Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 19 Februari 2018

Langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan. Beri pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan .Karangan B- soalan percubaan Kedah 2018-


Semangat kejiranan kian terhakis dalam kalangan masyarakat kita.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk memupuk semangat  kejiranan

Semangat kejiranan merujuk kepada semangat bantu-membantu, toleransi, ikatan muafakat dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya dengan jiran bersebelahan rumah kita.. Semangat kejiranan ini perlu ditingkatkan disemarakkan agar intipati keindahan hidup berjiran itu dapat kita nikmati bersama-sama.. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat kejiranan tidak dikesampingkan malah terus dipupuk dan ditingkatkan.

Antara langkah awal dan yang paling asas ialah kerajaan dengan suasana politiknya yang stabil menghidupkan semula Skim Rukun Tetangga di semua kawasan perumahan di negara kita. Rukun tetangga didaftarkan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan manakala penduduk secara formalitinya perlu mendaftar keahliannya dalam kelab Rukun Tetangga..Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama apabila senja mula berlabuh hinggalah ke waktu malam menutup tirainya. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Ahli Rukun Tetangga bekerjasama menjaga keselamatan persis berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan tidak ada yang curi tulang.Suasana harmoni wujud sedamai kehidupan di daerah kejiranan. Sememangnya, hubungan rapat yang terjalin melalui Rukun Tetangga ini mengeratkan lagi hubungan antara kita yang hidup berjiran.

Seterusnya semangat kejiranan mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis keramaian yang bercorak kekeluargaan. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni dan penuh dengan kemesraan dan keceriaan. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini, dan tidak ada yang bertindak sombong bagai merak mengigal di rimba atau bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sebaliknya masyarakat berjiran sentiasa bekerjasama bantu-membantu persis ke lurah sama dituruni, ke gunung sama didaki. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur melalui saat-saat meriah, dan penuh kemesraan majlis-majlis keramaian di kawasan sekitar tempat tinggal kita.’

Selanjutnya, kerajaan mendominasi peranan mengukuhkan semangat kejiranan dengan mengadakan kempen kesedaran peri pentingnya semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas-luasnya dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap perlunya memupuk semangat kejiranan yang tekal, padu dan jitu.. Masyarakat akan mula bermuhasabah diri, menilai  tahap semangat kejiranan mereka lantas berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan perumahan atau di kawasan tempat tinggal mereka. Suasana tegur sapa, bertanya khabar menjadi rencah kehidupan berjiran berteraskan yang tua dihormati manakala yang muda disegani. Kehadiran jiran menjengah di muka pintu disambut dengan senyuman, bual bicara santak ke senja. Oh betapa akrabnya suasana perpaduan direalisasikan dalam konsep kejiranan yang tulus suci  Ternyata kerajaan memang bijak memainkan peranannya dalam mencetuskan usaha memupuk semangat kejiranan yang cukup relevan di negara kita.

Di samping itu, sikap dan persepsi masyarakat perlu ditransformasikan ke arah kenali jiran kita, yakni perlu ambil berat terhadap jiran sebelah-menyebelah rumah kita. Transformasikanlah citra kontroversi jangan jaga tepi kain orang, kepada kita perlu jaga tepi kain jiran kita, dan jadikanlah diri kita mata dan telinga jiran kita terutama dalam aspek keselamatan, atau dalam situasi kecemasan dan dalam mengenalpasti keperluan penjagaan kesihatan jiran kita. Apabila kita ternampak manusia misteri di jeriji pagar rumah jiran kita maka segeralah kita bertindak menghubungi polis atau setidak-tidaknya hubungilah jiran kita dahulu. Sebagai tetangga kita hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu aset penting dalam kehidupan berjiran. Kalau bukan kita yang membantu jiran kita, siapatah lagi. Semangat ini perlulah diutamakan dalam membentuk rukun hidup berjiran. Sememangnya, paradigma yang baharu sebegini dapat menjana dan memastikan semangat kejiranan  terus mekar mengharum di hati dan di minda  masyarakat kita.

Selain itu jiran perlu bersatu membentuk perpaduan bangsa. Jiran yang berketurunan Tionghua, India, Melayu, atau Kadazan boleh melakukan aktiviti bersama-sama seperti keluar beriadah, berjoging bersama-sama atau berekspedisi, berekreasi bersama-sama sambil berbincang persoalan keluarga hinggalah ke persoalan negara seperti meleraikan kemelut yang dihadapi oleh anggota kabinet negara, atau bagaimana Obama boleh menyusur keluar daripada gejolak ekonomi yang melanda Amerika!. Berbual kosong sambil beriadah dapat mengekalkan semangat kejiranan yang sedia bertapak di hati rakyat jelata di Malaysia. Hidup berjiran memang cukup indah, menarik dan eksklusif. Jelaslah aktiviti santai, beriadah, berekreasi dapat menyumbang ke arah pemupukan semangat kejiranan yang padu lagi mesra
.
Selanjutnya apa salahnya kita luangkan masa lakukan aktiviti kunjung –mengunjung, ziarah-menziarahi antara jiran kita sambil membawa buah tangan atau juadah enak untuk dimakan bersama-sama. Pada bulan Ramadan misalnya kita hulurkan juadah berbuka puasa kepada jiran kita. Pada musim buah-buahan pula hulurkan segugus rambutan , selonggok durian . Sudah pasti senyuman tersungging di wajah dan ucapan terima kasih bertalu-talu diungkapkan. Terasa suatu penghargaan, suatu nikmat, lumrah hidup berjiran apabila sesuatu yang melimpah ruah kita miliki kita bersedia berkongsi nikmat dengan jiran kita ,persis kata bidalan, sedikit sama merasa, banyak sama berlaba. Hakikatnya budaya kunjung-mengunjung dan beri memberi seikhlas hati ini mengukuhkan lagi ukhwah kejiranan dalam kalangan masyarakat marhaen.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh digarap,diterap, dicanai, begitu kukuh, ampuh, padu dan jitu melalui beberapa prakarsa yang terancang dan ada yang terjadi secara tersendiri, secara magis, yang tanpa sebarang perancangan. Suasana hidup berjiran sememangnya cukup indah lagi mengagumkan dan fenomenaloginya hanya terdapat di negara kita Malaysia Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat kejiranan terus diamalkan secara optimistik tanpa ada penghalang yang memisahkan kita.


Oleh : Anthony - (SMK Dato Mahmud Paduka Raja1)

Semoga A+ BM  dimiliki  oleh pelajar SPM 2018
.
Dan sememangnya Anthony mendapat A+ BM SPM 2018




Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru