Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Selasa, 31 Oktober 2017

Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri . Bincangkan(soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1 bahagian B

Amalan  gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri sentiasa terjaga (soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1  bahagian B

Hasil karya Amir Irfan Kamil bin Mohd Asri 
Maahad Tahfiz Pulai Chondong Machang Kelantan

Amalan  gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri sentiasa terjaga (soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1  bahagian B

..........Gaya hidup sihat bukanlah suatu istilah baharu dalam kehidupan kita malah telah menjadi suatu amalan telah begitu lama melestari kehidupan.  Gaya hidup sihat membawa kesan positif terhadap diri , keluarga dan masyarakat. Saya berpendapat kehidupan yang sihat ialah apabila kita menikmati kehidupan yang damai, tenang, selesa dan  sentiasa berfikiran terbuka serta sihat tubuh badan, dan  menikmati persekitaran kehidupan  yang serba serbinya selesa.

...........ttSecara rutin rakyat Malaysia mengamalkan  gaya hidup sihat melalui amalan pemakanan seimbang berpandukan piramid makanan . Kita berusaha untuk melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah- buahan dan mengurangkan  pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Pengambilan makanan yang kurang berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang berskala  rendah adalah digalakkan. Diet yang seimbang membolehkan rakyat Malaysia mencapai kehidupan yang sihat kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi amalan pemakanan  seimbang. Ternyata pengambilan makanan seimbang berpandukan piramid makanan merupakan intipati gaya hidup sihat.

t         Selain itu, aktiviti senaman, sukan dan riadah mampu menjadikan kehidupan kita lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari ini secara bersendirian atau bersama-sama keluarga atau rakan pada waktu petang atau pada hujung minggu. Aktiviti senaman diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah kita lebih baik serta  sistem imunisasi menjadi lebih  tinggi. Bagi sesiapa yang gemar bersukan akan memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan golongan  yang suka memencilkan diri dan jarang bersukan. Kekerapan seseorang itu melakukan senaman  maka semakin tinggilah pencapaian tahap kesihatannya kerana badan cergas minda cerdas. Hakikatnya sukan dan riadah elemen penting ke arah gaya hidup sihat

           Selanjutnya kita perlu mengutamakan kebersihan diri untuk mengelakkan penyakit yang berpunca daripada mengabaikan kebersihan. Penjagaan kebersihan diri yang asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup kita seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, kita juga perlulah mengamalkan  asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak terdedah lantaran dihurungi lalat. Kita jua perlu memilih gerai atau tempat makan yang bersih untuk menjamu selera. Sikap endah tak endah  terhadap aspek kebersihan pasti membawa padah,sehingga menyumbang kepada pelbagai penyakit berbahaya. Sememangnya, amalan penjagaan kebersihan diri mampu memenuhi keperluan gaya hidup sihat

          Seterusnya kita perlu mengutamakan penjagaan kebersihan persekitaran  tempat tinggal kita Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan gaya hidup sihat agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Kita digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan perumahan, membersihkan sampah-sarap perparitan dan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan tidak ada elemen pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Sesungguhnya melalui penjagaan kebersihan persekitaran kita  dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta menikmati gaya hidup sihat.

           Di samping itu  kita memperkasakan gaya hidup sihat dengan pemikiran yang positif dan berpandangan jauh.   Kita perlu berfikiran lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Elakkan diri daripada suka bersendirian, stres, tertekan atau suka memendam perasaan, Sikap suka berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan menjadikan keperluan psikologi dapat kita penuhi secara berkesan. Kita digalakkan berkomunikasi  mesra bersama-sama rakan taulan atau jiran tetangga bagai aur dengan tebing. Sikap yang positif memudahkan kita menyelesaikan pelbagai kemelut kehidupan.Hubungan akrab yang berkekalan biasanya dapat membentuk kehidupan yang benar-benar selesa lagi  menggembirakan. Semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak Jelaslah, bersikap positif dan berpandangan jauh perlu kita amalkan bagi mengecapi gaya hidup yang sihat yang lebih bermakna

        Kesimpulannya, gaya hidup sihat  boleh diperoleh menerusi semua amalan yang positif yang membahagiakan diri dan mendamaikan minda. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya kita mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri universal manusia biasa yang sihat tubuh badannya. Sikap  sebilangan kecil masyarakat yang masih memandang rendah terhadap gaya hidup sihat menyebabkan pelbagai dilema kehidupan dari segi kesihatan Yakinlah, akan hakikat yang hakiki bahawa sebelum berlaku sesuatu yang di luar jangkaan kita perlu yakin akan kepentingan gaya hidup sihat. Kita semua perlulah memahami hakikat bahawa  mencegah lebih baik daripada mengubati.  
..........


(pasti pelajar tertanya-tanya mengapa ada karya pelajar Maahad Tahfiz di sini. Mereka ini anak-anak jiran saya, jadi hujung minggu  menjelang peperiksaan mereka datang menjengah dan menjenguk ke  rumah saya.InsyaAllah esok mereka Ammar Haziq, Amir Irfan,  akan ikut saya ke sekolah )





15 ulasan:

Jangan Tiru