Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Sabtu, 4 November 2017

Ciri-ciri remaja berwawasan. (soalan BM kertas 1 percubaan Negeri Sembilan)

 Remaja pada hari ini merupakan aset negara dan pemangkin kepada kemajuan negara. Jelaskan ciri-ciri remaja yang berwawasan. (soalan BM  B1 percubaan Negeri Sembilan )
       
Remaja ialah  golongan muda  yang berusia antara 12 hingga 21 tahun  Perkataan remaja kalau tidak silap saya,  berasal daripada perkataan Latin bermakna menuju ke arah kematangan. Usia remaja ialah usia transisi dari peringkat kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Usia remaja ialah usia yang penuh dengan fantasi, ilusi, khayalan dan impian.Mereka berada di alam fatamorgana yang cukup mempersonakan. Remaja yang normal mempunyai angan-angan atau visi atau wawasan yang  sihat tentang  masa depan mereka. Mereka sentiasa memikirkan apa-apa  yang akan mereka buat pada masa hadapan.Perihal ciri-ciri.remaja berwawasan inilah yang akan kita telusuri bersama-sama.

          Antara ciri unggul remaja berwawasan ialah remaja yang tahu hala tuju hidupnya pada masa hadapan iaitu kejayaannya dalam SPM. Pada hari ini 6hb November bermula detik penentuan wawasan diri seorang remaja seperti saya sendiri yang pada hari ini, pada saat ini sedang menduduki peperiksaan paling penting di Malaysia iaitu SPM 2017. Remaja yang berwawasan tahu yang dirinya perlu lulus SPM dengan cemerlang dan sentiasa mempunyai visi serta hasrat untuk menyambungkan pengajiannya di universiti.Remaja seperti saya mengimbau dan memasang angan-angan bahawa ada kerusi kosong sedang menunggunya di Universiti. Menyedari hakikat bahawa Ilmu itu pelita hatiremaja tega berusaha menimba ilmu, menguasai kepakaran tertentu bagi merealisasikan impian,dan  harapan  menempatkan diri di  puncak menara gading.Ternyata remaja yang bervisi ialah remaja yang berilmu yang bermula dengan semangat juang mahu menempa kejayaan dalam  SPM dan melanjutkan pengajiannya ke institusi pengajian tinggi.

       Selanjutnya elemen pragmatik seorang remaja Malaysia  ialah remaja  yang mempunyai visi mahu menempuh dan menempa alam kerjaya yang diidam-idamkan selepas tamat pengajiannya di universiti. Alam kerjaya yang seringkali menjadi wawasan remaja sudah tentulah kerjaya yang berprestij yang bersesuaian dengan tahap pendidikan dan latihan asas, intensif atau ekstensif yang diterimanya. Remaja mahukan suatu jawatan mantap yang memberikan pulangan pendapatan yang lumayan untuk jaminan masa hadapannya. Bagi remaja yang visinya cenderung dalam bidang undang-undang, kedoktoran jurutera atau pakar ekonomi sudah pasti tahu dan ada dalam bayangan mindanya  tentang  masa depan kerjaya sebegini. Terbayang di kotak fikirnya tentang rumah agam, kereta, wang simpanan hasil daripada pendapatan yang diperolehi. Ada remaja memilih mahu menjadi selebriti tersohor tanah air, menjadi pelakon atau penyanyi, namun matlamatnya tetap mahu  mengukuhkan kedudukan ekonomi untuk menjalani kehidupan yang serba mencabar  dan penuh dengan onak dan ranjau ini.  Jelaslah , remaja bervisi ialah remaja yang sudah ada di mindanya  akan kerjaya yang bakal dimilikinya yang ada jaminan masa dengan terutama dari segi pendapatannya yang benar-benar kukuh lagi lumayan

             Seterusnya seiring dan senada dengan semangat juang yang tinggi, remaja berwawasan sudah tentu seorang yang taat pada perintah agamanya. Bagi seorang remaja Muslim sudah tentulah tidak akan meninggalkan solat lima waktu dan berusaha untuk melaksanakan Rukun Islam yang lima. Remaja yang bervisi tinggi tahu betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah Yang  Maha Esa. Remaja ini tidak akan sombong mendabik dada bagaikan merak mengigal di rimba. Remaja yang luhur berbudi bahasa ,sopan tutur bicaranya sentiasa berpijak di bumi nyata,sentiasa bermohon doa ke hadrat Yang Maha Esa agar dipermudahkan perjalanan hidupnya menuju kejayaan dan kecemerlangan. Usaha berterusan dilakukan dengan keyakinan yang tinggi, takkan lari gunung dikejar, hilang kabus tampak jua. Namun walau setinggi manapun pencapaian seseorang remaja, solat lima waktu jangan sesekali diabaikan, jangan kita tangguh-tangguhkan  kerana bertangguh itu pencuri masa.Sesungguhnya remaja berwawasan ialah remaja yang sentiasa berusaha dengan iringan doa ke hadrat Allah swt kerana kita hanya boleh berusaha dan merancang, Allah swt menentukan segala-galanya.

        Di samping itu elemen remaja berwawasan yang tidak boleh sama sekali diperkotak-katikkan ialah remaja punyai wawasan mahu membela nasib diri dan keluarganya. Remaja mahukan dirinya, ibu bapanya, adik beradiknya, bahkan seluruh ahli keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan dan kedaifan.Berjasa kepada kedua-dua ibu bapa adalah hasrat dan wawasan semua remaja Malaysia yang sentiasa insaf betapa ayah dan ibu banyak berjasa membimbing dan membesarkan kita, dan  tanpa  mereka siapalah kita....... Jasa ayah dan ibu tidak dapat kita balas dengan jutaan mutiara mahupun segunung intan. Hargailah jasa mereka selagi berkesempatan, selagi mereka masih bernafas di bumi Allah. Ayah dan ibu adalah permulaan kita dapat melihat bulan dan matahari. Remaja berwawasan akan menjaga kedua-dua ibu bapanya santak ke usia senja....., hingga ke usia emas. Remaja bervisi ini akan berusaha menjaga segala kebajikan kedua-dua orang tuanya. Sememangnya menghargai jasa ibu bapa, membela nasib keluarga merupakan ciri idealistik seorang remaja bervisi dan berwawasan di Malaysia.

       Selain itu, walau sekali air bah, sekali pasir  berubah, remaja berwawasan tidak pernah memungkiri ikrar Rukunegara  pada zaman persekolahannya yang berjanji dan bersetia,  kepada negaranya yang tercinta.  Mempunyai dan memiliki semangat patriotik  merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Remaja bervisi   senantiasa  menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Remaja tidak akan bersikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, dan  tidak akan bersikap seperti kacang  lupakan kulit. Sebaliknya, remaja berwawasan akan berusaha menjalinkan  ikatan  ukhuwah tanpa mengira bangsa, dan agama  sesama remaja demi menyahut intipati slogan 1Malaysia. Slogan 1Malaysia menjadi iktibar dan pedoman remaja berwawasan dalam  meneroka kehidupan menjelang dewasa, berlandaskan sikap bantu membantu bagai aur dengan tebing, untuk pastikan Malaysia sentiasa aman, makmur  dan sejahtera. Hakikatnya,semangat cinta akan negara menepati ciri remaja berwawasan yang bertepatan pula dengan bidalan tradisi di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung . 

       Kesimpulannya andainya saya sebagai remaja diberi pilihan secara kronologi memilih wawasan diri, maka izinkan saya terlebih dahulu berjuang untuk kejayaan SPM saya bersama-sama ribuan  rakan remaja yang lain dalam SPM 2017. Doakanlah kejayaan kami. Aspirasi Negara menjelang TN50  akan dengan sendiri menjadi inspirasi serta wawasan kami golongan remaja Malaysia pada hari ini.  Remaja hari ini amat yakin dan percaya akan hakikat yang terserlah dalam kata-kata mutiara,  untuk melihat kejayaan negara pada hari esok maka lihatlah usaha, visi dan misi remaja Negara pada hari ini.

Karya  Annurhuda Abdullah   tg 5 sains (agama)
A BM SPM 2016  -sekarang berada di IPG (bakal guru BI) 
Terima kasih   & selamat maju jaya




Peranan keluarga dalam menangani masalah sosial , pergaulan bebas, vandalisme, dan lari dari rumah yang melibatkan anak-anak

Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga.Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut. Soalan B2 BM percubaan SBP 2017
images (22).jpg
 
 Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga.Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut

  Gejala sosial yang semakin meruncing amat membimbangkan masyarakat. Fenomena  ini diibaratkan api dalam sekam  yang akan marak menyala-nyala pada bila-bila masa.. Pada zaman ke arah pembangunan TN50, masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai berita dan cerita tentang gejala sosial yang berleluasa. Kancah sosial ini berlaku dalam kalangan remaja dan mereka selalu berbuat kecoh dengan sindrom pergaulan bebas, , melepak, meragut, mencuri dan kemelut gengsterisme.  Kita tidak sedar bahawa punca kepada masalah ini datang daripada orang yang rapat dengan kita. Tampaknya, masalah gengsterisme,  vandalisme, samseng jalanan, ragut, buli, peras ugut, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Realitinya peranan keluarga amat signifikan untuk  mengekang sindrom sosial terutamanya yang melibatkan remaja.

