Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 13 Oktober 2017

KISAH LUCU



Payung Terjun
Dalam satu kejadian yang agak susah nak diterima akal, iaitu sebuah kapalterbang telah mengalami kerosakan enjin dan sedang menjunam hendak terhempas, terdapat 5 org penumpang di dalamnya tetapi beg parachute kecemasan hanya ada 4.
Berkata laa penumpang pertama, “Aku Hafiz Hashim. Malaysia perlukan aku.Kalau aku tadak, mcm mana nanti Malaysia nak menang All Englandlagi?”. Lalu dia mengambil beg pertama dan terus terjun.
Penumpang kedua pulak berkata, “Aku Hillary Clinton, bekas wanita pertama US. Aku seorang yang paling bercita-cita tinggi dan aku juga senatorNew York. Aku juga berpotensi nak jadi seorang President”. Dia pula mengambil satu  beg dan terus terjun.
Penumpang ketiga menyampuk, “Ahh… aku President US! George W. Bush.Aku ada tanggungjawab yang berat untuk menjaga sebuah negara yang kuat.Tambahan pula,akulah President yang terpandai dalam sejarah US. Org Amerika mana yang hendak melihat aku mati?”. Dia terus menyentap satu beg dan terus terjun.
Penumpang keempat, Osama Bin Laden berkata kepada penumpang kelima, seorang budak berumur 10 tahun, “Saya seorang Muslim dan saya berserah kepada Allah untuk menentukan hidup dan mati saya. Adik ambillah beg parachute yang terakhir tu”.
Budak 10 tahun itu menjawap, “Jangan bimbang. Ada satu lagi beg parachute untuk pakcik. President terpandai dalam sejarah US tu terambil beg sekolah saya”.
Selamatkan Kawan Dari Lemas
Toro dan Rori, keduanya adalah pesakit rumah sakit jiwa.
Suatu hari Toro melompat ke dalam kolam renang tapi tidak segera muncul ke permukaan. Secepat kilat, Rori melihat kawannya dalam kesulitan, sehingga dia melakukan penyelaman dan menarik Toro keluar dari kolam.
Kemudian, pengarah rumah sakit jiwa memanggil Rori ke pejabatnya dan berkata, "Rori, saya punya berita baik dan berita buruk. Berita baiknya adalah, kamu akan segera keluar dari sini kerana kamu dianggap waras kerana telah 'menyelamatkan nyawa orang lain'. Tapi sayangnya, ada khabar buruk iaitu Toro gantung diri di bilik mandi..."
"Oh tidak," Rori menjawab, "Dia memang saya gantung supaya cepat kering!"

MENGAPA SAYA TAK PERNAH MARAH PADA ISTERI SAYA LAGI ...
Pengakuan jujur Seorang Suami

Ini rahsianya...

Sewaktu berbulan madu di negara orang, isteri saya melihat seekor kucing yang nakal. Dia pun mengajak kucing yang nakal itu bermain. Tapi, tak diduga kucing nakal itu menggigit tangannya. Isteri saya tersenyum dan memberi amaran pada kucing itu sambil berkata
"SATU..."

Kemudian isteri saya kembali mengajak kucing nakal itu bermain. Sekali lagi kucing nakal itu menggigit tangan isteri saya sampai berdarah. Isteri saya kembali tersenyum dan berkata:  
"DUA..." 

Saya mulai was-was. Tapi isteri saya dengan tenangnya mengajak kucing nakal itu kembali bermain. Sayangnya, kucing itu kembali menggigit tangan isteri saya. Isteri saya berkata pada kucing itu sambil tersenyum: "TIGA..." dan isteri saya mengambil pistol dari begnya dan menembak kucing itu sampai mati.

Saya marah kepada isteri saya: "Mar, kamu sudah gila ka?" Isteri saya memandang saya sambil tersenyum dan berkata: "SATU..." 
Sejak itu saya tidak pernah marah lagi kepada isteri saya.

-SEKIAN-
Keluhan isteri
Isteri:  Bang, kenapa setelah kita bernikah, abang tak pernah ajak saya jalan-jalan lagi...?
Suami: Cuba kamu ingat-ingat.., kita bernikah dulu kerana apa?
Isteri: Ya, kerana jodoh, bang.
Suami: Nah, itulah bukti pepatah, *"Kalau sudah jodoh tak ke mana-mana."* ...


Takut Bini
Dalam sebuah negeri, semua rakyat termasuk Rajanya takut bini. Suatu hari Raja kumpulkan semua rakyat jelata untuk mencari takut-takut ada suami yang tak takut pada bini, untuk mendapat petunjuk darinya. Bila semua dah berkumpul, Raja perintah siapa-siapa takut bini duduk sebelah kiri, tak takut bini duduk sebelah kanan.

