Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 5 November 2018

. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah. (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS 2018)


Perpaduan amat penting bagi negara yang penduduknya berbilang kaum seperti di Malaysia. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah.  (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS 2018)

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diterapkan dengan cara melakukan aktiviti-aktiviti berunsur perpaduan bermula di bangku sekolah lagi. Perpaduan merupakan teras utama kepada pembangunan sesebuah negara.Membina perpaduan bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia merupakan satu perkara yang tidak mudah. Oleh itu, perpaduan perlulah diterapkan dari kecil supaya dapat membina jati diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia. Dengan pelbagai kaedah dan caranya yang tersendiri, maka sekolahlah antara  sebaik-baik tempat untuk kita memupuk perpaduan kaum

Antara cara mengukuh perpaduan di sekolah adalah dengan memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Di Malaysia bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi yang penting untuk menyatu-padukan semua lapisan masyarakat. Oleh itu anak-anak kecil daripada pelbagai kaum perlu diajar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkomunikasi bersama-sama rakan di sekolah Pepatah ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, yang bermaksud hendak mengajar atau mendidik anak-anak biarlah ketika usia mereka masih kecil kerana apabila menginjak dewasa perpaduan jadi bertambah erat . Pelajar-pelajar berinteraksi, berbual, berbincang sesame mereka menggunakan bahasa Melayu. Suasana jadi mesra dan ceria bagaikan berada dalam sebuah keluarga besara yang bahagia. Sesungguhnya penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dapat memantapkan perpaduan di sekolah

 Selain itu, dalam mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan hubungan  pelbagai kaum di sekolah, turut dilaksanakan  program Sekolah Penyayang’ dengan menekankan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dan ‘Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi’ dengan penyertaan bersama –sama ibu bapa murid-murid melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan murid yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi murid yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa murid-murid, contohnya, di sekolah  saya , setiap pagi guru bertugas di pintu sekolah akan menyambut kedatangan dan menyapa murid-murid ke sekolah dengan mesra, tidak kira bangsa atau agama murid tersebut. Situasi Ini memberi kesan dan contoh positif kepada murid-murid justeru dijadikan contoh teladan dengan mengamalkan tabiat sapaan terhadap rakan-rakan yang berbeza kaum. Jelaslah program Sekolah Penyayang dapat mengukuhkan dan memantapkan perpaduan di alam persekolahan lagi.

 Selanjutnya, untuk mengukuhkan perpaduan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. RIMUP merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program ini memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. RIMUP bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan  bersepadu. Di sekolah saya, program RIMUP ini  dijalankan bersama-sama peserta-peserta dari sekolah lain. Melalui program ini, peluang murid yang terdiri daripada pelbagai kaum tersedia untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang.Secara tidak langsung murid dari berlainan kaum dan agama dapat menjalankan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dengan baik dan lancar hasil daripada pergaulan dan kerjasama antara mereka.  Ternyata proses perpaduan dapat dipupuk dan dibina  melalui perancangan teliti seperti melalui program RIMUP yang melibatkan aktiviti sukan, persatuan, kelab, menyemarakkan suasana hormat-menghormati terhadap agama,  budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.

Seterusnya, setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program  sempena memperingati hari ulang tahun  kemerdekaan  negara. Begitu juga dengan sekolah saya, turut mengadakan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai patriotism dan perpaduan. Acara yang dilaksanakan ialah pakaian tradisional berbilang bangsa dalam kalangan murid, kibaran ‘Jalur Gemilang’ serta hiasan bilik darjah. Secara tidak langsung, murid dapat memahami bahawa pelbagai kaum di negara kita dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Aktiviti ini juga dapat membina keyakinan mereka berkaitan  pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatu padu. Dengan itu, bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat  perpaduan antara pelbagai kaum. Hanya menerusi pendidikan sahaja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Sememangnya dengan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, generasi awal terutamanya para pelajar didedahkan  betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk .

Di samping itu,  melalui amalan gotong royong pelajar didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan melahirkan masyarakat yang sedia bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.  Melalui aktiviti gotong royong perdana misalnya, pelajar-pelajar membersih kawasan sekolah, dengan sokongan dan penglibatan PIBG, pasti menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja  bekerjasama  tetapi kukuh  bersatu padu menepati kata bidalan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sambil bekerja, sambil berbual mesra berbincang persoalan anak-anak hingga ke penerokaan ilmu yang yang ditunjangi oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Suasana harmoni sebegini menjadi pemangkin perpaduan kaum. Hakikatnya perpaduan terserlah melalui amalan gotong royong yang sering dilaksanakan di sekolah di bawah anjuran pihak sekolah atau   anjuran  PIBG.

Kesimpulannya, pelbagai cara boleh digunakan bagi membentuk dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum bermula di sekolah. Sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting perlu sentiasa kuat, kukuh dan bertenaga dalam memupuk dan menyemai perpaduan.. Peranan sekolah guru dan ibu bapa dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan para pelajar amatlah besar. Suasana perpaduan yang erat, ikatan persahabatan yang kukuh antara pelajar berbilang kaum menjadikan alam persekolahan itu suatu nostalgia, suatu kenangan, suatu memori terindah dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Oleh  Yen Tingkatan 5 

Cara-cara menceriakan, menjaga kebersihan sekolah dan persekitarannya. Bincangkan. karangan percubaan SPM 2018 :


Cara-cara menceriakan, menjaga kebersihan sekolah dan persekitarannya. Bincangkan

   Sekolah yang bersih, damai, kondusif lagi ceria merupakan tempat paling ideal untuk kita menimba ilmu.  Ada sekolah yang terbiar, kotor,  lalang sama tinggi dengan bangunan, rumput tumbuh meliar, cat bangunan lusuh dan comot, penuh dengan pelbagai contengan! Sekolah yang ‘huru-hara’ keadaannya ini boleh kita nobatkan sebagai kandang lembu atau kandang kambing atau ibarat sebuah kota yang berhantu, berpenunggu, amat  menakutkan lagi menggerunkan!!!. Terasa jantung bergetar, dup, dap, dup, dap apabila menerjah masuk ke kawasan sekolah sebegini. Sekolah perlu kita bersihkan, sebersih-bersihnya. Menjaga kebersihan dan keindahan sekolah adalah tanggungjawab kita semua sebagai warga sekolah . Pihak sekolah  perlu  sentiasa mengaturkan program, aktiviti dan  strategi  menceriakan kawasan sekolah  agar benar-benar berfungsi sebagai sebuah sekolah. Ayuh, sama-sama kita telusuri, kaedah dan cara untuk menceriakan sekolah dan seluruh persekitarannya.

         Sepanjang pengetahuan saya, setiap sekolah punyai pekerja khusus untuk membersih dan menceriakan kawasan sekolah. Tanggungjawab  mutlak  pekerja-pekerja sekolah ialah membersih, mengemas, memesin rumput, menebas lalang. Menebang dahan pokok yang tua dan membahayakan . Pekerja sekolah dengan tugas tetap dan berjadual perlu pastikan setiap tandas dicuci bersih, ‘laluan gajah menyusur’ kemas, bersih dan tersusun rapi, yang kurang ditambah, yang berselerak diperkemas, yang pudar diberikan ‘sinarnya’ semula. Persekitaran sekolah  yang dijaga bersih indah amat mempengaruhi suasana pembelajaran dan keselesaan pelajar-pelajar semasa berada di sekolah.Sesekali apa salah pihak sekolah, Puan Pengetua terutamanya memberi penghargaan  atau kata-kata semangat kepada para pekerja sekolah sementelahan sekolah sentiasa dijaga bersih, kemas dan ceria. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab pekerja sekolah menjadi pemangkin suasana ceria bersih kawasan sekolah.

          Masa berlalu silih berganti,  pertandingan kelas terbersih perlu diadakan mengikut kesesuaian waktu. Kelas terbersih dan terkotor  diumumkan pengiktirafannya dalam  perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan hadiah dan  sijil penghargaan  Melalui program dan aktiviti sebegini,   pelajar akan komited menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi.  Guru bertugas harian dan mingguan akan memantau dan menilai tahap kebersihan kelas setiap hari dan diberi markah.  Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada waktu petang, seperti mencuci tandas dan membersihkan  taman dan kantin sekolah.  Secara responsifnya, percayalah.... pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga  kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka, dan dengan sendirinya program  3K anjuran KPM hari ini menjadi kenyataan. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Pihak sekolah sentiasa  memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat.  Pemeriksaan dan penyeliaan  dari semasa ke semasa dapat merealisasikan impian sekolah ceria dan selamat. Tepatlah dikatakan pertandingan kebersihan kelas yang menepati konsep dan matlamat program 3K  dapat menzahirkan suasana sekolah yang bersih damai dan selesa sehingga para pelajar benar-benar menyayangi dan mengasihi sekolahnya.

