Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 5 Januari 2018

Pengertian Solat

Pengertian Solat 
     Pengertian solat dari segi bahasa ialah berdoa untuk kebaikan. Dari segi syara' pula ialah semua perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Ibadah solat menjadi wajib kerana telah disabitkan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Firman Allah, "Oleh yang demikian dirikanlah solat dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang demikian sifat-Nya), Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi Pertolongan". (Al-Haj : 78)

     Sejarah kewajipan solat Menurut pendapat yang masyhur dari kalangan ahli sejarah, ibadah solat mula diwajibkan pada malam Isra' iaitu 5 tahun sebelum Hijrah. Ibadah solat menjadi fardu 'ain (wajib) ke atas setiap mukallaf (berakal dan baligh). Sebuah hadis dari Anas beliau mengatakan, "Diwajibkan solat ke atas Rasulullah pada malam Isra' dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, "Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu solat". (H.R. Ahmad & An-Nasa'ie) Apabila seseorang kanak-kanak telah mencapai umur 7 tahun maka hendaklah di suruh melakukan solat dan apabila ia mencapai umur 10 tahun maka hendaklah dipukul dengan tangan jika ia masih ingkar. Bersabda Rasulullah, "Perintahkanlah anak kamu solat semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka". (H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

      Kewajipan melakukan ibadah solat sehari semalam hanyalah 5 waktu dan kita sama sekali tidak boleh mempertikaikannya. Berpesan Rasulullah kepada Mu'az sebelum beliau diutuskan oleh Baginda ke Yaman, "Beritahulah kepada mereka bahawasanya Allah telah mewajibkan ke atas mereka 5 kali solat dalam sehari semalam".

