Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 19 September 2018

Langkah - langkah menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian. Bincangkan. Karangan percubaan SPM 2018 -


Langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian.

SOALAN PERCUBAAN BM KERTAS 1 (B) NEGERI KEDAH

       Bertani atau bercucuk tanam memang begitu sinonim dengan masyarakat kita, sebab itulah terdapat banyak bidalan tradisi berkaitan dengan bertani  contohnya, berbudi kepada tanah rezeki melimpah ruah, atau berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Dunia tani menawarkan banyak faedah dan kebaikan justeru pelbagai langkah diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian.

          Antara langkah awalnya ialah kita beri kesedaran kepada generasi muda bahawa dunia tani menjanjikan pulangan yang lumayan kerana para hukama ada menyebut pertanian itu suatu perniagaan. Kalau generasi muda beralih arah ke sektor pertanian, negara dapat mengurangkan pembelian hasil pertanian dari Negara luar. Harga produk pertanian jauh lebih tinggi berbanding masa silam. Sekilo lada besar suatu ketika mencecah RM25 manakala setongkol jagung hari ini kosnya RM2, jadi apa lagi nak ditunggu, remaja perlu bersegera bertindak kerana setiap keringat yang mengalir menjanjikan pulang ringgit yang amat menguntungkan. kesedaran perlu diberikan kepada generasi muda untuk bergiat dalam sektor pertanian kerana perolehannya memang menjamin masa depan Jelaslah pertanian bukan lagi lambang kemiskinan tetapi dapat melahir generasi muda yang berpendapatan tinggi dengan pulangan hail yang lumayan

       Seterusnya penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian menjanjikan masa depan yang cerah kerana dengan iklim tropika di Malaysia, sinaran sang suria menyimbahi sejagat maya, rembasan hujan sepanjang tahun, tanah pamah nya yang subur maka pertanian berpotensi menjamin masa depan sesiapa sahaja termasuk generasi muda yang berminat menceburi bidang. Secara semulajadi, persekitaran tanah pamah di Malaysia memang amat menggalakkan belia menceburi bidang pertanian. Golongan muda perlu turun padang bersama-sama generasi lama menggunakan tenaga tulang empat kerat mengerjakan sawah ladang, dan hasilnya sayur sayuran, tanam-tanaman bakal tumbuh merimbun sehingga suasana hijau menghiasi seluruh alam.   Ternyata suasana, tanah pamah yang subur, hujan dan panas seiring dan senada secara langsung menggalakkan dan mendorong anak-anak muda melibatkan diri dalam bidang pertanian

          Selanjutnya untuk generasi muda menceburi secara lebih serius dalam bidang pertanian , golongan ini perlu diberi latihan dan pengalaman pendidikan dalam bidang peternakan, perikanan dan perladangan. UiTM dan UPM merupakan pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus pertanian tahap tinggi , begitu juga institusi pertanian yang lain yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian seluruh negara. Pelajar-pelajar ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam sains pertanian, sains akuakultur di Universiti Malaysia Terengganu. Siswa siswa fakulti pertanian  menjadi tenaga penggerak sektor pertanian Negara apabila tamat pengajian mereka nanti. Sememangnya latihan,  pengetahuan, penyelidikan dan kajian yang pelbagai dalam ehwal pertanian di universiti merupakan langkah paling berkesan menggalakkan generasi muda menyertai sektor pertanian

         Di samping itu generasi muda digalakkan melibatkan diri dalam bidang pertanian moden dan berdaya maju . Generasi  muda disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian. Yang uniknya generasi muda didedahkan dengan pelbagai kaedah bertani seperti hidroponikaeroponik, aquaponik tanaman hibrid masih belum diketahui banyak orang . Remaja dan belia adalah golongan generasi muda yang bertuah dan beruntung kerana di bawah gagasan TN50 pelbagai perubahan dilakukan dalam sektor pertanian negara yang secara berterusan, menggalakkan kita bergiat aktif dalam bidang ini. Hal ini ditambah pula dengan penggunaan jentera moden, dan penggunaan baka baik, benih tanaman yang berkualiti tinggi dan mendatangkan hasil yang berlipat ganda.  Realitinya mempromosi teknologi tinggi dan pertanian moden merupakan langkah proaktif menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam sektor  pertanian yang terdiri daripada perikanan, penternakan dan perladangan

                Seperkara lagi, menggalakkan golongan muda menyertai bidang pertanian adalah dengan adanya bantuan modal dan pemberian insentif daripada pihak kerajaan, khususnya  kepada tenaga muda yang berminat mahu mempelopori dunia pertanian . Modal permulaan diberikan oleh kerajaan untuk bertani, pejabat pertanian pula membekalkan baja dan biji-biji benih. Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah  disediakan oleh bank, terutamanya oleh Bank Agro. Dengan modal yang mencukupi,  anak-anak muda ini dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia  untuk menjalankan aktiviti pertanian mereka. Pinjaman skim bayaran mudah,  membolehkan golongan muda mengusahakan pertanian atau peternakan secara komersial .  Fitrahnya bantuan modal dan bekalan baja serta biji benih, menjadi faktor penggalak kepada golongan muda menceburi bidang pertanian.

             Kesimpulannya untuk menggalakkan golongan muda menyertai bidang pertanian pelbagai perubahan, reformasi dan transformasi dilakukan  terhadap sektor ini.  Kata bidalan  ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras jadi anak-anak muda digalakkan menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih  demi meningkatkan produktiviti. Dengan hasil tanaman yang berkualiti pasti dapat memenuhi  permintaan tempatan dan luar negara.

Karya: Nisa Nurlaily - (Nisa jua pernah mewakili negeri Kelantan - Pertandingan  Pidato Piala Diraja peringkat kebangsaan)

FAEDAH MENGUASAI PELBAGAI BAHASA- karangan persediaan hadapi SPM 2018


FAEDAH MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat perhubungan sesama insan sejak zaman puntung berasap lagi. Kita menggunakan bahasa lisan dan tulisan serta bahasa isyarat bagi golongan spastik. Namun yang lebih memakmurkan dunia ialah apabila kita mampu menguasai pelbagai bahasa. Kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan bagi mana-mana individu.. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa.  Pelbagai manfaat serta faedah kita perolehi apabila kita menguasai pelbagai bahasa tanpa mengenepikan bahasa ibunda. Masyarakat jua turut kagum dan memandang tinggi terhadap sesiapa yang berkebolehan menguasai bahasa asing seperti bahasa Jepun, bahasa Perancis, bahasa Korea, bahasa Arab dan sebagainya    

Antara kebaikan paling ketara apabila kita menguasai pelbagai bahasa ialah kita jadi lebih mudah, lebih yakin  untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Kita jadi lebih memahami dan difahami. Kita jadi lebih berkeyakinan , lebih ceria dan selesa untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja di tengah-tengah khalayak. Apabila kita menguasai bahasa Jepun,pergi pula merantau ke Negara Matahari Terbit itu  kehidupan kita jadi lebih terarah kerana kita dapat berkomunikasi secara natural dengan masyarakat di sana tanpa tergagap-gagap atau tersekat-sekat atau terpaksa menggunakan kamus dan jurubahasa.  Orang Jepun boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara Jepun kepada kita yang datang ke negara mereka..  Apabila kita menguasai pelbagai bahasa, dengan sendirinya kita juga menghormati dan memahami orang yang bertutur dengan kita. Ketika inilah kita akan lebih memahami psikologi individu yang bertutur dengan kita. Dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang mudah untuk menolong kita semasa berada di perantauan, Kita akan berfikiran positif dan  sentiasa bersikap peramah dan ikhlas semasa berbual, bersembang dengan masyarakat berbilang bangsa. Ternyata dengan menguasai pelbagai bahasa  kita akan lebih yakin dalam perbualan, perbincangan atau  berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. 
           
Selain itu, melihat dari sudut yang lebih  indah, sebagai pelajar kita  dapat  melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta apabila kita menguasai lebih daripada satu bahasa.. Kebolehan dan kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya kita hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana Bahasa Inggeris ialah bahasa komunikasi global. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama, contohnya, untuk melanjutkan pelajaran di Negara Perancis,  pelajar perlulah mengikuti kursus untuk menguasai bahasa Perancis terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih bagi mengikuti pengajian di sana. Jelaslah penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup  masyarakat yang kita temui.

Selanjutnya, dengan menguasai pelbagai bahasa kita jadi lebih mudah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pelbagai kepakaran. Kita sedia maklum, ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini adalah dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris, bahasa Arab ,bahasa mandarin  yang menjadi antara bahasa utama dunia.. Sebagai contoh, kita dapat meningkatkan pengetahuan dan lebih menghayati keindahan Islam, apabila kita menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris mereka lebih mudah untuk membuat rujukan ilmu pengetahuan melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran dan kepakaran menguasai bahasa Inggeris, memberi laluan mudah  untuk pelajar  di  institusi pengajian tinggi  menghasilkan kajian ilmiah yang berkualiti . Sesungguhnya, memiliki kepakaran dan kemahiran  menguasai pelbagai bahasa  dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan

            Seterusnya,  menguasai pelbagai bahasa  lebih memudahkan kita untuk memperoleh peluang pekerjaan. Apabila kita berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa kita dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan dikehendaki majikan kerana memudahkan urusan interaksi dengan masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan kerjaya yang tinggi.  Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong  yang boleh menguasai bahasa asing. Sememangnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria untuk lebih mudah mendapat peluang pekerjaan

Di samping itu sesuatu yang amat terkesan di minda saya ialah apabila kita menguasai lebih daripada satu bahasa kita dapat menikmati dunia seni yang dalam pelbagai bahasa. Kalau kita memahami bahasa Korea misalnya kita boleh menikmati, menghayati, dan memahami keseluruhan drama tanpa perlu membaca sarikatanya. Oh, alangkah indahnya apabila kita boleh menyanyi lagu-lagu Korea seperti lagu Gang Nam style, Hukana Matata yang pernah tersenarai dalam program K Popnya. Kalau kita boleh bertutur dan menguasai bahasa Mandarin kita boleh menonton filem-filem klasik China seperti The Last Emperor, Wolf Warrior, Filem-filem Kung Fu, Sorrows of the Forbidden City dan yang paling menarik ialah filem once upon a time in China.  Begitu juga kita boleh membaca novel, drama, puisi dalam  bahasa Inggeris seperti Hamlet, Romeo and Juliet, Mark Anthony and Cleopatra, Macbeth oleh Shakepeare. Orang yang meminati dunia seni tahu betapa indahnya panorama kehidupan ini apabila kita menguasai lebih daripada satu bahasa, terasa seolah-olah berada di alam fatamorgana dan sentiasa mensyukuri segala nikmat diberi khususnya kemampuan menguasai pelbagai bahasa. Lumrahnya penguasaan pelbagai bahasa memberi kita ruang dan peluang menghayati dan menikmat keindahan dunia seni yang disampaikan  dalam pelbagai bahasa.

            Kesimpulannya, kita wajar mempelajari dan menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda kita, contohnya Bahasa Inggeris  yang merupakan bahasa lingua franca global. Kebolehan  menguasai pelbagai bahasa menjadi suatu  medium yang memudahkan proses perhubungan dan perantaraan, menjadi suatu nilai tambah kepada diri dan juga menjadi pemudahcara apabila berhadapan dengan beberapa situasi. Kata para hukama, pabila berada di tanah orang pandai-pandailah membawa diri, jadi dengan menguasai lebih daripada satu bahasa kita boleh melestari kehidupan bermasyarakat di mana-mana sahaja di seantero persada alam.

Oleh Emir  MN tingkatan 5 sc  BM   A+ 2017



Pada hari Isnin baru-baru ini  (17hb September 2018)  saya telah berceramah  BM kertas 1 & 2 di Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Sekolah  ini adalah antara sekolah tahfiz terbaik di Malaysia.  Saya sampai agak awal di perkarangan sekolah. Damainya hati melihat pelajar-pelajar  tingkatan 1 duduk berkumpulan, atau sendirian di bawah rimbunan pohon menghijau semuanya tenang  syahdu menghafal ayat-ayat suci al quran.  Bertuahnya ibu bapa yang anak mereka  cemerlang menghafal 30 juzuk alquran. Pelajar tingkatan lima  pula semuanya berada di dewan sekolah.

Pelajar  Tahfiz ini semuanya lelaki. Calon SPM   100 orang. Sasaran tahun ini insyaAllah 100% A+ . Kita usaha sama-sama ya. Ingat, latihan menghasilkan kesempurnaan-  DOA CIKGU MENGIRINGI PERJUANGAN KALIAN

Bagaimana membentuk keluarga bahagia. Bincangkan (karangan SPM bahagian B )



Bagaimana membentuk keluarga bahagia . Bincangkan (karangan B)

      Tangisan pertama seorang bayi pada suatu subuh hening merupakan detik paling bahagia bagi pasangan suami isteri. Pada ketika yang sama kedengaran alunan azan subuh berkumandang, ohoh... betapa indahnya sebuah memori terbentuknya sebuah keluarga bahagia. Keluarga merupakan 
wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Melalui keluarga, lahirlah sinar kasih sayang yang melimpah ruah. Daripada keluarga, lahirnya perasaan hormat dan saling memerlukan. Melalui keluarga jua, lahirnya individu yang bertanggungjawab yang prihatin terhadap keluarganya. Langkah ideal, tepat lagi bersesuaian perlu dipraktikkan oleh ahli keluarga untuk membentuk, keluarga  penyayang, keluarga harmoni, keluarga bahagia!

       
 Langkah prima  ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. almaklum kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang usia. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Majusi atau Nasrani. Anak-anak merupakan golongan yang paling memerlukan perhatian dan sokongan ibu bapa dalam membentuk peribadi yang sempurna. Statistik telah menunjukkan bahawa sebanyak 90 peratus ibu yang bekerja hanya meluangkan masa sebanyak 4 minit dengan anak-anak setiap hari. Sikap sebegini harus diatasi kerana anak yang kegersangan kasih sayang bagaikan anak piatu. Sebagai contoh, kerajaan telah mengisytiharkan hari Sabtu sebagai cuti umum manakala pihak swasta jua telah memberi pelepasan kepada pekerja pada sabtu. Ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak pergi berkelah atau melawat tempat-tempat bersejarah di negara kita. Aktiviti-aktiviti sebegini mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan membentuk keluarga yang penyayang di samping memberikan tempat dan ruang untuk anak-anak meluahkan isi hati mereka. Jelaslah  ibu bapa perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak untuk melahirkan keluarga yang penyayang.

         Selanjutnya 
, ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak ke  arah membentuk keluarga bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan guru yang pertama dan paling penting dalam kehidupan anak-anak. Sebagai contohnya, bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anak. Ibu bapa perlu saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat kebahagiaan antara kedua-dua  ibu bapa, mereka akan meneladani sikap baik itu kerana bapa borek, anak rintik. Jika contoh positif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak anak seperti menasihati anak-anak, berbincang serta  sama -sama menyelesaikan masalah anak-anak, akan menyuburkan perkembangan jiwa dan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak-anak. Jika anak-anak berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah indah  yang pernah mereka lalui ini. Ekoran daripada itu, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali yang baik supaya anak-anak akan mengikut jejak langkah melahirkan keluarga yang bahagia dan seterusnya melahirkan masyarakat yang penyayang. Ternyata ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjadi suri teladan kepada anak-anak demi melestarikan warna-warni kebahagiaan keluarga.

