Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 21 September 2018

Latihan intensif BM menjelang SPM 2019 - RUMUSAN



MODUL 1   Soalan 1: Rumusan [30 markah]
Baca petikan dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tanggungjawab ibu bapa dalam mengatasi kemerosotan pencapaian akademik anak-anak dan kekangan dalam meningkatkannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
        Kebanyakan ibu bapa di negara ini amat mementingkan pencapaian akademik anak mereka. Namun akhir-akhir ini banyak masalah yang mengganggu pencapaian akademik pelajar seperti masalah tidak berminat belajar, ponteng sekolah,dan masalah disiplin. Masalah ini perlu ditangani segera supaya tidak menular sehingga menggugat pembangunan modal insan di negara ini. Masalah tidak berminat terhadap pelajaran bukan sahaja menyebabkan masa depan pelajar menjadi suram malah boleh menjejaskan nilai moral. Hal ini demikian kerana,banyak pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran telah melibatkan diri dalam kes jenayah terutama mereka yang suka ponteng sekolah.
      Bagi mengatasi masalah kemerosotan pencapaian akademik ini, ibu bapa perlu memberikan tumpuan kepada punca berlakunya kemerosotan tersebut. Apabila mengetahui puncanya akan memudahkan masalah itu diatasi. Ibu bapa perlu sedar bahawa peranan mereka amat besar dalam menentukan kejayaan anak-anak. Ibu bapa perlu mengutamakan kebahagiaan rumah tangga dan mengelakkan tercetusnya masalah dalam keluarga sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan kerana anak-anak ialah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai.
      Menurut kajian psikologi, masalah hubungan kekeluargaan menyebabkan anak itu tidak mempedulikan pencapaian akademik mereka dan melakukan vandalisme sekali gus terjerumus dalam kegiatan jenayah. Begitu juga dengan ibubapa yang sibuk mengejar kemewahan hidup tidak akan dapat mendidik anak secara sempurna. Tambahan pula perubahan sistem sosial da persekitaran mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak menyebabkan mereka melakukan perbuatan negatif, bersikap agresif dan enggan mendengar nasihat. Hal ini mengecewakan ibu bapa mereka.
       Dalam dunia realiti, keluarga yang bahagia tidak semestinya melahirkan anak-anak yang bijak. Bagi memastikan hubungan sesama ahli keluarga sentiasa harmoni, ibu bapa hendaklah meluangkan banyak masa bersama anak-anak ketika mereka belajar dan beriadah supaya membuahkan hasil yang positif. Selain itu, ibu bapa perlu mempelajari cara-cara yang berkesan untuk mendidik dan membimbing anak-anak.
       Menurut pakar psikologi, langkah praktis yang lain adalah dengan memberikan pujian yang ikhlas apabila anak-anak menperoleh sesuatu kejayaan terutama dalam pelajaran . Anak-anak juga suka memberikan pendapat mereka.  Oleh itu, ibu bapa perlu memberi peluang kepada mereka untuk melahirkan pendapat walaupun pendapat itu mungkin kurang munasabah mengikut pandangan orang dewasa. Anak-anak yang selalu diminta memberikan pendapatnya akan berasa diri mereka lebih dihargai. Ibu bapa juga perlu mendengar keluhan anak-anak agar dapat mengatasi masalah emosi mereka. Dalam usaha melahirkan generasi cemerlang, usaha- usaha yang dilaksanakan oleh ibu bapa perlu bermula daripada institusi keluarga kerana mereka merupakan tonggak penting dalam sesebuah keluarga.                           (Dipetik dan diubahsuai daripada Dilema Kemerosotan Pencapaian Akademik oleh Tam Cai Lian, Dewan Masyarakat, April 2009)
Soalan 2 (a) Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata menggugat pembangunan [2 markah]
ii) Apakah punca-punca yang menyebabkan anak-anak melakukan perbuatan negatif? [3 markah]
iii)Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka? [4m]