Semua duduk sebelah kiri, kecuali seorang lelaki bermisai siong dan badan macam Rambo, duduk sebelah kanan bininya yang kurus kering.

Raja tanya "Awak tak takut bini?".

"Takut tuanku".

"Kenapa awak duduk sebelah kanan?".

"Bini saya suruh".
Kambing
Anak KAMBING bertanya pada ibunya. 

Anak Kambing :  Mak, kita semua ni namanya sama. Iaitu Kambing. Tak seperti manusia. Sejak kecil dah ada nama, Din, Sufie, Bakar, Osman, Jenal, Mael dan lain-lain. 
               
Mak Kambing : Nak! Manusia yang masih hidup namanya memang banyak, tapi nanti bila sudah mati, namanya satu saja. Iaitu Mayat. 

Beza pula dengan kita. Kalau kita sudah mati, baru namanya banyak. Ada yang namanya sate Kambing, gulai kambing, sup kambing,  kambing golek dan banyak lagi.

Anak kambing  : Oh gitu, Mak. 
Abang dimana?
Si isteri yang curiga kepada suami nya menalipon suaminya yang berada dirumah.
Isteri: " Hello abang dimana ni?."
Suami: " Di rumah Yang."
Isteri: " Cuba abang hidupkan blender."
Suami hidupkan blender: -" Brrreeee."
Isteri: " Ok lah. "
Esoknya si isteri talipon lagi suaminya.
Isteri: " Abang dimana ni.?"
Suami: " Di rumah yang."
Isteri: " Tolong bunyikan blender. "
Suami hidupkan blender: " Brrreee. "
Isteri: " Ok lah. "

Esoknya lagi si isteri pulang ke rumah tanpa memberi tahu lebeh dahulu. Dia mendapati suaminya tiada di rumah cuma anaknya.

Ibu: " Ayah mana pergi ? "
Anak:  " Tak tau..tapi ayah ada  bawa blender." 

MODUL PENINGKATAN PRESTASI BAHASA MELAYU KERTAS 2

MODUL PENINGKATAN PRESTASI BAHASA MELAYU KERTAS 2 Dua jam tiga puluh minit
TINGKATAN 5  ( NEGERI  KEDAH  DARUL AMAN)
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan disiplin dalam kalangan murid dan cabaran untuk mendisiplinkan murid. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
   Disiplin ialah kemahuan untuk mentaati atau menghormati peraturan baik dalam keagamaan, etika sosial mahu pun dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang berdisiplin apabila melakukan pelanggaran terhadap disiplin, walaupun sedikit, tetapi dia tetap akan berasa bersalah kerana mengkhianati diri sendiri yang menjatuhkan maruah dirinya. Pelanggaran terhadap disiplin juga boleh menjejaskan hubungan antara individu berkenaan dengan orang-orang di sekelilingnya.
    Dalam konteks sekolah, disiplin adalah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah untuk memastikan murid bertingkah laku baik. Perlakuan murid yang baik mencerminkan tahap disiplin sesebuah sekolah. Sekolah yang terkawal disiplinnya menjadi pilihan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Selain itu, murid dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Penerapan nilai murni dalam diri murid akan memberi persepsi positif dalam kalangan ibu bapa terhadap tingkah laku anak-anak mereka. Malah murid yang berdisiplin kelihatan berkeperibadian tinggi dan berketerampilan. Seorang murid yang mempunyai personaliti yang baik lazimnya bersedia untuk belajar. Disiplin yang dikenakan juga dapat mengawal murid daripada melakukan perkara-perkara negatif. Murid akan dikawal daripada merosakkan harta benda sekolah dan terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah.
     Seandainya seseorang murid berdisiplin, maka murid boleh mengawal diri di dalam kelas semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung. Murid dapat belajar dengan tenang dan selesa kerana tiada gangguan semasa guru sedang mengajar. Lantaran itu, murid dapat memahami kandungan pembelajaran dengan mudah dan berkesan. Pada masa yang sama, murid tidak mudah terjebak dalam sebarang masalah disiplin di sekolah seperti ponteng kelas atau lewat masuk ke kelas. Hal ini akan memudahkan pihak sekolah melaksanakan semua program sekolah dengan lancar. Faktor disiplin juga memainkan peranan utama menentukan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini terbukti apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, murid yang mempunyai tahap disiplin tinggi dapat menempa kejayaan cemerlang.
   Murid haruslah mengetepikan permasalahan peribadi agar mudah memperoleh ilmu yang disampaikan oleh guru. Murid yang berdisiplin dapat menjamin keberkesanan dalam pembelajaran. Oleh itu, hubungan yang baik dan harmonis antara guru dengan murid sangat penting dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah. Tanpa disiplin, murid tidak akan ke mana-mana dan sukar untuk beroleh kejayaan.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Disiplin Perisai Kawalan Diri’ oleh Izani Hj. Daud, Wadah Siswa, Januari 2013
Soalan 2: Pemahaman [35 markah]
Soalan 2(a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata persepsi positif berdasarkan petikan. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa kesan jika para murid tidak berdisiplin.Nyatakan kesan-kesan tersebut. [3 markah]
(iii)Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk disiplin anak-anak agar menjadi insan yang berakhlak mulia dan bersahsiah baik.Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak? [4 m]
Soalan 2(b) - Baca petikan cerpen jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Fikir Aiman, adakah dia akan terjun bersama-sama dengan beberapa biji buah kelapa seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya? Tengok sekarang, dia sedang menyusun sepuluh jarinya. Babah dan ibunya sedar akan perkara itu. Jari-jemarinya jelas montok dan gebu; padat berisi sebagai tanda perut yang tergalas secukupnya. Makanan seimbang dan amalan hidup sihat selalu menjaduali rutin hariannya di tengah-tengah keluarganya yang bengis dan kasar.
Kepada Aiman, layanan seperti itu tidak wajar dilakukan terhadap dirinya.
Tamparan selalu singgah di pipiku. Sudah-sudahnya, aku menjadi gagap. Di manakah harmonisnya? Di manakah humanisnya? Mengapakah tidak dimanfaatkan sahaja teknologi tingkah laku?
Tenaga berlebihan? Oh, tidak! Kudrat melebihi ketepuan? Tidak juga. Kelebihan kalsium semasa proses kehamilan? Barangkali si ibu mengambil bahan kimia ini secara berlebihan semasa proses berkenaan. Kemungkinannya ada. Kebarangkaliannya tidakberlaku juga ada.