           
Selain itu, anak-anak perlu menjaga tingkah laku dan tatatertib untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana segala perbuatan anak-anak akan mencerminkan cara asuhan anak tersebut oleh orang tua mereka. Anak-anak memikul tanggungjawab menjaga maruah diri dan keluarga untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Sebagai contoh, anak-anak perlu menjauhi diri daripada terlibat dalam gejala sosial yang negatif seperti gengsterisme, ponteng sekolah, penagihan dadah dan perlumbaan haram. Anak-anak perlu berpegang teguh pada pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Segala perbuatan anak-anak tentu ada kesannya, sama ada baik atau buruk. Ahli masyarakat akan memandang tinggi terhadap keluarga jika anak keluarga tersebut berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang yang membawa kepada kebahagiaan hidup berkeluarga. Rentetan daripada itu, anak-anak perlu memiliki keperibadian yang teguh dan boleh membezakan antara kaca dan permata demi menjaga maruah keluarga. Sememangnya , anak-anak mesti menjaga perlakuan dan tatatertib untuk melahirkan keluarga yang bahagia.

        
 Di samping itu anak- anak perlu membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Ibu bapa kita bekerja keras untuk menyediakan kemudahan asas rumah tangga. Selain itu , ibu bapa telah berusaha untuk menyediakan pendidikan yang sempurna bagi menjamin masa depan kita . Jadi tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa anak-anak perlu membalas  jasa kedua-dua ibu bapa seperti kata  peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Untuk membalas jasa ibu bapa, anak-anak boleh membantu ibu bapa menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah seperti mencuci pinggan mangkuk, menyidai pakaian di ampaian dan mengelap lantai. Anak-anak hari ini menjadikan kerja-kerja pembersihan rumah sebagai rutin harian kerana alah bisa tegal biasa. Rentetan daripada itu, anak-anak dapat meringankan beban ibu bapa yang sudah keletihan, kelesuan sekembalinya dari pejabat. Selain itu, anak-anak dapat membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berbakti kepada kita dan merapatkan hubungan dengan ibu bapa demi mewujudkan suasana yang bahagia di dalam rumah. Hakikatnya, anak-anak perlu membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah untuk melahirkan keluarga  bahagia.

       Seperkara lagi
, ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pembentukan keluarga  bahagia adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah dengan pembentukan keluarga bahagia yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya iaitu didikan agama yang kukuh. Sebagai contoh, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mengerjakan solat dan amal ibadah yang lain dalam Rukun Islam yang lima,. Ibu bapa pula perlu menggalakkan anak-anak mendalami alquran dan buku-buku agama sehingga mengenal Islam dan Tuhan kerana tak kenal maka tak cintaiman yang kukuh akan mengelakkan keluarga daripada berpecah belah, bercerai-berai atas alasan yang tidak munasabah. Lumrahnya, jika setiap ahli keluarga yang jiwa dan hati nuraninya disemai dengan keimanan, mendalami ilmu agama yang luhur, hasilnya keluarga  bahagia dapat dibentuk.

      
   Kesimpulannya setiap ahli keluarga memainkan peranan paling pragmatik dalam membentuk keluarga  bahagia. Bahagia anak-anak maka bahagialah ibu  bapa begitulah jua sebaliknya. Tanpa kerjasama daripada setiap ahli keluarga, impian untuk melahirkan keluarga bahagia tidak akan tercapai. Semua pihak perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dalam membentuk keluarga bahagia.  Harapan saya agar kebahagiaan yang kita nikmati hari ini akan berterusan tanpa nokhtah, tanpa penghujungnya waima  selagi nadi masih berdenyut, selagi nyawa masih dikandung badan  keluarga bahagia jadi dambaan kita bersama-sama


                                                                                        
                       802 patah perkataan
                                                                                                        karya  Naili 5 sc 2   A+ BM  SPM 2016  

Faedah perhimpunan rasmi di sekolah. (Karangan B)



Faedah perhimpunan rasmi di sekolah. (Karangan B)

Perhimpunan rasmi sekolah saya diadakan pada setiap pagi Ahad dan pihak sekolah mengklasifikasikan perhimpunan ini sebagai rutin mingguan. Dalam suasana hening pagi, magis berlaku, suasana jadi sunyi, sepi ketika lebih seribu pelajar berkumpul !  Momen-momen  indah   inilah   paling dinanti-nantikan kerana ketika inilah seluruh warga  berkumpul persis sebuah keluarga besar yang harmonis, dan semua saling memandang wajah antara satu sama lain, tanpa suara, dalam suasana nyaman, sejuk, sesejuk embun pagi.  Sesekali....sesekali,  seronok jua tengok fesyen pakaian cikgu yang duduk di pentas. Semuanya nampak anggun dan segak sewaktu perhimpunan rasmi sekolah. Wajah anak-anak yang usia baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, sentiasa berbunga senyuman ketika berada di dewan  sekolah. Perhimpunan rasmi sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan pelajar. 

