Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 5 November 2018

. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah. (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS 2018)


Perpaduan amat penting bagi negara yang penduduknya berbilang kaum seperti di Malaysia. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah.  (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS 2018)

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diterapkan dengan cara melakukan aktiviti-aktiviti berunsur perpaduan bermula di bangku sekolah lagi. Perpaduan merupakan teras utama kepada pembangunan sesebuah negara.Membina perpaduan bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia merupakan satu perkara yang tidak mudah. Oleh itu, perpaduan perlulah diterapkan dari kecil supaya dapat membina jati diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia. Dengan pelbagai kaedah dan caranya yang tersendiri, maka sekolahlah antara  sebaik-baik tempat untuk kita memupuk perpaduan kaum

Antara cara mengukuh perpaduan di sekolah adalah dengan memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Di Malaysia bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi yang penting untuk menyatu-padukan semua lapisan masyarakat. Oleh itu anak-anak kecil daripada pelbagai kaum perlu diajar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkomunikasi bersama-sama rakan di sekolah Pepatah ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, yang bermaksud hendak mengajar atau mendidik anak-anak biarlah ketika usia mereka masih kecil kerana apabila menginjak dewasa perpaduan jadi bertambah erat . Pelajar-pelajar berinteraksi, berbual, berbincang sesame mereka menggunakan bahasa Melayu. Suasana jadi mesra dan ceria bagaikan berada dalam sebuah keluarga besara yang bahagia. Sesungguhnya penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dapat memantapkan perpaduan di sekolah

 Selain itu, dalam mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan hubungan  pelbagai kaum di sekolah, turut dilaksanakan  program Sekolah Penyayang’ dengan menekankan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dan ‘Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi’ dengan penyertaan bersama –sama ibu bapa murid-murid melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan murid yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi murid yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa murid-murid, contohnya, di sekolah  saya , setiap pagi guru bertugas di pintu sekolah akan menyambut kedatangan dan menyapa murid-murid ke sekolah dengan mesra, tidak kira bangsa atau agama murid tersebut. Situasi Ini memberi kesan dan contoh positif kepada murid-murid justeru dijadikan contoh teladan dengan mengamalkan tabiat sapaan terhadap rakan-rakan yang berbeza kaum. Jelaslah program Sekolah Penyayang dapat mengukuhkan dan memantapkan perpaduan di alam persekolahan lagi.

 Selanjutnya, untuk mengukuhkan perpaduan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. RIMUP merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program ini memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. RIMUP bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan  bersepadu. Di sekolah saya, program RIMUP ini  dijalankan bersama-sama peserta-peserta dari sekolah lain. Melalui program ini, peluang murid yang terdiri daripada pelbagai kaum tersedia untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang.Secara tidak langsung murid dari berlainan kaum dan agama dapat menjalankan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dengan baik dan lancar hasil daripada pergaulan dan kerjasama antara mereka.  Ternyata proses perpaduan dapat dipupuk dan dibina  melalui perancangan teliti seperti melalui program RIMUP yang melibatkan aktiviti sukan, persatuan, kelab, menyemarakkan suasana hormat-menghormati terhadap agama,  budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.

Seterusnya, setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program  sempena memperingati hari ulang tahun  kemerdekaan  negara. Begitu juga dengan sekolah saya, turut mengadakan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai patriotism dan perpaduan. Acara yang dilaksanakan ialah pakaian tradisional berbilang bangsa dalam kalangan murid, kibaran ‘Jalur Gemilang’ serta hiasan bilik darjah. Secara tidak langsung, murid dapat memahami bahawa pelbagai kaum di negara kita dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Aktiviti ini juga dapat membina keyakinan mereka berkaitan  pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatu padu. Dengan itu, bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat  perpaduan antara pelbagai kaum. Hanya menerusi pendidikan sahaja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Sememangnya dengan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, generasi awal terutamanya para pelajar didedahkan  betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk .

Di samping itu,  melalui amalan gotong royong pelajar didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan melahirkan masyarakat yang sedia bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.  Melalui aktiviti gotong royong perdana misalnya, pelajar-pelajar membersih kawasan sekolah, dengan sokongan dan penglibatan PIBG, pasti menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja  bekerjasama  tetapi kukuh  bersatu padu menepati kata bidalan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sambil bekerja, sambil berbual mesra berbincang persoalan anak-anak hingga ke penerokaan ilmu yang yang ditunjangi oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Suasana harmoni sebegini menjadi pemangkin perpaduan kaum. Hakikatnya perpaduan terserlah melalui amalan gotong royong yang sering dilaksanakan di sekolah di bawah anjuran pihak sekolah atau   anjuran  PIBG.

Kesimpulannya, pelbagai cara boleh digunakan bagi membentuk dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum bermula di sekolah. Sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting perlu sentiasa kuat, kukuh dan bertenaga dalam memupuk dan menyemai perpaduan.. Peranan sekolah guru dan ibu bapa dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan para pelajar amatlah besar. Suasana perpaduan yang erat, ikatan persahabatan yang kukuh antara pelajar berbilang kaum menjadikan alam persekolahan itu suatu nostalgia, suatu kenangan, suatu memori terindah dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Oleh  Yen Tingkatan 5 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru