Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 13 Oktober 2017

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI MASALAH BULI DI SEKOLAH

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI MASALAH BULI DI SEKOLAH. BINCANGKAN

Hasil karya  Muhammad Ammar Haziq bin Mohd Sahar
Tingkat 5 Maahad Tahfiz   Pulai Chondong 

     Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang mencakupi kegiatan  peras ugut, mencederakan, menyepak, menendang, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan kian menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak khususnya pihak sekolah, ibu bapa, , masyarakat kerajaan Malaysia dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu kalau tiada ada berada masakan tempua bersarang rendah. Namun bijak pandai ada menyebut setiap penyakit pasti ada penawarnya, setiap masalah ada penyelesaiannya,setiap persoalan adan jawapannya begitu jua dengan isu buli Terdapat banyak langkah yang efektif boleh diimplimentasikan bagi membendung gejala buli.

       Langkah paling awal menangani gejala buli  ialah ibu bapa perlu memainkan peranan proaktif membendung kemelut ini. Ibu bapa perlulah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan  atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut dicontohi. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik  di hadapan anak-anak sahaja sedangkan di belakang anak-anak,  mereka juga sering mengejek, menghina memaki hamun orang dan suka mencetuskan pergaduhan. Jadilah ibu bapa yang mendidik anak yang bagaimana acuan begitulah kuihnya, Janganlah jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan siibu ketam berjalan senget. Ibu bapa sepatutnya ambil berat, prihatin tentang perkembangan diri anak-anak,  asuh, didik dan bimbinglah anak-anak ke jalan yang benar, jalan yang lurus ke  arah disiplin yang tinggi , ada rasa belas kasihan dan kasih sayang dalam diri anak-anak yang disemai dalam diri anak-anak sejak mereka kecil  lagi. Ternyata peranan ibu bapa dalam memberi bimbingan, menunjukkan teladan yang  baik, menyebabkan anak-anak hari ini tidak terlintas untuk melakukan gejala buli, gejala buli tidak ada dalam kamus hidup mereka.

       Tidak terkecuali, para pelajar juga perlu berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala buli. Para pelajar yang terlihat kejadian buli yang berlaku atau diri sendiri menjadi mangsa pembuli perlu memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi secepat mungkin demi kesejahteraan semua. Pihak sekolah pula, apabila  telah menerima laporan atau aduan daripada pelajar juga perlu segera  berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan tidak  menganggap  buli sebagai isu terpencil atau isu remeh. Kes buli perlu dilaporkan kepada pihak polis, dibicarakan, agar masalah buli tidak  bertambah, tidak meningkat dan tidak berleluasa . Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mencari jalan  penyelesaian yang terbaik. Pihak sekolah perlu bertindak mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar pembuli agar dia tidak mengulangi perbuatan itu  dan  dijadikan  iktibar kepada pelajar  lain. Disiplin dan peraturan sekolah perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak terlibat dalam gejala buli. Sememangnya, penglibatan pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang bagai aur dengan tebing dapat membendung gejala buli yang kian membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

           Hakikat yang perlu diketengahkan  ialah  pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan aktif dalam membendung gejala buli yang kian membarah. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah perlu mengambil berat perihal kes buli ini. Melalui Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya disiplin dan nilai murni, tingkah laku sopan pelajar dapat diperkasakan. Melalui pendidikan di sekolah,para pelajar mulai sedar akan keburukan buli serta menjauhi gejala  negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang padah gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat menginsafi kesan buruk  gejala membuli dan  tidak terdorong malah tidak tergamak  melakukan buli terhadap orang lain, contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan dengan kerjasama JPN dan PPD Tanah Merah  telah mendapat sambutan menggalakkan dan perangkaan menunjukkan  70% kes buli dapat dikurangkan di sekolah-sekolah  di Tanah Merah setelah kempen tersebut dijalankan. Sesungguhnya, kerjasama  kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan, JPN , PPD  dan sekolah dapat mengawal dan membendung gejala buli.

          Aspek yang penting untuk renungan semua ialah  pihak sekolah perlu sentiasa memastikan ada pengawasan dan pemantauan dilakukan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi. Tinjauan dan kawalan diperketat supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada mana-mana pelajar membuli dan dibuli. Kawasan terpencil atau bangunan kosong dan terbiar di belakang atau di pinggir kawasan sekolah hendaklah ditinjau agar keselamatan pelajar terjamin, tidak ada pelajar sekolah yang terlibat dengan gejala buli di tempat-tempat misteri dan terpencil itu. Dalam suasana damai tenang  inilah biasanya kita dikejutkan dengan gejala buli,kerana  air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Terbukti kalau kita lebih cakna, melakukan pemantauan di sekitar kawasan sekolah, sudah pasti kita dapat menghindari gejala atau kemelut buli yang kian mencengkam minda warga sekolah kini.

       Saya berpandangan jauh, bagi menangani gejala buli, pihak sekolah juga  menggalakkan para pelajar  menyertai Kelab Cegah Jenayah di sekolah secara aktif dan bersemangat juang untuk membanteras gejala buli. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah  kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu kaedah mempertahankan diri ketika dibuli. Kata para hukama, cegah sebelum parah, kerana selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai kecemerlangan juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Realitinya, menggalakkan pelajar menyertai Kelab Cegah Jenayah merupakan antara kriteria pencegahan paling tepat mencegah gejala buli.

       Kesimpulannya  para pelajar merupakan aset penting negara dan akan menerajui negara ini pada masa depan, persis kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah bekerjasama,serumpun bak serai, sejunjung bak sirih dan sehati sejiwa dalam usaha menangani gejala buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku alam persekolahan yang penuh dengan onak, ranjau dan duri.  Masalah  buli perlu digarap, diselesaikan secepat mungkin agar buli tidak lagi menjadi isu nasional. Pastikanlah  suasana sentiasa damai tenteram merealisasikan konsep sekolahku, rumahku benar-benar jadi kenyataan. Semoga kita dapat melahirkan generasi muda yang mampu menjulang nama negara seterusnya mengangkat martabat bangsa di persada dunia.


(pasti pelajar tertanya-tanya mengapa ada karya pelajar Maahad Tahfiz di sini. Mereka ini anak-anak jiran saya, jadi hujung minggu  menjelang peperiksaan mereka datang menjengah dan menjenguk ke  rumah saya.InsyaAllah esok mereka Ammar Haziq, Amir Irfan,  akan ikut saya ke sekolah -  Ammar Haziq ibunya seorang guru.Amirul ibunya seorang guru manakala Amir Irfan Kamil bapanya seorang doktor, Hakimi ibunya seorang guru di SMKDMPR2)



(walau baru beberapa tahun  usia blog ini namun syukur alhamdulillah telah ada ramai pengunjungnya, cuma jumlah  yang follow terlalu kecil. Saya harap ada yang sudi dan sedia untuk follow blog saya ini, Jumlah pengunjung sudah melebihi 3 ratus ribu tapi yang follow setakat hari ni hanya 27 orang  dan kebanyakannya pelajar saya sendiri. Harap-harap ada guru dan pelajar sudi follow untuk tingkat lagi semangat  kita dalam sama-sama bersiaran. Terima kasih kepada pelajar- pelajar yang bantu, yang tolong saya bina blog ini. Terima kasih)


17 ulasan:

Jangan Tiru