       Antara faedah mengadakan perhimpunan rasmi sekolah ialah pihak sekolah seyogia menjadikan waktu perhimpunan sebagai wadah untuk menyemai, menanam dan memupuk rasa sayang akan sekolah, naluri cinta akan negara disemarakkan dalam kalangan pelajar dan guru. Perhimpunan rasmi dilaksanakan dalam suasana yang cukup berdisiplin dalam erti kata setiap  warga perhimpunan itu  menghormati dan mematuhi nilai, norma dan peraturan perhimpunan. Perhimpunan mingguan ini pula diurus dan dikendalikan  dengan cara yang cukup bersistem, bermula dengan bacaan doa oleh alfadil Ustaz, manakala guru dan pelajar mengaminkan doa. Selesai bacaan doa, pelajar menyanyikan lagu Sekolah,  lagu Negeri, dan lagu Kebangsaan, seiring dengan  upacara menaikkan bendera  diikuti pula dengan  bacaan ikrar Rukunegara, dipimpin oleh Ketua Pengawas Sekolah.
 Jelaslah secara simbolik, tersurat dan tersirat melalui perhimpunan rasmi sekolah kita dapat menzahirkan rasa kasih akan sekolah, seiring rasa cinta akan negara  dalam kalangan guru dan pelajar

    Di samping itu saya melihat perhimpunan rasmi sekolah sebagai medium untuk para guru, pentadbir dan Pengetua  membentuk  tingkah laku dan personaliti pelajar ke  arah mematuhi peraturan dan disiplin  sekolah. Sewaktu perhimpunan rasmi inilah masa dan tempat yang paling praktikal untuk mendidik, membimbing dan memimpin  pelajar supaya lebih berdisiplin. Mematuhi peraturan bukanlah sesuatu yang menyusahkan pelajar sebaliknya mendidik mereka supaya peka dengan persekitaran. Sebagai contoh, ketika perhimpunan rasmi pelajar dididik supaya menghormati majlis yang diadakan, dengan penuh tertib berada di tempat masing-masing mengikut barisan, mengikut kelas masing-masing dan mengikut jantina, di samping menjaga tingkah laku, sentiasa senyap, dan  fokus memberi tumpuan terhadap ucapan Pengetua atau guru. Sesekali terdengar bunyi  batuk-batuk atau bersin adalah perkara biasa. Ternyata pada kesempatan berada di perhimpunan rasmi inilah masa, paling sesuai untuk pihak sekolah mendisiplinkan murid

          Selanjutnya perhimpunan rasmi sekolah mendedahkan pelajar kepada isu-isu dan hal ehwal  semasa. Tanpa maklumat, pelajar jadi persis katak di bawah tempurung. Penyampaian berita tentang kegiatan sekolah  dibuat dengan mengambil kira kesemua pelajar boleh mendengar maklumat yang disampaikan. Sekiranya jumlah pelajar ramai maka pembesar suara  digunakan. Berita dan maklumat tersebut biasanya disampaikan oleh guru bertugas atau diumumkan sendiri oleh Pengetua. Sekiranya ada hadiah yang perlu disampaikan maka perhimpunan sekolah adalah tempat terbaik untuk menyampaikannya. Murid-murid akan dapat memahami aktiviti-aktiviti sekolah dan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah dan sama-sama berkongsi kejayaan itu. Penghargaan ini adalah merupakan antara cara bagi pihak sekolah menyemai dan menanamkan semangat kasih, sayang dan bangga akan sekolah.Penghargaan yang diberikan sewaktu perhimpunan sekolah akan menjadi pendorong kepada murid-murid untuk lebih berusaha dengan penuh dedikasi bagi mencapai kejayaan.Yang penting murid-murid akan berasa seronok dengan pelbagai informasi, maklumat dan ehwal semasa yang diterima dan terasa dihargai pula apabila setiap kejayaan mereka mendapat pengiktirafan dan ganjaran sewaktu perhimpunan rasmi sekolah.

