Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Sabtu, 4 November 2017

Peranan keluarga dalam menangani masalah sosial , pergaulan bebas, vandalisme, dan lari dari rumah yang melibatkan anak-anak

Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga.Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut. Soalan B2 BM percubaan SBP 2017
images (22).jpg
 
 Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga.Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut

  Gejala sosial yang semakin meruncing amat membimbangkan masyarakat. Fenomena  ini diibaratkan api dalam sekam  yang akan marak menyala-nyala pada bila-bila masa.. Pada zaman ke arah pembangunan TN50, masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai berita dan cerita tentang gejala sosial yang berleluasa. Kancah sosial ini berlaku dalam kalangan remaja dan mereka selalu berbuat kecoh dengan sindrom pergaulan bebas, , melepak, meragut, mencuri dan kemelut gengsterisme.  Kita tidak sedar bahawa punca kepada masalah ini datang daripada orang yang rapat dengan kita. Tampaknya, masalah gengsterisme,  vandalisme, samseng jalanan, ragut, buli, peras ugut, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Realitinya peranan keluarga amat signifikan untuk  mengekang sindrom sosial terutamanya yang melibatkan remaja.

      Salah satu peranan institusi keluarga, ialah  ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang daripada perbuatan onar dan bertentangan dengan tatasusila dan cara hidup masyarakat Timur . Prakarsa ini dapat membantu anak-anak menghindari diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Apabila tingkah laku positif sudah mendarah daging dalam diri  ahli keluarga tidak akan tergamak menconteng arang ke muka keluarganya. Untuk melengkapkan jati diri dan kekuatan ummah, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri tentang amal ibadah atau menghantar anak-anak ke sekolah agama.  Ayah dan ibu  perlu membimbing anak-anak mengaji alquran, mengerjakan solat, dan menghayati Islam sebagai addin. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.

      Tidak terkecuali  ibu bapa juga bertanggungjawab  untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak-anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini  perlu dilakukan  kerana  banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya  menghasut dan mempengaruhi jiwa remaja yang ibarat pancang di tengah-tengah muara  dan mudah dipengaruhi apatah lagi dicabar.  Jika rakan sebaya mereka berperibadi negatif, bersikap semberono,  remaja yang usia baru setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, membuli,berlumba haram dan sebagainya.  Ibu bapa perlu akur, pergaulan anak-anak di luar rumah tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak  yang unggul, bersopan dan berhati mulia.

        Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan  teladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak berasa bangga mempunyai ibu bapa yang cukup hebat, bukan sahaja menjadi menjadi kekuatan untuk anak-anak pada saat-saat sukar, malah ibu bapa adalah tonggak kehidupan anak-anak.Suri teladan ibu bapa  mampu membentuk sahsiah  anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka mencontohi, meneladani apa-apa sahaja yang dilihatnya bak kata peribahasa, bapa borek, anak rintik.  Ibu bapa yang tegas, tetapi penyayang, lembut dalam tutur kata dalam membimbing anak-anak memang dikagumi dan dikasihi anak-anak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh anak-anak dan ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, dan materialistik,  akan mencanai dan membentuk generasi  muda yang tidak berakhlak  dan berbudaya songsang.Sememangnya ahli keluarga perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk diteladani  oleh generasi muda

           Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna, unggul dan ikhlas amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kasih sayang merupakan suatu formula paling afdal untuk menangani isu sosial  anak-anak.  kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang suka memberontak dan akan mudah terpengaruh oleh  gejala sosial. Ibu bapa melayani anak mereka mengikut kesesuaian  bagai  menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya memberi galakan dan mengucapkan kata-kata inspiratif kepada anak-anak mereka. Ibu bapa jua perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang amat membaggakan seisi keluarga. Anak-anak pasti akan berasa gembira dan  lebih selesa berada di rumah bersama-sama keluarga. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka merupakan pendengar yang setia. Ternyata keluarga yang harmoni, dengan kasih sayang yang abadi berusaha untuk menjauhkan dan menghindari anak –anak daripada aktiviti  sosial  yang negatif  kerana anak-anak ialah permata hati ayah dan ibu.

         Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah untuk  mengeratkan silaturahim sekeluarga. Ibu bapa harus  sentiasa bertanyakan  masalah anak-anak atau bertanya khabar perkembangan anak-anak di sekolah.  Ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak, manakala anak-anak pula perlulah  memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Berikan ruang rehat untuk ibu bapa. Anak-anak perlu sentiasa ada ruang dan kesempatan untuk membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rutin di  rumah untuk meringankan bebanan ibu bapa mereka. Dengan itu,  setiap anggota keluarga akan berasa, antara satu sama lain,  mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa untuk mengeratkan silaturahim sekeluargaSesungguhnya gejala sosial dapat ditangani, dihindari apabila ada saling memahami, perkongsian kemelut sesame keluarga dan sama-sama menyelesaikannya.

       Kesimpulannya segala usaha  melahirkan masyarakat madani dan sakinah pasti akan membuahkan kejayaan kerana adanya toleransi antara seisi keluarga. Apabila adanya kasih sayang, iman yang kukuh, gejala sosial tidak akan wujud dalam kamus hidup remaja Malaysia. Kunci utamanya ialah kasih sayang,  membuka pintu keinsafan bahawa gejala sosial  perlu sama-sama kita tangani ke  arah membina  keluarga bahagia, masyarakat Malaysia yang cemerlang


Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru