Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 3 November 2017

Langkah-langkah menjaga keselamatan kanak-kanak. Bincangkan (Soalan percubaan negeri Terengganu – soalan diubahsuai- )

Langkah-langkah menjaga keselamatan kanak-kanak. Bincangkan (Soalan percubaan negeri Terengganu – soalan diubahsuai- )

Zaman  kanak – kanak  merupakan suatu era yang amat menakjubkan, indah lagi mengasyikkan sehingga ada masa-masanya kita ingin kembali ke  alam kanak-kanak. Alam kanak-kanak penuh dengan fantasi, ilusi  alam imaginasi, alam fatamorgana yang serba serbinya indah ibarat berada dalam alam hikayat 1001 malam.Namun hari ini semuanya ibarat mimpi di dalam mimpi kerana  kini  kita dikejutkan dengan pelbagai insiden menyayat hati, peristiwa berdarah, dan pelbagai isu keselamatan membabitkan kanak-kanak kelihatan seperti tiada nokhtah serta  tiada penghujungnya. Kita sering disajikan dengan berita-berita, kanak-kanak mati terjatuh bangunan, lemas di kolam renang, meninggal kepanasan kerana ditinggalkan di dalam kereta dan yang lebih memilukan, menghancur luluhkan hati dan perasaan ialah apabila kanak-kanak maut terlanggar kenderaan ibu atau bapa sendiri.Pelbagai langkah  boleh diambil untuk menjaga keselamatan kanak-kanak.  
    
        Salah satu langkah bagi menjaga keselamatan kanak-kanak ialah mengawasi anak-anak di tempat awam bagi mengelakkan penculikan  kanak-kanak. Ibu bapa disarankan untuk sentiasa memimpin dan memegang erat tangan anak-anak ketika berada di luar rumah terutamanya apabila berada di kompleks beli-belah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Ibu bapa juga perlu menemani anak-anak ketika bermain di luar rumah dan jangan terlalu leka berbual di telefon  ketika sedang meronda-ronda di pasar-pasar  malam sedang anak-anak terlepas dari pegangan tangan, macam dalam iklan TV. Yang itu baru dalam iklan TV, dalam ‘real life’ pasti lebih mendebarkan, menakutkan apabila kita kehilangan anak. Kebanyakan kes culik yang semakin banyak berlaku di negara kita adalah berpunca daripada kelalaian ibu bapa dan seterusnya memberikan ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melarikan anak-anak yang umur baru setahun jagung,  darah baru setampuk pinang. Sesungguhnya, jika ibu bapa sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak, memimpin tangan anak  khususnya di tempat awam, saya optimis, pasti berlaku penurunan yang luar biasa kes penculikan kanak-kanak di negara kita. Saya pasti!

        Dilihat dari sudut  yang berbeza, penculikan dan pemerdagangan kanak – kanak juga boleh dibendung apabila kanak – kanak sentiasa berada dalam kumpulan kerana kes penculikan biasanya berlaku apabila kanak – kanak berada di luar rumah secara bersendirian. Anak-anak bermain seorang diri tanpa pengawasan menjadi sasaran insan  misteri yang mahu melakukan penculikan dan ugutan “kalau mahu anak selamat   ransomnya   RM100 ribu......” Ibu bapa perlu sentiasa menasihati anak – anak agar bermain secara berkumpulan di taman permainan atau semasa berjalan- jalan di sekitar taman perumahan bersama-sama rakan- rakan sebaya. Kes penculikan boleh berlaku di mana- mana sahaja kerana penjenayah seumpama musang berbulu ayam sentiasa menunggu saat dan ketika, peluang dan kesempatan  untuk bertindak dursila, menculik kanak - kanak yang mempunyai sifat lurus bendul dan mudah mempercayai sesiapa sahaja yang ditemuinya. Ibu bapa perlu menyelia anak-anak mereka ketika berada di tempat awam agar tidak berlaku  kemalangan  yang boleh mengundang kecederaan mahupun kematian. Ibu bapa hendaklah berperanan  memastikan keselamatan anak-anak mereka terjamin. Sebab itu dalam membendung kejadian-kejadian penculikan daripada menimpa kanak-kanak, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab penuh. Ibu bapa atau penjaga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan anak-anak mereka. Yang nyata ibu bapa perlu memastikan anak-anak berada dalam kumpulan untuk mengelakkan diri daripada diculik sekali gus membendung gejala paling berbahaya lagi iaitu pemerdagangan manusia
  