MODUL 2 :  Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara berbelanja secara berhemat oleh golongan muda dan kekangan untuk menggalakkan mereka menabung. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
      Tabiat berbelanja melebihi pendapatan dipercayai menjadi faktor anak muda di negara ini terjerat dalam krisis kewangan. Situasi ini jika tidak ditangani, pasti memberikan kesan buruk kepada tabungan negara. Selain itu, timbul keadaan golongan muda menghadapi masalah kewangan kronik apabila usia mereka meningkat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang jika beban hutang yang ditanggung hari ini tidak dilangsaikan sepenuhnya.
     Sebenarnya, prinsip pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipraktikkan jika anak muda mahu berubah sikap dan lebih berdisiplin ketika mengurus hal-hal kewangan mereka. Bagi mereka yang mempunyai maklumat asas tentang perancangan kewangan pasti tidak sukar untuk melakukannya. Anak muda
yang tidak arif pula, usahlah malas membaca dan membuat kaji selidik bagi mencari penyelesaian terhadap beban kewangan. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. (Mereka perlu menentukan matlamat dalam mengurus kewangan untuk masa hadapan mereka), misalnya menyambung pelajaran, membeli rumah, atau mendirikan rumah tangga. Apabila kita sudah menentukan matlamat kewangan, sudah pasti aliran kewangan kita akan menjadi lebih teratur dan terancang.
     Jika golongan muda merasakan bahawa pada setiap akhir bulan mereka gagal untuk menyimpan wang, inilah masanya untuk mereka memantau,dan mengawasi perbelanjaan semasa. Perkara penting yang perlu dilakukan adalah dengan menyemak aliran perbelanjaan mereka pada setiap hujung bulan. Sekiranya mereka melakukan semakan, maka mereka akan mengetahui sama ada perbelanjaan mereka lebih cenderung ke arah keperluan ataupun atas kehendak nafsu semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ada golongan muda yang lebih cenderung untuk terus berbelanja sepuas-puas hati hingga lupa untuk menabung. Hal ini, biasanya terjadi kepada orang muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Bagi mengelakkan perkara ini terus terjadi, mereka yang baru memasuki alam pekerjaan perlu mencatat butiran perbelanjaan dan merancang aliran perbelanjaan sepanjang bulan. Konsep perbelanjaan yang betul dan sepatutnya ialah perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Oleh yang demikian, setiap kali menerima gaji bulanan mereka perlu menabung untuk masa hadapan.
         Penularan penggunaan kad kredit juga kini menjadi trend yang sukar untuk dibendung dalam kalangan orang muda. Perkara yang membimbangkan kita ialah mereka menggunakan kad kredit sebagai jalan mudah untuk membeli-belah dan membayar hutang. Seharusnya, mereka mengelakkan penggunaan kad kredit sebaliknya, menggunakan wang tunai ketika berbelanja. Sekiranya mereka berbelanja mengikut hawa nafsu ketika menggunakan kad kredit, hal inl akan menyebabkan mereka terjebak dalam kancah hutang, seterusnya dikejar oleh 'along'. Oleh itu, golongan muda perlu berhemat ketika berbelanja..
 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Urus RM, Tip Belanja Berhemat, Elak Jadi Hamba Duit' oleh Alzahrin Alias Berita Harian,12 Mac 2011)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata dilangsaikan sepenuhnya. [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga kesan yang akan timbul sekiranya golongan muda boros berbelanja. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha kerajaan untuk menggalakkan golongan remaja menabung? Berikan empat usaha. [4 markah]


MODUL  3     Soalan 1 : Rumusan (30 markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu isi rumusan tentang peranan sekolah memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan faedahnya kepada negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
    Sekolah dalam apa-apa jua keadaan harus sentiasa menjadi penggalak kepada pelajar agar mempunyai tanggapan yang positif terhadap negara sendiri. Pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri', seharusnya dibincangkan dengan mendalam di sekolah.
     Sebagai agen perpaduan, sekolah pada dasarnya bertanggungjawab menerapkan nilai murni kepada pelajar. Sifat yang wujud dalam nilai ini diharapkan dapat mengubah persepsi pelajar terhadap kepentingan kewujudan masyarakat majmuk di negara ini. Satu perkara lagi yang seharusnya dipupuk dalam kalangan pelajar di negara ini ialah pengetahuan dan sikap positif pelajar terhadap Negara Malaysia yang tercinta ini. Pelajar hendaklah diberi kefahaman bahawa mereka seharusnya mempunyai identiti rakyat Malaysia yang sebenar.
      Sementara itu, sekolah juga merupakan agen sosialisasi yang sangat berkesan. Dalam hal ini, sekolah hendaklah memastikan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Pada masa yang sama, pembelajaran di sekolah seharusnya menekankan kaedah yang membolehkan pelajar memahami roh dan prinsip Rukun Negara. Perkara ini semakin tidak dihiraukan oleh kebanyakan pihak. Begitu juga halnya dengan proses pemasyarakatan pelajar. Pelajar perlu dilatih, diasuh, dikawal dan dikehendaki mengikuti dan mengamalkan nilai-nilai murni yang menjurus ke arah perpaduan dalam kalangan masyarakat.
     Selain itu, sekolah juga mampu menerapkan nilai-nilai murni ketika guru dan pelajar melaksanakan aktiviti-aktiviti secara kolektif. Perkara ini boleh dilaksanakan ketika sekolah mengadakan aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan harian, nyanyian lagu Negaraku, pembacaan ikrar Rukun Negara dan upacara menaikkan bendera. Seterusnya, peranan guru di sekolah amatlah besar dalam merealisasikan hasrat murni ini. Mereka perlu memastikan setiap aktiviti menerapkan proses menghayati dan mengamalkan perpaduan, semangat kenegaraan, kebersamaan, dan patriotisme. Sikap guru itu sendiri perlu menunjukkan bahawa perpaduan sangat penting kerana tindakan guru boleh mempengaruhi para pelajar di sekolah.
    Sistem pendidikan semata-mata tidak akan mampu mewujudkan perpaduan yang menjadi asas gagasan 1Malaysia. Ibu bapa sepatutnya menyokong dan membantu guru merancang serta melaksanakan apa-apa jua program yang boleh memenuhi hasrat dan cita-cita murni ini. Di rumah, ibu bapa seharusnya menyambung segala tugas guru untuk memupuk perpaduan supaya tidak wujud pertembungan nilai, di samping menjadi suri teladan ketika berinteraksi dengan masyarakat sekeliling yang berlainan kaum.  Jika kedua-dua pihak memainkan secara kolektif peranan ini secara sedar dan bersungguh-sungguh, sudah pasti gagasan ini akan menjadi kenyataan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Merealisasikan Gagasan 1Malaysia" oleh Mohd. Saleh Ismail, Dewan Masyarakat, September 2009)
Soalan 2 (a) - Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata tanggapan yang positif.  [2 markah]
(ii) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu pihak sekolah merealisasikan hasrat untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar?[3m]
(iii)Pada pendapat anda, apakah halangan-halangan yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam menjayakan agenda perpaduan negara?[4m]



