Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Selasa, 31 Oktober 2017

Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri . Bincangkan(soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1 bahagian B

Amalan  gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri sentiasa terjaga (soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1  bahagian B

Hasil karya Amir Irfan Kamil bin Mohd Asri 
Maahad Tahfiz Pulai Chondong Machang Kelantan

Amalan  gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan diri sentiasa terjaga (soalan percubaan SPM Terengganu kertas 1  bahagian B

..........Gaya hidup sihat bukanlah suatu istilah baharu dalam kehidupan kita malah telah menjadi suatu amalan telah begitu lama melestari kehidupan.  Gaya hidup sihat membawa kesan positif terhadap diri , keluarga dan masyarakat. Saya berpendapat kehidupan yang sihat ialah apabila kita menikmati kehidupan yang damai, tenang, selesa dan  sentiasa berfikiran terbuka serta sihat tubuh badan, dan  menikmati persekitaran kehidupan  yang serba serbinya selesa.

...........ttSecara rutin rakyat Malaysia mengamalkan  gaya hidup sihat melalui amalan pemakanan seimbang berpandukan piramid makanan . Kita berusaha untuk melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah- buahan dan mengurangkan  pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Pengambilan makanan yang kurang berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang berskala  rendah adalah digalakkan. Diet yang seimbang membolehkan rakyat Malaysia mencapai kehidupan yang sihat kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi amalan pemakanan  seimbang. Ternyata pengambilan makanan seimbang berpandukan piramid makanan merupakan intipati gaya hidup sihat.

t         Selain itu, aktiviti senaman, sukan dan riadah mampu menjadikan kehidupan kita lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari ini secara bersendirian atau bersama-sama keluarga atau rakan pada waktu petang atau pada hujung minggu. Aktiviti senaman diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah kita lebih baik serta  sistem imunisasi menjadi lebih  tinggi. Bagi sesiapa yang gemar bersukan akan memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan golongan  yang suka memencilkan diri dan jarang bersukan. Kekerapan seseorang itu melakukan senaman  maka semakin tinggilah pencapaian tahap kesihatannya kerana badan cergas minda cerdas. Hakikatnya sukan dan riadah elemen penting ke arah gaya hidup sihat

           Selanjutnya kita perlu mengutamakan kebersihan diri untuk mengelakkan penyakit yang berpunca daripada mengabaikan kebersihan. Penjagaan kebersihan diri yang asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup kita seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, kita juga perlulah mengamalkan  asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak terdedah lantaran dihurungi lalat. Kita jua perlu memilih gerai atau tempat makan yang bersih untuk menjamu selera. Sikap endah tak endah  terhadap aspek kebersihan pasti membawa padah,sehingga menyumbang kepada pelbagai penyakit berbahaya. Sememangnya, amalan penjagaan kebersihan diri mampu memenuhi keperluan gaya hidup sihat

          Seterusnya kita perlu mengutamakan penjagaan kebersihan persekitaran  tempat tinggal kita Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan gaya hidup sihat agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Kita digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan perumahan, membersihkan sampah-sarap perparitan dan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan tidak ada elemen pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Sesungguhnya melalui penjagaan kebersihan persekitaran kita  dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta menikmati gaya hidup sihat.

           Di samping itu  kita memperkasakan gaya hidup sihat dengan pemikiran yang positif dan berpandangan jauh.   Kita perlu berfikiran lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Elakkan diri daripada suka bersendirian, stres, tertekan atau suka memendam perasaan, Sikap suka berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama rakan-rakan menjadikan keperluan psikologi dapat kita penuhi secara berkesan. Kita digalakkan berkomunikasi  mesra bersama-sama rakan taulan atau jiran tetangga bagai aur dengan tebing. Sikap yang positif memudahkan kita menyelesaikan pelbagai kemelut kehidupan.Hubungan akrab yang berkekalan biasanya dapat membentuk kehidupan yang benar-benar selesa lagi  menggembirakan. Semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak Jelaslah, bersikap positif dan berpandangan jauh perlu kita amalkan bagi mengecapi gaya hidup yang sihat yang lebih bermakna

        Kesimpulannya, gaya hidup sihat  boleh diperoleh menerusi semua amalan yang positif yang membahagiakan diri dan mendamaikan minda. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya kita mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri universal manusia biasa yang sihat tubuh badannya. Sikap  sebilangan kecil masyarakat yang masih memandang rendah terhadap gaya hidup sihat menyebabkan pelbagai dilema kehidupan dari segi kesihatan Yakinlah, akan hakikat yang hakiki bahawa sebelum berlaku sesuatu yang di luar jangkaan kita perlu yakin akan kepentingan gaya hidup sihat. Kita semua perlulah memahami hakikat bahawa  mencegah lebih baik daripada mengubati.  
..........


(pasti pelajar tertanya-tanya mengapa ada karya pelajar Maahad Tahfiz di sini. Mereka ini anak-anak jiran saya, jadi hujung minggu  menjelang peperiksaan mereka datang menjengah dan menjenguk ke  rumah saya.InsyaAllah esok mereka Ammar Haziq, Amir Irfan,  akan ikut saya ke sekolah )





Sabtu, 28 Oktober 2017

Peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional -Karangan percubaan SPM Johor DT Karangan B












Permainan Tradisional

Peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional  -Karangan percubaan SPM  Johor DT Karangan B soalan  b 1












Karya  ZH tingkatan 5 sains aliran agama 2016 (pelajar terbaik 11A SPM 2016)


Dewasa ini, permainan tradisional seperti layang-layang, gasing dan congkak kurang diminati serta semakin dilupakan oleh generasi muda.

Bincangkan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional.

         
Pada zaman  ini permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan daripada arus perdana oleh masyarakat kita . Sebenarnya negara kita ini memang kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang sepatutnya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara  permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan banyak lagi. Kebanyakan  permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hari ini kita tidak nampak lagi sebarang kelibat anak-anak bermain permainan tradisional terutama di kota raya.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha digiatkan untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak.  Ibu bapa khususnya perlu memainkan peranan menggalakkan  anak-anak bermain permainan tradisional. Banyak peranan perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam usaha menggalakkan anak-anak minat bermain permainan tradisional.

        
  Usaha pertama yang ibu bapa perlu lakukan untuk menggalakkan minat anak-anak bermain permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri ibu bapa sendiri terhadap  permainan tradisional. Ibu bapa pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Sebagai  ibu bapa, mereka perlu sedar bahawa mereka  berperanan  mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak. Hal ini boleh dilakukan dengan mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Ibu bapa perlu mengakses maklumat tentang permainan tradisional melalui internet, atau bertanya kepada golongan yang lebih tua, lebih berpengalaman tentang permainan tradisional.Hasilnya, ibu bapa dapat memahami dengan lebih jelas perihal setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan pelbagai permainan tradisional beserta videonya sekali. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk disertai, prosedurnya mudah dan kosnya murah.  Secara tidak langsung,apabila wujud kesedaran dan minat dalam diri ibu bapa maka usaha untuk menggalakkan  anak-anak melibatkan diri dalam permainan tradisional di negara ini dapat dijana dengan mudah.

     
     Selain itu, usaha yang boleh ibu bapa lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai medium pengisi masa lapang anak-anak. Hal ini boleh dilakukan dengan menggalakkan anak-anak bersama-sama rakan-rakan sebaya bermain congkak, seremban, gasing dan banyak lagi, pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Ibu bapa boleh memberi tunjuk ajar kepada anak-anak dan rakan-rakan mereka tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan anak-anak memainkannya bersama-sama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama anak-anak sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan anak-anak  sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri anak-anak adalah lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada anak-anak terutama apabila ibu bapa dapat pastikan pengisian masa  dipenuhi dengan bermain permainan tradisional.

       
   Di samping itu, bagi menggalakkan permainan tradisional diminati oleh anak-anak,  ibu bapa melalui PIBG hendaklah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Ibu bapa jua  boleh menulis surat kepada pihak sekolah menerusi perantara PIBG agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar termasuklah anak- anak kita sendiri. Anak-anak  kita juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada golongan ibu bapa yang lebih berpengalaman bagi menarik minat anak-anak. Dengan cara tersebut, minat anak-anak terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika anak-anak telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat  dan kecintaan terhadap permainan ini akan tertanam secara semula jadi. Ternyata ibu bapa hari ini perlu berani membuat perubahan  ke arah memartabatkan permainan tradisional agar terus diminati oleh anak-anak.