           Tidak dapat dipinggirkan realiti   mengadakan program bergotong-royong dapat memberikan perubahan drastik terhadap  persekitaran sekolah.  Aktiviti bergotong royong di bawah kelolaan dan seiaan PIBG wajar diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seluruh warga sekolah dan ibu bapa pelajar.  Gotong-royong menginsafkan kita bahawa menjaga kebersihan sekolah adalah tanggungjawab kita bersama-sama. Kerja-kerja membersih dapat kita siapkan dalam masa yang singkat,  berteraskan prinsip,  berat sama dipikul,  ringan sama dengan dijinjing dalam suasana perpaduan yang kukuh luhur dan padu.  Pada hujung minggu,para ibu bapa, guru dan pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Para pelajar bersama-sama ibu bapa bantu membantu  membersihkan padang, menghapuskan sarang nyamuk, membersihkan semak samun terutama di sudut-sudut terpencil, di belakang sekolah, dan yang ada di depan mata. Membersihkan longkang paling utama perlu dilakukan secara gotong royong untuk memastikan kesihatan pelajar terjamin tanpa sebarang jangkitan kuman oleh serangga perosak. Sememangnya amalan gotong royong dapat menjamin kebersihan sekolah dan menjaga imej seluruh warganya yang sentiasa mengutamakan keceriaan.

         Prakarsa paling menakjubkan ialah kita lahirkan, kita jelmakan, dan kita wujudkan suasana sekolah  dalam taman. Di sini taman, di situ taman dan di sana taman !  Melalui  ‘Program Sekolah Dalam Taman’ kita menanam  pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah.Kita boleh wujudkan taman herba di persekitaran kolam ikan. Kita pelihara ikan dalam kolam dan wujudkan ‘kitchen garden’ di sekolah.  Lantaran itu persekitaran sekolah menjadi lebih nyaman, lebih inspiratif  dan berudara segar.  Dalam situasi ini,  pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah hari ini  dilengkapi dengan kolam-kolam ikan, akuarium,   pondok  ilmu atau wakaf kekal untuk pelajar-pelajar santai sambil membaca.  Ahahh.... lebih baik lagi kalau dilengkapi dengan taman burung dan jajaran pohon buah-buahan. Ternyata mewujudkan elemen sekolah dalam taman merupakan suatu usaha paling kreatif pihak sekolah dalam menceriakan suasana, merealisasikan ‘theme park’ atau berada di  ‘Magic Kingdom at Disney World’,  di sekolah –sekolah.

        Usaha paling dinamik, proaktif dan solusi 'broad minded'' untuk menceriakan kawasan sekolah ialah pihak sekolah  mengecat semula seluruh bangunan  sekolah. Kosnya agal mahal, tetapi berbaloi.   Lukisan mural yang mendamaikan suasana dilukis menghiasi dinding dinding utama sekolah.  Mengecat bangunan boleh memberikan impak ceria, mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri seolah-olah sekolah itu baru dibina, sedangkan usia sekolah mencecah  50 tahun . Kata-kata  filsof, ‘sekolahku rumahku ‘ menjadi suatu kenyataan apabila terbit rasa kasih, rasa sayang pelajar terhadap sekolahnya.  Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing untuk mengecat pagar, dinding dan seluruh bangunan sekolah. Yang retak ditampal, yang using diperbaharui.  Kelab atau persatuan sekolah  digalakkan melukis pada dinding- dinding sekolah. Lukisan landskap, gambar-kartun bertemakan alam persekolahan, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata melengkapi suasana ceria sekolah.  Hakikat yang jelas lagi nyata, catan pada dinding sekolah seolah-olah mewujudkan ‘sekolah baharu’ membangkitkan suasana harmoni, ceria kawasan sekolah dan sekolah itu benar-benar wujud sebagai sebuah sekolah !!

         Kesimpulannya, suasana sekolah yang bersih, indah, ceria lagi mengasyikkan, dengan rimbunan pepohon menghijau, kicauan beburung , hembusan bayu berpuput perlahan-lahan, menghidupkan lagi suasana  damai alam persekolahan. Suasana dan persekitaran serba selesa inilah yang menjadikan alam persekolahan suatu memori terindah, apabila kita meninggalkan alam persekolahan ini nanti. Sama-samalah kita insafi hakikat, bahawa, membersihkan dan menceriakan persekitaran sekolah adalah tanggungjawab kita . Kalau bukan kita, siapatah lagi......!

Oleh  Tou Zher SMKDMPR1 TM
(kejayaan pasti jadi milik pelajar yang rajin berusaha)


Jangan Tiru