Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Selasa, 21 November 2017

PANTUN TERIMA KASIH 2

PANTUN TERIMA KASIH 2


Petik selasih di Tanah Serendah
Paku rawan celahan titi
Terima kasih ungkapan terindah
Untukmu Tuan yang baik hati

Pinggiran desa kasih bersemi
Inderagiri di dalam taman
Menabur jasa di sekolah kami
Jadi memori zaman berzaman

Tanjung Keramat tepian huma
Singgah pahlawan memetik kelapa
Banyak maklumat kami terima
Jasamu Tuan kami tak lupa

 Bergurau senda Uda dan Ujang
Petik celagi celahan jerami
Andai ada umur panjang
Singgah lah lagi ke sekolah kami

Anak kedidi terbang ke desa
Terbang berkilas celahan awan
Tuan berbudi kami berbahasa
Tidak terbalas jasamu Tuan

Ke Pekan Juaseh membawa baldi
Memijak aspal rerona merah
Ucapan terima kasih sekalung budi
Takkan setimpal jasa nan dicurah

Berkeris lembing memugar keringat
Sorak gemuruh, tiupan nafiri
Berceramah, membimbing penuh semangat
Tuan lah tokoh yang kami cari

Rendam selasih di senja jingga
Letak selisih atas jerami
Terima kasih tidak terhingga
Terimalah sumbangsih daripada kami

Berseloka madah Puteri Kirana
Berbalas senyuman Permaisuri Rekan
Kenangan terindah lagi bermakna
Nasihat pedoman kami manfaatkan

Cantik berseri istana lama
Puncak di awan gah sepekan
Tuan memberi kami menerima
Banyak pengetahuan, pengalaman Tuan kongsikan

Raja Lumu ke Tanah Jawa
Bawa cemeti langkah perlahan
Tuan berilmu lagi berwibawa
Menabur bakti penuh kesungguhan

Anak desa memasang dupa
Cantik hiasan bunga iringan
Budi dan jasa kami tak lupa
Terimalah bingkisan tanda kenangan

Gunung Daik tampaknya jelas
Pagi menjelma puputan awan
Orangnya baik luhur dan ikhlas
Kali pertama bertemu Tuan

Meniti titi balik ke rumah
Pinang berjajar tepian sawah
Tuan berbakti memberi ceramah
Kami pelajar berasa bertuah

Anak bebiri tepian sawah
Suasana selesa senja mencelah
Ilmu diberi melimpah ruah
Semoga sentiasa dilindungi Allah



Pantun ini boleh guna untuk sampul surat penceramah, label hadiah untuk tetamu atau sesiapa sahaja yang beri sumbangan kepada sekolah kita. Tampak lebih formal, lebih rasmi apabila disertakan pantun. Kalau bukan kita yang menghidupkan puisi tradisi siapa lagi.....? ..Jadi, manfaatkanlah



Jangan Tiru