Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 4 Oktober 2018

BAHASA MELAYU KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI MELAKA & PULAU PINANG(SET1) 2018


BAHASA MELAYU KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI MELAKA  2018
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan sekolah sebagai agen pemupukan budaya yang luhur dan kekangan yang dihadapi untuk melaksanakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
       Tunjang pendidikan tidak berpasak secara total berdasarkan prestasi akademik sebaliknya perlu melihat kepada budaya yang luhur dan seimbang. Walaupun transformasi pendidikan dikatakan bergerak ke arah landasan yang betul namun isu berkaitan dengan permasalahan sosial yang dicetuskan oleh pelajar perlu diselesaikan. Penyelesaian ini penting untuk memastikan pelajar dapat dibentuk serta dibimbing untuk menjadi entiti negara yangberkaliber, bervisi, mampu mendepani segala cabaran dan memiliki perwatakan yang terpuji.
         Sebagai agen atau unsur yang membawa kepada perubahan masyarakat, sekolah dilihatsebagai lokasi tumpuan untuk mengawal tingkah laku dan membentuk personaliti pelajar.Sekolah sebagai satu institusi pendidikan yang ditubuhkan bertujuan memenuhi keperluan anggota masyarakat untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi keperluankemajuan dan perkembangan individu secara holistik. Sekolah sebagai institusi pendidikan mempunyai strategi tersendiri untuk meningkatkan kualiti dalaman dan luaran bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dan berketerampilan. Pada asasnya, sekolah ditubuhkan dengan tujuan untuk mendidik para pelajar dengan ilmu pengetahuan yang berlandaskan pelbagai bidang. Pembentukan keperibadian pelajar merupakan satu inti pati penting dalam matlamat penubuhan sekolah kerana guru-guru dipertanggungjawabkan untuk mendidik pelajar yang seimbang dalam semua bidang. Sekolah perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni agar pelajar terus belajar secara konsisten. Pencapaian sahsiah dan emosi pelajar dapat menentukan pencapaian akademik pelajar secara langsung.
     Selain terus mengekalkan matlamat sebagai agen penyebaran pengetahuan, sekolah turut merupakan wahana untuk merealisasikan matlamat pendidikan negara yang berfokuskan pembentukan pelajar yang berilmu, berbudi pekerti dan berpotensi. Matlamat pendidikan seterusnya menampung tenaga kerja pada masa hadapan. Sekolah kini turut dilihat sebagai institusi pendidikan yang berperanan teguh untuk mendidik generasi yang bertamadun tinggi.
Seterusnya, pihak sekolah dilihat memainkan peranan penting sebagai pemangkin dan agen perubahan sosial melalui kemajuan dalam bidang pendidikan. Selain menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang sihat dan mantap sekolah juga menerapkan nilai murni dan agama sebagai asas keperibadian yang syumul. Di samping itu,
sekolah turut menerapkan aspek perpaduan dan patriotisme dalam kalangan pelajar berbilang agama dan etnik. Sekolah mengajar mengekalkan corak kehidupan yang dianggap baik.Sebagai contoh, perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan sifat hormat menghormati. Selain itu, sekolah turut mengajarkan kebudayaan kebangsaan seperti bendera negara, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan.
      Pendidikan di sekolah perlu mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar. Hal itu selari dengan tuntutan perubahan semasa dan sekolah sebagai institusi moral yang perlu mengawasi perkembangan dan perubahan tingkah laku pelajar agar tidak terpesong daripada amalan yang sepatutnya.
Dipetik dan diubah suai daripada,’Peranan Sekolah Sebagai Agen Pemupukan Budaya yang Luhur dan Seimbang’.
oleh Azhar Salleh. Dewan Siswa, Ogos 2017
Soalan 2(a) – Petikan umum Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan   menggunakan ayat  anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata mampu mendepani segala cabaran. [2 markah]
ii) Pengarang telah menyatakan beberapa sebab penubuhan sesebuah sekolah.Berikan sebab-sebab sesebuah sekolah ditubuhkan. [3 markah]
iii) Gejala sosial dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Pada pendapat anda, apakah implikasi yang akan dihadapi sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera? [4 markah]
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen Baca petikan cerpen, kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
    Dalam diam-diam, sebenarnya kami juga ingin tahu, apatah lagi setelah menyedari kehadiran anak gadis Tuan Booth di surau, setiap kali Ahmad Mutawakkil balik ke kampung untuk berceramah.
     Perlahan-lahan – barangkali dilemahkan oleh rasa malu kepada diri sendiri kerana sibuk menjaga tepi kain orang – di mata kami, misteri cinta itu akhirnya lenyap tak berjejak.
    Ahmad Mutawakkil, sudah jarang-jarang benar balik ke kampung. Perjuangan parti meruntun waktunya dihabiskan di bandar. Tahun 1952, dalam usia 24 tahun, dia dipilih menduduki kerusi pemimpin nombor dua parti di peringkat daerah.
    Tidak cukup dengan tanggungjawabnya ke sana sini untuk berceramah, Ahmad Mutawakkil turut menulis dalam surat khabar. Dia juga terkenal sebagai wartawan. Tulisannya banyak merangsang orang Melayu untuk bersiap sedia mengisi kemerdekaan.
 “Jangan nanti selepas merdeka, kita jadi macam kera mendapat bunga.” Untuk merdeka, katanya, perjuangan bukan setakat mendesak Inggeris berundur.
  “Malah, demi mengisi kemerdekaan, kita juga perlu mendesak diri sendiri, mengikis semua tabiat buruk bangsa kita. Kita pasti akan merdeka, dan untuk itu, kita perlu berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa kita …”
 (Dipetik daripada cerpen “Cinta Ahmad Mutawakkil”  karya Zainal Rashid Ahmad dalam antologi Sejadah Rindu,KPM)
(i) Berdasarkan petikan cerpen, apakah pandangan Ahmad Mutawakkil untuk mengisi  kemerdekaan? [2 markah]
(ii) Seseorang yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin, perlu mempunyai ciri-ciri tertentu.  Pada pendapat anda, nyatakan ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang pemimpin. [3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan yang terdapat  dalam keseluruhan cerpen.  [4 markah]
Soalan 2(c) – Petikan Prosa Klasik Baca petikan prosa klasik jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
   Tatkala itu Kertala Sari sudah datang dari Daha, terlalu banyak beroleh harta daripada emas dan perak dan pakaian dan pitis berpuluh-puluh juta dan orang banyak dicurinya. Setelah sudah Kertala Sari datang ke rumahnya, maka ia pun bertanya kepada ibunya, “Hai ibuku, ke mana pergi bapaku maka tiada aku lihat ini?”
   Setelah ibunya mendengar kata anaknya demikian itu, maka ibunya pun menangis, seraya berkata, “Hai anakku, yang bapamu itu sudah mati dibunuh oleh seorang Melayu bernama Laksamana Hulubalang Ratu Melaka.”
     Setelah Kertala Sari mendengar kata ibunya demikian itu, maka Kertala Sari pun terlalu marah, katanya, “Siapa menyuruh membunuh bapaku itu supaya negeri Majapahit ini habis kubinasakan?”
    Maka oleh ibunya segala hal-ehwal dari mulanya datang kesudahnya diceritakannya pada anaknya. Setelah Kertala Sari mendengar ceritera ibunya demikian itu, maka Kertala Sari pun terlalu sangat amarahnya, “Ceh, Ratu Melaka dan Laksamana! Mati engkau olehku! Tanpa kedep tembung laku. Syahadan negeri Melaka pun habis kubinasakan. Jikalau tiada kuperbuat demikian, bukanlah aku anak penjurit yang berani dan kepetangan.
(Dipetik daripadaKepimpinan Melalui Teladan” dalam antologi  Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)
(i) Apakah maksud frasa penjurit yang berani dan kepetangan?  [ 2 markah]
(ii) Berdasarkan petikan, apakah yang diperoleh Kertala Sari setelah dia pulang dari Daha? [ 3 markah]
(iii) Kertala Sari begitu marah apabila mendengar ibunya menyatakan bahawa ayahnya telah dibunuh oleh Laksamana Hulubalang Ratu Melaka. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mengatasi perasaan marah dalam diri? [3 markah]
Soalan 2 (d)- Petikan Puisi Baca seloka kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
 BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU
   Baginda menitahkan orang besar empat,
   Membuat istana puri berkota;
   Lalu dipanggil Pawang Raja.
   Pawang mengerah orang bekerja,
   Empat puluh empat tukang dan utas,
   Siang malam tidak berhenti.

Tujuh bulan tujuh purnama,
Istana siap dengan alatnya;
Besar tersergam sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.

Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti;
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.

Berbunga sawa mengelempai,
Bertakuk bersedelinggam,
Berjenang berbatu kawi,
Berselimpat ukir Jawa,
Lilit-melilit akar Cina;
Garam sebuku sisa jeragan,
Bunga kenanga dimakan ular,
Layang-layang di pintu Raja.

Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru:
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri
.Kalung Bunga Zaaba, 2008,Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Berdasarkan rangkap pertama, apakah langkah yang diambil untuk membina istana? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, nyatakan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk memastikan kemahiran seni bina tradisional di negara ini dapat dikekalkan.  [3 markah]
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam puisi tersebut. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah]Jawab semua soalan.
(a) Tuliskan satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan, menukarkan atau menggugurkan imbuhan atau menggunakan rangkai kata itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) ulang kaji  (ii) campur aduk  (iii) biru laut  (iv) mendabik dada  (v) memberi impak   (vi) mengorak langkah [6 m]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Puan Aishah menasihati Ali agar belajar bersungguh-sungguh kerana peperiksaan hampir tiba.
(ii) Saya telah mencapai keputusan yang baik dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan pada minggu lepas.
(iii) Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat dalam membangunkan negara  ini.  [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) “Saya akan datang kerumah awak pada malam ini jika saya ada lapangan, “ kata Alina kepada Aini.
(ii) Kondaktor bas itu telah marah pekerja asing yang membuat bising di dalam bas itu.
(iii) Hari Anugerah Cermelang yang diadakan pada setiap tahun adalah untuk dihargai pelajar yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum.  [6 markah]
 (d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Penduduk Taman Seri Murni itu saling tolong-menolong antara satu dengan yang lain untuk mewujudkan majlis rumah terbuka.
(ii) Anak-anak muda sering bertutur kosong di bawah pokok besar di simpang jalan itu di waktu malam.
(iii) Semua soalan yang dikemukakan oleh peguam itu saya telah jawab dengan bukti-bukti yang baik.  [6 markah]
(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.
(i) Permainan tradisional seperti permainan gasing, wau dan congkak merupakan permainan yang _______________, perlu dipertahankan untuk mengekalkan tradisi Melayu.
(ii) Hanya disebabkan perangainya yang suka mencuri, habis satu keluarganya turut dituduh, bak kata peribahasa _______________________.
(iii) Apabila kita berada di tempat orang, kita hendaklah mematuhi peraturan mereka seperti kata pepatah ________.
 [6 markah]
Soalan 4: Novel (15 markah) Jawab soalan di bawah ini berdasarkan novel-novel yang berikut.
(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abd Latip Talib  (ii) Jendela Menghadap jalan karya Ruhaini Matdarin
(iii) Pantai Kasih karya Azmah Nordin          (iv) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(v) Songket Berbenang Emas karya Khairudin Ayip     (vi) Tirani karya Beb Sabariah
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Yusop      (viii) Silir Daksina karya Md. Nizar Parman
4 a) Huraikan dua latar tempat yang terdapat dalam sebuah novel yang anda pelajari. [7 markah]
b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu peristiwa yang  menimbulkan keinsafan kepada pembaca. Berikan alasan anda. [8 markah]
KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT

BAHASA MELAYU KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN  PULAU PINANG  (SET1) 2018
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]   Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat tarian sebagai medium perkembangan remaja dan cara-cara menggalakkan penyertaan tarian di sekolah.Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
    Tarian merupakan gerak tubuh yang dilakukan secara berirama dan penuh penghayatan. Unsur utama dalam tarian ialah gerakan yang melibatkan semua anggota badan penari. Elemen ini menjadikan tarian yang dipersembahkan lebih harmoni dan memberikan kesan yang baik kepada penonton. Terdapat berbagai-bagai jenis tarian di Malaysia yang dapat dibanggakan. Antaranya termasuklah tarian tradisional, tarian rakyat dan tarian kontemporari. Setiap tarian mengandungi nilai seni dan kreativiti yang tinggi. Tarian akan menjadi lebih menarik apabila penari menggayakan busana, tatarias dan aksesori yang memiliki keindahan tersendiri.
      Rentetan itu, pelbagai program telah dilaksanakan bagi memperlihatkan kepentingan pelibatan remaja dalam bidang ini seperti aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dijalankan di sekolah. Aktiviti tarian memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja. Pelibatan remaja dalam bidang seni tari dapat menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang lahir secara semula jadi. Secara tidak langsung kebolehan ini boleh digilap dan dibangunkan agar menyambung tradisi pada masa depan. Seterusnya, aktiviti tarian dapat membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan.
      Proses penguasaan seni tari yang dipelajari meliputi kemampuan individu menghafal gerakan, memahami dan menghayati sesuatu tarian. Seterusnya, tarian berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai sesuatu gerakan kreatif. Kebiasaannya individu yang menceburi bidang tarian ini lebih cekap menghafal dan mengimbangi diri mereka dalam sesuatu perkara. Melalui pelibatan ini, remaja juga dapat mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di Malaysia. Hal ini memberikan nilai tambah terhadap pengetahuan am seseorang remaja. Tambahan pula, melalui pertandingan tarian yang disertai dapat menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.     
     Pembabitan remaja dalam bidang seni tari juga mampu melahirkan individu yang berdisiplin tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana persembahan tarian memerlukan penari yang berdisiplin, menepati masa dan memberikan sepenuh komitmen semasa latihan, persediaan sebelum persembahan, semasa persembahan ataupun selepas persembahan. Dengan adanya tarian, remaja akan lebih berdikari dan terdidik untuk mengimbangi diri dalam pelajaran serta aktiviti kokurikulum yang disertai. Hasil kejayaan yang dicapai dalam pertandingan tarian akan menyuntik semangat kepada golongan remaja ini untuk terus maju dan berjaya.
      Bagi menyemarakkan pelibatan remaja dalam aktiviti ini, sokongan ibu bapa penting dengan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam seni tari. Sekatan dan sikap yang terlalu mengongkong aktiviti anak akan melemahkan perkembangan diri mereka. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang tarian yang diminati dan mempunyai hala tuju. Selain itu, motivasi yang diberikan secara berterusan mampu melahirkan anak-anak yang aktif dalam seni tari.Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya mempertahankan warisan seni budaya bangsa agar terus bertahan dalam mendepani zaman moden ini.
 (Diiubahsuaikan daripada ‘Tarian Sebagai Medium Perkembangan Remaja’, S Shakierah, Dewan Siswa, Mac 2016)
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah]  Soalan 2 (a) - Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata kemampuan individu? [2 markah]
(ii) Pengarang mengatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan penyertaan anak-anak dalam bidang tarian. Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan di Malaysia?  [4 markah]
Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden Baca petikan cerpen jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
“Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”
Selepas saya memperkenalkan diri, dia mula tersenyum meramahi saya sebelum menjemput saya masuk.
     Kami bersalaman erat. Saya menyampaikan salam bonda kepadanya sebelum menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang saya bawa dari kampung.
      Minggu-minggu pertama saya berada di kota mewah ini, dapat saya saksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsa saya. Mereka dihanyutkan keseronokan hidup dengan memperdagangkan maruah dan peribadi. Saya berasa jelik dan aib menyaksikan adegan sumbang wajah-wajah anak muda peribumi tanah air ini yang tidak segan silu menjual bahasa ibunda dan merosakkan agama yang murni. Anak-anak muda lelaki perempuan berpelesiran dalam pergaulan bebas sambil bercakap dalam bahasa yang entah apa-apa. Mereka bergelak tawa dalam loghat yang direka-reka konon untuk menunjukkan kemodenan. Saya jadi keliru dengan setiap patah slanga dan klausa yang tidak saya
faham. Ada yang menggunakan pelbagai istilah rojak yang dicampuradukkan dengan bahasa asing yang mengelirukan. Saya jadi buntu. Malah berasa malu dengan sikap dan gelagat anak-anak muda sebangsa saya yang telah hilang identiti dan jati diri di negara mewah ini.
(Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’, oleh Husna Nazri Dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, KPM)