 Hikmah kewajipan solat

     Ibadah solat adalah rukun Islam yang ke-2 selepas mengucap dua kalimah syahadah yang telah diperundangkan sebagai salah satu cara bagi umat mensyukuri dan berterima kasih kepada nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya kepada kita. Ibadah solat mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan terutama kepada agama. Individu dan masyarakat keseluruhannya.
Hikmah kepada agama
     Ibadah solat telah membentuk satu perhubungan  antara seseorang manusia dengan Tuhannya. Ia dilakukan untuk melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerahkan diri, jiwa raga serta segala urusan kehidupan harian kepada-Nya. Ibadah solat juga dilakukan bagi mendapatkan keamanan, kedamaian, ketenangan dan keselamatan dari pencipta-Nya. Ibadah soat juga membuka jalan kepada kejayaan dan kemenangan bagi mendapatkan pengampunan dari Tuhan di atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.
 Firman Allah yang bermaksud, 'Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan, ia (berasa) sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat bakhil, kecuali orang yang mengerjakan solat'. (Al-Ma'rij : 19-22)
 Bersabda Rasulullah, 'Bagaimana pendapat kamu jika salah seorang di antara kamu mendapati di hadapan rumahnya ada sebatang sungai lalu ia mandi di sungai itu 5 kali dalam sehari. Apakah masih ada lagi kotoran pada badannya? Jawab sahabat, 'Sudah tentu tiada lagi kotoran padanya'. Kata Rasulullah, 'Maka demikianlah juga dengan solat 5 waktu, Allah menghapuskan dengannya dosa-dosa itu'. (H.R. Bukhari & Muslim) Dalam hadis yang lain Baginda bersabda, 'Apabila seseorang hamba bangun bersolat, dibawa dosa-dosanya dan diletakkan di atas kepalanya ataupun di tegkuknya, maka apabila setiap kali ia ruku atau sujud maka berguguranlah dosa itu daripadanya'. (H.R. Ibnu Hibban)
Hikmah kepada individu
 Ibadah solat yang dilakukan adalah untuk mendekatkan dan menghampirkan diri kepada Allah di samping dapat memperkuatkan semangat dan jiwa kita serta menjadi benteng kepada kerakusan dan keinginan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Ibadah solat juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan kerehatan pada diri serta menjauhkan seseorang dari sifat lalai yang boleh memesongkan. Firman Allah, 'Dan mintalah (pertolongan kepada Allah) dengan jalan sabar dan kerjakanlah solat dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk'. (Al-Baqarah : 45)
 Ibadah solat juga melatih seseorang itu supaya lebih berdisplin dan bertanggungjawab serta sentiasa mengikut peraturan masa kerja dalam menjalankan urusan kehidupan seharian kerana ibadah solat itu sendiri dilakukan pada waktu-waktu yang teratur dengan mengikut adab-adab dan rukunnya.
Dalam solat seseorang itu dapat mempelajari perasaan lemah lembut dan rendah diri, bersopan dan berdisplin. Solat  juga dapat membentuk sifat dan peribadi seseorang supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, jujur, amanah, penyabar dan ikhlas. Firman Allah, 'Dan dirikanlah solat (dengan tekun) sesungguhnya solat itu (dapat) mencegah (kamu) dari melakukan perbuatan keji dan mungkar'. (Al 'Ankabut : 45)
Hikmah kepada masyarakat 
Ibadah solat dapat memperkuatkan dan menyatukan aqidah setiap anggota masyarakat serta memperteguhkan jiwa mereke. Ibadah solat juga dapat memperkuatkan semangat kemasyarakatan, menyuburkan ikatan tali persaudaraan, menyatukan suara fikiran dalam melaksanakan setiap pekerjaan atau aktiviti harian.
 Hikmah solat berjemaah 
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. katanya, 'Sesungguhnya Rasulullah bersabda, Solat berjemaah itu lebih baik dari mendirikan solat secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran'. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dalam hadis yang lain diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya, Rasulullah bersabda, 'Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya ketika menunaikan solat ialah orang paling jauh perjalanannya iaitu langkahnya menuju ke masjid. Seseorang yang menunggu untuk menunaikan solat sehinggalah dia menunaikannya bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang menunaikan solat (dahulu) kemudian dia terus tidur.' (H.R. Bukhari & Muslim)
Solat secara berjemaah adalah sangat dituntut oleh agama sama ada dengan mengerjakannya di rumah mahupun di masjid. Tetapi melakukan solat secara berjemaah di masjid adalah lebih mulia dan lebih besar fadilatnya dan ini amat digalakkan oleh Rasulullah sendiri seperti dalam hadis yang telah disebutkan di atas.
Dengan menunaikan solat secara berjemaah sebenarnya kita telah memperteguhkan dan menyatukan diri kita dalam satu barisan, melatih diri untuk taat kepada keperluan umum dengan mengikut imam untuk menuju kepada matlamat yang satu serta kepada perkara-perkara yang diredai Allah. Solat secara berjemaah juga dapat membantu kita untuk saling  mengenali  antara satu sama lain di samping mengeratkan hubungan tali silaturahim, membiasakan melibatkan diri dalam anggota masyarakat dan tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan.
Masjid dan surau adalah pusat bagi penyatuan dan kekuatan ummah, di sini kita saling nasihat menasihat dengan perkataan yang baik dan lemah lembut, memberikan kritikan yang membina, memperbaiki dan memperbetulkan kesalahan diri serta anggota masyarakat, membenteras penyelewengan dan kemungkaran, memberikan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim dalam melakukan gerak kerja seharian.
 Hukum meninggalkan solat 
Para ulama' telah sepakat mengatakan bahawa sesiapa yang ingkar kepada hukum wajib solat, maka dia akan menjadi kafir dan dihukum murtad. Ini kerana kewajipanya telah disabitkan kepada dalil Al-Quran, Sunnah serta Ijma' Ulama'. Hukum menunaikan solat adalah wajib ke atas setiap muslim yang telah berakal, baligh dan berada dalam keadaan suci. Pengertian suci ialah tidak ketika datang haid atau nifas, tidak berada dalam keadaan gila atau pitam. Bagi sesiapa yang meninggalkannya kerana malas dan menganggapnya satu perkara remeh dan mudah serta sering meninggalkannya, maka dia akan digelar sebagai seorang yang fasik dan penderhaka. Bersabda Rasulullah, 'Yang membezakan seseorang dengan kekufuran ialah meninggalkan solat'.
Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda, 'Lima waktu solat yang Allah wajibkan ke atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya dengan baik dengan tidak meringankan hak-Nya, maka Allah menjanjikan dia dimasukkan ke dalam syurga dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya, maka Allah tidak mempunyai janji dengannya. Jika Dia (Allah) mahu Dia akan menghukumnya dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuninya'. (H.R. Ahmad, Abu Daud & Al-Nasaei)
Firman Allah, 'Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka? Jawab orang-orang yang bersalah, 'Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan solat'. (Al-Mudassir : 42-43)
Bersabda Rasulullah, 'Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka Allah dan Rasul-Nya tidak akan bertanggungjawab terhadapnya'. (H.R. Ahmad)
 Sekian Wassalam....


