Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 8 September 2017

​​Panggilan dalam keluarga, orang Kuala Kangsar


Panggilan  dalam keluarga,  orang Kuala Kangsar



 ​,Panggilan  dalam keluarga,  orang Kuala Kangsar
Orang Kuala(orang Perak) sebut Nenek tu sebagai Opah atau Pah, Datuk sebagai Tok, ibu bapa, sebagai emak, ayah, abah dan apak. Jiran  yang perempuan yang agak berusia dipanggil Wan, contoh Wan Kiah(Rokiah), lebih lanjut usia dipanggil Pan, contoh Pan Timah (Fatimah). Makcik biasanya panggilan untuk ibu tiri. Saya senaraikan panggilan dalam keluarga bagi orang Kuala Kangsar. Saya sendiri orang Kota Lama Kiri Kuala Kangsar.


1. Along/Yong/Encik/ Wa(orang Kuala sebut  we' maksud yang tua)
Panggilan Along untuk anak yang sulung. Kata berasal dari perkataan 'sulung' .  Juga disebut Abang Long atau Kak Long. Dalam keluarga penulis, anak sulung dipanggil Encik.Anak sulung jua dipanggi Yong, bagi anak sulung perempuan (panggilan oleh anak saudara jadi Pak Long, Ayah Long Mak Long, Wan Yong, Mak We’)


2. Angah/Ngah /Nyah/ Yang
Angah ni untuk anak nombor dua, atau anak yang kedua. Anak kedua juga dipanggil Nyah  atau  Yang, cik Yang (panggilan oleh anak saudara jadi Mak Ngah, Ayah Ngah, Ayah Nyah, Wan Nyah, Ayah Yang, Mak Yang)


3. Uda atau  Alang
Panggilan untuk anak ketiga (panggilan oleh anak saudara jadi Ayah Uda, Mak Da, Cik Da, Enda, Ayah alang, Mak Lang, Wan Alang)



4. Andak atau Anjang 
Panggilan biasa  bagi anak keempat, sebelum kelima (panggilan oleh anak saudara,jadi Ayah Andak, Mak Andak, Wan Andak, Mak Anjang, Ayah Anjang, Wan Anjang, )


5. Uteh/Eteh/Ateh/Teh
Eteh ialah panggilan bagi anak kelima. Walaupun berkulit gelap panggilannya,Uteh ataupun Eteh atau teh atau Cik Teh. Ratu Cantik Malaysia dulu-dulu tu namanya Teh Faridah. (Panggilan oleh anak saudara jadi Mak Teh, Pak Teh, Wan Teh)


6. Itam/Tam
Panggilannya ialah Kak Tam atau Abang Tam atau Cik Tam. Nasiblah kalau dapat panggilan ini walaupun berkulit cerah. Memang agak terhiris perasaan ini pabila dipanggil Kak Tam atau Abang Tam. Panggilan oleh anak saudara jadi  Pak Tam, Ayah Tam, Mak tam 

,
7. Acik/kak cik/ abang cik
Biasanya apabila sampai anak keenam panggilan cik(kecik) diberikan, kira-dah anak bongsulah tu tapi...lahir pula yang kelapan.( Panggilan oleh anak saudara ialah Ayah Cik , Acik, Wan Cik ).


8 . Cor, cik Cor
Panggilan anak selepas cik (kecik) dapat pula cor(besor) walaupun badan kurus melidi. Panggilan Cor untuk anak ketujuh . (Panggilan oleh anak saudara jadi Ayah Cor, Mak Cor, Wan Cor)


9. Lob/ Yeop
Panggilan bagi anak lelaki 
kesembilan dalam keluarga Melayu, orang Kuala Kangsar. Panggilan oleh anak saudara jadi Ayah Lob atau  Ayah Yeop 

 Wah
Panggilan bagi anak perempuan 
kesembilan dalam keluarga Melayu di Kuala Kangsar ialah Wah. Biasanya anak saudara menggunakan panggilan yang sama iaitu Wah.

10. Acu /Ucu/Usu/Adik/Busu
Panggilan bagi anak bongsu. Panggilan oleh anak saudara ialah Pak Su, Ayah Su. Ayah Cu, Mak adik, Wan Cu.
Anak yang kesebelas atau kedua belas biasanya orang Kuala panggil adik +nama sahaja, contoh kalau namanya Muhammad dipanggil Adik Mat, atau Dik Mat atau Mamat sahaja.


Betul dah ni, sebab saya  buat kajian dengan banyak keluarga di Kuala, hhhmmmm keluarga yang tinggal dekat ngan tebing sungai Perak.  - cg Maznah 


Sesiapa yang masuk ke blog saya ni mesti ada yang terperasan jumpa bahan-bahan saya ni di blog lain.. Sebenarnya saya tukar blog. Blog ni saya rasa lebih mudah. Ehehhh ramai yang download, tak pa kalau rasa bermanfaat nak download, saya ok. Bahan untuk SPM akan terbit lebih banyak lagi.
CERITA SAYA
Panggilan keluarga orang Kuala Kangsar ni memang untuk keluarga saya serba lengkap dah. Cukup-cukup sahaja. Saya masih ada ayah. Haaahhhh... ini lah yang nak cerita ni. 
     Ayah saya ni hanya ada sebelah kaki. Jadi duduk atas kerusi roda. Ayah tidak mengidap apa-apa penyakit sebab dia jaga pemakanannya. Tapi ayah terpijak duri nibong dalam kebun  getahnya macam cerita Jeha yang jua terpijak duri nibong dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Mula-mula,  lepas ayah dapat keluarkan sendiri duri tu, ayah tumbuk biji kopi, daun teh, dan tampal pada tapak kaki. Kurang sikit rasa sakitnya. Tapi hari ke hari ayah bertambah tenat, kaki ayah bahagian bawah membengkak, terpaksa dipotong. Ayah rasa lega. Lega sangat-sangat. Lepas beberapa lama sakitnya datang kembali. Ayah menderita kesakitan. Kaki ayah membusung, warna hitam. Ayah menderita. Ayah tak bercerita tapi wajahnya menceritakan segala-galanya. Kaki ayah terpaksa sekali lagi dipotong, Dipotong hingga paras lutut. Barulah ayah rasa lega. 
     Ayah saya ni seorang yang berfikiran positif. Sekarang usia ayah 92 tahun. Ayah saya bekas guru besar sekolah dan bekas tok imam masjid . Dulu masa ayah muda- muda saya selalu dengar suara ayah melaungkan azan subuh, lepas tu ayah sendiri mengimamkan solat. Ayah sama kelas dengan Tun Ghafar Baba semasa di MPSI(sekarang UPSI).Ibu saya telah lama pulang ke rahmatullah.Kasih sayang ayah terhadap ibu begitu tulus dan suci. Pada setiap kali waktu terluang ayah akan mengunjungi pusara ibu. Di pusara ibu ayah membisikkan, "tunggu ya, sekejap lagi teman akan ngikut mike.........!!"
      Dan setiap kali saya sekeluarga pulang ke kampung dari Tanah Merah Kelantan, pada malam raya misalnya, ayah akan tersengguk-sengguk menunggu kepulangan kami .Ayah tetap setia dengan kerusi rodanya menunggu di muka pintu.dengan senyuman. I luv u ayah......








