Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Selasa, 20 Februari 2018

BM SPM- kewajiban bertudung-Yang Wajib Ialah Menutup Aurat,



Yang Wajib Ialah Menutup Aurat, Antaranya Adalah Dengan Berjilbab atau Bertudung

     Apabila wanita menjaga auratnya daripada pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya,malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Sebab itu syariat menetapkan supaya wanita pakaiannya adalah pakaian yang longgar dengan  menutup seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangannya.
    
    Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita Malaysia menjaga auratnya, sekurang-kurangnya mereka telah memakai tudung. Di sana sini hari ini dapat kita saksikan para wanita kita memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah mula  menginsafi diri sebahagian besar wanita Muslimah  Malaysia yang patuh akan perintah Allah SWT. Kita melihat hari ini, mengikut status quo, dari orang bawahan hingga  ke orang atasan, dari peringkat pelajar-pelajar, guru-guru sekolah hinggalah ke pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai dan majikan wanita di pejabat-pejabat sudahpun bertudung. Solat dan amal ibadah yang lain sama-sama kita sempurnakan. Situasi beginilah yang kita impi-impikan dalam sebuah negara Islam seperti di Malaysia.  Sesekali kita rasa insaf, rasa sayu. apabila melihat  seorang guru wanita  yang beragama Islam tetapi masih belum, masih tidak, bertudung. Insaflah, cikgu...! Pakailah tudung.....

     Pakaian bagi seorang wanita mukmin itu  bukan sahaja untuk menutup auratnya malah sekaligus memelihara maruahnya sebagai seorang wanita. Bagi wanita Islam.pakaian dan tudungnya   tidak menampakkan bentuk tubuh badannya, dan tidak keterlaluan berhias-hias yang  akan menjadi daya  tarikan negatif  bagi lelaki bukan muhramnya . InsyaAllah, pakaian yang menutup aurat  mampu  menjadi senjata paling berkesan melindungi wanita Islam daripada menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

    Tudung yang kita pakai  membenihkan rasa keinsafan, rasa syukur kita sebagai insan muslimah. Kita  rasa diri kita masih banyak kekurangannya , masih banyak dosa dengan Allah SWT  mahupun dengan manusia. Kita  terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini  suatu amalan yang mampu kita laksanakan. Yang pasti hati kita sentiasa berbunga kesyukuran dan percaya akan hakikat bahawa keyakinan diri  jadi lebih kukuh apabila kita bertudung. Bagi yang belum bertudung, cubalah bertudung, isyaAllah keindahan yang tersurat dan tersirat pasti terasa dan dapat dirasai. InsyaAllah.

       Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tetapi mengabaikan kebajikan ibu bapa. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi yang bertentangan Islam yang dibuat oleh wanita bertudung termasuk kes-kes besar yang tidak perlu diterjemahkan dengan kata-kata sebab terlalu mengaibkan..Perilaku mereka ini mencabar kita  yang bertudung. Namu berkat ketabahan kita, kita tetap kekal bertudung sekali gus mematuhi perintah Allah SWT. Biarkanlah mereka dengan cara mereka jangan disakiti hati mereka jangan  pula kita terpengaruh sebaliknya kita sama-sama berdoa agar mereka kekal bertudung, bertingkahlaku positif  dan menjadi insan Muslimah  yang mengikut syariat dan ajaran Islam. Mudah-mudahan dengan doa dan harapan kita, perubahan positif akan berlaku.

       Seperkara yang perlu kita hayati bersama-sama  ialah, nilai  diri sopan santun, ketertiban Muslimah yang bertudung hendaklah sentiasa dijaga dan dipelihara dengan tulus ikhlas. . Wanita Islam lain yang hatinya ingin  bertudung pun terus teruja  untuk ikut bertudung apabila melihat sikap muslimah yang berhati mulia, yang amat mematuhi hukum Islam. Akhirnya, mereka rasakan bertudung atau menutup aurat jauh bezanya dengan pengalaman masa tidak bertudung. Lebih baiklah bertudung. Mereka berasa lebih selamat , suatu perasaan yang lebih indah yang tak terungkap dek kata-kata,  dan hati kecil mereka mula membisikkan “mengapalah aku tidak bertudung sedari awal lagi?”

        Masyarakat  bukan Islam pula tertarik  hati untuk mendekati Islam dan menerima   Islam dengan kalimah syahadah,kerana tertarik dengan sikap umat Islam yang sentiasa menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Apabila  bertudung, wanita Muslimah ternyata dilihat bertingkah laku mulia, bersederhana dalam serba serbi, sopan dengan sesiapa sahaja termasuk dengan orang bukan Islam. Orang bukan Islam  sudah mula  nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk prakarsa dakwah terhadap  orang bukan Islam. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah perantara pendakwah bagi Islam. Kitalah sebenarnya antara pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tetapi hanya melalui pakaian, melalui bertudung. Syukur Alhamdulillah.

        Kalau kita tutup aurat  dan dalam masa yang sama kita terus memperbaiki diri lahir dan batin dari semasa ke semasa, kitalah antara  sumber  jayanya mesej Islam mahu  disampaikan kepada seluruh ummah. Dalam situasi  semasa kita menginsafi bahawa  Islam itu bermula daripada diri kita sendiri. Yang paling bermakna ialah akhlak kita secara langsung  boleh beransur-ansur  jadi baik jika kita memakai tudung. Kita akan mengalami suatu perasaan yang kita tidak akan tergamak melakukan sesuatu yang menyalahi hukum  Islam. Itulah magisnya, rahsia terindah di sebalik memakai tudung. Hakikatnya, aurat, wajib ditutup di samping itu kita baikilah tingkah laku, personality diri kita dari semasa ke semasa.

      Kalau sudah mula menutup aurat biasakan diri dengan berbaik sangka, hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis wajah, berlembut kata-kata.  Batasi pergaulan bebas antara lelaki perempuan.Ohooh, takut tak dapat jodoh? Aha.... Soal jodoh pertemuan kita serahkan sahaja kepada Yang Maha Esa. Yakinlah pada ketetapan Allah SWT. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat . Solat hendaklah dijaga. Cuba didik diri jadi orang yang lemah-lembut. Yang  menjaga tertib sebagai seorang wanita Islam. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam ini indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak  menghiasi peribadi wanita muslimah yang bertudung. Semarak kasih sentiasa ada di mana-mana, di persekitaran dan di dalam diri wanita Islam yang bertudung.


       Kesimpulannya  apabila wanita  Islam itu sudah cantik peribadinya. Barulah orang lain turut terpikat untuk amalkan Islam. Barulah orang bukan Islam hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.”  Pakailah tudung kerana kita wanita Islam wajib menutup aurat. Susah sangatke nak pakai tudung, atau rasa diri macam orang kampung kalau bertudung?, atau rasa rendahnya status anda kalau bertudung ?atau anda rasa akan  jatuhkah maruah anda kalau bertudung? Atau balik dari Mekah baru nak bertudung? Atau mahu tunggu usia senja baru nak bertudung? Renung-renungkan, fikir-fikirkanlah sebab menutup aurat(berjilbab atau bertudung) adalah perintah Allah SWT.




Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru