yang hidup miskin di negara yang kaya dan makmur/ Hidup menderita walaupun bergaji besar, beristeri, atau bersuamikan orang kaya]
Ayam ditambat disambar helang, padi di tangan lalang [Nasib yang malang]
Ayam sudah patah, kalau-kalau dapat menikam [Orang yang telah jatuh melarat itu mungkin akan berubah nasibnya]
Ayam tak patuk, itik tak sudu [Seseorang yang hina dalam masyarakat]

B
Bagaimana acuan begitulah kuihnya [Bagaimana kelakuan ibu atau bapa begitulah kelakuan anaknya]
Bagaimana bunyi gendang, begitulaqh tarinya [Bagaimana perintah, begitulah seharusnya sesuatu itu dilakukan]
Bagaimana tidak menggigit telunjuk, melihat air hujan turun keruh [Berasa hairan melihat orang yang berketurunan baik-baik berkelakuan tidak senonoh]
Baharu bertatih hendak berlari, langsung tersembam [Melakukan sesuatu sebelum tiba masanya, akhirnya akan ditimpa kesusahan]
Baharu bertunas sudah dipetik, masakan boleh hidup [Belum banyak untungnya sudah berbelanja besar]
Baharu dianjur, sudah tertarung [Baru hendak memulakan sesuatu sudah berhadapan dengan pelbagai masalah]
Bahasa menunjukkan bangsa [Bahasa mencerminkan tinggi atau rendahnya kedudukan sesuatu bangsa itu]
Bakar air hendakkan abu [Membuat pekerjaan yang mustahil]
Bangkai gajah bolehkah ditudung oleh nyiru? [Sesuatu perbuatan jahat yang besar tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai]
Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam [Setiap orang mempunyai kegemaran, kemahuan, dan pendapat yang tidak sama]
Barang tergenggam jatuh terlepas [Barang yang mungkin menjadi hak milik kita, tiba-tiba terlepas ke tangan orang lain]
Batu direbus masakan empuk [Orang yang bebal, bagaiamana diajar sekalipun tidak akan pandai]
Bau cekur jerangau ada lagi di ubun-ubun, sudah hendak berumah tangga [Lelaki yang belum cukup umur sudah mahu beristeri]
Baung di bawah bangkar [Bunyi orang bersungut tetapi tidak jelas hujung pangkalnya]
Belakang parang kalau diasah nescaya tajam [Bagaimana bodoh sekalipun seseorang itu, jika diasuh akhirnya dia akan pandai juga]
Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang [Orang yang arif dan rajin]
Belum duduk sudah berlunjur [Belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira]
Belum tahu lagi, ayam sedang berlaga [Belum ada keputusan]
Belut pulang ke lumpur, ikan pulang ke lubuk [Kembali ke tempat asalnya]
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian [Menempuh kesusahan dahulu sebelum mendapat kesenangan]
Beranak tidak berbidan [Mendapat kesusahan kerana kesalahan sendiri]
Berani kerana benar, takut kerana salah [Bertindak kerana berada di pihak yang benar]
Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul [Berapa susah kita melihat seseorang itu menanggung kesusahan, susah lagi orang yang mengalaminya]
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing [Bermuafakat dalam melakukan sesuatu kerja, sama ada susah atau mudah]
Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah [Dua orang yang setaraf dan sepadan]
Berhakim kepada beruk [Minta pengadilan kepada orang yang tamak, sudah tentu mendapat kerugian]
Berkerat rotan berpatah arang [Pergaduhan atau perceraian yang tidak boleh berbaik-baik semula]
Berlindung di sebalik telunjuk [Hendak menyembunyikan sesuatu rahsia, sedangkan rahsia itu telah diketahui orang]
Berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap [Mengerjakan sesuatu dengan tidak mengetahui caranya, hanya akan mendatangkan kerugian]
Bertali boleh diheret, bertampuk boleh dijinjing [Perjanjian yang tidak dapat dimungkiri lagi kerana ada bukti yang dapat dipegang]
Bertanam tebu di bibir mulut [Mengeluarkan kata-kata manis untuk memujuk atau memuji]
Bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang [Perselisihan faham antara dua saudara tentang sesuatu, orang lain juga yang beruntung]
Bertemu buku dengan ruas [Bertemu lawan yang sama-sama handal]
Besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar [Lebih besar belanja daripada pendapatan]
Besar periuk, besarlah keraknya [Besar pendapatan, besar pula perbelanjaan]
Biduk lalu kiambang bertaut [Dua pihak yang berselisih faham akan berbaik semula sekiranya orang yang menjadi pengacau atau penghasut dapat disingkirkan]
Bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi [Ketua atau pemerintah yang telah hilang kuasanya tidak lagi ditakuti oleh orang bawahannya]
Bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut [Orang yang tidak mahu ditunjuk ajar langsung]
Bukan tanah menjadi padi [Bukan tempatnya untuk berbuat baik]
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat [Kejayaan sesuatu pekerjaan itu adalah hasil persefahaman dan kerjasama yang erat]
Bumi mana tak ditimpa hujan [Manusia tidak lepas daripada membuat kesalahan]
Bunga disunting, perlu ditendang [Seorang suami yang hanya menyayangi isterinya tetapi membenci mentuanya]
Bunga mekar di taman, baunya semerbak ke mana-mana [Gadis yang cantik akan mashyur dan menjadi sebutan di mana-mana]
Bunga raya kembang pagi [Muka yang merah padam kerana marah akan sesuatu]
Buruk perahu buruk pangkalan [Seorang suami yang telah bercerai dengan isterinya, tidak mahu menjenguknya lagi]
Burung hantu kesiangan [Tidak dapat berbuat apa-apa kerana kehabisan daya]
Burung terbang dipipiskan lada [Sesuatu yang dihajati belum tentu dapat tetapi rancangan untuk menggunakannya telah dibuat]

 
C
Cacing hendak menjadi naga [Orang berpangkat rendah berlagak seperti orang berpangkat tinggi]
Cacing menelan naga [Orang lelaki daripada keturunan orang kebanyakan dapat berkahwin dengan anak gadis orang bangsawan]
Cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar [Orang yang cakapnya sahaja besar, hasil pekerjaan tiada]
Cakap sejengkal dibawa sehasta [Perkara yang kecil diperbesar]
Calak-calak ganti asah, menanti tukang belum datang [Dipakai untuk sementara belum ada yang lebih baik]
Cari umbut kena buku [Mencari yang baik, mendapat yang buruk]
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga [Perbalahan antara adik-beradik tidak akan berpanjangan]
Cencaru makan petang [Pekerjaan yang dilakukan dengan lambat mendatangkan hasil yan baik dan lumayan]
Condong ditumpil, lemah dianduh [Memberi pertolongan (kewangan, fikiran, dan sebagainya) kepada orang yang dalam kesusahan]
Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan [Pemimpin yang akan membantu atau menjaga rakyatnya jika ada kesusahan yang menimpa rakyatnya itu]
Cuba-cuba menanam mumbang, jika hidup turus negeri [Meneruskan sesuatu pekerjaan yang kurang berharga, mungkin akan mendatangkan hasil kelak]


D
Dada manusia tidak dapat diselami [Isi hati atau fikiran seseorang itu tidak dapat kita ketahui]
Dalam kilat ada kilau [Dalam percakapan yang terang atau biasa, ada sesuatu maksud yang tersembunyi]
Dari jauh diangkat telunjuk, kalau dekat diangkat mata [Umpat dan caci kerana kelakuan yang tidk senonoh]
Datang seperti ribut, pergi seperti semut [Sesuatu penyakit itu cepat merebak tetapi lambat pulih]
Datang tak berjemput, pulang tak berhantar [Tetamu yang tidak penting]
Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga [Tidak sama kasih kepada anak sendiri dengan kasih kepada anak orang lain]
Daun mengenalkan pohonnya [Daripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengenali peribadinya]
Dekat dapat ditunjal, jauh dapat ditunjuk [Perkataan atau pengakuan yang dapat dibuktikan kebenarannya]
Dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk[Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah diusahakan dengan sungguh-sungguh dan jangan sekali-kali mendengar cakap orang kerana diri sendiri yang akan menerima padahnya]
Deras datang dalam kena [Pekerjaan yang dilakukan secara terburu-buru akan mendatangkan kerugian]
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan [Jika ada azam, apa-apa yang dihajati dapat dicapai]
Di mana anjing menyalak di situlah biawak memanjat [Jika hendak menyiasat sesuatu kejadian jahat, carilah puncanya di tempat kejadian itu]
Di mana kayu bengkok, di situlah musang meniti [Tempat yang tidak dijaga dengan baik akan didatangi pencuri]
Di mana tempat kutu hendak makan kalau tidak di atas kepala [Sudah menjadi adat, anak bergantung pada ayah dan yang miskin bergantung kepada yang kaya]
Di mana tumbuh, di situ disiang [Jika terjadi sesuatu perkara atau perselisihan, hendaklah diperiksa dan diselesaikan di situ juga]
Diam penggali berkarat [Ilmu yang disimpan sahaja, lama-kelamaan akan hilang]
Diam-diam ubi berisi, diam-diam penggali berkarat [Diam orang yang berilmu berfikir sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaj]
Dianjak layu, dianggur mati [Keputusan yang tidak dapat diubah lagi]
Dibakar tidak hangus, dijemur tidak kering, direndam tidak basah, ditetak tidak putus [Tidak dapat dibuat apa-apa lagi terhadap seseorang yang keras hati atau berkuasa]
Dibalik-balik bagai memanggang [Difikirkan semasak-masaknya]
Dihujani kering, dijemur basah [Membuat sesuatu pekerjaan yang menyusahkan orang lain]
Ditelan mati emak, diluah mati bapak [Dalam keadaan serba salah]
Dua badan senyawa [Dua orang yang berteguh janji taat setia sehidup semati; sangat karib]
Dua kali dua empat [Dua orang yang sama sifat atau perangai]
Duduk berkisar, tegak berpaling [Memungkiri apa-apa yang telah dikatakan dahulu]
Duduk dengan cupak dan gantang [Mendapat ketua yang adil]
Dulu besi sekarang timah [Seorang yang telah turun pangkat]