Karangan SPM : Bagaimana membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Bincangkan


Bagaimana membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita Bincangkan

Pesan para hukama , 
kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah meniti usia. Setiap insan dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua-dua ibu bapanya. Membalas jasa ibu dan bapa adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap anak. Jasa ibu bapa tidak mampu dibalas walau dengan menggunakan semua harta yang ada atau dengan segunung intan permata. Sesungguhnya kasih sayang mereka sudah terserlah  sejak kita di dalam kandungan lagi hinggalah ke hari ini.Renung-renungkanlah serta fikir-fikirkanlah, sedangkan haiwan kasihkan anaknya inikan pula ibu bapa kita terhadap kita. Anak-anak perlu segera insaf dan berusaha untuk  membalas jasa dan kasih sayang yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada kita. Semua kekayaan yang kita miliki ini tidak setanding  nilai kasih sayang yang ibu bapa. berikan kepada kita. Penghibur nombor satu Asia mengungkapkan dalam lirik lagunya, 'ayah dan ibu, ayah dan ibu, itulah... pemulaan kami , dapat melihat bulan dan matahari......!!

    
Sejak dilahirkan lagi, kita dijaga oleh ibu bapa dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh. Bayangkanlah seorang ibu terpaksa bersengkang mata sepanjang malam menjaga kita, sehingga ibu tidak merelakan walau seekor nyamuk pun menggigit tubuh kita. Oleh hal yang demikian, sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk membalas jasa mereka Cara paling wajar kita lakukan pada saat dan ketika ini ialah kita perlu belajar bersungguh-sungguh. Kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran, dalam SPM misalnya, sudah tentu mampu menggembirakan ibu bapa yang bersusah payah menyekolahkan kita. Sesungguhnya setiap ibu bapa inginkan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh menentukan masa depan kita , sekaligus menghilangkan rasa penat lelah mereka  menjaga dan membesarkan kita.

  
 Sebagai anak yang baik, kita juga sewajarnya mempamerkan tingkah laku yang mulia. Segala nasihat mereka perlu didengar dengan teliti dan diikuti sebagai pedoman hidup. Apabila bertutur dengan ibu bapa, elakkan bercakap kasar agar tidak menyinggung hati dan perasaan mereka. Jangan lukai hati dan perasaan kedua-dua ibu bapa kita sebaliknya  gunakanlah bahasa yang sopan, lembutkan suara , jangan sesekali membiarkan air mata ibu tumpah kerana tutur kata kita yang menghiris perasaan. Jangan sesekali bertindak seperti Si Tanggang Anak Derhaka. Biarkanlah legenda siTanggang berlalu sebagai retorik zaman dan tidak menjadi realiti dalam kehidupan sebuah keluarga bahagia yang kasihnya tertumpu kepada ayah dan ibu. Izinkanlah ayah dan ibu kita menghabiskan sisa-sisa usia dengan wajah yang sentiasa berbunga senyuman dengan kita sentiasa mempamerkan tingkah laku mulia.

 
   Kalaulah masa boleh diundur semula rasanya begitu banyak perkara lagi yang mahu kita lakukan untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Tetapi apakan daya, masa tidak menunggu kita sebaliknya kita pula perlu mengejar masa. Bantulah kedua-dua ibu bapa kita selagi kita ada masa, selagi kita diberi kesempatan, selagi ibu bapa kita masih ada. Kita perlu sentiasa bersikap tangan terbuka untuk membantu mereka. Penat lelah mereka mencari nafkah menanggung kita selama ini perlulah kita hayati, kita bantu bagi mengurangkan bebanan yang dipikul oleh mereka. Sebagai anak dalam usia remaja apa salahnya kita membantu mereka mengemas rumah, memasak, menyiram pokok bunga dan sebagainya.Sememangnyaterasa sejuk perut ibu yang mengandung dan membesarkan kita apabila melihat anak-anak yang tahu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka, bersedia pula pada bila-bila masa membantu mereka.

    
Analogi kehidupan menyatakan ibu bapa pada usia tua disimbiosiskan ibarat  naskhah al quran buruk, biarpun tampak usang wajib diletakkan di tempat yang tinggijangan kita samakan ibu bapa kita yang  pada usia senja ibarat sehelai kain buruk yang hanya layak sebagai penyapu  lantai. Jaga kebajikan, makan minum mereka, Kalau ibu bapa kita sakit, segera dapatkan rawatan yang terbaik untuk mereka. Kalau mereka kesunyian, hiburkan mereka dengan membawa mereka melihat dunia, meneroka alam yang luas terbentang selagi kesempatan masih ada. Alangkah indahnya detik dan ketika seorang anak atau anak-anak memimpin tangan kedua-dua ibu bapa berjalan seiring menuju ke rumah Allah dan sama-sama solat berjemaahTernyata menjaga kebajikan kedua-dua ibu bapa kita merupakan antara cara terbaik membalas jasa mereka.

       
  Satu lagi prakarsa yang tidak boleh kita kesampingkan, ialah, untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa di dunia dan di akhirat. Kita boleh memohon doa kepada Tuhan agar ibu bapa diberi kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan diampunkan segala dosa. Doa boleh diamalkan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi selepas solat.Dan sejak dari sekarang simpanlah niat dan hasrat untuk menghantar ibu bapa kita menunaikan fardu haji di Makatulmukaramah - MEKAH. Terasa indahnya hakikat dan kebenaran syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu.

     
Kesimpulannya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Segala penat lelah, susah payah mereka membesarkan kita sewajarnya  kita hargai. Yang jelas, dengan penuh istiqomah, kita perlu sedaya upaya berusaha untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka. Ingat, tanpa ayah dan ibu, siapalah kita......!!!
​                                                                                               Oleh Muqri Mashadi (5sains2)