        
Selain itu, perhimpunan rasmi sekolah dapat melahirkan pelajar yang menghargai masa,dan pasti hadir ke sesi perhimpunan menepati masa.  Semua atur cara disusun dan selenggara oleh pengawas sekolah menepati jadual, akur pada masa yang ditetapkan agar tidak memakan masa pembelajaran. Dalam hal ini, bukan sahaja sekolah malah negara juga turut berbangga kerana dapat membentuk modal insan kelas pertama yang berkualiti, yang meletakkan suatu prinsip paling berharga bahawa masa itu emas.. Sekolah dapat melahirkan pelajar yang bertanggungjawab dalam menguruskan masa, menghargai masa  sewaktu mengendalikan perhimpunan dan berterusan dalam pelbagai situasi kehidupan  selepas tamat persekolahan. Perhimpunan rasmi sekolah dapat mendidik mereka supaya bertanggungjawab dalam memikul amanah sebagai  pelajar dan pemimpin pelajar. Sebagai contoh, semua pelajar diminta hadir ke perhimpunan sekolah 5 minit lebih awal sebelum waktu perhimpunan  bermula. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan masaSememangnya perhimpunan rasmi sekolah mendidik pelajar menghargai masa kerana  masa yang  berlalu  itu tiada bertara nilainya.

        Mengimbau dari sudut yang berbeza, sewaktu perhimpunan pagi inilah, pelajar-pelajar yang melanggar disiplin, yang bising di dalam kelas, yang ponteng kelas, yang lewat masuk kelas  atau yang lewat hadir ke perhimpunan akan didenda, ohoooh... dirotan di hadapan perhimpunan. Walaupun masa dan peristiwa itu  telah lama berlalu, peristiwa dirotan kerana gagal menyiapkan kerja rumah, gagal menyiapkan tugasan karangan, saya dirotan oleh guru disiplin di hadapan khalayak, menjadi nostalgia yang amat menghiris perasaan. Kata-kata pedas guru disiplin masih terngiang-ngiang di telinga " lepas ni saya nak tengok kerja awak kemas dan sempurna. SAYA NAK TENGOK AWAK DAPAT CEMERLANG BM SPM!" Suaranya persis halilintar membelah angkasa. Saya akur. Perhimpunan pagi menyedarkan saya betapa pihak sekolah amat mengambil berat tentang masa depan pelajar. Peristiwa dirotan di telapak tangan di hadapan perhimpunan, walaupun telah lebih dua purnama berlalu, tapi di hati ini, SAKITnya, pedihnya, masih terasa hingga ke hari ini. Saya berjanji akan berjuang habis-habisan dalam SPM nanti, untuk BM dan semua subjek yang lainnya. A+ BM SPM sememangnya menjadi sasaran dan matlamat saya dan rakan -rakan sekelas. Sesungguhnya perhimpunan  rasmi sekolah mampu membentuk perilaku pelajar ke  arah yang  positif, lebih mengutamakan akademik, serta insaf akan kesilapan,  waima bersedia berjuang di medan ilmu.


     Kesimpulannya,  pelaksanaan perhimpunan  rasmi sekolah banyak memberi kebaikan kepada pelajar dan memberi nafas baharu dalam penjanaan ilmu. Hal ini bukan sahaja memudahkan guru untuk mengurus dan mengendalikan program sekolah, malahan dapat mendidik pelajar supaya memiliki matlamat yang jelas untuk berjaya bak kata pepatah berperahu biarlah berpendayung agar sampai ke tanah seberang. Syukur alhamdulillah segala aktiviti dalam perhimpunan rasmi sekolah saya memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga sekolah.

oleh Alya Jazilah
Maahad Muhammadi (p) Kota Bharu






Jangan Tiru