E
Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat [Sesuatu yang hendak dilakukan, elok dibicarakan dahulu dengan kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat]
Emas berpeti, kerbau berkandang [Harta benda harus disimpan di tempat yang betul supaya selamat]
Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang [Nasihat untuk kebaikan perlu disebut berulang kali]
Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing[Orangyang mementingkan diri sendiri]
Enau sebatang dua sigainya [Jika sesuatu pekerjaan mempunyai dua orang ketua, tentu hasilnya tidak menjadi/ Seorang isteri yang menduakan suami]
Enggang lalu ranting patah [Orang yang pernah terlibat dalam jenayah, kebetulan berada di tempat berlakunya jenayah, tentulah dia disyaki walaupun dia tidak melakukannya]
Enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang sama [Hubungan, ikatan, atau jodoh yang sama taraf kedudukannya]

G
Gagak bersuara murai [Rupanya hodoh tetapi suaranya merdu dan baik budi bahasanya]
Gajah berak besar kancil pun hendak berak besar, akhirnya mati kebebangan [Seseorang yang berbelanja seperti orang kaya, akhirnya menderita]
Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama [Orang yang berjasa akan dikenang selama-lamanya setelah meninggal dunia]
Gajah mati, tulang setimbun [Apabila seseorang jutawan mati, tentu sekali banyak meninggalkan harta]
Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah [Dua pihak yang berkuasa bergaduh, rakyat yang menderita]
Gantung tak bertali, salai tak berapi [Seseorang suami yang meninggalkan isteri tanpa member nafkah atau menceraikannya]
Garam dikulum tidak hancur [Orang yang pandai menyimpan rahsia]
Garam jatuh di air [Nasihat yang diterima dengan baik atau dipatuhi]
Gayung tua, gayung memutus [Kata-kata orang tua biasanya benar dan tepat]
Gemuk membuang lemak, cerdik membuang kawan [Sesudah kaya atau berpangkat, tidak mahu menolong atau bergaul dengan keluarga sendiri]
Geruh tak berbunyi, malang tak berbau [Kemalangan terjadi tanpa diketahui]
Getikkan puru di bibir [Susah hendak membenci anak isteri sendiri walaupun perangai mereka buruk]
Gigi dengan lidah adakala tergigit juga [Suami isteri atau sanak saudara adakalanya berselisih faham juga]
Gigi tanggal, rawan murah [Keinginan yang datang sesudah tidak ada kesempatan lagi]
Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali [Harta yang banyak akan habis sekiranya tidak ditambah]


H
Hanya air dingin yang dapat memadamkan api [Kata-kata yang lemah lembut dapat menyejukkan hati yang marah]
Hapus panas setahun oleh hujan sehari [Jasa atau kebaikan seseorang boleh hilang akibat kesalahan yang sedikit]
Harapkan pagar, pagar makan padi [Orang yang diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu, mengkhianati kepercayaan itu]
Hari guruh takkan hujan [Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul orang lain]
Harimau mengaum tak makan orang [Orang yang marah-marah sambil bersungut, tidak berniat membenci atau menganiaya orang lain]
Harimau menunjukkan belangnya [Orang yang menunjukkan kekuasaan atau keberaniannya]
Harimau menyembunyikan kukunya [Orang yang berilmu tidak mahu menunjukkan kebolehannya]
Hasrat hati hendak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai [Tidak berdaya mencapai apa-apa yang dihajati atau dicita-citakan]
Hati bak serangkak dibungkus [Sangat berharap akan mendapat sesuatu yang diingini]
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah [Pembahagian yang sama rata, beruntung banyak sama-sama mendapat sedikit]
Hendak dapat pisang terkupas [Inginkan kesenangan tetapi malas berusaha]
Hendak harum terlalu hangit [Kerana terlalu hendak meninggikan diri, akhirnya, mendapat malu]
Hendak seribu daya, hendak seribu dalih [Jika berkehendakkan sesuatu, akan berusaha untuk mendapatkannya tetapi jika tidak mahu melakukan sesuatu, berbagai-bagai alasan akan diberikan]
Hendak terbang tiada bersayap, hendak hinggap tiada berkaki [Seseorang yang tidak berupaya membuat sesuatu]
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih [Jika hendakkan sesuatu, seseorang akan mencuba untuk mendapatkan dengan sedaya upayanya tetapi jika dia tidak mahu, pelbagai alasan akan diberikan]
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong [Seseorang yang suka menonjol-nonjolkan dirinya kepada orang lain sedangkan orang berkenaan langsung tidak memberikan perhatian terhadapnya]
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah [Semasa hidup kita hendaklah mengikut peraturan atau adat yang ditetapkan, apabila sudah mati terserahlah kepada hukum Tuhan]
Hilang bahasa lenyap bangsa [Jika sesuatu bahasa itu tidak digunakan lagi bererti bangsanya pun sudah tidak ada/ Hilang budi bahasa, hilang darjat diri]
Hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang [Barang yang buruk tetapi berguna akan disimpan manakala barang yang cantik tetapi tidak berguna dibuang]
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri [Walau baaimana mewah dan baik negara orang berbanding dengan negara sendiri, lebih baiklah berada di negara sendiri]
Hujan, tempat berteduh; panas, tempat berlindung [Orang yang selalu memberikan pertolongan kepada orang lain yang mendapat kesusahan]
Hujung lurus pangkal berkait [Orang yang pada zahirnya baik tetapi hatinya tidak]
Hutang darah dibayar darah, hutang nyawa, nyawa padahnya [Tiap-tiap hukuman itu mestilah bersesuaian dengan kesalahannya]