SEJARAH INDAH UMNO (HAYATILAH....) UMNO TUJUH DEKAD MENUNJANGI KEMAKMURAN

SEJARAH INDAH UMNO (HAYATILAH....)
UMNO TUJUH DEKAD MENUNJANGI KEMAKMURAN
       UMNO, usianya bukanlah baru setahun jagung, darah bukanlah baru setampuk pinang, pada 11 Mei 2017,  genaplah usia  UMNO iaitu 71 tahun. Matang dan berwibawa. Persilihan tahun, perubahan suasana dan peralihan musim adalah sesuatu yang rutin. Tetapi bagi UMNO, ada banyak situasi menarik, peristiwa indah dan elemen-elemen istimewa lagi menakjubkan dalam memperkatakan  usia parti yang didominasi oleh orang Melayu itu. Hakikatnya, UMNO terus teguh, melayari bahtera perjuangan menuju ke pelabuhan jaya tanpa mengetepikan kepentingan mana-mana kaum di negara ini. Dan UMNO tentunya boleh berbangga menjadi antara pertubuhan politik yang paling lama bertahan di dunia. Dunia mengenali dan mengagumi UMNO. Oleh itu, tidak salah jika UMNO mengadakan sambutan secara besar-besaran sempena ulang tahun parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tarikh 11 Mei. Lebih 150,000 ahli parti keramat UMNO  menyertai perhimpunan menyambut ulang tahun yang dianggap terbesar dalam sejarah UMNO.
     Sambutan kali ini sudah pasti  memaparkan kesepakatan UMNO serta kebersatuan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Untuk renungan semua, berasaskan nostalgia silam, musim-musim nan berlalu, sepanjang laluan perjuangan UMNO, bukan senada ribut  nan melanda, bukan sepeledak  gelombang nan membadai malah terlalu banyak  cabaran, rintangan, halangan yang silih menduga. Bukan mudah untuk melerai kemelut yang terpaksa dilalui dan bukan calang-calang orang boleh membentenginya.  Huhh.... ada kalanya, permasalahan, duri yang mencengkam, ribut nan melanda dalaman parti teramat–amat  sukar untuk dilerai bagaikan tali yang kusut sekusut-kusutnya dan akhirnya tersimpul mati. Bayangkan, UMNO pernah dibatalkan pendaftarannya. Hummmpp... Kira-kira setahun nan lalu, UMNO ‘digegargelodakkan’ pula oleh babak-babak drama akasia kehidupan yang mengaibkan orang Melayu, apabila di luar jangkaan kita  beberapa  pemimpin tertinggi dalaman parti  mencetuskan provokasi sengketa, sanggup menggadai harga diri, terjual murah, terlalu murah,  apabila tanpa harga diri mereka mengkhianati parti. Sukar untuk dipercayai tetapi itulah yang terjadi! Yang membuatkan kita tertanya-tanya, hati ini tertanya-tanya, mengapalah kita ada pemimpin yang sebegini, yang sanggup menjadi gunting dalam lipatan, duri dalam daging, musuh dalam selimut dan api dalam sekam kepada UMNO!  Yang tidak sepatutnya berlaku, BERLAKU. Dan yang berlaku, memberi  ruang untuk kita berfikir, untuk kita ‘buka mata’ seluas-luasnya, membezakan antara, yang mana kaca dan yang mana permata. Permata yang ada, yang kita miliki,  itulah yang terus menyinari UMNO. Kita punyai, kita miliki, pemimpin UMNO yang jujur tidak mudah melatah, tidak mudah mengalah, tidak mudah beralih arah dengan dugaan nan melanda. Kita patut merenung jauh, suatu renungan yang saujana, betapa kita orang Melayu masih diberi Allah,  pemimpin, dan barisan kepimpinan yang ikhlas berjuang, berkhidmat dan berbakti untuk agama, bangsa dan negara.        Hmmm... saya yakin, kita semua amat meyakini hakikat, selagi UMNO memegang tampuk kepimpinan, selagi itulah,’takkan Melayu hilang di dunia’. Insya-Allah !!
      Biarlah segala yang tercatat dalam lembayung sejarah muram, suram,  UMNO berlalu bersama-sama mendung semalam. Fragmen hitam suram kita jadikan peringatan, pengajaran untuk kita mencari dan menerima sinaran yang lebih cerah, terang dan yang lebih bergemerlapan. Usah biarkan luka yang berdarah, menjadi nanah, dan membusung menjadi barah  itu,  berulang kembali.  Luka lama perlu diubati, kalau dibiarkan akan berdarah semula. Tetapi.... entahlah....kalaupun lukanya akan hilang, akan sembuh, hmmmm... parutnya tetap dan masih ada, dalam ingatan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia. Demi masa depan UMNO maka kita biarkanlah  sahaja sipengkhianat bangsa terus bersekongkol dengan sekutunya, ‘biarkanlah siluncai terjun dengan labu-labunya’. Golongan durjana, dursila bangsa ini, ibarat pancang di tengah-tengah muara, ibarat lalang ditiup angin, ibarat layang-layang putus tali. Biarkanlah......... ! Namun, perjuangan kita bersama-sama barisan pemimpin UMNO dan BN  perlu kita teruskan. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi,  UMNO dengan konsep wasatiyahnya masih dan kekal memiliki kekuatan UMNOnya yang tersendiri. Kepimpinan UMNO semakin matang, kini semakin luar biasa berganda kekuatannya dalam menghadapi sebarang kejutan atau fenomena  yang di luar jangkaan. Kita sokong, kita pilih dan kita kekalkan pemimpin dan barisan kepimpinan yang benar-benar jujur, ikhlas berbakti untuk nusa dan bangsa.  Gandingan mantap YAB PM DS Najib dan YAB TPM DS Zahid Hamidi , memberi kita keyakinan  total, perjuangan UMNO berada pada landasan yang betul dan tepat. Kestabilan parti menjadi keutamaan, tonggak dan tunjang perjuangan kedua-dua pemimpin ini. Walau pelbagai tohmahan dilemparkan YAB DS Najib sentiasa positif, tabah, tenang, sentiasa merendah diri, dan mempunyai jiwa orang bekerja. Pemimpin sebeginilah yang Malaysia perlukan. UMNO dahulu, kini dan selama-lamanya kekal membugar, bertenaga dalam perjuangannya,  melaksanakan misi mempertahankan kesucian agama Islam, memperjuangkan dan mengiktirafkan hak orang Melayu, mengutamakan  perpaduan, memenuhi kepentingan dan aspirasi semua kaum di negara ini. Yang jelas, UMNO perlu mendapat sokongan padu, sokongan total orang Melayu, anak Melayu, bangsa Melayu dan bumiputera bersama-sama rakan dalam Barisan Nasional melayarkan bahtera menuju pelabuhan damai, merdeka dan berdaulat.
       UMNO membuktikan keupayaan dan keberkesanan peranannya sebagai peneraju utama pemerintahan negara bersama-sama rakan komponen BN. Gagasan BN sentiasa mengutamakan prinsip-prinsip konsensus, kesederhanaan, inklusif, adil dan saksama. Hasilnya, tiada mana-mana pihak berasa diri tersisih, berasa dinafikan hak dan kebebasan, malah segala kemakmuran dan kesejahteraan dinikmati bersama-sama. Kita atasi segala kelemahan, kita penuhi segala kekosongan  pendek kata, yang hilang dicari, yang cicir dipungut, yang patah disambung, yang retak ditampal, yang retas dijahit, yang sukar dipermudahkan.   Antara rahsia UMNO kekal teguh di persada politik  dunia, khususnya di tanah air kita, adalah kerana sikapnya yang sentiasa terbuka, berterus terang dan komited. UMNO tidak pernah berselindung di sebalik lalang nan sehelai, tidak pula berwewenangan menuding jari, sebaliknya baik pemimpin mahupun rakyat memainkan peranan masing-masing demi kesinambungan  UMNO yang amat kita sayangi. UMNO sentiasa melakukan pencerahan terhadap sebarang persoalan dan permasalahan kerana UMNO berpendirian setiap persoalan ada jawapannya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya, dengan izin ALLAH jua. Bagi UMNO, perjuangannya adalah jelas tanpa tersembunyi atau tersirat di sebalik agenda sulit sehingga boleh mencurigakan mana-mana pihak. UMNO terbuka dalam menzahirkan agenda dan falsafah perjuangannya. UMNO tahu misi dan hala tuju parti. Demikian juga dengan rakan sealiran UMNO dalam BN. UMNO dan BN saling memahami dan menerima kerangka asas kenegaraan. Dan yang pasti, UMNO bukan parti milik mana-mana keluarga atau dinasti. Perkaitan anak ayah, ahhaaa, contohnya,  antara Allahyarham Tun Abdul Razak dan YAB DS Najib, kedua-duanya terpilih sebagai Perdana Menteri, terjadi hanya suatu kebetulan. Kebetulan yang bukan sengaja diatur-aturkan  dan bukan sengaja diwujud-wujudkan. ‘Inilah suratan dalam kehidupan......atau  sekadar, suatu kebetulan’. Suatu anugerah buat rakyat Malaysia. Allah SWT telah menganugerahkan kedua-duanya dengan kualiti kepimpinan yang luar biasa untuk UMNO. Masing-masing punyai kekuatan, kepakaran tersendiri sebab itulah kedua-duanya menjadi pilihan rakyat, terpilih melalui PRU. Kepimpinan dan ketokohan Tun Abdul Razak menjadi kekuatan  untuk kita membela watan manakala kepakaran YAB DS Najib dalam bidang pengurusan dan pentadbiran mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa dan seluruh rakyat jelata. YAB DS Najib  dikenali sebagai PM yang kreatif, inovatif, rajin, gigih, bekerja keras memenuhi pelbagai agenda pembangunan negara bersama-sama seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional. Beliau dikagumi, dihormati, dikasihi, disayangi rakyat jelata.
          Tertera dalam litar sejarah tanah air, UMNO lahir sebagai generasi pejuang, pembela nasib bangsa dan berteduh di bawah rimbunan kasih kesepakatan, kesepaduan nan tulus. UMNO memperjuangkan kemerdekaan bersama-sama rakan sepakat dan taulan sepadu, yang mewakili kaum Cina dan India pada waktu itu. Ketiga-tiga tokoh, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan telah memadamkan perkiraan, percaturan British yang menganggap, yang merencanakan ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India itu tidak boleh bersatu, tidak boleh bertentang mata, tidak betah  bertemu muka, apatah lagi berbual bicara, maka akan gagallah  memenuhi syarat utama menuntut kemerdekaan Malaya yang ditetapkan.  British memasang angan-angan untuk  terus lebih lama menjajah, untuk terus mengaut hasil, menghakis kekayaan di bumi bertuah ini. Ternyata British tersasar haluan, tergelincir dalam memandu arah. Sebaliknya UMNO dan rakyat Malaysia terus berjuang mengukuhkan ikatan perpaduan, penyatuan kaum yang benar-benar mantap, yang tidak merelakan sikap angkuh, haloba British berterusan  mahu menguasai Tanah Melayu. UMNO  dan Perikatan berjaya membolosi, mengekang niat jahat golongan imperialis.  Perahu sudah berada di air, pendayung sudah ada di tangan, UMNO dan perikatan terus belayar jauh membawa negara ke pelabuhan cicita, menuju merdeka, membangun seiring, setanding negara-negara maju di dunia.
           Harga kesepakatan begitu tinggi nilainya, dan bukan calang-calang orang yang meletak harganya.  Tokoh-tokoh silam UMNO meletakkan asas kukuh perpaduan berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama-sama. Penubuhan Perikatan mengembang-mekarkan bunga-bunga perpaduan hingga menjadi teras gagasan penubuhan dan pembentukan Barisan Nasional yang kini gah tersohor fungsi dan peranannya hingga ke sejagat raya.  BN membina wadah pakatan yang lebih besar, namun tetap berpijak pada asas struktur politik yang sama iaitu perpaduan. UMNO bersama-sama rakan kongsi dalam BN bukan terbentuk hanya untuk menghadapi pilihan raya. Bukan  bertindak sebagai himpunan pihak-pihak yang kecewa atau serpihan daripada mana-mana ranting parti yang berselerak, bersipongang dalam negara. Dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. BN terbina demi menjaga hak dan kepentingan semua kaum secara konsisten, bukan bermusim. Jelas terbukti, sejak merdeka sehingga kini, BN mampu membawa pembangunan, kemajuan, kemakmuran dan kestabilan untuk rakyat jelata berbilang bangsa dan untuk Negara tercinta.
             Cabaran bagi UMNO dan BN kini adalah terpaksa menghadapi saingan kurang sihat daripada pihak pembangkang yang cuba membentuk acuan bertentangan aspirasi nasional dan terlalu  asing  hingga mengabaikan asas pembinaan negara bangsa yang selama ini terlaksana dalam suasana harmoni dan sejahtera. Ada pihak cuba merubah kerangka asal, asas penyatuan yang menjadi pegangan hidup rakyat pelbagai kaum dan keturunan sejak sekian lama di negara ini. Kecenderungan besar kalangan pihak yang dimaksudkan ini adalah untuk mempengaruhi generasi muda. Mereka berharap generasi ini mengetepikan sejarah asal, terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia. Mereka mahu membawa orde baharu yang meletakkan perjuangan kebebasan tanpa batas, termasuk menafikan hak-hak tertentu yang sedia termeterai. Namun, program transformasi UMNO telah semakin berganda berjaya menarik minat anak-anak muda menyertai parti UMNO. Mekanisme, agenda dan provokasi  pembangkang ditolak mentah-mentah oleh generasi muda, oleh  generasi baharu. UMNO dan BN menjadi pilihan generasi hari ini.
       UNTUK mengukur kekuatan jati diri sesebuah bangsa, sejarah asal usul bangsa itu perlu dilihat kembali. Kekuatan Amerika Syarikat misalnya diukur sejak zaman Presiden Abraham Lincoln (1861-1865) sehingga ke hari ini yang menjangkau lebih 150 tahun. Dalam pengamatan ramai, bangsa Amerika dianggap memiliki jati diri bangsa yang cukup hebat selain British. Meneliti jati diri bangsa di tanah air tercinta ini, Sejarah Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka boleh diambil iktibar.  Mengimbau sejarah Nusantara, Melaka bukanlah sebuah negeri Melaka seperti hari ini. Persempadanan Melaka pada abad ke-14 dan 15 tidak terjangkau. Sempadannya merentasi Siam dan Riau sehingga dipanggil Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan kehebatan orang Melayu yang menguruskan sebuah empayar yang begitu besar, kehebatan itu dicemburui oleh Barat yang melihatnya ‘berbahaya’ kerana begitu seiring dengan perkembangan Islam.
         Orang Melayulah, yang menguruskan pelabuhan Melaka ketika itu. Tempat persinggahan kapal-kapal dagang dari  Eropah dan Timur Jauh menuju ke Benua China dan sebaliknya. Pelabuhannya yang cukup hebat dikendalikan pihak pengurusan terdiri daripada cerdik pandai Melayu. Siapatah yang membina bandar  Melaka dengan seni binanya yang unik lagi menarik dan istananya yang memukau. Pastinya dibina oleh orang Melayu. Orang Melayu terbukti cukup hebat. Kehebatannya dicemburui. Disebabkan kehebatan itulah maka Keagungan Kerajaan Melayu Melaka itu segera dipecah-belah dan diracik-racik oleh penjajah sehingga dengan sendirinya membunuh kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka. Akibatnya yang kita terima ialah, Melaka tidak beraja sehingga hari ini.
Rekod sejarah penjajahan selama 446 tahun dari 1511 hingga 1957 membuktikan pihak penjajah yang bersilih ganti AMAT mencemburui kehebatan  Melayu. Tanpa kelibat penjajah hari ini, apakah tega kita membiarkan kedaulatan bangsa yang diperjuang oleh UMNO ini pula sewenang-wenangnya  diperkotak-katik, disepakterajang, dibakarhangus, oleh pelbagai pihak yang iri hati akan kebangkitan semula Melayu , apatah lagi oleh bangsanya sendiri? Andai kita alpa dan terleka, membiarkan Melayu diperalat, Islam dipersenda, membiarkan Melayu menang sorak kampung tergadai, Melayu akhirnya hidup merempat, melarat, terhina, terbangsat di tanah air sendiri. Apabila bumi dipijak, milik orang, hidup Melayu akan menjadi persis melukut di tepi gantang. Hidup menumpang memang suatu penghinaan kerana bila-bila masa kita boleh diusir, dihalau dan disingkirkan.... macam... macam parasit,  dibaling kayu, dilontar batu barulah mahu beransur pergi.  Uhhh, Tanpa harga diri, kita sudah tidak punya apa-apa lagi.
            Orang Melayu pada era Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka memang merupakan bangsa yang hebat. Sebagai golongan muda, generasi baharu yang peka, cakna dan celik sejarah, kita wajar mengkaji sejarah kekuatan, sejarah kehebatan orang Melayu pada  zaman Empayar Melayu Melaka,  di tanah legenda Tun Tuah. Hari ini kita perlu melangkah jauh lebih hebat lagi.  Jangan kita hanya menjadi generasi yang hanya ‘tunggu dan lihat, yang tidak mahu berusaha, kononnya rezeki secupak takkan jadi segantang! Buat apa nak usaha lebih-lebih, ulat dalam batu pun boleh hidup...!!!! Janganlah,  mahu mengejar status manusia liberal, kita jadi tidak berketentuan, lebih malang lagi hanya berserah kepada takdir tanpa berusaha memperbaiki  kelemahan diri. Kita perlu segera insaf dan berusaha  mengembalikan jati diri bangsa Melayu, kita perlu meneruskan aspirasi perjuangan UMNO, kita perlu menghayati  sejarah perjuangan pejuang-pejuang UMNO sejak awal penubuhannya sehingga kekal ke hari ini. UMNOlah yang menerajui perjuangan menuntut kemerdekaan, UMNOlah jua yang menguruskan kedudukan ketuanan Melayu, menerajui kepimpinan Tanah Melayu dan memastikan Tanah Melayu untuk orang Melayu, orang Melayu memilik Tanah Melayu dan selepas merdeka diberi pula ruang bersyarat kepada kaum Cina dan kaum India, untuk bersedia menjadi warga negara. Dalam tempoh yang sama, UMNO berjuang habis-habisan, bekerja keras bertungkus lumus membina Malaysia  sehingga menjadi sebuah Negara yang maju dan makmur.
          Pengurusan Tanah Melayu ini diterima dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj membentuk sebuah kerajaan yang anggota kabinet, ahli parlimen, wakil-wakil rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Pentadbiran dan pemerintahan  sentiasa mengutamakan kepentingan dan  hak semua kaum yang terdapat di Negara ini. Namun, hak orang Melayu dan bumiputera diberikan sebagai satu kelebihan yang perlu dilindungi di bawah naungan  Parti Perikatan  kini termaktub dalam Perlembagaan Negara, tertera sebagai hasil perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.  Dalam aspek ini, Presiden UMNO,  YAB PM DS Najib Tun Razak  meyakinkan kita dengan menyatakan bahawa beliau telah meletakkan asas perjuangan itu di bawah pentadbirannya,  memastikan UMNO terus menaungi orang Melayu pada 70 tahun akan datang. Gagasan YAB DS Najib yang baharu pula, iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan gagasan yang cukup besar bersesuaian dengan zaman yang sudah berubah setelah 71 tahun berlalu. Perdana Menteri menerusi daya kepimpinannya memikirkan cabaran getir  ‘dunia konvensional orang naik basikal yang tiada kemudahan, kepada cabaran dunia era digital’.  Untuk meletakkan asas masa depan, Datuk Seri Najib merealisasikan impiannya mahu membina sebuah lagi mercu tanda baharu iaitu Pusat Dagangan Dunia KL Putra. Menara 70 tingkat ini merupakan satu mercu tanda menggambarkan sikap berpandangan jauh kepimpinan UMNO seperti mana terbinanya Menara Dato’ Onn suatu masa dahulu.  Mercu tanda itu yang akan melibatkan kerja-kerja fizikal pembinaannya bermula pada 11 Mei, yang jua melambangkan segala titik perubahan hidup masyarakat Malaysia dalam tempoh 71 tahun ini - yang menikmati pelbagai manfaat pemerintahan Barisan Nasional (BN), ditunjangi oleh UMNO. Alhamdulillah, melalui perjuangan UMNO dan  perkongsian urus tadbir bersama-sama rakan-rakan komponennya berjaya membina sebuah negara yang  maju membangun, negara Malaysia yang menjadi kebanggaan rakyat jelata, dihormati dan dikagumi oleh dunia.
             Roh perjuangan UMNO  diterapkan pada setiap generasi supaya inspirasi dan aspirasi perjuangan UMNO kini, seiring dengan roh perjuangan parti yang bermula penubuhannya pada tahun 1946 . Setiap pemimpin yang ada di atas pentas perjuangan UMNO hari ini merupakan pemimpin yang telah diasuh oleh jentera-jentera, pemacu-pemacu perjuangan UMNO sejak zaman puntung berasap lagi. UMNO belajar bertatih sebelum mula mengorak langkah ke hadapan mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia.  Melalui perjuangan membela nasib bangsa UMNO berjaya membina sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.  Pemimpin bersama-sama membina pembangunan Malaysia tanpa mengetepikan hak kaum-kaum lain manakala hak orang Melayu diperjuangkan dan hasil perjuangan itu,   hak bangsa Melayu dan bumiputera   termaktub dalam Perlembagaan Negara Malaysia.  Kini, gagasan baharu kerajaan di bawah program Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi wadah baharu  seluruh rakyat, khususnya golongan muda untuk melihat dan melangkah lebih jauh ke hadapan, ke era yang lebih maju, lebih lengkap dan selari dengan tuntutan  semasa. Semoga UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia!
           Kesimpulannya, UMNO telah bergerak dan melangkah begitu jauh, setiap inci tanah ini telah UMNO makmurkan. Semangat Sang Saka Bangsa sentiasa  membara menjadi intipati  perjuangan UMNO. Hari ini, semua perwakilan dan ahli UMNO memakai baju merah kerana inilah warna darah daging perjuangan UMNO yang membara dalam hati kita semua.  Perhimpunan UMNO seringkali diadakan secara aman, tertib, penuh berhemah dan mendapat sambutan luar biasa. Kini 71 tahun usia UMNO dan dalam masa 71 tahun ini bererti lebih tujuh dekad, lebih  tujuh dasawarsa UMNO telah berbudi, menabur bakti untuk negara kita. Marilah kita sama-sama meraikan  kejayaan sebuah parti politik yang paling berjaya di dunia berteraskan sistem demokrasi berparlimen. Berjanjilah kita agar susah senang, pahit manis, kehidupan ini,  kita kongsi, dan kita harungi bersama-sama. Hati ini berkata-kata, biar  gerimis, hujan, ribut taufan, badai gelombang, (banjir 2014?) melanda,  akan kita harungi, kita redah, kita bentengi bersama-sama. Sudah tentulah BERSAMA-SAMA UMNO dan Barisan Nasional. Selamat Hari Ulang Tahun UMNO yang ke 71 .