       Selanjutnya untuk menjadikan permainan tradisional lebih diminati oleh anak-anak, apa salahnya ibu bapa turut serta bermain permainan tradisional untuk menceriakan suasana. Persaingan dan perlumbaan  permainan tradisional antara ibu bapa dan anak-anak  akan menyemarakkan lagi semangat anak-anak untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Sambil bermain, sambil membimbing anak-anak akan cara-cara atau tips yang tepat bermain permainan tradisional. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan remaja dan anak-anak hari ini. Permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam semarak kasih keluarga bahagia.. Ibu bapa hendaklah berganding bahu, bersikap terbuka untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini, bak kata para hukama sesuatu itu perlu bermula dengan langkah pertama. Ibu bapalah yang memulakannya. Jika tidak permainan tradisional warisan silam ini hanya akan tinggal nama sahaja dalam lipatan sejarah, dan..... akan terus hilang ditelan masa. Daya iltizam dan kreativiti ibu bapa diharapkan akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas Sesungguhnya suasana gelak ketawa, riuh rendah sesebuah keluarga terasyik dengan permainan tradisional secara tidak langsung menggalakkan anak-anak lebih cenderung dan berminat akan permainan tradisional.
          Usaha yang seterusnya ialah ibu bapa perlu sentiasa menanamkan semangat cinta akan budaya negara terutama terhadap permainan tradisional dengan membelikan anak-anak alat-alat permainan tradisional. Adanya alat seperti gasing, papan congkak, guli, membangkitkan naluri ingin tahu dan ingin mencuba bermain. Ibu bapa perlu prihatin, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung anak-anak masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika ibu bapa telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya bangsa, maka sudah pasti permainan tradisional gah terpelihara dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional ini amat mendamaikan hati , dapat mengelakkan stres  atau tekanan dan tidak membosankan. Kecintaan terhadap permainan tradisional yang disemai oleh ibu bapa terhadap  anak –anak akan memupuk juga rasa cinta terhadap budaya negara. Bawalah anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional agar mereka teruja untuk memahirkan diri. Yang nyata Ibu bapa wajar membeli dan membekalkan anak-anak dengan peralatan permainan tradisional untuk membiasakan, mendedahkan dan menggalakkan anak-anak bermain  permainan tradisional.  
          Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati anak-anak .Seyogia anak-anak hari ini perlu berganding bahu dan meminta sokongan  dan bantuan ibu bapa  agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua pihak boleh saling bekerjasama meningkatkan paradigma permainan tradisional negara agar terus mekar berkembang dan diminati ramai. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan menggunakan pelbagai pendekatan relevan bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan


Rabu, 25 Oktober 2017

Cara-cara menjimatkan air dalam kehidupan harian. Soalan BM 1 percubaan negeri Kelantan

 Soalan BM 2 percubaan negeri Kelantan  
Cara-cara menjimatkan air dalam kehidupan harian.