      Salah satu peranan institusi keluarga, ialah  ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang daripada perbuatan onar dan bertentangan dengan tatasusila dan cara hidup masyarakat Timur . Prakarsa ini dapat membantu anak-anak menghindari diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Apabila tingkah laku positif sudah mendarah daging dalam diri  ahli keluarga tidak akan tergamak menconteng arang ke muka keluarganya. Untuk melengkapkan jati diri dan kekuatan ummah, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri tentang amal ibadah atau menghantar anak-anak ke sekolah agama.  Ayah dan ibu  perlu membimbing anak-anak mengaji alquran, mengerjakan solat, dan menghayati Islam sebagai addin. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.

      Tidak terkecuali  ibu bapa juga bertanggungjawab  untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak-anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini  perlu dilakukan  kerana  banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya  menghasut dan mempengaruhi jiwa remaja yang ibarat pancang di tengah-tengah muara  dan mudah dipengaruhi apatah lagi dicabar.  Jika rakan sebaya mereka berperibadi negatif, bersikap semberono,  remaja yang usia baru setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, membuli,berlumba haram dan sebagainya.  Ibu bapa perlu akur, pergaulan anak-anak di luar rumah tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak  yang unggul, bersopan dan berhati mulia.

        Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan  teladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak berasa bangga mempunyai ibu bapa yang cukup hebat, bukan sahaja menjadi menjadi kekuatan untuk anak-anak pada saat-saat sukar, malah ibu bapa adalah tonggak kehidupan anak-anak.Suri teladan ibu bapa  mampu membentuk sahsiah  anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka mencontohi, meneladani apa-apa sahaja yang dilihatnya bak kata peribahasa, bapa borek, anak rintik.  Ibu bapa yang tegas, tetapi penyayang, lembut dalam tutur kata dalam membimbing anak-anak memang dikagumi dan dikasihi anak-anak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh anak-anak dan ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, dan materialistik,  akan mencanai dan membentuk generasi  muda yang tidak berakhlak  dan berbudaya songsang.Sememangnya ahli keluarga perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk diteladani  oleh generasi muda

           Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna, unggul dan ikhlas amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kasih sayang merupakan suatu formula paling afdal untuk menangani isu sosial  anak-anak.  kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang suka memberontak dan akan mudah terpengaruh oleh  gejala sosial. Ibu bapa melayani anak mereka mengikut kesesuaian  bagai  menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya memberi galakan dan mengucapkan kata-kata inspiratif kepada anak-anak mereka. Ibu bapa jua perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang amat membaggakan seisi keluarga. Anak-anak pasti akan berasa gembira dan  lebih selesa berada di rumah bersama-sama keluarga. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka merupakan pendengar yang setia. Ternyata keluarga yang harmoni, dengan kasih sayang yang abadi berusaha untuk menjauhkan dan menghindari anak –anak daripada aktiviti  sosial  yang negatif  kerana anak-anak ialah permata hati ayah dan ibu.

         Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah untuk  mengeratkan silaturahim sekeluarga. Ibu bapa harus  sentiasa bertanyakan  masalah anak-anak atau bertanya khabar perkembangan anak-anak di sekolah.  Ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak, manakala anak-anak pula perlulah  memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Berikan ruang rehat untuk ibu bapa. Anak-anak perlu sentiasa ada ruang dan kesempatan untuk membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rutin di  rumah untuk meringankan bebanan ibu bapa mereka. Dengan itu,  setiap anggota keluarga akan berasa, antara satu sama lain,  mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa untuk mengeratkan silaturahim sekeluargaSesungguhnya gejala sosial dapat ditangani, dihindari apabila ada saling memahami, perkongsian kemelut sesame keluarga dan sama-sama menyelesaikannya.

       Kesimpulannya segala usaha  melahirkan masyarakat madani dan sakinah pasti akan membuahkan kejayaan kerana adanya toleransi antara seisi keluarga. Apabila adanya kasih sayang, iman yang kukuh, gejala sosial tidak akan wujud dalam kamus hidup remaja Malaysia. Kunci utamanya ialah kasih sayang,  membuka pintu keinsafan bahawa gejala sosial  perlu sama-sama kita tangani ke  arah membina  keluarga bahagia, masyarakat Malaysia yang cemerlang


Jangan Tiru