Dipetik daripada cerpen ‘Hipertensi’ oleh Illias Zaidi dalam antologi Sejadah Rindu,Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Apakah bukti Aiman mendapat makanan yang secukupnya?[2 markah]
(ii)Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang?Nyatakan pendapat anda. [3 m]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.[4 markah]
Soalan 2(c) – Petikan Prosa Tradisional Baca petikan, jawab soalan-soalan  berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng.
Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggarnya pula yanglain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dannyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”
Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembalisementara belum siang ini.”
Maka segala orang Siam pun kembalilah. Adapun perigi di Batu Pahat itu, orang Siamlah membuat dia.
Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam antologi Sejadah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Berikan maksud kelakuannya gila-gila bahasa?. [2 markah]
(ii) Apakah tindakan Tun Umar untuk menghalang serangan Siam?  [3 markah]
(iii) Pada zaman dahulu, istana raja dibina di tempat yang tinggi. Pada pendapat anda, mengapakah istana raja dibina di tempat yang tinggi? [3 markah]
Soalan 2 (d) – Puisi Moden Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SEJADAH RINDU


Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.
Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.
Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.


MOHD. HAIKAL AMINUDDIN Antologi Sejadah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Berikan maksud merekah keinsafan di hati yang beku. [2 markah]
(ii)Pada pendapat anda,apakah kesan-kesan positif apabila seseorang itu menginsafi kesalahan yang telah dilakukan?[3m]
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah]Jawab semua soalan
(a) Tulis dua ayat bagi setiap perkataan supaya jelas menunjukkan anda faham perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) memotong  (ii) menahan  (iii) menarik  [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Golongan petani membersihkan kawasan tanah kebun dengan kaedah pembakaran terbuka.
(ii) Kami telah membawa mangsa kemalangan jalan raya itu ke hospital sebelum ambulans tiba di tempat kejadian.
(iii) Anda dapat menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung sekiranya anda menjadi pelanggan stesen televisyen kami.  [6 markah]
(c)Dalam petikan, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan.Senaraikan betulkan kesalahan -kesalahan itu.Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan.
Orang ramai yang memanfaat kemudahan taman awam mampu meningkatkan tahap kesihatan melalui pelbagai aktiviti fizikal seperti senaman dan bersukan secara berkumpulan atau individu. Di samping itu, keindahan persekitaran alam
seperti pokok teduhan dan bunga-bungaan dikawasan itu dapat memberikan ketenangan kepada orang ramai dan kelegaan daripada stress seharian bekerja. Sesetengah taman awam telah berjaya menarik ribuan pelancong kerana
mempunyai identiti dan keunikkan tersendiri. Hal ini akan membawa peningkatan ekonomi setempat dalam aspek penginapan, perniagaan makanan dan kraftangan.  [6 markah]
(d)Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan, betulkan kesalahan itu.
(i)Kapal terbang itu telah berhenti di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim selama dua jam setengah sebab kerosakan enjin.
(ii) Sebagai pengguna, kita haruslah melaporkan kegiatan pencatuan harga kepada pihak berkuasa jika sekiranya peniaga menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
(iii) Pembonceng motosikal perlu mempunyai lesen memandu agar mereka tidak pihak polis saman. [6 markah]
(e) Isi tempat kosong dalam petikan di bawah dengan peribahasa yang sesuai.
(i) Hubungan mesra Dato’ Amir dengan pelbagai lapisan masyarakat di kampungnya tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ketua pengarah sebuah syarikat kerana ______________________.
(ii) Murid-murid membuat kajian sejarah di Melaka sambil melawat tempat-tempat bersejarah _________________
(iii) Walaupun keuntungan yang diperoleh syarikat Zahir dan Malim pada tahun ini agak merosot, mereka telah berjanji untuk mengharungi susah dan senang bersama-sama, bak kata peribahasa Melayu ___________________.[6 markah]
Soalan4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
i) Pantai Kasih Karya Azmah Nordin ii) Bima sakti Menari karya Sri Rahayu Mohd
(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut. [7 markah]
(b)Dalam sesebuah novel terdapat banyak peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji,huraikan satu peristiwa pada bahagian peleraian yang dapat memberikan teladan kepada pembaca. [8m]
KERTAS MODUL TAMAT


BAHASA MELAYU PERCUBAAN KERTAS 2- 2 jam 30minit
TINGKATAN 5  ( NEGERI  PAHANG  DARUL MAKMUR)
Soalan 1 : Rumusan[ 30 markah ]
Baca petikan  dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha melestarikan permainan tradisional dan kekangan-kekangan untuk memajukannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     Permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan sekali gus mengembalikan nostalgia warisan budaya ini.
     Permainan tradisional ini bukanlah semata-mata mengisi masa lapang, tetapi juga meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal. Secara tegasnya, permainan tradisional memang wajar diketengahkan pada peringkat negara dan serantau. Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak raga dan gasing tidak cukup sekiranya tiada kemudahan untuk permainan ini. Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional. Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan menyediakan jurulatih di setiap gelanggang yang telah disediakan. Pada masa yang sama, masyarakat tempatan juga boleh berganding bahu mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan atau kampung mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian penduduk sekitar untuk beriadah bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.
     Di samping itu, hotel tempatan dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita juga patut menyediakan ruang dan tapak serta alat permainan tradisional kepada pelancong asing. Sempena Tahun Melawat Malaysia, setiap negeri perlu mengetengahkan permainan tradisional dalam acara yang disusun bagi menyerlahkan warisan seni budaya yang penuh nila estetika bagi menggamit pelancong. Sebagai contoh, kerajaan Kedah merancang menganjurkan program sukan, Eagle Cup Sepak Takraw bersempena Tahun Melawat Kedah 2016. Selain itu, Festival layang-layang Sedunia Pasir gudang yang dianjurkan setiap tahun perlu diteruskan untuk menarik lebih banyak pengunjung dari dalam dan luar negara. Usaha menghidupkan kembali permainan tradisional boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan menganjurkan Kelab Permainan Tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Permainan ini amat penting untuk kehidupan generasi muda kerana dapat membantu perkembangan diri. Melalui permainan tradisional mereka mempelajari cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian  Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperuntukkan seni, warisan dan budaya dalam aktiviti kokurikulum. Seni, warisan dan budaya bangsa Malaysia yang dimaksudkan termasuklah tarian, muzik, kraf, tulisan jawi syair, permainan tradisional dan seni pertahanan diri.
   Penyebaran maklumat tentang permainan tradisional kepada masyarakat melalui media massa juga tidak harus dipandang remeh. Hal ini kerana media merupakan saluran utama dalam pencarian maklumat terutama dalam kalangan remaja. Jabatan Warisan Negara atau kerajaan negeri perlulah lebih kerap menganjurkan festival, pertandingan dan kempen bagi mengetengahkan permainan tradisional kepada masyarakat agar dapat menanamkan rasa cinta terhadap warisan negara kepada generasi muda.
 Dipetik daripada  „Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara‟ Oleh Samat Buang Dewan Siswa, Jun 2015
Soalan 2: Pemahaman[35m] Soalan 2(a)–Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata mengembalikan nostalgia. [ 2 markah ]
(ii) Permainan tradisional mampu merapatkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat.  Apakah kepentingan-kepentingan lain permainan tradisional dalam kehidupan. [ 3 markah ]
(iii) Permainan tradisional mampu merangsang perkembangan minda kanak-kanak. Nyatakan peranan ibu bapa bagi menggalakkkan anak-anak melibatkan diri dalam  permainan tersebut. [ 4 markah ]
Soalan 2 ( b )- Prosa Moden [Drama] Baca petikan drama ,  jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
NORA Aiman, cepat pergi tengok kat papan kenyataan sekolah. Ada perkara menarik.
AIMAN Apa yang menarik sangat. Ada berita tentang aku keluar kat surat khabar, ke?
NORA Bukanlah. Kau ini memang gila glamor betul. Ini tentang nama pelajar yang terpilih untuk menyertai PLKN. Kalau tak silap aku tadi, aku ada nampak kau juga.
AIMAN Malas aku kalau pasal tu. Aku nak pergi kantin cari makan lagi bagus.
NORA Kau ni teruklah. Langsung tak ada semangat cinta akan negara sendiri. Jahanam negara kita ini kalau ramai yang berfikiran macam kau. Malu aku ada kawan macam kau.
AIMAN Janganlah merajuk. Tak baik kau cakap macam tu kepada aku. Hmm, apa kata aku belanja kau sarapan pagi ini?
NORA Tak payahlah kau gunakan wang kau untuk pujuk aku. Jangan ingat dengan wang kau boleh dapat semua perkara yang kau mahukan. (AIMAN terkejut dengan tindakan NORA kepadanya. Selama ini mereka sentiasa bersependapat dalam pelbagai perkara. Tetapi tidak pada kali ini.AIMAN kehairanan, lalu terus menuju ke kantin)
SUNDARANI Kau dapat masuk kem mana?
AIMAN Kem? Kem Majidi. Hahaha.
SUNDARANI Sejak bila pula kem itu jadi Kem Latihan Khidmat Negara? Setahu aku, itu kem untuk askar saja. Macam Kem Pulada.
AIMAN Kau ini lurus bendul betullah. Aku bergurau saja. Cepat betul kau perkara yang aku cakap. Bahaya orang macam kau ini, senang kena tipu. Kau sibuk tanya aku, kau dapat kem mana?
SUNDARANI Kem De Bana Jempol.
AIMAN Di mana kem itu? Tak pernah dengar pun nama tempat itu.
SUNDARANI Buta sejarah betul kau ni. Jempol kan dalam kawasan Negeri Sembilan.
Dipetik daripada drama „Berkhidmat Untuk Negara‟ Oleh Affix Zulkarnean- antologi Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul, KPM
(i) Nyatakan reaksi Aiman setelah Nora menyatakan yang dia terpilih menyertai PLKN?  [ 2 markah ]
(i) Sebahagian besar golongan remaja kurang berminat untuk menyertai PLKN . Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk menarik minat  remaja menyertai program ini. [ 3 markah ]
(ii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah ]
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa klasik  jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
    Maka ada seorang orang Kelang mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak sedikit. Maka ia berdatang sembah ke bawah duli baginda. Maka baginda memberi titah kepada bentara Seri Amerta, menyuruh berkata kepada Tun Perak. Maka Tun Perak pun datang mengadap. Maka Seri Amerta pun berkata kepada Tun Perak, “Orang ini, Ya Tuan Tun Perak,mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak. Mengapakah maka demikian pekerti tuan hamba?”
   Maka diam Tun Perak tiada disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata itu, maka barulah disahutinya oleh Tun Perak, katanya “ Tuan Seri Amerta, akan tuan hamba dijadikan Yang Dipertuan Bentara, dianugerahi pedang sebilah itu jua tuan hamba peliharakan baik-baik, usahakan jangan diberi berkarat kemakanan. Akan pekerjaan
kami orang memegang negeri di mana tuan hamba tahu? Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya; baik juga kepada kami, maka kami kerjakan, kerana Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga kepada kami, tiada tahu akan jahatnya. Tetapi jikalau Duli Yang Dipertuan hendak mencerca hamba sebab orang itu, pecatlah hamba dahulu, maka cercakan hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat bagaimana hamba hendak dicerca?”
  Shahadan , maka berkenan Sultan Muzaffar Shah mendengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “ Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri”.
 Dipetik daripada„Burung Terbang Dipipiskan Lada‟ dalam antologi Sejadah Rindu, Dewan Bahasa dan Pustaka
(i) Berikan maksud rangkai kata mengadukan halnya. [ 2 markah ]
(ii) Apakah alasan-alasan yang diberikan oleh Tun Perak apabila Seri Amerta menyatakan seorang orang Kelang dianiaya olehnya? [ 3 markah ]
(iii)Pada pendapat anda,apakah ciri-ciri yang sepatut dimiliki oleh individu yang layak dilantik menjadi seorang pemimpin? (3m]
Soalan 2 ( d ) – Sajak Baca gurindam  dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
 Erti Hidup Bererti