(i) Gambarkan keadaan anak-anak muda di kota mewah. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa untuk membendung keruntuhan akhlak generasi muda di kawasan bandar? [3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan tersebut dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]
Soalan 2(c) –PETIKAN Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional , jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
  Berapa lamanya maka Kertala Sari pun sampailah ke Melaka. Maka ia pun singgah di luar kota pada kampung segala Jawa. Maka Kertala Sari pun menyamarkan dirinya kepada segala Jawa yang banyak itu. Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar masuk bermain-main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar,
   Setelah diketahuinya, maka Kertala Sari pun masuk menyamar pada orang Patih Kerma Wijaya, Tatkala itu Kertala Sari pun masuk seorangnya mengikut Patih Kerma Wijaya pergi menghadap sama dengan Jawa yang banyak itu.Maka oleh Kertala Sari segala hulubalang yang menghadap sama-sama itu dilihatnya seorang kepada seorang. Maka Kertala Sari pun pandang Laksamana ; maka ia pun fikir dalam hatinya, “Dialah gerangan hulubalang Ratu Melaka yang bernama Laksamana itu. Jikalau demikian lakunya, sungguhlah ia dapat membunuh bapaku, kerana ia penjurit besar lagi kepetangan.       Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan dalam antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul KPM
(i) Berikan maksud rangkai kata penjurit besar yang terdapat dalam petikan di atas.[2 markah]
(ii) Apakah tindakan yang dilakukan oleh Kertala Sari sebaik sahaja ia sampai ke Melaka? [3 markah]
(iii) Sekiranya anda Kertala Sari, apakah cara yang dapat anda lakukan untuk menewaskan Laksamana?[3 markah]
Soalan 2(d) – Sajak Baca petikan sajak jawab soalan-soalan yang berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
Sejadah Rindu
      Terkedu aku
      di sejadah rindu
      mengungkap kalimah syahdu
      bait bicara tersentuh kalbu
      merekah keinsafan di hati yang beku
      mengenang dosaku yang terdahulu.
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
     Air mata menjadi saksi
     keikhlasan menjadi bukti
     akhirnya
     aku sujud menghadap Ilahi
      di keheningan yang sepi
     lafaz taubat mengiringi
       nafas sebak kian mengikuti.
 Hati ini luluh
 jiwa yang kaku tersentuh
 ayat-ayat cinta disusun kukuh
 di sejadah rindu yang lusuh
 kemaafan yang kupohon sungguh
 dari Pencipta dalam gemuruh.
      Ungkapan doa pada Yang Esa
      izinkan aku menjadi manusia
      yang taat sentiasa
       pada perintah Maha Kuasa
        agar aku tidak lupa
        dunia ini hanya bersifat sementara.
 Kalam Pertama, 2013 Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Berdasarkan sajak tersebut, nyatakan cara-cara penyajak menzahirkan keinsafan atas dosa-dosa yang lalu kepada Tuhannya. [2 markah]
(ii) Dalam 2 baris terakhir sajak , penyajak menyatakan harapan agar dirinya tidak lupa bahawa dunia ini bersifat sementara.Pada pandangan anda, apakah kesan-kesannya jika seseorang manusia itu sedar bahawa dunia ini bersifat sementara ? [3 markah]
 (iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak ini. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan untuk menunjukkan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) lengan – lengang     (ii) timang – timbang        (iii) trafik – tragic      [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Cikgu Hasnul mengajar pelajar tingkatan Lima Ceria mata pelajaran Sejarah pada  setiap hari Sabtu.
(ii) Pekerja kontrak telah menebang pokok rambutan yang reput itu petang tadi.
(iii) Kami membaiki motosikal pusaka kesayangan ayah di Bengkel Mutiara.  [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Adik dapat habiskan dua puluh cucok sate yang dibeli oleh ayah dalam satu masa.
(ii) Ayah menghadiahi senaskah novel kepada kakak sebagai tanda sayang terhadap anak sulungnya.
(iii) Khairul engkar nasihat ayahnya supaya dia tidak menggaul dengan budak-  budak nakal.  [6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Keharmonian landskap di Putrajaya sungguh mempersonakan para-para pengunjung.
(ii) Rumah tua itu masih boleh dibaik pulih demi untuk mengekalkan kesenian dan  keaslian seni reka bentuknya.
(iii) Kakitangan awam diwartakan supaya memakai baju batik tempatan di hari Khamis minggu bekerja.[6 markah]
(e) Baca ayat-ayat, kemukakan satu peribahasa menggambarkan situasi terdapat dalam ayat-ayat berkenaan.
(i) Dahulu dia tidak mengendahkan teguran dan nasihat yang diberikan. Setelah dia  mengalami kegagalan, barulah dia menyedari kesilapannya.
(ii) “Pagi tadi saya lihat adik-adik Raju bergaduh. Sekarang mereka sudah berbaik-baiksemula,” kata Puan Mary.
(iii) Semasa berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Amran terpandang seorang tetamu yang paras rupanya seiras sahabat lamanya lantas dia menegurnya untuk berkenalan.[6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib    (ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin       (iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Tirani karya Beb Sabariah                                              (vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop         (viii) Silir Daksina karya Md Nizar Parman

(a) Huraikan keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca.[7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar tempat bagi setiap novel tersebut. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT




Jangan Tiru