I
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka [Membuat sesuatu yang didorong oleh hawa nafsu akhirnya mendatangkan kesusahan]
Indah khabar daripada rupa [Keadaan sesuatu yang tidak sama seperti yang digambarkan]
Ini hari orang, esok hari kita [Malang sukar ditentukan, oleh itu kita hendaklah sentiasa beringat-ingat]
Intan disangka batu kelikir [Tidak mengetahui nilai (keadaan) yang sebenarnya]
Intan itu jika terbenam di perlimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya [Kebenaran akan terserlah juga walaupun disembunyikan]

J
Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa [Jika kita banyak merantau banyaklah perkara yang dapat kita lihat, begitu juga orang yang telah lama hidup banyaklah pengalamannya]
Jauh panggang dari api [Jauh daripada yang dimaksudkan atau mustahil boleh berlaku]
Jauhari juga yang mengenal manikam [Orang yang bijaksana juga yang mengetahui kelebihan sesuatu ilmu]
Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya [Hendaklah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati]
Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang [Jika perkara itu tidak berlaku, masakan ada orang yang berkata-kata tentang hal itu]
Jika ular menyusur akar sekalipun tak akan hilang bisanya [Orang mulia atau berpangkat tinggi tidak akan jatuh darjatnya sekalipun dia bergaul dengan orang kebanyakan]
Jiwa bergantung di hujung rambut [Dalam keadaan yang sangat mencemaskan dan berbahaya]
Jual sutera beli mastuli [Mendapat ganti yang lebih berharga lagi]

Kail sebentuk umpannya seekor, sekali putus sehari berhanyut [Melakukan sesuatu tanpa membuat persediaan yang cukup untuk menghadapi sebarang kemungkinan]
Kain basah kering di pinggang [Keadaan orang yang terlalu miskin]
Kais pagi makan pagi, kais petang [Pendapatan yang diperoleh cukup untuk sehari sahaja]
Kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau [Orang yang berketurunan baik, ke mana-mana sahaja dia pergi akan tetap menjadi baik]
Kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi [Tidak mungkin perselisihan atau percintaan terjadi daripada satu pihak sahaja]
Kalau bukan rezeki, di mulut lari ke luar [Rezeki (harta) yang belum dapat ditentukan sebagai milik sendiri]
Kalau dicampak bunga takkan dibalas dengan tahi [Budi baik seseorang tidak akan dibalas dengan kejahatan]
Kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang [Orang yang pandai membawa diri, hidupnya akan selamat]
Kalau secupak takkan jadi segantang [Sesuatu yang sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi]
Karam berdua basah seorang [Dua orang yang melakukan kesalahan tetapi seorang sahaja yang dihukum]
Kasihkan anak tangan-tangankan, kasihkan isteri tinggal-tinggalkan [Jangan terlampau memanjakan orang yang disayangi]
Kata seorang dibulati, kata bersama diperiakan [Urusan peribadi boleh diputuskan sendiri tetapi urusan orang ramai perlu dirundingkan bersama-sama]
Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni [Sama-sama menikmati kesenangan atau menghadapi kesusahan]
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? [Sifat seseorang ibu atau bapa sedikit banyak akan turun kepada anaknya]
Ke tengah boleh ke tepi pun boleh [Orang yang dapat menyesuaikan diri di mana-mana dia berada]
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa [Pengetahuan seseorang itu bukanlah diukur berdasarkan rupa/ umurnya]
Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan [Menyatakan rasa terima kasih dan berbesar hati kerana nasihat atau pertolongan orang lain]
Kena parang bermata dua [Sangat menyakitkan hati (perasaan)]
Kepala sama hitam, hati lain-lain [Lain orang, lain fikirannya]
Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya [Segala janji yang telah dilafazkan mestilah ditepati]
Kerbau sekawan boleh dikandang, manusia seorang tiada terkawal [Sukar menjaga seorang gadis supaya nama baiknya tidak tercemar]
Keris pedang tiada tajam, lebih tajam mulut manusia [Kata-kata seseorang itu lebih tajam daripada senjata]
Kerja bertangguh tak menjadi, kerja beransur tak bertahan [Kerja yang selalu ditangguh-tangguhkan tidak akan dapat diselesaikan]
Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek [Kerja yang disuruh oleh ketua diutamakan daripada kerja sendiri]
Kesat-kesat daun pimping, kalau kesat daun labu boleh dicelur [Orang yang miskin serta tidak berilmu tiada gunanya di kalangan orang banyak, tetapi kalau baik kelakuannya, ada juga faedahnya]
Ketam menyuruh anaknya berjalan betul [Orang yang menasihati orang lain berbuat sesuatu dengan betul sedangkan dia sendiri berbuat salah]
Kita baru mencapai pengayuh, orang sudah tiba ke seberang [Orang yang bijaksana selalu mencapai sesuatu maksud lebih dahulu daripada orang lain]
Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi [Orang miskin yang bercakap besar dan berlagak seperti orang kaya]
Kuman di seberang laut nampak, gajah di bibir mata tak kelihatan [Kesalahan orang walaupun kecil nampak tetapi kesalahan sendiri yang lebih besar tidak disedari]
Kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari [Persetujuan atau persahabatan harus datang daripada kedua-dua belah pihak]

L
Lagi terang lagi bersuluh [Sudah memahami sesuatu perkara tetapi masih bertanya lagi]
Lain bengkak lain bernanah [Orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang dpersalahkan]
Lain dulang lain kakinya, lain orang lain hati [Manusia mempunyai sifat atau kehendak yang berbeza]
Lain lubuk, lain ikannya [Setiap negara mempunyai adat resam yang berlainan]
Lalang ditanam takkan padi yang tumbuh [Perbuatan yang jahat tidak akan mendapat balasan yang baik]
Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan [Setiap orang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan/ Segala usaha itu mesti ada kesukaran atau cabarannya]
Lemak-lemak santan berlada [Kata-kata manis dan lemah lembut tetapi mengandungi sindiran yang tajam]
Lembah diraih, pantai dititi [Sikap yang bijaksana dalam mengeluarkan sesuatu perintah atau arahan]
Lembu punya susu, sapi dapat nama [Orang lain yang membuat sesuatu pekerjaan, orang lain pula yang mendapat nama]
Lembut gigi daripada lidah [Berkata-kata dengan lemah lembut dan merendahkan diri kerana berhajatkan sesuatu]
Lempar batu sembunyi tangan [Membuat sesuatu yang tidak baik kemudian brpura-pura tidak tahu]
Lenggang-lenggok bagai cupak hanyut [Gaya jalan yang lemah lembut dan menarik]
Lengkuas di tepi kandang, tegak puas badan menyandang [Kesalahan yang kita buat, kita juga yang menanggung akibatnya]
Lepas bantal berganti tikar [Mengahwini saudara atau ahli keluarga isteri atau suami yang telah meninggal dunia]
Luka sudah hilang, parut tinggal juga [Sungguh pun orang yang berselisih faham itu telah berdamai namun peristiwa itu tetap berbekas di hati masing-masing]
Lulus jarum lulus kelindan [Kalau kehendak pertama itu tercapai kehendak lain akan tercapai juga]

Makan hati berulam jantung [Perasaan sedih yang amat sangat]
Makan keringat orang [Mengecap kesenangan dengan cara memeras orang lain]
Makin murah makin menawar [Seseorang yang telah dituruti kehendaknya, berkehendakkan lebih lagi]
Malu berkayuh perahu hanyut Malu bertanya sesat jalan [Kalau tidak mahu berusaha tentu tidak akan mendapat kejayaan]
Malu jika anak harimau menjadi anak kambing [Tidak patut anak orang baik-baik menjadi jahat]
Manikam itu kalau jatuh ke limbahan sekalipun tidak akan hilang cahayanya [Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya]
Marahkan pijat kelambu dibakar [Disebabkan takut akan bahaya yang kecil, keuntungan yang besar dibuang akhirnya diri sendiri yang rugi]
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak [Apabila kita berada di tempat orang, kita hendaklah mengikuti adat resam masyrakat di situ]
Masuk telinga kanan keluar telinga kiri [Nasihat dan pengajaran yang tidak diterima]
Maut jangan dicari, rezeki jangan ditolak [Bahaya atau kesusahan jangan sekali-kali dicari tetapi jangan pula menolak sesuatu yang mendatangkan kebaikan]
Melentur buluh biarlah dari rebungnya [Mendidik anak hendaklah sejak kecil lagi kerana apabila sudah besar, susah hendak mendidiknya]
Meludah ke langit, terpercik ke muka sendirisendiri [Memburukkan keluarga sendiri, diri sendiri juga yang malu]
Membasuh arang yang terconteng di muka [Menghilangkan aib]
Membeli kerbau di padang [Melakukan sesuatu tanpa usul periksa lebih dahulu]
Membesarkan kerak nasi [Berbelanja lebih dan membazir]
Membujur lalu melintang patah [Sanggup menghadapi sebarang tentangan atau dugaan]
Memulangkan paku buah keras [Membangkitkan perkara yang sudah lepas]
Menabur benih di atas batu [Berbuat baik kepada orang yang tidak tahu membalas budi tentulah sia-sia]
Menabur benih di tanah subur [Berbuat baik kepada orang yang tahu mengenang budi]
Menahan jerat di pergentingan [Mencari keuntungan dalam keadaan kecemasan/ Mengambil kesempatan daripada orang yang susah]
Menanti kucing bertanduk [Mangharapkan sesuatu yang mustahil akan berlaku]
Menantikan nasi disajikan ke lutut [Seseorang yang malas berusaha tetapi mengharapkan kesenangan datang kepadanya]
Mencurah garam ke laut [kerja sia-sia]
Mencurahkan air ke daun keladi [Memberikan nasihat kepada orang yang tidak mahu menerimanya]
Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan [Mengharapkan yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan,dibuang]
Menetak dengan belakang parang [Menyuruh orang malas bekerja]
Mengata dulang paku serpih, mengata orang dirinya yang lebih [Menegur keburukan orang, sedangkan keburukan diri sendiri tidak disedari]
Merosakkan periuk nasi sendiri [Mengkhianati tempat kita menumpang atau tempat kita bekerja]
Minyak takkan bercampur dengan air [Sesuatu yang tidak dapat disatukan]
Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya [Rahsia yang sudah diketahui orang akan tersebar ke mana-mana sahaja]
Murai berkicau hari siang [Sesuatu yang sudah terang dan nyata]


N
Naga ditelan ular lidi [Anak orang bangsawan berkahwin dengan orag kebanyakan]
Nak menangguk ikan, tertangguk batang [Mengharapkan untung tetapi mendapat kerugian]
Nasi masak periuk pecah [Hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh diminta belas kasihan lagi]
Nasi sama ditanak, kerak dimakan seorang [Sama-sama melakukan sesuatu pekerjaan tetapi keuntungannya diambil seorang]
Nasi sudah menjadi bubur [Sesuatu yang sudah terlanjur tidak dapat dibetulkan lagi]
Nasi tak dingin, pinggan tak retak [Cermat melakukan sesuatu pekerjaan]
Nasib penyapu, banyak jasa, tetap penyapu [Turun darjat terlalu banyak membuat kebajikan sehingga merosakkan diri sendiri]

O
Ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan [Khabarnya telah kedengaran, tetapi buktinya belum ada]
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa [Jika orang telah berbudi kepada kita, kita harus membalasnya dengan baik]
Orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah [Orang lain yang membuat kesalahan, orang lain pula yang menerima akibatnya]
Orang mandi berselam, kita mandi bertimba [Orang mendapat keuntungan besar, kita mendapat keuntungan kecil]
Orang mencubit, kita menampar [Cara membuat sesuatu berlainan tetapi kesannya sama sahaja]
Orang mengantuk disorongkan bantal [Mendapat sesuatu yang diinginkan tentulah berasa gembira]


P
Padi setangkai bernas semuanya [Keluarga yang hidup beruntung dan berbahagia]
Patah kemudi perahu hanyut [Apabila ketua sesuatu kumpulan telah tiada, keadaan kumpulan itu akan menjadi kucar-kacir]
Patah tumbuh hilang berganti [Sesuatu yang hilang itu ada gantinya]
Penyu bertelur beratus-ratus senyap, ayam bertelur sebiji riuh sekampung [Orang yang mendapat sesuatu dengan banyak berdiam diri sahaja sedangkan orang yang mendapat sesuatu dengan sedikit, heboh memberitahu orang lain tentang hal itu]
Perahu papan bermuat intan [Menunjukkan jodoh yang tidak sesuai]
Pinang pulang ke tampuk [Sesuatu benda yang sesuai pada tempatnya/ Suami isteri yang telah bercerai berbalik semula]
Pipit hendak meminang enggang [Ingin membuat sesuatu di luar kemampuan diri]
Pipit pekak makan berhujan [Sangat rajin]
Pokok yang besar juga yang dinaiki sakat [Orang yang kaya juga yang bertambah kekayaannya]
Pucuk dicita, ulam mendatang [Mendapat sesuatu yang lebih baik daripada yang diharapkan]
Pukul anak sindir menantu [Memarahi seseorang tetapi sebenarnya kemarahan itu ditujukan kepada orang lain]
Punggur rebah belatuk menumpang mati [Jika orang yang menjadi pelindung atau penaung jatuh, anak buahnya turut menerima akibatnya]