    Aku selalu didatangi,
    malam sepi
    bagai kalung
    yang melingkari leherku
    tidak berubah keesokan hari
    siapa yang akan datang
    menjengukku
    keluhan seorang tua sunyi.
Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang
    Aku bagi mereka
    tiada makna
    anakku bakaku
    baik setia mahupun derhaka
    semoga disirami benih keinsafan
    menjadi penawar dalam hati
    embun cinta atasi angin dingin
    jangan terpegun
    ada yang mati
    ada yang hidup
    tiada yang kekal kecuali Tuhan


Teo Wei SingAntologi Sejadah Rindu,Kementerian Pendidikan Malaysia
(i) Nyatakah sikap anak-anak terhadap ibu dalam sajak di atas. [2 markah]
(ii) Anak-anak merupakan permata hati ibu bapa. Apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh anak-anak lakukan untuk membahagiakan ibu bapa sekiranya mereka tinggal berjauhan ? [3 markah]
(iii) Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas? [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah]Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat bagi setiap kata majmuk  untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, atau menggunakan kata majmuk itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) akar tunjang (ii) gerak balas (iii) garam mineral (iv) isi padu (v) pusat gravity (vi) bahan api [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Kami telah mengesyorkan usul itu kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan dengan segera
(ii) Kementerian Pendidikan Malaysia akan menganugerahkan sijil penghargaan kepada semua pelajar cemerlang.
(iii) Beberapa orang anggota keselamatan sedang mengawasi tempat kebakaran itu secara bergilir-gilir. [6 markah]
(c)Dalam setiap ayat,terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan.Betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Pertubuhan Klinik 1 Malaysia mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar.
(ii) Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk menarik pelancung asing kunjungi ke negara ini.
(iii) Dalam usaha menempa kejayaan, ibu-bapa sewajarnya bertanggungjawab pembentukan anak-anak menjadi modal insan berminda kelas pertama. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Cikgu Nadia meminta semua murid memuat naik nota Sejarah daripada laman sesawang itu untuk digunakan oleh kami dalam sesi pembelajaran nanti.
(ii) Penceramah itu menerangkan tentang kebaikan aktiviti kitar semula yang dapat mengatasi masalah kekurangan tapak penghapusan sampah di negara ini.
(iii) Pelbagai resipi yang menaikkan selera pelanggan dipamerkan di hadapan pintu masuk Kamariah Restoran.[6 markah]
(e) Nyatakan peribahasa yang sesuai dengan situasi yang diberi.
(i) Hadiah kemenangan dalam acara tarik tali itu dibahagi secara adil kepada semua ahli kumpulan.
(ii) Sekiranya kita ingin mencapai kejayaan dalam hidup, kita perlulah berusaha dengan gigih tanpa rasa jemu.
(iii) Pasukan penyelamat mengambil langkah berjaga-jaga menyiapkan bantuan kepada mangsa banjir sebelum musim tengkujuh tiba. [6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :
 (i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin  (ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
 (a) Peristiwa dalam sesebuah novel dapat menimbulkan kesedaran kepada pembaca.Berdasarkan dua peristiwa sebuah novel yang anda pelajari, huraikan sebab-sebab peristiwa itu dapat menimbulkan kesedaran kepada pembaca. [7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu peristiwa yang boleh dikaitkan dengan kerjasama antara watak utama dan watak sampingan. [8 markah]
KERTAS SOALAN TAMAT






SEKOLAH BERASRAMA PENUH 2017 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
BAHASA MELAYU 1103/2 Kertas 2
Ogos 2017 2½ jam
Soalan 1 : Rumusan[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri remaja dan cara-cara remaja mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 Zaman remaja sering kali dikaitkan dengan alam yang penuh pancaroba kerana inilah alam yang perlu dilalui oleh setiap insan sebelum menginjak ke alam dewasa. Ahli psikologi memberikan takrifan usia bagi remaja adalah dalam lingkungan 13 hingga 21 tahun. Usia remaja merupakan usia perubahan atau transisi kanak-kanak kepada remaja sebelum mereka menjadi dewasa. Fasa transisi merupakan cabaran yang amat getir buat remaja. Sekiranya mereka gagal mengawal minda atau membuat pertimbangan yang sewajarnya, hal yang negatif amat mudah terjadi. Remaja akan mudah terkesan dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Sifat memberontak wujud dalam diri remaja sekiranya keinginan mereka tidak dipenuhi. Ahli keluarga seharusnya berperanan mendekati para remaja dengan penuh hikmah sewaktu mereka melalui fasa transisi ini.
       Kebanyakan remaja mudah terdorong dengan perkara yang berkaitan dengan seksual. Selain itu, pada waktu tertentu, emosi remaja mudah menjadi tidak stabil. Malahan, ketika ini juga mereka mula berkonflik dengan diri sendiri, keluarga atau rakan sebaya. Ada kalanya, semua yang berlaku serba tidak kena dengan jiwa mereka. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi ini, remaja dilihat sebagai kelompok usia yang paling berisiko terhadap ancaman sosial yang negatif. Mereka memiliki sifat ingin tahu yang menebal dan mahu mencuba pelbagai perkara yang dianggap sebagai tindak balas semula jadi yang wujud dalam diri remaja. Kadang kala, fikiran remaja menjadi keliru dan bercelaru disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah keluarga, rakan sebaya dan persekitaran yang kurang memberangsangkan. Lumrahnya, remaja juga tidak suka dikongkong oleh orang yang lebih tua daripadanya. Seharusnya para ibu bapa perlu menjadi sahabat terhadap anak remaja mereka. Namun, situasi inilah yang jarang sekali berlaku dalam kalangan masyarakat.
     Sikap sudah terhantuk baru tengadah perlu dihindari atau dijauhi oleh setiap ahli masyarakat kerana bimbang akan membawa impak yang lebih buruk. Potensi atau masa depan remaja pasti akan terjejas sekiranya terlibat dengan gejala yang negatif. Bukanlah sesuatu yang mudah jika remaja itu ingin kembali ke pangkal jalan, melainkan mereka mempunyai semangat yang cukup kuat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
       Sokongan dan dorongan daripada orang yang lebih dewasa seharusnya hadir pada saat-saat mereka memerlukannya. Sesungguhnya remaja hari ini memerlukan perhatian dan bukannya kritikan semata-mata. Hal ini demikian kerana remaja merupakan modal insan yang bakal memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang.
Dipetik daripada ‘Cabaran dan Halangan Semasa Transisi Remaja’ oleh Md Nizar Parman Dewan Siswa, Dis 2016
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah]
Soalan 2(a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata impak yang lebih buruk. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa peranan pelbagai pihak amat diperlukan sewaktu para remaja melalui fasa transisi dalam kehidupan mereka.  Nyatakan peranan-peranan tersebut. [3 markah]
(iii) Remaja yang hebat merupakan aset bernilai yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Pada pendapat anda, apakah peranan pihak kerajaan dalam melahirkan remaja yang hebat di negara kita? [4 markah]
Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden Baca petikan drama  jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
Ibu: Itu pun satu hal. Memalukan keluarga saja. Orang ramai dah heboh. Azmir masuk Orang Putih. Dia tak mahu jadi orang Melayu lagi. Habis, macam manalah orang tak kata dia gila. Mak cik sungguh malu sekarang. Nak jumpa orang pun mak cik dah tak sanggup lagi.
Pelakon II: Bersabarlah, mak cik. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini buat kita semua.
Pelakon III : Betul juga kata rakan saya tu. Peristiwa yang berlaku kepada Azmir mungkin berpunca daripada kurangnya perhatian dan kasih sayang.
Ibu : Nak buat macam mana lagi, encik. Kami dah beri pelajaran hingga dia masuk ke universiti.
Arif : Betul mak cik, tetapi … masuk ke universiti saja belum menjamin seseorang itu mendapat kasih sayang yang secukupnya.(IBU dan BAPA berpandangan. Mereka kelihatan semacam rasa bersalah).
Pelakon I : Pak cik, mak cik … marilah kita sama-sama membantu Azmir. Dia amat memerlukan perhatian dan kasih sayang, bukan cemuhan dan penghinaan. Dia memerlukan semangat dan perangsang daripada kita semua, bukan kutukan dan hukuman.
Pelakon II : Kami lihat, Azmir seperti sedang menderita suatu penderitaan yang tak tertanggung. Kutukan, cemuhan dan hukuman akan hanya menyebabkan sakit yang dialaminya menjadi lebih parah.
Arif : Kami fikir, eloklah pak cik dan mak cik berjumpa dengan Azmir di hospital dengan segera sebelum terlambat. Dia amat memerlukan kita semua; lebih-lebih lagi, pak cik dan mak cik. Kami minta diri dulu.
Dipetik daripada drama ‘Bukan Gila’ oleh Sharif Shaary, dalam antologi Sejadah Rindu,KPM
(i) Berdasarkan petikan drama, mengapakah Azmir perlu dibantu? [2 markah]
(ii) Seorang sahabat anda mengalami masalah tekanan perasaan. Sebagai seorang yang prihatin, apakah tindakan anda untuk membantu sahabat anda itu? [3 markah]
(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu latar masyarakat yang lain daripada keseluruhan drama ini. [4 markah]
Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum. Maka Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dua orang itu menjadi orang besar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara Diraja, kerana kedua-duanya sama orang berasal. Maka Seri Nara Diraja tidak muafakat dengan Paduka Raja, senantiasa beringgit juga; beberapa kali lain Paduka Raja kedapatan dengan Paduka Raja dalam kampung Seri Diraja. Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, “Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tidak muafakat sama orang besar.”
Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”
Maka sembahnya, “Jikalau ada kurnia Duli Yang Dipertuan, baiklah, tuanku.”
Maka titah baginda, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak orang Kaya Hitam?”
Maka sembahnya, “Mohon patik tuanku.”
Maka titah baginda, “Mahukah akan Tun Rakna Sandari, saudara Paduka Raja itu?”
Dipetik daripada “Burung Terbang Dipipiskan Lada,” dalam antologi Sejadah Rindu, KPM
(i) Berdasarkan petikan tersebut, apakah peristiwa yang terjadi selepas Paduka Raja dan Seri Nara Diraja menjadi orang besar? [2 markah]
(ii) Nyatakan reaksi Sultan Muzaffar Syah apabila mengetahui perihal Seri Nara Diraja tidak bermuafakat dengan Paduka Raja. [3 markah]
(iii) Raja yang adil sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. Pada pendapat anda, bagaimanakah seorang raja itu boleh memerintah dengan adil? [4 markah]
Soalan 2(d) – Syair Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR BIDASARI