MODUL  4 Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani jenayah siber dan masalah-masalah menangani jenayah siber. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     Istilah alam siber digunakan secara meluas untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan komputer, teknologi maklumat dan pelbagai budaya. Internet merujuk dunia dalam talian sebagai media komunikasi. Setiap individu di alam siber mempunyai kuasa tersendiri dengan bersembunyi di sebalik nama samaran. Keadaan ini mendedahkan pengguna kepada jenayah di alam siber seperti mangsa ditipu menerusi Internet yang melibatkan kerugian wang ringgit, khususnya menerusi laman sesawang “bank palsu”. Oleh itu, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pengguna, antaranya penggunaan program antivirus yang menyediakan perlindungan secukupnya kepada komputer peribadi.
     Dalam dunia Internet, terdapat segelintir golongan yang menceroboh system komputer yang dikenali sebagai penggodam. Bagi mengelakkan penggodaman berlaku, kata laluan mestilah sentiasa dilindungi supaya lebih selamat dan sukar diakses oleh orang lain. Jenayah siber juga boleh berlaku melalui e-mel. Oleh itu, pengguna jangan sesekali membuka e-mel yang meragukan daripada pihak yang tidak dikenali. Jika pengguna ingin juga membuka e-mel berkenaan, pastikan tidak terus mengklik pautan yang disediakan kerana lazimnya transaksi rasmi dalam talian tidak akan menghantar e-mel yang mempunyai pautan di dalamnya. Sekiranya terdapat lampiran yang dihantar, kita disarankan agar membukanya setelah diimbas terlebih dahulu.
     Selain itu, pengguna hendaklah berhati-hati apabila bersembang dengan orang yang tidak dikenali di alam siber. Hal ini demikian kerana banyak kes jenayah dan salah laku sosial bermula daripada ruangan sembang di Internet. Kita juga diharapkan tidak mudah membuat janji temu dengan kenalan di alam siber. Sekiranya bersetuju bertemu, bermakna sebelah kaki sudah termasuk dalam perangkap penjenayah siber. Begitu juga kita jangan sesekali memberikan kepercayaan dengan mendedahkan maklumat peribadi kepada individu yang baru dikenali menerusi Internet.
     Seterusnya, pengguna jangan mudah membayar wang sebagai deposit untuk mendapatkan sesuatu yang dijanjikan. Pengguna juga jangan mudah menjadi responden soal selidik yang diuruskan oleh individu yang sebenarnya hanya bertujuan untuk menjanakan pendapatannya. Bertitik tolak daripada situasi tersebut, pengguna juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya oleh godaan untuk menjadi kaya dengan cepat menerusi iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Iklan sebegini biasanya meminta pengguna mengeluarkan sedikit wang sebagai modal. Namun, pilihan terletak di tangan pengguna untuk menilai maklumat yang dipaparkan dalam Internet itu benar atau sebaliknya.
Dipetik dan diubah suai daripada “Etika di Alam Siber” oleh Zuraidah Hanim binti Md. Akhir Dewasa Siswa, Februari 2013
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata ruangan sembang.  [ 2 markah ]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa kesan negatif penggunaan Internet kepada pengguna. Nyatakan kesan-kesan tersebut.  [ 3 markah ]
(iii) Pada hari ini, terdapat segelintir pengguna yang menyalahgunakan Internet. Huraikan pendapat anda tentang tindakan-tindakan yang patut dikenakan terhadap pengguna yang menyalahgunakan Internet. [ 4 markah ]

Jangan Tiru