Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 30 September 2018

BAHASA MELAYU KERTAS 2 PERCUBAAN NEGERI TERENGGANU 2018 & NEGERI PAHANG 2018


BAHASA MELAYU  KERTAS 2 PERCUBAAN  2018  NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
Soalan 1: Rumusan [30 markah]
Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang tanggungjawab sekolah dalam melahirkan pelajar cemerlang dan kelebihan-kelebihan menjadi pelajar cemerlang. Panjangnyarumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
      Program transformasi pendidikan kini bergerak ke arah landasan yang tepat dan padu. Namun demikian, untuk memastikannya dapat direalisasikan dengan jayanya, isu berkaitan dengan permasalahan sosial yang dicetuskan oleh pelajar yang kelihatan semakin membimbangkan perlu diselesaikan. Di sebalik pergolakan masalah sosial pelajar banyak faktor yang melatari permasalahan ini. Sebagai agen atau unsur yang membawa perubahan dalam masyarakat, sekolah dilihat sebagai lokasi tumpuan untuk mengawal tingkah laku dan membentuk personaliti pelajar. Sekolah sebagai institusi pendidikan mempunyai strategi tersendiri untuk meningkatkan kualiti dalaman dan luaran bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dan berketerampilan.
    Pada asasnya, sekolah ditubuhkan dengan tujuan mendidik para pelajar dengan ilmu pengetahuan yang berlandaskan pelbagai bidang. Sekolah dapat diibaratkan seperti pusat kecemerlangan, iaitu tempat penyebaran ilmu pengetahuan dan penyampaian pelbagai jenis kemahiran yang diperlukan oleh pelajar pada hari ini. Untuk itu, sekolah perlulah menyediakan keperluan dan prasarana yang lengkap seperti pusat sumber, kantin, padang di samping tenaga pengajar yang terbaik dan mencukupi di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni untuk membangkitkan minat dan semangat pelajar agar terus belajar secara konsisten. Hal ini dikatakan demikian kerana pencapaian sahsiah dan emosi pelajar dapat menentukan pencapaian akademik pelajar secara langsung. Seterusnya, sekolah merupakan wahana untuk merealisasikan matlamat pendidikan negara yang berfokuskan pembentukan pelajar yang berilmu, berbudi pekerti dan berpotensi. Matlamat pendidikan yang lain adalah untuk menampung tenaga kerja pada masa hadapan dengan kemahiran yang mencukupi dan mutakhir. Sekolah turut dilihat sebagai institusi pendidikan yang berperanan untuk mendidik generasi yang bertamadun tinggi serta memiliki pemikiran yang kreatif, kritis, analitis dan imaginatif.
     Menurut Willard Waller (1932), sekolah menjadi penentu budaya dan pembangunan sesebuah negara apabila penekanan kepada aspek-aspek kemahiran sosial dapat membantu pelajar untuk bertindak balas dengan persekitaran dan mengawal diri bagi menghadapi cabaran. Pihak sekolah juga sebagai agen perubahan sosial melalui kemajuan dalam bidang pendidikan, sahsiah, disiplin, pergaulan dan interaksi sosial. Aktiviti yang dilaksanakan dapat mewujudkan perkembangan sosial yang menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan di dalam dan di luar bilik darjah. Selain menggalakkan pelibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti luar yang sihat dan mantap, aktiviti di sekolah juga menerapkan nilai murni dan agama sebagai asas keperibadian yang syumul.
     Penganjuran aktiviti sosial di sekolah dapat mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Pengagihan kuasa kepada pelajar dengan memberikan tugas untuk memimpin kelab, persatuan dan badan beruniform di sekolah dapat membantu aspek kemahiran sosial dan kemahiran komunikasi yang amat penting dalam usaha untuk membina perpaduan dalam kalangan mereka. Sekolah memainkan peranan untuk mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik. Contohnya, perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan sifat hormat-menghormati biasanya dipelajari di sekolah. Guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata tetapi menanamkan sikap, nilai dan sahsiah sempurna yang mematuhi peraturan masyarakat.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Peranan Sekolah Sebagai Agen Pemupukan Budaya yang Luhur dan Seimbang’ oleh Azhar Salleh Dewan Siswa, Bil.8 2017
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1 , jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata prasarana yang lengkap.[ 2 markah ]
(ii) Pengarang ada mengemukakan beberapa matlamat pendidikan negara.Nyatakan matlamat-matlamat tersebut.[ 3 m ]
(iii) Pelajar cemerlang merupakan aset negara untuk mencapai status negara maju pada masa akan datang. Pada pendapat anda, selain mempunyai pelajar cemerlang, apakah persediaan-persediaan lain yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mencapai sasaran tersebut? [ 4 markah ]
Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen Baca petikan cerpen   kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
Dulu-dulu ketika di sekolah rendah, Aiman selalu ponteng sekolah. “Bosan dan jelak,” tingkahnya kepada babah dan ibu.
“Mengapa bosan?” tanya babah. Ibu mengerling tajam, marah akan perilaku si anak yang selalu berkontradiksi dan berkontras dengan watak babahnya.
“Heh, kan Aqil ni budak genius, budak cerdik dan pintar ! Aqil dah cipta formula sendiri. Biarpun baru berusia lapan tahun, baru belajar tahun dua tahap satu, Aqil mampu menyelesaikan masalah matematik Tingkatan Lima,” kata murid pintar itu membela diri.
Dia mundar-mandir di dalam kelas. “Apalah kau ni Chee Keong, masalah mudah itu pun kau tak dapat buat.” Hujung-hujung cakapnya berbunga sindiran di sebalik dedaun kemaafan.
“Aiman, pergi duduk di kerusi awak. Sekali lagi awak ganggu kawan, saya akan bawa awak menghadap Guru Besar,” Guru Kelas bersuara tegas, memberi amaran keras.
Tapi dia degil. Hatinya seteguh karang di lautan, sekeras sinar suria berkedudukan 90 darjah tepat. Babah dan ibu marah. Dendam yang bertakung sekian lama di dalam tasik hati mencair dalam detik momen yang singkat. Aiman dirotan. Ibu mengemukakan bantahan dan protes dalam hati.
Dipetik daripada cerpen ‘Hipertensi’ oleh Ilias Zaidi dalam antologi Sejadah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Berdasarkan petikan cerpen, mengapakah Aiman dirotan? [ 2 markah ]
(ii) Pada pandangan anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh keluarga untuk membantu anakanak genius? [ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [ 4 markah ]
Soalan 2(c) – Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan  menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada,”Hai anakku Kertala Sari, sebab aku menyuruh memanggil anakku ini, ‘kerana pesan bapamu kepada aku, ’Jangan tiada dikasihi anakku ini,’ kerana bapamu sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung,”
   Setelah Ketala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada.
Maka sembah Kertala Sari, “Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa.”
Setelah Patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-sukaan dan diberinya persalin.
Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap Seri Betara. Maka sembah Patih Gajah Mada, “Adapun penjurit tujuh orang yang dititahkan oleh Paduka Bentara pergi ke Melaka itu khabarnya sudah mati dibunuh oleh Laksamana ketujuhnya.
Dipetik daripada “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Berikan maksud mati kerana pekerjaan. [ 2 markah ]
(ii) Nyatakan janji-janji Kertala Sari selepas dititahkan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana. [ 3 markah ]
(iii) Peperangan antara negara membawa pelbagai kesan negatif. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh para pemimpin di negara-negara berkenaan untuk mengelakkan peperangan. [ 3 markah ]
Soalan 2 (d) – Gurindam  Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Gurindam Dua Belas
(Fasal yang Ketiga)
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
   Apabila terpelihara kuping,
   Khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
   Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
   Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.
   Anggota tengah hendaklah diingat,
   Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi

.      Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara) Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul KPM
(i) Apakah maksud rangkap ketujuh gurindam di atas? [ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh dilakukan supaya kita terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik? [ 3 markah ]
(iii) Huraikan dua pengajaran daripada gurindam di atas.[ 4 markah ]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan.
(a) Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambah imbuhan atau menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) daki           (ii) nilai             (iii) pulau       [6 markah]
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Maklumat tentang Sijil Pelajaran Malaysia sedang dijelaskan oleh setiausaha peperiksaan.
(ii) Tugas sebagai urus setia Kem Kepimpinan Pelajar di Merang sedang kami jalankan.
(iii) Semalam, pokok kelapa pandan di belakang rumah datuk telah saya tebang.  [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari  segi penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Ingatan sering dibuat terhadap kaki tangan awam agar sentiasa bersifat mesra di kaunterkaunter apabila berurusan dengan pelanggan.
(ii) Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa mereka tidak harus dibiarkan sentimen negatif memporakperandakan persepakatan yang terjalin antara masyarakat berbilang kaum sejak sekian lama.
(iii) Kementerian Pendidikan Malaysia telah laksanakan program yang membolehkansiswazah mempunyai kecekapan yang diperlukan bagi meningkatkan keboleh pasaran graduan institusi pengajian tinggi.      [6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Restoran Anis dan Alisya menyediakan pelbagai resipi yang menyelerakan demi untuk memuaskan hati para pelanggan mereka.
(ii) Ketagihan melayari Internet di kalangan remaja mampu memberikan ancaman dan meningkatkan risiko kesihatan mental, walaupun belum ada dialisis rasmi mengenai hal ini.
(iii) Pemain-pemain badminton negara perlu menjalani ujian saingan bagi memilih pemainpemain paling terbaik yang akan mewakili negara dalam kejohanan Piala Thomas  [6 markah]
(e) Baca petikan, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai untuk diisikan pada tempat kosong mengikut susunan.
Walaupun Osman agak lemah dalam pelajaran, tetapi dia yakin jika dia belajar bersungguhsungguh dia pasti akan dapat menguasai mata pelajaran yang dianggapnya sukar sebelum inikerana …................................………(i)…….....................………… Di samping usaha yang gigih Osman juga perlu mempunyai keinginan yang tinggi untuk berjaya kerana ……….......................(ii)……………….................. Osman berazam tidak mahu pulang ke kampung dengan ……...............................(iii)……................................… kerana tidak mendapat apa-apa kejayaan dalam peperiksaan yang bakal dihadapinya [6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib   (ii) Di Sebalik Dinara, karya Dayang Nor
(iii) Jendela Menghadap Jalan, karya Ruhaini Matdarin     (iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Songket Bebenang Emas, karya Khairuddin Ayip         (vi) Tirani, karya Beb Sabariah
(vii) Silir Daksina, karya Nizar Parman                              (viii) Bimasakti Menari, karya Sri Rahayu Mohd Yusop

4(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua latar masyarakat penyayang yang terdapat dalam novel tersebut. [ 7 markah ]
4(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu peristiwa yang mencetuskan saspens kepada anda dalam setiap novel tersebut dan nyatakan alasan anda. [ 8 markah ]













BAHASA MELAYU KERTAS  2 PERCUBAAN  2018 NEGERI PAHANG  (usaha untuk cemerlang A+)

Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menghargai kepelbagaian budaya dan kepentingannya terhadap negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
      Biar mati anak, jangan mati adat merupakan peribahasa Melayu yang menunjukkan betapa adat resam dan amalan tradisi sangat dititikberatkan dalam masyarakat. Adat resam merupakan sebahagian daripada budaya bangsa atau etnik yang melambangkan identiti komuniti tersebut. Budaya merupakan indikator penting yang mencerminkan jati diri seseorang individu dan mampu dijadikan medium untuk merapatkan hubungan antara rakyat.
      Setiap individu seharusnya peka dengan kewujudan budaya yang pelbagai di Malaysia dan tidak menggunakan alasan perbezaan budaya sebagai punca yang menghalang pergaulan antara kaum. Hal ini disebabkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara ini dituturkan oleh setiap rakyat yang membolehkan komunikasi antara mereka berlaku dengan baiknya. Selain itu, proses akulturasi yang merujuk kepada penyerapan unsur kebudayaan daripada satu budaya kepada budaya yang lain dapat menyemai semangat kekitaan dalam kalangan rakyat.
     Perkongsian amalan tradisi dan adat resam, terutama bagi kaum yang serumpun, dapat mengurangkan jurang perbezaan kaum jika hal ini dihayati. Sebagai contoh, pengantin Melayu dan India mempraktikkan amalan memakai inai di jari dalam majlis perkahwinannya dan mengunyah sirih pada waktu senggang. Kaum Baba Nyonya dan masyarakat Melayu juga mempunyai persamaan budaya yang banyak hasil daripada proses asimilasi dan akulturasi yang seharusnya dihargai serta dijadikan medium yang dapat merapatkan perhubungan antara dua kaum ini.
       Dengan memahami sejarah adat resam dan amalan tradisi yang diamalkan, kita dapat mengetahui asal usul masyarakat yang mempraktikkannya, yang sebenarnya mungkin berasal daripada budaya kaum lain. Sebagai contoh, perkahwinan masyarakat Melayu yang melibatkan hiasan pelamin dan adat bersanding diadaptasi daripada amalan kaum India. Sejarah sesuatu budaya yang dihayati dapat mendekatkan jurang perbezaan antara kaum apabila budaya tersebut merupakan perkongsian antara dua atau lebih kaum yang berbeza.
      Perbezaan budaya dan amalan tidak seharusnya menjadi punca perpisahan kaum, tetapi perlu berfungsi sebagai wadah penyatuan rakyat apabila perbezaan itu dianggap keunikan yang perlu didekati dan dikenali, seperti kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Oleh hal yang demikian, setiap individu perlu membuang rasa prejudis atau persepsi negatif terhadap kaum lain. Syak wasangka yang berlandaskan perkauman boleh mewujudkan diskriminasi kaum yang seterusnya mengundang perbalahan dalam masyarakat dan menghalang integrasi antara kaum.  Selain itu, rakyat Malaysia perlu mengelakkan sikap etnosentrik, iaitu kecendurangan untuk menganggap masyarakat dan budaya sendiri lebih unggul daripada yang lain.
      Sehubungan dengan itu, rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat yang provokatif dan menyentuh sensitiviti bangsa tertentu sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum. Hal ini penting agar rakyat menghargai kepelbagaian warisan tradisi kaumkaum di Malaysia.
(Diubah suai daripada “Menghargai & Menghormati Kepelbagaian Budaya”, oleh Nuraziah Mohd Amin, Dewan Siswa Jun 2016)
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah]   Soalan 2(a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata menghalang integrasi. [2 markah]
(ii) Dalam petikan, pengarang menjelaskan bukti kewujudan perkongsian amalan tradisi dan adat resam antara kaum di Malaysia.
Nyatakan dua bukti tersebut. [3 markah]
(iii) Kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat setempat amat perlu dihargai.  Pada pendapat anda, bagaimanakah anda menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dalam kalangan komuniti setempat? [4 markah]
Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen Baca petikan cerpen, kemudian jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
Usia Ahmad Mutawakkil pada ketika itu, baru 17 tahun. Meskipun masih terlalu muda remaja, setiap kata dan tindak-tanduk Ahmad Mutawakkil sangat berpengaruh. Selain dihormati di kampungnya sendiri, dia juga disegani di seluruh daerah. Tatkala sayap parti dikembangkan ke daerah kami, dia terpilih sebagai antara orang kuatnya.
    Sekalipun secara terbuka Ahmad Mutawakkil berjuang menentang Inggeris, dia tetap akrab dan mesra dengan keluarga Tuan Booth yang kembali ke estet sebaik-baik saja Jepun kalah.
 ”Saya suka pemuda yang berani,” kata Tuan Booth. ”Sekarang,” kata Orang Putih itu lagi, ”di mana-mana, orang Melayu sudah lawan Inggeris, dan Ahmad Mutawakkil nasionalis Melayu
paling muda.”
   Sejak kembali, Tuan Booth jauh berubah. Dia tak lagi terperap di estet. Pada setiap petang, biasanya selepas solat asar, biasanya selepas solat asar, dia akan menjengah ke surau. Dia akan duduk berbual-bual, bercerita itu ini, terutama dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap. Ada sekali, sewaktu Ahmad Mutawakkil balik ke kampung, Tuan Booth mengundang kami ke banglonya.
  ”Dia pelawa kita minum teh di banglonya,” kata Ahmad Mutawakkil. ”Saya fikir, Tuan Booth ikhlas nak berbaik-baik.”
Kami terdiam, tak berani bersuara, menantikan kata putus daripada Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.
    Akhirnya, setelah agak lama buntu, Ahmad Mutawakkil meluahkan pandangan. ”Selama tuan Booth di sini, sejak dulu lagi, tak pernah dia memusuhi kita. Jadi, saya fikir atas sifat hati Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.”
Dipetik daripada cerpen ‘Cinta Ahmad Mutawakkil’ oleh Zainal Rashid Ahmad dalam antologi Sejadah Rindu, KPM
(i) Berdasarkan petikan di atas, terdapat beberapa perubahan dalam diri Tuan Booth sejak
beliau kembali semula ke estet setelah kekalahan Jepun. Nyatakan perubahan-perubahan tersebut. [2 markah]
(ii) Penduduk di kawasan kejiranan anda terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Sebagai remaja, kemukakan langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mengekalkan keharmonian di kawasan kediaman anda.   [3 markah]
(iii) Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan dan satu nilai lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
Soalan 2(c)–Prosa Tradisional Baca petikan  kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat-ayat anda sendiri.
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, tiada patik bertemu. Insya-Allah, kelak malam patik cuba main perajurit itu, dengan berkat arwah guru patik. “Maka raja pun diamlah.
Setelah hari malam maka Kertala Sari pun memakai pakaian yang indah-indah dan memakai bau-bauan yang harum lalu masuk ke dalam kota, dalam hatinya, “Pada malam ini aku masuk membakar dan mengamuk, kerana harta orang Melaka itu pun habis aku curi”
Sebermula maka Laksamana pun memakai pakaian penjurit. Maka Laksamana pun berjalanlah. Pada malam itu kelam-kabut dan hujan pun rintik-rintik. Maka Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota. Maka Laksamana pun tidur di tengah pasar itu. Maka didengar oleh Laksamana kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh bahananya. Maka Laksamana pun tahulah akan Kertala Sari pun berjalanlah ke tengah pasar itu. Maka tertendang kakinya pada tubuh Laksamana.
Maka Kertala Sari pun berdirilah atas kepala Laksamana itu, katanya, “Teririk bangkai pula aku ini!”
Adapun akan Laksamana tidur itu kerisnya sudah terhunus, lalu ia bangun melompat menikam dada Kertala Sari terus ke belakangnya.
Maka Laksamana pun berkata. “Cis, mati engkau olehku!” kerisnya pula mengusir Laksamana. Dua tiga langkah maka ia pun rebah terjerumus lalu mati. Maka oleh Laksamana dihirisnya syahwatnya diambilnya lalu ia kembali ke rumahnya.
Dipetik daripada 'Kepimpinan Melalui Teladan' dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Berikan maksud rangkai kata teririk bangkai. [2 markah]
(ii) Nyatakan persiapan-persiapan yang dilakukan oleh Kertala Sari sebelum membakar dan merngamuk pada malam itu?[3 m]
(iii) Kejadian mencuri dan merompak merupakan antara anasir jenayah yang masih berlaku dalam negara kita. Apakah langkah-langkah yang paling berkesan untuk membendung isu kecurian dan rompakan di negara kita pada masa ini?  [3 markah]
Soalan 2(d) – Seloka Baca seloka , kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Berbuat istana zaman dahulu