Dengarkan tuan suatu riwayat, 1
Raja di desa Negeri Kembayat,
Dikarang fakir dijadikan hikayat,
Supaya menjadi tamsil ibarat.
Ada raja suatu negeri, 2
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.
Harian orang empunya temasya, 3
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.
Seri sultan raja bestari, 4
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.
Beberapa lamanya dalam kerajaan, 5
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.
Datanglah kepada suatu masa, 6
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.
Datanglah menyambar suaranya bahana, 7
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gulana,
Membawa diri ke mana-mana.
Baginda pun sedang dihadap orang, 8
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
“Gempar ini apakah kurang.”


Jamilah Hj. Ahmad (Penyelenggara) Syair Bidasari,1989 dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,KPM
 (i) Berikan maksud rangkap keenam syair di atas. [2 markah]
(ii) Pemimpin dan rakyat perlu saling membantu untuk membangunkan sesebuah negara. Pada pandangan anda, apakah tanggungjawab rakyat untuk memajukan sesebuah negara? [3 markah]
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam syair tersebut. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) pekat  (ii) pikat (ii) siram (iii) suram (iv) indah (v) endah [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Saya menziarahi nenek pada hujung minggu.
(ii) Menteri Pendidikan telah merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang yang bertempat di Dewan Jubli Intan.
(iii) Kamu harus memandu kereta itu dengan berhati-hati kerana hujan yang sangat lebat di lebuh raya.[6 markah]
(c) Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Sebahagian daripada tanah pesaka kepunyaan Haji Sulaiman di kampung akan diambil oleh pihak kerajaan negeri untuk menjadikan rizab jalan.
(ii) Projek carigali yang baharu akan dilaksanakan di pengairan Terengganu oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun hadapan.
(iii) Rambut bayi itu kerinting dan berwarna perang kerana mengikut genetik daripada penurunan sebelah datuknya yang berasal dari Pakistan. [6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i)Remaja hari ini merupakan tonggak utama bagi merealisasikan apresiasi Negara dalam masa 30 tahun daripada sekarang.
(ii) Ayam jantan itu berbunyi dengan nyaring pada tiap pagi menandakan hari menjelang siang.
(iii) Pasukan Bendahara bertempik keriangan apabila diumumkan sebagai juara di dalam pertandingan hiasan rumah sukan.[6 markah]
(e) Baca ayat–ayat di bawah dengan teliti dan nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.
(i) Mak Mah mendidik dan menjaga anak-anak tirinya dengan penuh kasih sayang.
(ii) Peniaga itu mengambil kesempatan menjual barang-barang runcit di kedainya dengan harga yang tinggi kepada mangsa banjir.
(iii) Lagu-lagu lama yang bertemakan hari raya masih segar dan diminati sehingga hari ini.[6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah]Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i)Pantai Kasih karya Azmah Nordin   (ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(a)Latar tempat menjadi aspek penting dalam sesebuah novel. Huraikan dua latar tempat dalam sebuah novel yang anda pelajari.[7m]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu persoalan kebijaksanaan bagi setiap novel tersebut.[8m]

KERTAS SOALAN TAMAT


<script async src="//pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js"></script>
<script>
  (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({
    google_ad_client: "ca-pub-4613969464562525",
    enable_page_level_ads: true
  });
</script>

Jangan Tiru