KHASIAT DAN KEBAIKAN PISANG
Pisang merupakan buah tropika yang mudah kita temui di Malaysia. Selain itu, harganya pun juga agak murah berbanding dengan buah-buahan lainnya. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa buah pisang mempunyai banyak kebaikan dan khasiat yang tersendiri antaranya menjadi perlindungan kardiovaskuler, menjaga kesihatan mata, memperbaiki tulang, sehinggalah berupaya mencegah kanser buah pinggang. Selain sedap untuk dimakan begitu sahaja dan dibuat sebagai masakan, pisang mempunyai khasiatnya tersendiri untuk kesihatan Saya senaraikan khasiat dan kebaikan buah pisang

1) Perlindungan Kardiovaskuler 
Pisang adalah salah satu sumber terbaik untuk potassium, iaitu mineral penting yang menjaga tekanan darah normal dan fungsi hati. Rata-rata, pisang yang terdiri daripada 467 mg potasium dan 1 mg sodium, boleh membantu pencegahan tekanan darah tinggi dan atherosclerosis.

2) Menjaga Kesihatan Mata
Ketika kecil, orang tua korang tentunya menyuruh untuk banyak makan karot supaya mata kita sentiasa sihat dan baik. Namun, sebagai orang dewasa, buah-buahan merupakan sumber lebih penting dalam menjaga kesihatan mata. Studi yang terdiri daripada 100,000 orang peserta yang diminta mengkonsumsi buah, sayuran, vitamin antioksidan A, C dan E, serta carotenoid untuk menilai pembentukan penyakit mata ARMD, menunjukkan bahawa konsumsi sayuran, vitamin antioksidan dan carotenoid tidak berkaitan dengan penyakit tersebut. Sementara itu, konsumsi buah-buahan menunjukkan perlindungan terhadap penyakit mata.

3) Sebagai sumber tenaga
Pisang dapat dicerna dengan mudah, gula yang terkandung di dalamnya diubah menjadi sumber tenaga yang bertindak secara cepat dan berkesan. ia baik untuk pembentukan tubuh, fungsi otot dan sangat berkesan untuk menghilangkan penat.

4) Penawar sembelit
Buah pisang dikatakan makanan paling mujarab bagi penyakit sembelit. potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.

5) Tekanan darah tinggi
Bagi penghidap darah tinggi, elok memakan buah pisang. Ia mengandungi ‘potassium‘ tinggi yang amat berguna bagi mereka yang melakukan diet rendah garam.

6) Seimbangkan fungsi jantung
 ‘Cilium‘ pada pisang berfungsi menjaga keseimbangan air tubuh, kenormalan tekanan darah, fungsi jantung dan kerja otot.

7) Meredakan tekanan
Protein ‘trypotophan‘, sejenis protein yang dapat diubah oleh tubuh menjadi ‘serotonin‘ yang dimiliki oleh pisang, mampu membuat perasaan seseorang menjadi lebih tenang dan bahagia. ‘Potassium‘ pula mampu membuat denyutan jantung menjadi lebih stabil sehingga oksigen yang mengalir ke otak tetap stabil.

8) Kurangkan rasa mual
Ibu hamil yang sering mual di pagi hari elok memakan pisang. Kandungan gula semula jadi yang tinggi terdapat pada pisang boleh mempertahankan kadar gula dalam darah sehingga mengurangi rasa mual.

9) Mengelakkan kram otot
Melindungi kram otot ketika bersenam dan kram kaki ketika waktu tidur malam.

10) Kecantikan wajah
Pisang yang telah dihancurkan dan dicampurkan pula dengan sedikit susu serta madu boleh disapukan pada wajah setiap hari secara rutin selama 30-40 minit. Kemudian basuh wajah kamu dengan air suam dan diikuti dengan membilasnya mengggunakan air sejuk atau ais. jika ingin melihat keberkesanannnya, lakukannya selama 15 hari berturut-turut.


Nota:  Sungguhpun pisang baik untuk kesihatan dan membantu merawat penyakit tertentu, pisang bagaimanapun tidak sesuai bagi pesakit kencing manis. Hal  Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi. Terdapat 25 gram gula setiap 126 gram pisang (19.85%)








Jangan Tiru