BAGAIMANA MEMPEROLEHI RAHMAT ALLAH

Sia-sialah hidup jika tidak mendapat rahmat Allah. Kekayaan dan rezeki tidak berkat, habis seperti air yang mengalir tanpa meninggalkan bekas. Harta benda menjadi fitnah dan sumberkesengsaraan bukan kebahagiaan. Anak anak memberontak menjadi sumber fitnah, hasutan dan dengki-mendengki bukan sumber inspirasi, bukan sumber ketenangan. Isteri menjadi sebab bertambahnya dosa bukan menjadi sebab mengalirnya pahala, ketenangan dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah). Jadi bagaimana memperolehi rahmat Allah?
Pohonlah rahmat secara berterusan berdasarkan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw atau para nabi sebelum baginda, berdasarkan al-Quran dan hadis. Moga kita semua mendapat rahmat Allah dan di tempatkan di kalangan orang yag terpuji.
Apakah amalan yang membolehkan kita sampai kepada rahmat Allah sebagaimana dipohon para nabi?
Hadis:
“Barangsiapa yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya. Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan
menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam hatinya sekaligus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah hina.”(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi.)


Rahmat yang Allah sebut di dalam al-Quran itu sebenarnya ialah untuk kita ni’mati sebagai tanda kasih-sayangNya kepada kita. Berikut ini beberapa panduan bagaimana kita boleh memperolehi rahmat yang Allah sediakan itu. Semua ini tercatat di dalam al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w. sebagai panduan agar kita tidak tersesat.

1. TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL
Rahmat itu diberi kepada orang taat sahaja. Bagi yang engkar seperti murtad, menduakan Allah (syirik), menentang hukum Allah, mereka tidak akan mendapat rahmat. Orang yang mematuhi perintah Allah adalah orang yang dapat mengambil pelajaran dan berakal sempurna.
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.” (A-li Imraan: 132)
2. BERTASBIH, MENGINGATI ALLAH, BERZIKIR DAN MENYEBUT NAMA ALLAH BANYAK-BANYAK
Antara perkara yang begitu senang dilakukan oleh manusia ialah berzikir. Tetapi berzikir juga menjadi susah sekiranya hati seseorang tidak bersedia untuk menyerah kepada Allah. Hati orang yang engkar tidak bersedia untuk berzikir. Walaupun zikir adalah satu ni’mat yang diberi kepada manusia, tetapi tidak ramai yang mendapat rahmat ini.Allah memberikan kita panduan atau tips bagaimana untuk mendapat rahmat iaitu beriman, bertasbih serta mengingati nama Allah banyak-banyak di waktu pagi dan petang agar kita dilimpahi cahaya keimanan yang terang-benderang.
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).” (Al-Ahzaab 33:41-43)
3. DIRIKAN SOLAT UNTUK MENDAPAT RAHMAT ALLAH
Solat merupakan tiang agama, jika tidak bersolat, runtuhlah agama seseorang itu. Allah telah memberi kita panduan hidup iaitu mendirikan solat yang telah diajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Orang yang menjaga solatnya telah diberkati dengan Rahmat Allah. Ia merupakan tiang agama dan dengannya (solat) seseorang itu akan dinilai sama ada dia telah melakukan amalan yang baik atau sebaliknya bagi yang meninggalkan solat.
Allah berfirman dalam Surah al-Kautsar yang mafhumnya,
“Sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) sebuah sungai di syurga. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah yang terputus (daripada rahmat Allah SWT).” (Al-Kauthar 108:1-3)
4. BERJAGA JAGA DARI URUSAN DI DUNIA DAN AKHIRAT
Allah telah memberi amaran kepada orang-orang kafir musyrikin agar berjaga-jaga akan apa yang di hadapan (kehidupan dunia) dan dibelakang (balasan akhirat), supaya berhati hati, tidak melakukan dosa-dosa dan kezaliman agar mereka dirahmati, walau bagaimanapun amaran Allah itu tidak mereka endahkan. Kita sebagai orang Islam hendaklah sentiasa berwaspada akan tindak tanduk kita agar mematuhi garis panduan Allah dalam al-Quran dan hadis dan tidak menjadikan dunia sebagai matlamat kita.
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huruhara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat’, (mereka tidak mengendahkannya).”(Yaa Sin 36:45)
5. TIDAK BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’” (Az-Zumar 39:53)
6. MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK
Iaitu berbuat Ihsan dalam beribadah kepada Allah Ta’ala dengan menyempurnakan ibadah kepadaNya dan merasa diperhatikan (diawasi) oleh Allah Ta’ala, bahwasanya kamu beribadah kepada Allah Ta’ala, seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak melihatNya,sesungguhnya Dia melihatmu, dan berbuat baik kepada manusia semaksimum mungkin, baik dengan ucapan, perbuatan, harta, dan kedudukan.
Allah Ta’ala berfirman, artinya, “Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raf: 56).
“Ini ialah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh. Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik.” (Luqman 31:2-3)
Ramai daripada kita memandang kecil atas perbuatan baik yang dilakukan kerana kita tak nampak pahala. Di sisi Allah, segala perbuatan baik atau jahat yang kita lakukan akan dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atib yang sentiasa taat menjalankan kerja mereka.
7. TAKUT KEPADA ALLAH
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘takutlah kamu akan siksa yang ada di hadapan kamu dan siksa yang akan datang (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu mendapat rahmat’, (nescaya mereka berpaling).” (Yaa Siin 36:45)
8. BERISTIGHFAR DAN MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH
Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu):
“Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.” (Ghaafir 40:7)
Allah Ta’ala berfirman, “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami. (iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi.” (Surah al-A’raf: 156)
9. ORANG YANG SABAR
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata. ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’ Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Al-Baqarah 2:155-157)
10. MENGERJAKAN AMAL SOLEH
Satu cara mendapatkan rahmat Allah adalah dengan amal soleh. Syeikh Abu Said al-Kharraz menyebut, ‘Menyerah kepada Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal soleh.’ Yang bermaksud, rahmat Allah akan diberi kepada hambaNya yang telah berbakti dan beramal soleh. Ayat ini pula memberitahu, rahmat Allah akan hampir kepada orang-orang yang berbuat baik. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:
‘Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang yang berbuat baik.’ (al-A’araf, 56).
“Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh.” (Al-Anbiyaa’ 21:75)
11. MENJALANKAN HUKUMAN QISAS
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula)maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Baqarah 2:178)
12. MENDAMAIKAN ORANG BERIMAN
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujuraat 49:10)
13. MENDIRIKAN SOLAT, MENUNAIKAN ZAKAT, DAN MENTAATI RASULULLAH S.A.W.
Allah Ta’ala berfirman, “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ta’atlah kepada Rasul, supaya kamu diberi rahmat.” (Surah an-Nuur: 56).
14. ORANG BERIMAN, ORANG YANG BERHIJRAH DAN BERJUANG DI JALAN ALLAH
Allah Ta’ala berfirman, artinya, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al Baqarah 2.218)
15. ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA KE JALAN ALLAH/ BERDERMA
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)
16. BERTAWAKAL KEPADA ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA KE JALAN ALLAH/ BERDERMA
“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).” (A-li Imraan 3:157)
17. BERTAWAKAL KEPADA ALLAH
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (A-li Imran 3:159)
18. DENGAR DAN DIAM APABILA AL-QURAN DIBACA
“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-A’raf 7:204)
19. MENGIKUTI AL-QURAN AL-KARIM DAN MENGAMALKANNYA
Allah Ta’ala berfirman, artinya, “Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang
diberkati, maka ikutilah dia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat.” (Surah al-An’am: 155).
20. ORANG YANG MERENDAH DIRI KEPADA KEDUA IBUBAPA KERANA BELAS KASIHAN DAN KASIH SAYANG
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’” (Al-Israa’ 17:24)
21. MENGHARAP RAHMAT ALLAH DAN GERUN AKAN AZABNYA
“Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.” (Al-Israa’ 17:57)
22. MENCIUM DAN MENYAYANGI ANAK
Nabi s.a.w. mencium Al-Hasan bin ‘Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata, “Aku punya 10 orang anak, tidak seorang pun dari mereka yang pernah kucium”. Maka Rasulullah s.a.w. pun melihat kepada Al-‘Aqro’ lalu beliau berkata:
“Barangsiapa yang tidak merahmati/ menyayangi maka ia tidak akan dirahmati”(Hadis Riwyat Al-Bukhari)
23. BALASAN RAHMAT DARIPADA ALLAH TERHADAP ORANG YANG LEBIH BANYAK BERSELAWAT
Terdapat banyak fadhilat berselawat yang di antara lainnya ialah:
a) Seseorang itu akan selalu berada bersama Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak.
b) Melepaskan seseorang itu daripada segala apa yang mendukacitakan dan yang membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.
c) Beroleh syafaat yang khusus daripada Rasulullah s.a.w. pada hari akhirat
d) Malaikat selalu berdoa untuknya selama ia berselawat kepada baginda.
Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia…” (Hadis Riwayat Anas r.a.)
24. UJIAN ATAU BENCANA PADA TUBUH
Ujian dari Allah merupakan sesuatu yang boleh mendatangkan rahmat kepada seseorang. Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya.Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa ia sihat atau senang kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujian-Nya itu sebagai “kaffarah” yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa.Namun sekiranya Allah S.W.T. sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal salih yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya.”(Riwayat Anas r.a.)
25. MELEPASKAN KESUSAHAN ORANG MUKMIN, MENUTUP KEBURUKAN SAUDARANYA, BELAJAR DAN MENGAJAR
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liardengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah s.a.w. kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga.
Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
26.KEISTIMEWAAN ORANG YANG MENUNTUT ILMU
Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam. Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi – sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut – sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai.” (Hadis Riwayat Abu Umamah r.a.)
27. HARAP DAN TAKUT
Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T. malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.
Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: ‘Bagaimana Keadaanmu?’
Pemuda itu menjawab: ‘Aku berharap kepada (rahmat) Allah – Ya Rasulullah! – dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku’. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti.” (Hadis Riwayat Anas r.a.)
28. BERUSAHA, BERDOA DAN BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH
Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak. Kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara-perkara yang haram dan tidak halal. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang dari Allah S.W.T. Oleh itu sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus dan boleh memberikan risiko yang tidak baik dalam perhubungan sehingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri. Dalam hal ini Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara yang baik. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” (Hadis Riwayat Ibn an-Najjar)
Berdo’a kepada Allah Ta’ala untuk mendapatkannya dengan bertawasul dengan nama-namaNya yang Maha Pengasih (ar-Rahman) lagi Maha Penyayang (ar-Rahim) atau yang lainnya dari nama-namaNya yang Agung/Indah, seperti mengatakan:
“Ya Rahman Wahai Yang Maha Penyayang), sayangilah aku (rahmatilah aku), ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan rahmatMu yang luas yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampuni dosaku dan menyayangiku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Dan Allah Ta’ala juga berfirman, artinya, “Hanya milik Allah asma`ul-Husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asma`ul-Husna itu.” (Surah al-A’raf: 180).
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Allah. Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).” (Surah al-Kahfi: 10).
29. MERAPATKAN SAF SOLAT
Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikatnya pula mendoakan bagi orang-orang yang masuk menutup celah-celah saf sembahyang serta orang-orang yang merapatkannya; dan orang yang masuk menutup celah saf sembahyang itu (akan beroleh satu tambahan lagi, iaitu) diangkatkan Allah martabatnya dengan perbuatannya yang tersebut: satu darjat.” (Hadis Riwayat Aisyah r.a.)
30. ORANG YANG BERIBADAT DI TENGAH MALAM, SUJUD DAN BERDIRI, TAKUT KEPADA AZAB AKHIRAT DAN MENGHARAPKAN RAHMAT ALLAH
“Apakah kamu hai Orang Musyrik yang lebih baik atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar 39:9)
31. SELAGI BERADA DI ATAS HAMPARAN SEJADAH
Rahmat Allah itu sentiasa melimpah keatas hambaNya yang berdoa di tempat sujudnya iaitu di tempat solat (sejadah) dan malaikat mendoakan agar diampuni dosa orang itu dan diberikan rahmat Allah kepadanya. Nabi s.a.w. bersabda:
“Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia bersolat padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.” (Hadis Riwayat Abu Huraiarah r.a.)
32. MENJAGA TUTUR KATA
Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah swt Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat untuk memperolehi rahmat Allah swt sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh al-Dailami dari Ibnu ‘Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah swt merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya.”