    
Inisiatif perlu dititikberatkan ialah adik-adik kita ini juga perlu mempelajari ilmu mempertahan diri agar tidak mudah diculik oleh penjenayah yang mahu secara terang-terangan menjual kanak – kanak ke negara jiran. Kejadian ini bukanlah suatu drama gerak khas atau slot drama akasia tetapi  kejadian penculikan kanak-kanak untuk mendapatkan wang atau meminta wang tebusan daripada ahli keluarga kanak – kanak tersebut bukan lagi sesautu yang luar biasa bahkan amat menakutkan.. Ibu bapa disarankan untuk menghantar anak- anak ke pusat pembelajaran yang menawarkan pakej mempelajari ilmu mempertahan diri seperti Te Kwando, silat, karate, sumo,  silat gayung, wushu, silambam dan sebagainya agar keselamatan anak – anak ini sedikit sebanyak terjamin ketika berada di luar rumah. Saya berkeyakinan tinggi kanak - kanak yang mempelajari ilmu mempertahan diri pasti  tidak berisiko tinggi untuk diculik. Jelaslah kanak - kanak yang mempelajari ilmu pertahanan diri dapat melindungi diri sendiri daripada diculik.

Senario di negara kita Ibu bapa atau penjaga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ke­selamatan anak-anak mereka. Situasi memperlihatkan jumlah kecederaan serius atau kematian kanak-kanak majoritinya disebabkan oleh kelalaian atau kecuaian ibu bapa atau penjaga. Dalam kes kecederaan akibat mercun misalnya, ibu bapa sendiri yang membelikan mercun untuk anak-anak bermain. Keadaan seolah-olah ibu bapa itu sanggup mendedahkan anak yang belum mengerti apa-apa itu kepada bahaya yang boleh meragut nyawa. Sebab itu dalam membendung kejadian-kejadian malang  daripada menimpa kanak-kanak, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab penuh. Tidak ada kompromi dalam hal ini. Jika mereka gagal berbuat demikian maka sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab menggunakan undang-undang  menghukum ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak mereka. Mendedahkan anak-anak kepada bahaya adalah suatu kesalahan.. Denda atau hukuman diyakini  boleh me­ngurangkan kekerapan dan pe­ningkatan kejadian malang yang menyedihkan ini. Sesungguhnya,kecuaian dan pengabaian oleh ibu bapa atau penjaga, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-kanak

Merujuk kepada  situasi kehidupan harian, ibu bapa atau penjaga janganlah  membiarkan anak-anak bermain peralatan elektrik atau peralatan dapur . Kanak-kanak amat memerlukan jagaan, perlindungan dan pemulihan. Ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak dan melindungi mereka daripada apa-apa sahaja bentuk bahaya.Apabila kes seperti putus jari, putus tangan, atau kecederaan serius membabitkan kanak-kanak, ibu bapalah yang patut dipersalahkan dan perlu didakwa bagi membendung berulangnya kejadian-kejadian yang tidak diduga. Peringatan secara lebih serius diberikan supaya ibu bapa atau penjaga tidak ambil mudah hal yang membabitkan keselamatan anak-anak. Memang, mana ada ibu bapa yang tidak sayang anak hingga sanggup menggadaikan keselamatan atau mengancam nyawa mereka, tetapi percayalah, ada segelintir ibu atau bapa yang ambil mudah hal seperti ini hingga menyebabkan anak-anak mereka menjadi mangsa.Golongan ibu bapa atau penjaga seperti inilah yang perlu dihukum dan akan menjadi iktibar kepada orang lain. Realitinya tanggungjawab hakiki ibu bapa ialah, ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak agar  anak-anak jauh daripada pelbagai unsur bahaya.

Kesimpulannya kanak-kanak adalah aset masa depan negara. Sebab itu mereka perlu ditatang bagai minyak yang penuh dan dijauhkan daripada apa-apa juga elemen yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.Penguatkuasaan undang-un­dang di bawah akta perlindungan kanak-kanak secara serius  diharap dapat mengubah mentaliti ambil ringan masyarakat terhadap isu ke­selamatan yang membabitkan kanak-kanak..Semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing - masing  agar kanak-kanak anugerah Yang Maha Esa dapat hidup dengan selamat dan terjamin keselamatannya bagi memperjuangkan nusa dan bangsa kelak.



Jangan Tiru