Baginda menitahkan orang besar empat,
Membuat istana puri berkota,
Lalu dipanggil Pawang Raja,
Pawang mengerah orang bekerja,
Empat puluh empat tukang dan utas,
Siang malam tidak berhenti.
       Tujuh bulan tujuh purnama,
        Istana siap dengan alatnya,
        Besar tersergam sembilan ruang,
        Sepuluh dengan rembat guntung,
        Sebelas dengan pancung serong,
         Dua belas dengan anjung tinggi.
Tiga sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharaja lela,
Tiang tengah syukur menanti,
Galang-galangnya ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega.
        Berbunga sawa mengelempai,
        Bertakuk bersedelinggam,
        Berjenang berbatu kawi,
         Berselimpat ukir Jawa,
         Lilit-melilit akar Cina,
         Garam sebuku sisa jeragan,
         Bunga kenanga dimakan ular,
         Layang-layang di pintu Raja.
Istana siap tukang pun mati,
Tiada orang dapat meniru,
Dipersembahkan kepada baginda suami isteri.

                      Za'ba, 2008 Antologi Sejadah Rindu, Dewan Bahasa dan Pustaka
 (i) Berdasarkan seloka tersebut,nyatakan dua reka bentuk tiang dalam istana yang telah siap dengan alatnya. [2 markah]
(ii) Seni bina istana zaman dahulu sangat menitikberatkan unsur kesenian terutama dari segi keunikan ukirannya.
Pada pendapat anda, mengapakah unsur tradisional ini perlu dipelihara dalam kalangan masyarakat hari ini? [3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam seloka tersebut? [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa  [30 markah] Jawab semua soalan
(a) Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) tegur      (ii) serak   (iii) selak      [6 markah]
(b) Tukarkan setiap ayat aktif di bawah ini kepada ayat pasif.
(i) Malaysia mempamerkan aksi yang membanggakan apabila Berjaya  mengutip 17 emas dalam kejohanan sukan itu.
(ii) Kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa cuaca memainkan peranan  penting dalam hidup.
(iii) Pihak berkuasa hendaklah menjalankan kempen keselamatan di jalan raya untuk memastikan jumlah kemalangan berkurangan.  [6 markah]
(c) Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga  kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan  itu. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
Dalam usaha hendak melahirkan atlit setaraf dunia serta jenerasi yang berdayasaing, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan setiap murid sekolah menyertai satu bidang sukan sebagai landasan untuk menyungkil bakat sukan pada peringkat akar umbi yang berlaku secara kolektif, bersepadu dan konsistan.   [6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata  atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan  kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Ayah memberitahu saya dan emak bahawa kami akan pulang di Angsana Kampung pada hujung minggu itu untuk melihat nenek.
(ii) Pekerjaan itu haruslah dilakukan mengikut produser supaya mendapat kelulusan dari pihak berkuasa.
(iii) Koleksi kereta-kereta model terbaharu keluaran syarikat pengeluar kereta nasional itu mendapat sokongan yang menggalakkan daripada rakyat  Malaysia.   [6 markah]
 (e) Berikan satu peribahasa lain yang sama maksud dengan peribahasa di bawah.
(i) Musuh dalam selimut. (ii) Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. (iii) Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
 [6 m]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib      (ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhani Matdarin        (iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Tirani karya Beb Sabariah                                               (vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop          (viii) Silir Daksina karya Nizar Parman

(a) Pada bahagian perkembangan sebuah novel yang anda pelajari telah menarik minat anda kerana terdapat keistimewaannya yang tersendiri. Huraikan dua keistimewaan tersebut. [7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan dua persamaan latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua novel tersebut.  [8 markah]

KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT




Jumaat, 21 September 2018

Latihan intensif BM menjelang SPM 2019 - RUMUSAN



MODUL 1   Soalan 1: Rumusan [30 markah]
Baca petikan dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tanggungjawab ibu bapa dalam mengatasi kemerosotan pencapaian akademik anak-anak dan kekangan dalam meningkatkannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
        Kebanyakan ibu bapa di negara ini amat mementingkan pencapaian akademik anak mereka. Namun akhir-akhir ini banyak masalah yang mengganggu pencapaian akademik pelajar seperti masalah tidak berminat belajar, ponteng sekolah,dan masalah disiplin. Masalah ini perlu ditangani segera supaya tidak menular sehingga menggugat pembangunan modal insan di negara ini. Masalah tidak berminat terhadap pelajaran bukan sahaja menyebabkan masa depan pelajar menjadi suram malah boleh menjejaskan nilai moral. Hal ini demikian kerana,banyak pelajar yang tidak berminat terhadap pelajaran telah melibatkan diri dalam kes jenayah terutama mereka yang suka ponteng sekolah.
      Bagi mengatasi masalah kemerosotan pencapaian akademik ini, ibu bapa perlu memberikan tumpuan kepada punca berlakunya kemerosotan tersebut. Apabila mengetahui puncanya akan memudahkan masalah itu diatasi. Ibu bapa perlu sedar bahawa peranan mereka amat besar dalam menentukan kejayaan anak-anak. Ibu bapa perlu mengutamakan kebahagiaan rumah tangga dan mengelakkan tercetusnya masalah dalam keluarga sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan kerana anak-anak ialah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai.
      Menurut kajian psikologi, masalah hubungan kekeluargaan menyebabkan anak itu tidak mempedulikan pencapaian akademik mereka dan melakukan vandalisme sekali gus terjerumus dalam kegiatan jenayah. Begitu juga dengan ibubapa yang sibuk mengejar kemewahan hidup tidak akan dapat mendidik anak secara sempurna. Tambahan pula perubahan sistem sosial da persekitaran mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak menyebabkan mereka melakukan perbuatan negatif, bersikap agresif dan enggan mendengar nasihat. Hal ini mengecewakan ibu bapa mereka.
       Dalam dunia realiti, keluarga yang bahagia tidak semestinya melahirkan anak-anak yang bijak. Bagi memastikan hubungan sesama ahli keluarga sentiasa harmoni, ibu bapa hendaklah meluangkan banyak masa bersama anak-anak ketika mereka belajar dan beriadah supaya membuahkan hasil yang positif. Selain itu, ibu bapa perlu mempelajari cara-cara yang berkesan untuk mendidik dan membimbing anak-anak.
       Menurut pakar psikologi, langkah praktis yang lain adalah dengan memberikan pujian yang ikhlas apabila anak-anak menperoleh sesuatu kejayaan terutama dalam pelajaran . Anak-anak juga suka memberikan pendapat mereka.  Oleh itu, ibu bapa perlu memberi peluang kepada mereka untuk melahirkan pendapat walaupun pendapat itu mungkin kurang munasabah mengikut pandangan orang dewasa. Anak-anak yang selalu diminta memberikan pendapatnya akan berasa diri mereka lebih dihargai. Ibu bapa juga perlu mendengar keluhan anak-anak agar dapat mengatasi masalah emosi mereka. Dalam usaha melahirkan generasi cemerlang, usaha- usaha yang dilaksanakan oleh ibu bapa perlu bermula daripada institusi keluarga kerana mereka merupakan tonggak penting dalam sesebuah keluarga.                           (Dipetik dan diubahsuai daripada Dilema Kemerosotan Pencapaian Akademik oleh Tam Cai Lian, Dewan Masyarakat, April 2009)
Soalan 2 (a) Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata menggugat pembangunan [2 markah]
ii) Apakah punca-punca yang menyebabkan anak-anak melakukan perbuatan negatif? [3 markah]
iii)Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka? [4m]