R
Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah [Raja atau pemerintah yang adil dan saksama akan disayangi rakyat tetapi jika zalim, akan dibenci oleh rakyat]
Rajin bekerja mudah belanja [Orang yang rajin sentiasa murah rezeki]
Rantai besi dimakan bubuk [Cerita yang tidak logik]
Rasa pedih cuping telinga [Berasa marah kerana mendengar kata-kata yang menyakitkan hati]
Rebung tidak jauh dari rumpun [Perangai anak tidak jauh bezanya daripada perangai ibu bapa mereka]
Rezeki helang takkan dapat dimakan oleh musang [Rezeki seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain]
Ringan mulut berat punggung [Pandai bercakap sahaja tetapi malas bekerja]
Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul [Melakukan sesuatu pekerjaan bersama-sama]
Ringan tulang berat perut [Rajin bekerja mudah belanja]
Rosak anak oleh menantu [Orang yang dikasihi merosakkan harta yang diberikan kepadanya]
Rosak badan kerana mulut [Mengeluarkan kata-kata kasar terhadap seseorang tanpa berfikir panjang yang boleh menyusahkan diri sendiri]
Rosak bawang ditimpa jambak [Rosak nama atau maruah seseorang kerana kelakuannya sendiri]
Rosak tapai kerana ragi [Pekerjaan yang dibuat tanpa berhati-hati tidak akan sempurna]
Rumah siap pahat berbunyi [Mengemukakan pendapat setelah perkara itu dibuat keputusan]
Rumah terbakar tikus habis keluar [Apabila berlaku sesuatu malapetaka di sesebuah negara, rakyat negara itu akan melarikan diri]
Runcing taduk berbelang kening [Sudah terkenal jahatnya]

S
Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk [Sama-sama ikut bertanggungjawab]
Sambil berdiang, nasi masak [Membuat dua kerja dalam satu masa]
Sambil menyelam minum air [Membuat dua pekerjaan dalam satu masa]
Sebesar-besar bumi ditampar tak kena [Perkara yang kelihatan mudah tetapi sukar untuk membuatnya]
Sebusuk-busuk daging dibasuh, dikincah dimakan jua [Walau bagaimana jahatnya keluarga atau keluarga atau kaum kerabat, tidak sampai hati membiarkannya]
Sedangkan bah kapal tak hanyut, inikan pula kemarau panjang [Pada masa ada mata pencarian tidak boleh hidup senang, inikan pula tanpa pekerjaan]
Sekali air bah sekali pantai berubah [Lain ketua lainlah pula kemahuannya]
Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu [Sekali tertipu tentu akan berhati-hati pada masa akan datang]
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga [Walau bagaimana pandai seseorang itu pasti akan melakukan kesilapan]
Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga [Orang yang tidak mengendahkan kemajuan dan perubahan]
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna [Tiap-tiap sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat hendaklah difikir terlebih dahulu supaya tidak menyesal pada kemudian hari]
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan [Kalau tidak mencapai kata sepakat dalam perundingan, hendaklah berbalik kepada pokok persoalannya]
Si bingung makanan si cerdik [Orang yang bodoh seringkali diperdayakan oleh orang yag cerdik]
Si kudung mendapat cincin [Orang yang mendapat sesuatu yang berharga tetapi tidak tahu menggunakannya dengan baik]
Si mandul baru beranak [Terlalu gembira kerana mendapat sesuatu yang tidak disangka-sangka]
Siapa makan cili dialah berasa pedas [Siapa yang melakukan kesalahan, dialah yang terasa bersalah apabila orang lain menyindirnya]
Siapa makan nangka, maka kena getahnya [Siapa yang membuat kesalahan dia sendiri yang menanggung akibatnya]
Sirih naik junjungan patah [Baru hendak memperoleh kesenangan tiba-tiba mendapat kecelakaan]
Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi [Orang yang mendapat sesuatu yang lebih baik, yang lama ditinggalkannya]
Sudah diludah, dijilat balik [Sudah dicela atau dibuang, dipuji dan diambil semula]
Sudah gaharu cendana pula [Bertanya akan sesuatu perkara yang memang sudah diketahui]
Sudah jatuh ditimpa tangga [Mendapat kemalangan yang berturut-turut]
Sudah menjadi abu arang [Dalam keadaan yang telah rosak binasa]
Sudah patah yang bertaji [Orang yang ditakuti dan disegani sudah tiada lagi]
Sudah terhantuk baru tengadah [Beringat-ingat hanya selepas ditimpa sesuatu muslihat]
Sukakan kemenyan, dibakar [Sukakan pengetahuan yang baik hendaklah disebarkan seluas-luasnya]

T
Tak dapat tanduk telinga dipulas [Sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan dapat membalas dendam]
Tak sungguh seluang melaut, akhirnya balik ke tepi juga [Tak tahan merantau akhirnya balik ke kampungnya semula]
Tak tahu membalas guna [Tidak tahu membalas budi orang]
Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket [Tidak mahu mengakui kebodohan atau kelemahan sendiri]
Takkan buaya menolak bangkai [Orang yang berperangai jahat susah hendak meninggalkan perangai buruk itu]
Takkan pisang berbuah dua kali [Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu]
Takkan sama getah daun dengan getah batang [Kasih sayang terhadap anak sendiri tidak akan sama dengan anak saudara yang ada dalam jagaan kita]
Takut jatuh lalu tertiarap, takut titik lalu tumpah [Takut rugi sedikit langsung rugi banyak]
Tanam padi lalang yang tumbuh [Berpenat lelah membuat sesuatu untuk mendapatkan keuntungan, akhirnya tidak mendapat apa-apa pun]
Tatang (Menatang) di anak lidah [Sangat mengasihi anak isteri]
Tebas buluh serumpun [Merosakkan nama keluarga kerana perbuatan yang tidak baik]
Tebu habis manis, sepah dibuang [Seorang isteri yang diceraikan setelah kecantikannya tidak menarik lagi]
Telinga yang lembut itulah selalu dipulas orang [Orang yang lemah lembut dan murah hati kerap menjadi suruhan orang]
Tempayan yang penuh itu tidak berkocak airnya [Orang yang bijaksana dan berpengetahuan tinggi tidak akan menonjolkan diri]
Tepuk dada tanya selera [Sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan hendaklah difikirkan habis-habis]
Terkilas ikan dalam air, sudah tahu jantan betina [Orang yang bijaksana dapat mengetahui maksud seseorang daripada gerak-gerinya]
Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik [Berfikir baik-baik sebelum bercakap kerana kata-kata yang telah diucapkan tidak dapat ditarik balik]
Terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau [Setelah terlepas daripada satu bahaya, mendapat bahaya yang lain pula]
Tiada beban batu digalas [Mencampuri hal orang lain dan menyusahkan diri sendiri]
Tiada gading yang tak retak [Walau bagaimana elok sekalipun sesuatu atau seseorang itu tentu ada cacatnya]
Tiada rotan akar pun berguna [Kalau tidak ada barang yang terbaik, barang yang kurang baik pun boleh digunakan juga]
Tidak sama air hujan dengan air telaga [Tidak sama orang yang mulia dengan orang yang hina]
Tidur tak lena, mandi tak basah [Bersusah hati kerana terlalu memikirkan sesuatu]
Tinggal kain sehelai sepinggang [Kehabisan harta kerana ditimpa kecelakaan]
Tong yag kosonglah yang selalu berkocak [Orang yang tidak berilmu selalu bercakap besar]
Tua-tua keladi, semakin tua semakin menjadi [Orang tua yang berperangai seperti orang muda]
Tukang tidak membuang kayu [Orang yang cerdik selalu berhemat atau berhati-hati dalam segala perkara]
Tunggang hilang berani mati [Tidak gentar menjalankan kewajipan, terutama untuk membela agama, bangsa, dan negara]
Tunggul terbakar di tengah huma [Rupa yang hitam]


U
Ukur baju di badan sendiri  [Tiap-tiap sesuatu yang dibuat, mestilah berpadanan dengan kemampuan diri sendiri]
Ular dipalu biarlah mati, pemalu  janganlah patah, tanah janganlah lembang [Apabila membuat sesuatu pekerjaan biarlah dengan cermat, bijak, dan berhati-hati]
Ulat di dalam batu pun hidup juga [Orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan]
Untung sabut timbul, untung batu tenggelam [Kalau nasib seseorang itu baik, dia akan mendapat keuntungan tetapi kalau sebaliknya, dia akan kerugian]
Untung sepanjang jalan, malang sekejap mata [Untuk berjaya sangat susah, untuk gagal sangat mudah]
Upah bidan pun tak terbayar [Anak-anak nakal yang menyusahkan ibu bapa]
Usul menunjukkan asal, bahasa menunjukkan bangsa [Dengan memperhatikan perangai seseorang dapatlah kita menilai asal keturunannya sama ada daripada baka yag baik atau daripada baka yang tidak baik]

W
Walau disepuh emas lancang, kilat tembaga tampak juga [Bagaimana diajar sekalipun, orang yang biadab itu kelihatan juga perangainya yang kurang baik]
Wayang kepadaman damar [Keadaan kacau yang terjadi dengan tiba-tiba]


Y
Ya sepanjang hari, janji sepanjang jalan [Mudah berjanji, tetapi sukar menepatinya]
Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher [Orang yang menjadi penjamin kepada seseorang yang berhutang terpaksa membayar hutang tersebut apabila orang yang berhutang itu melarikan diri]
Yang bongkok juga dimakan sarung [Orang yang bersalah tetap akan menerima hukuman]
Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang [Seseorang yang bertuah akan mendapat rezeki di mana-mana sahaja]
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran [Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti lalu barang yang ada dibuang]
Yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam [Orang yang malas disuruh mengawasi orang yang malas, akhirnya sia-sia belaka]
Yang rendah terpendek sangat, yang tinggi terunjur sangat [Tidak pernah berasa puas dengan sesuatu perolehan]
Yang tajam tumpul, yang bisa tawar [Dengan kata-kata yang lemah lembut dapat menyelesaikan segala sengketa]

Z
Zaman beralih, musim bertukar [Sesuatu itu hendaklah disesuaikan dengan peralihan masa]
Zaman punting berasap  [masa silam yang terlalu lama]
Zaman Tuk Nadur berkajang kain [Zaman yang telah lalu; sangat lama]

Jangan Tiru