Apa yang kita ingini rezeki yang tidak putus dan kalau boleh melimpah ruah. Tapi rezeki itu adalah sebahagian kecil dari keseluruhan rahmat Allah dan kita sebagai hamba memang memerlukan rahmat Allah swt Cukup ke hanya dengan sembahyang sedangkan hakikatnya perlindungan di padang masyar dan surga itu hanya boleh diperolehi dengan RAHMAT Allah. Bagaimana memperolehi rahmat Allah telah di senaraikan di sini. Amalkanlah, semoga kita perolehi rahmatnya. Amin




6 Rahsia Saintifik Dalam Pergerakan Solat Membuatkan Saintis Terkejut

Jika senaman tai Chi, yoga atau yang seumpamanya melibatkan pergerakan anggota tubuh badan, namun solat melebihi daripada itu kerana ianya juga memerlukan pelakunya untuk membaca ayat-ayat al-Quran dan doa yang tertentu. Ayat-ayat al-Quran dan doa ini mesti dibaca ketika pelakunya berada dalam postur atau posisi badan tertentu serta melakukan gerakan-gerakan di antara postur. 
   Postur dalam pergerakan utama dalam solat adalah berdiri (qiyam), membongkok (rukuk), sujud dan duduk (tahiyat). Manakala postur melutut juga berlaku seketika dalam gerakan solat di antara dua daripada postur utama iaitu dari postur duduk ke berdiri. 
     Pergerakan solat yang sempurna melibatkan pergerakan yang sama untuk beberapa kitaran (rakaat). Satu rakaat dalam solat terdiri daripada beberapa postur seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud. Rakaat kedua dan terakhir pula mempunyai penambahan postur duduk tahiyat.

    Berikut 6 rahsia saintifik dalam pergerakan solat buat saintis terkejut : 

1. 1.    Qiyam berdiri tegak ketika solat
● Dalam konteks solat, qiyam yang dimaksudkan di sini adalah berdiri tegak. Islam memberi kelonggaran atau keringanan untuk mereka yang ada keuzuran boleh melaksanakan ibadah solat secara duduk. Sekiranya tidak mampu duduk, dibolehkan bersolat secara mengiring.
     Menurut Mohammed Faruque Reza dari Pusat Perubatan Jepun, mendapati ketika berdiri untuk solat, kita akan cuba untuk fokuskan minda kepada solat. Ini membantu dalam mengurangkan tekanan dan membantu mengawal keseimbangan badan. Berdiri tegak dan lurus akan menjadikan titik beban badan tertumpu pada kedua-dua belah tapak kaki secara seimbang. Rutin ini dipercayai akan melatih menguatkan tulang pada kaki dan membuatkan belakang badan tidak menjadi bengkok.
       Semasa berdiri tegak, orang yang bersolat akan bertakbiratul ihram iaitu mengangkat tangan ke telinga dan membawa tangan kanan di atas tangan kiri pada bahagian abdomen. Tangan perlu bersedekap, iaitu kedudukkan tangan kanan berada di atas tangan kiri, dan kedua-dua tangan tersebut berada atas dari paras pusat. Perlakuan ini diamalkan oleh Rasulullah saw 
● Ketika tangan kanan mengengam tangan kiri aliran darah mengalir meningkat pada bahagian otak post-pusat girus atau post-central gyrus. Ia juga membantu membesarkan rongga dada di mana paru-paru akan terasa luas selain otot tangan dapat digerakkan. Perbuatan melipatkan tangan sebegitu merupakan kedudukan santai atau rehat yang paling sempurna bagi kedua-dua tangan.
     Mengikut teori ahli fisiologi, dari posisi dan kedudukan ini, sendi siku dan dan sendi pergelangan tangan serta otot dari kedua-dua tangan berada dalam keadaan rehat penuh. Keadaan ini akan melancarkan pergerakan sendi dan menghindarkan dari timbulnya perbagai penyakit persendian seperti penyakit kekakuan sendi. 