MODUL 2 :  Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara berbelanja secara berhemat oleh golongan muda dan kekangan untuk menggalakkan mereka menabung. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
      Tabiat berbelanja melebihi pendapatan dipercayai menjadi faktor anak muda di negara ini terjerat dalam krisis kewangan. Situasi ini jika tidak ditangani, pasti memberikan kesan buruk kepada tabungan negara. Selain itu, timbul keadaan golongan muda menghadapi masalah kewangan kronik apabila usia mereka meningkat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang jika beban hutang yang ditanggung hari ini tidak dilangsaikan sepenuhnya.
     Sebenarnya, prinsip pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipraktikkan jika anak muda mahu berubah sikap dan lebih berdisiplin ketika mengurus hal-hal kewangan mereka. Bagi mereka yang mempunyai maklumat asas tentang perancangan kewangan pasti tidak sukar untuk melakukannya. Anak muda
yang tidak arif pula, usahlah malas membaca dan membuat kaji selidik bagi mencari penyelesaian terhadap beban kewangan. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. (Mereka perlu menentukan matlamat dalam mengurus kewangan untuk masa hadapan mereka), misalnya menyambung pelajaran, membeli rumah, atau mendirikan rumah tangga. Apabila kita sudah menentukan matlamat kewangan, sudah pasti aliran kewangan kita akan menjadi lebih teratur dan terancang.
     Jika golongan muda merasakan bahawa pada setiap akhir bulan mereka gagal untuk menyimpan wang, inilah masanya untuk mereka memantau,dan mengawasi perbelanjaan semasa. Perkara penting yang perlu dilakukan adalah dengan menyemak aliran perbelanjaan mereka pada setiap hujung bulan. Sekiranya mereka melakukan semakan, maka mereka akan mengetahui sama ada perbelanjaan mereka lebih cenderung ke arah keperluan ataupun atas kehendak nafsu semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ada golongan muda yang lebih cenderung untuk terus berbelanja sepuas-puas hati hingga lupa untuk menabung. Hal ini, biasanya terjadi kepada orang muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Bagi mengelakkan perkara ini terus terjadi, mereka yang baru memasuki alam pekerjaan perlu mencatat butiran perbelanjaan dan merancang aliran perbelanjaan sepanjang bulan. Konsep perbelanjaan yang betul dan sepatutnya ialah perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Oleh yang demikian, setiap kali menerima gaji bulanan mereka perlu menabung untuk masa hadapan.
         Penularan penggunaan kad kredit juga kini menjadi trend yang sukar untuk dibendung dalam kalangan orang muda. Perkara yang membimbangkan kita ialah mereka menggunakan kad kredit sebagai jalan mudah untuk membeli-belah dan membayar hutang. Seharusnya, mereka mengelakkan penggunaan kad kredit sebaliknya, menggunakan wang tunai ketika berbelanja. Sekiranya mereka berbelanja mengikut hawa nafsu ketika menggunakan kad kredit, hal inl akan menyebabkan mereka terjebak dalam kancah hutang, seterusnya dikejar oleh 'along'. Oleh itu, golongan muda perlu berhemat ketika berbelanja..
 (Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Urus RM, Tip Belanja Berhemat, Elak Jadi Hamba Duit' oleh Alzahrin Alias Berita Harian,12 Mac 2011)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata dilangsaikan sepenuhnya. [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga kesan yang akan timbul sekiranya golongan muda boros berbelanja. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha kerajaan untuk menggalakkan golongan remaja menabung? Berikan empat usaha. [4 markah]


MODUL  3     Soalan 1 : Rumusan (30 markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu isi rumusan tentang peranan sekolah memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan faedahnya kepada negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
    Sekolah dalam apa-apa jua keadaan harus sentiasa menjadi penggalak kepada pelajar agar mempunyai tanggapan yang positif terhadap negara sendiri. Pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri', seharusnya dibincangkan dengan mendalam di sekolah.
     Sebagai agen perpaduan, sekolah pada dasarnya bertanggungjawab menerapkan nilai murni kepada pelajar. Sifat yang wujud dalam nilai ini diharapkan dapat mengubah persepsi pelajar terhadap kepentingan kewujudan masyarakat majmuk di negara ini. Satu perkara lagi yang seharusnya dipupuk dalam kalangan pelajar di negara ini ialah pengetahuan dan sikap positif pelajar terhadap Negara Malaysia yang tercinta ini. Pelajar hendaklah diberi kefahaman bahawa mereka seharusnya mempunyai identiti rakyat Malaysia yang sebenar.
      Sementara itu, sekolah juga merupakan agen sosialisasi yang sangat berkesan. Dalam hal ini, sekolah hendaklah memastikan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Pada masa yang sama, pembelajaran di sekolah seharusnya menekankan kaedah yang membolehkan pelajar memahami roh dan prinsip Rukun Negara. Perkara ini semakin tidak dihiraukan oleh kebanyakan pihak. Begitu juga halnya dengan proses pemasyarakatan pelajar. Pelajar perlu dilatih, diasuh, dikawal dan dikehendaki mengikuti dan mengamalkan nilai-nilai murni yang menjurus ke arah perpaduan dalam kalangan masyarakat.
     Selain itu, sekolah juga mampu menerapkan nilai-nilai murni ketika guru dan pelajar melaksanakan aktiviti-aktiviti secara kolektif. Perkara ini boleh dilaksanakan ketika sekolah mengadakan aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan harian, nyanyian lagu Negaraku, pembacaan ikrar Rukun Negara dan upacara menaikkan bendera. Seterusnya, peranan guru di sekolah amatlah besar dalam merealisasikan hasrat murni ini. Mereka perlu memastikan setiap aktiviti menerapkan proses menghayati dan mengamalkan perpaduan, semangat kenegaraan, kebersamaan, dan patriotisme. Sikap guru itu sendiri perlu menunjukkan bahawa perpaduan sangat penting kerana tindakan guru boleh mempengaruhi para pelajar di sekolah.
    Sistem pendidikan semata-mata tidak akan mampu mewujudkan perpaduan yang menjadi asas gagasan 1Malaysia. Ibu bapa sepatutnya menyokong dan membantu guru merancang serta melaksanakan apa-apa jua program yang boleh memenuhi hasrat dan cita-cita murni ini. Di rumah, ibu bapa seharusnya menyambung segala tugas guru untuk memupuk perpaduan supaya tidak wujud pertembungan nilai, di samping menjadi suri teladan ketika berinteraksi dengan masyarakat sekeliling yang berlainan kaum.  Jika kedua-dua pihak memainkan secara kolektif peranan ini secara sedar dan bersungguh-sungguh, sudah pasti gagasan ini akan menjadi kenyataan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Merealisasikan Gagasan 1Malaysia" oleh Mohd. Saleh Ismail, Dewan Masyarakat, September 2009)
Soalan 2 (a) - Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata tanggapan yang positif.  [2 markah]
(ii) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu pihak sekolah merealisasikan hasrat untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar?[3m]
(iii)Pada pendapat anda, apakah halangan-halangan yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam menjayakan agenda perpaduan negara?[4m]



MODUL  4 Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani jenayah siber dan masalah-masalah menangani jenayah siber. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     Istilah alam siber digunakan secara meluas untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan komputer, teknologi maklumat dan pelbagai budaya. Internet merujuk dunia dalam talian sebagai media komunikasi. Setiap individu di alam siber mempunyai kuasa tersendiri dengan bersembunyi di sebalik nama samaran. Keadaan ini mendedahkan pengguna kepada jenayah di alam siber seperti mangsa ditipu menerusi Internet yang melibatkan kerugian wang ringgit, khususnya menerusi laman sesawang “bank palsu”. Oleh itu, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pengguna, antaranya penggunaan program antivirus yang menyediakan perlindungan secukupnya kepada komputer peribadi.
     Dalam dunia Internet, terdapat segelintir golongan yang menceroboh system komputer yang dikenali sebagai penggodam. Bagi mengelakkan penggodaman berlaku, kata laluan mestilah sentiasa dilindungi supaya lebih selamat dan sukar diakses oleh orang lain. Jenayah siber juga boleh berlaku melalui e-mel. Oleh itu, pengguna jangan sesekali membuka e-mel yang meragukan daripada pihak yang tidak dikenali. Jika pengguna ingin juga membuka e-mel berkenaan, pastikan tidak terus mengklik pautan yang disediakan kerana lazimnya transaksi rasmi dalam talian tidak akan menghantar e-mel yang mempunyai pautan di dalamnya. Sekiranya terdapat lampiran yang dihantar, kita disarankan agar membukanya setelah diimbas terlebih dahulu.
     Selain itu, pengguna hendaklah berhati-hati apabila bersembang dengan orang yang tidak dikenali di alam siber. Hal ini demikian kerana banyak kes jenayah dan salah laku sosial bermula daripada ruangan sembang di Internet. Kita juga diharapkan tidak mudah membuat janji temu dengan kenalan di alam siber. Sekiranya bersetuju bertemu, bermakna sebelah kaki sudah termasuk dalam perangkap penjenayah siber. Begitu juga kita jangan sesekali memberikan kepercayaan dengan mendedahkan maklumat peribadi kepada individu yang baru dikenali menerusi Internet.
     Seterusnya, pengguna jangan mudah membayar wang sebagai deposit untuk mendapatkan sesuatu yang dijanjikan. Pengguna juga jangan mudah menjadi responden soal selidik yang diuruskan oleh individu yang sebenarnya hanya bertujuan untuk menjanakan pendapatannya. Bertitik tolak daripada situasi tersebut, pengguna juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya oleh godaan untuk menjadi kaya dengan cepat menerusi iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Iklan sebegini biasanya meminta pengguna mengeluarkan sedikit wang sebagai modal. Namun, pilihan terletak di tangan pengguna untuk menilai maklumat yang dipaparkan dalam Internet itu benar atau sebaliknya.
Dipetik dan diubah suai daripada “Etika di Alam Siber” oleh Zuraidah Hanim binti Md. Akhir Dewasa Siswa, Februari 2013
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata ruangan sembang.  [ 2 markah ]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa terdapat beberapa kesan negatif penggunaan Internet kepada pengguna. Nyatakan kesan-kesan tersebut.  [ 3 markah ]
(iii) Pada hari ini, terdapat segelintir pengguna yang menyalahgunakan Internet. Huraikan pendapat anda tentang tindakan-tindakan yang patut dikenakan terhadap pengguna yang menyalahgunakan Internet. [ 4 markah ]

Jangan Tiru