2. Pergerakan otot mulut tingkat aliran darah 
● Ketika bersolat, kita akan membaca surah-surah di dalam al-Quran yang berbahasa Arab. Seperti yang kita tahu, ketika kita bercakap, otot mulut akan bergerak tidak kiralah jika anda berbahasa apa sekali pun. Jadi pergerakan otot mulut ini akan menyebabkan peningkatan pengaliran darah ke bahagian muka, lidah dan deria mulut dan juga bahagian Broca’s dan 
Wernicke’s di dalam otak ketika membaca ayat suci al-Quran. 
● Bacaan al-Fatihah mampu menimbulkan rasa rendah diri dan khusyuk kepada pembacanya dengan syarat pembacanya memahami maksud surah tersebut. Dalam bacaan, getaran vokal panjang dapat merangsang hati, kelenjar tiroid, kelenjar pineal, kelenjar adrenal dan paru-paru. 

3. Rukuk melurus dan meratakan tulang belakang 
● Pergerakan badan bergerak ke hadapan dan kedua tapak tangan menggenggam kepala lutut dan punggung mendatar didapati akan menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher dan tulang pinggang. Ia dipercayai mampu menguatkan belakang orang yang mempunyai sakit belakang. 
    Ruas tulang belakang secara lazimnya terdiri daripada tulang punggung, tulang leher dan tulang pinggang. Penyakit yang biasa menyerang ruas tulang belakang ialah senggal pinggang yang mendadak, sakit pinggang, radang tulang bahu dan senggal otot. Gerakan rukuk yang diajar oleh Nabi s.a.w, boleh menghindari dan menyembuhkan penyakit yang menyerang ruas tulang belakang.
 Apabila Baginda s.a.w rukuk, Baginda meluruskan dan meratakan tulang belakang (dalam keadaan 90 darjah) sehingga apabila air diletakkan di atasnya, air tesebut tidak akan tertumpah. Baginda tidak menundukkan kepala (terlalu membongkok) dan tidak pula mengangkatnya (tidak meninggikan kepala dari paras bahunya). 
● Selain menguatkan tulang belakang, perbuatan ini mampu menguatkan otot perut. Terapi ini terbukti mampu digunakan sebagai rawatan tahan sakit seperti yang tercatat dalam fisilosofi Yogic
● Ia juga berkesan dalam membantu kelenturan (fleksibili) bahagian bahu, lutut dan buku lali. Pergerakan rukuk mengenakan tekanan pada bahagian abdomen yang akan memudahkan masalah sembelit dan pergerakan peristaltis (pergerakan otot perut). Buah pinggang juga akan mengalami "urutan" yang membantu dalam permasalahan penyakit buah pinggang. 
● Tumakninah atau berhenti dalam keadaan bertenang sebentar, merupakan satu perkara yang perlu dilakukan dalam solat iaitu rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Semasa melakukan posisi ini seseorang itu perlu berhenti seketika sekurang-kurangnya dengan kadar satu tasbih. Menurut kajian Dr.Fatimah Ibrahim Keadaan ini dipercayai mampu memberikan ketenangan kepada seseorang yang bersolat. 
4. Sujud kepala menyentuh lantai menggunakan dahi 
● Sujud merupakan perbuatan melutut di mana kepala diletakkan di bawah menyentuh tanah menggunakan dahi, dan tapak tangan diletakkan selaras dengan telinga. Seluruh berat badan akan terpikul sepenuhnya kepada otot-otot kedua-dua tapak tangan, kaki, dada, perut, punggung dan leher dan otot-otot kaki. Kepelbagaian pergerakan ini memberikan kesan besar yang menyebabkan darah bergerak ke otak manusia. Sujud dipercayai mampu memperbaiki peredaran cerebral pada otak dan mengelakkan penyakit iskemia otak (kekurangan darah di otak). 
● Pengaliran darah ke dalam bahagian otak memberikan kesan baik kepada memori, penglihatan, pendengaran, konsentrasi, dan keupayaan kognitif yang lain. Orang solat secara kerap mempunyai kadar sakit kepala yang rendah, kurang masalah fisiologi dan masalah kognitif yang lain. 
● Keunikan posisi sujud menyebabkan otot leher bergerak. Otot leher boleh menanggung beban apabila dahi diletakkan pada tanah dan ini menyebabkan otot leher bertambah kuat, sekaligus menjadikan kepala dapat diimbang dengan baik. 
● Kajian menunjukkan posisi sujud adalah yang terbaik untuk kesihatan jantung. Seseorang yang mengalami masalah tekanan darah tinggi amat digalakkan untuk sujud dengan lebih kerap dan lebih lama agar dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan. 
    Dalam kajian perihal jantung, saintis mendapati posisi sujud mampu mengurangkan dengupan jantung. Kadar dengupan jantung yang rendah untuk sementara waktu memberikan waktu rehat kepada jantung. Ia juga membantu dalam merelakskan saraf tunjang dan mengurangkan risiko tekanan ke atas saraf tunjang. 
    Saintis di Eropah telah membuat kajian perihal bagaimana ingin membuang cas positif elektromagnetik yang berbahaya kepada badan manusia. Di dalam kajian terbabit, dia menyimpulkan bahawa cara terbaik untuk mengeluarkan cas tersebut adalah dengan meletakkan dahi di lantai (atau tanah), kemudian tanah akan mengeluarkan cas positif badan. 
       Ini sama seperti kejadian kilat apabila kilat menyambar bangunan yang berada di tanah mempunyai cas positif. Kerana itulah anda perlu membuang cas positif supaya tidak disambar kilat!
● Sujud juga merupakan satu terapi yang baik untuk penyakit uterus dalam kalangan wanita. Ia membantu mengubah semula posisi rahim, buah pinggang dan membantu mengurangkan tekanan pada paru-paru.
 ● Bagi pesakit obesiti yang ingin menurunkan berat badan bolehlah mengamalkan posisi ini untuk mengurang lemak di bahagian perut kerana posisi ini membolehkan lutut terbentuk sudut tepat membangunkan otot perut. 

5. Duduk antara dua sujud dan tahiyat 
● Posisi duduk antara dua sujud membantu mengeluarkan racun (toksin) dari hati dan menggerakkan tindakan usus besar. Posisi ini juga membantu dalam penghadaman dengan menekankan kandungan perut ke bawah. 
● Posisi tahiyat yang dilakukan dengan bertemunya lipatan paha dan betis boleh meningkatkan pengeluaran peluh. Ini dapat mengeluarkan mineral dan garam-garam berlebihan yang tersimpan pada lipatan paha.
 ● Tabiat membengkokkan jari kaki ketika sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir meningkatkan kadar pembakaran lemak dalam badan dan merendahkan risiko penyakit jantung. 

6. Gerakan salam menggerakkan kepala ke kanan dan kiri 
● Gerakan salam dengan menggerakkan kepala ke kanan dan ke kiri dapat merengangkan otot kepala dan leher. Ia merupakan senaman ringan yang membantu dalam memelihara keanjalan kulit wajah.
 ● Perbuatan gerakan salam membantu merenggangkan sendi leher dan membantu melegakan bahu dan otot bahagian belakang. Ia melancarkan salur darah di bahagian leher dan mengurangkan masalah pening kepala dan migrain. 

Kesimpulan  Semoga perkongsian ini memberikan kita sedikit ilmu pengetahuan tentang rahsia solat daripada sudut kajian saintifik yang tidak kita ketahui. Ketahuilah solat (yakni solat fardhu) adalah amalan yang keagamaan yang terpenting dalam Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Di samping itu solat juga menurut kajian ahli sains merupakan satu bentuk senaman buat tubuh manusia. Moga diri kita kekal sihat dengan bersolat!
 


Jangan Tiru