             Kepentingan air dalam kehidupan  makhluk sejagat sememangnya agak janggal jika dipandang remeh. Pagi-pagi lagi setelah bangun tidur, kita sudah mencari air. Airlah yang pertama-tama kita cari! Tanpa air, seluruh aktiviti harian kita seakan ternokhtah dan bagaimana agaknya ya... kehidupan ini tanpa air......?! Kini air terus menjadi keperluan asas yang amat penting dalam kehidupan namun perbincangan ini lebih telus dan berfokus  tentang cara-cara penjimatan air dalam kehidupan harian. Kita perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha menjimatkan  air, seyogia kita secara pragmatik dapat melancarkan aktiviti harian yang berkaitan dengan penggunaan air tanpa sebarang kemelut atau masalah!
          Antara kaedah penjimatan air yang perlu kita fokuskan ialah penjimatan penggunaan air ketika mandi. Sewaktu kita mandi, mandilah dengan air pancuran. Kajian menunjukkan penggunaan air pancuran jauh lebih menjimatkan berbanding menggunakan gayung atau mencurahkan air dari bekas takungan air ke badan. Curahan air tanpa hentilah dikatakan suatu elemen pembaziran. Kita pasti akan berasa lebih selesa menggunakan air pancuran yang dipasang menggunakan sistem beraliran sederhana. Kesejukan dan kenyamanannya amat luar biasa. Kaedah ini dikatakan dapat menjimatkan sejumlah besar air berbanding mandi dengan air siraman air, menggunakan gayung. Mandi pula, janganlah terlalu lama, sambil mandi sambil menyanyi pula.... Haih... bertambah-tambahlah pembaziran air berlaku! Percepatkanlah masa mandi kita. Kalau biasanya mandi selama  dua puluh minit, isyh, isyh...lamanya mandi!!  sekarang mandilah dalam masa lima atau sepuluh minit menggunakan air pancuran tekanan sederhana. Yang jelas mandi dengan air pancuran tekanan sederhana, merupakan suatu kaedah rutin yang pasti dapat menjimatkan penggunaan air
             Perlu diingat, sebelum mandi, biasanya kita perlu menggosok gigi, jadi, ketika ini nasihat saya ialah jangan biarkan air paip terus mengalir  tanpa henti semasa kita  menggosok gigi, menyapu sabun pada badan atau mencukur janggut!. Pembaziran ternyata berlaku apabila kita mengamalkan tabiat sebegini. Saya berani menyatakan bahawa 99.9 peratus rakyat Malaysia membazirkan air ketika menggosok gigi. Sebaik-baiknya, tutuplah paip air apabila menggosok gigi atau... ketika  bercukur. Kaedah ini jika diamalkan secara berterusan dapat menjimatkan banyak liter air sehari. Rendamkanlah pisau cukur ke dalam bekas  air dan bukannya membilas pisau cukur anda dengan air paip , kerana cara sebegini amat membazirkan air !!. Ingat, air itu perlu dibayar untuk setiap penggunaannya, bukannya percuma!!Sememangnya tidak membiarkan air terus mengalir ketika menggosok  gigi atau ketika bercukur merupakan satu langkah praktikal penjimatan air.
         Hakikat yang nyata, apabila melakukan kerja cuci - mencuci, membasuh perkakasan  di dapur, contohnya membasuh pinggan, periuk belanga dan kuali, nasihat saya ialah, apa salahnya kita membasuh pinggan di dalam sinki yang diisi dengan air, bukan menggunakan air  yang mengalir dari pili air. Pembaziran dapat dielakkan jika kita tidak membiarkan air berterusan mengalir. Air bilasan boleh dikumpulkan  untuk kegunaan lain yang lebih spesifik seperti untuk menyiram pokok bunga di halaman, untuk mencuci parit dan longkang di persekitaran rumah. Sesungguhnya amalan menggunakan air takungan air di dalam sinki atau di dalam baldi, untuk kerja-kerja membasuh di dapur jauh lebih praktikal lagi menjimatkan berbanding kita  menggunakan air aliran air secara terus  dari paip air yang ternyata suatu pembaziran.
       Langkah paling unik lagi berkesan ialah apabila kita mencuci kereta, amalkanlah menggunakan air dari dalam  bekas takungan air atau gunakanlah baldi.  Elakkan menggunakan air daripada hos air yang ternyata amat membazir. Memanglah menyeronokkan apabila melihat air mencurah-curah keluar, tetapi mulut akan terlopong, ternganga melihat bil air berganda meningkatnya. Apa salahnya kita guna sedikit masa, tadah air ke dalam bekas yang besar, dan gunakan air itu untuk mencuci kereta. Banyak liter air dapat kita jimatkan.  Air tadahan air dalam baldi yang kotor, tersisa dan berbuih sabun kita gunakanlah pula untuk mencuci simen atau lantai mosaik di halaman rumah. Realitinya  penggunaan air,menggunakan air dari dalam takungan  atau baldi  untuk kerja mencuci kereta merupakan suatu kaedah penjimatan yang amat berkesan.
       Sesuatu yang dijangka pada awal-awal lagi,  ialah apabila paip air bocor, maka berlakulah curahan air tanpa henti menjurus kepada pembaziran.  Usaha membaiki paip bocor perlu disegerakan untuk mengelakkan pembaziran air berterusan, manakala bil air pada bulan itu akan melonjak berlipat kali ganda. Paip air  yang bocor, boleh diperbaiki sendiri sekiranya kita berkemahiran atau kalau tanpa kemahiran maka mintalah bantuan segera daripada tukang paip yang berkemahiran. Langkah paling dinamik ialah,  kalau berlaku paip pecah dan air keluar mencurah –curah segerakan membuat laporan kepada jabatan bekalan air setempat. Dalam sesingkat masa bungkah paip air yang bocor akan diperbaiki, pembaziran segera dihindari. Tepatlah disarankan agar kita membaiki paip atau pili  air yang bocor,  hatta  dapatlah kita  elakkan  pembaziran air. Kita elakkan pembaziran sesegera yang mungkin!!!

      Kesimpulannya, penjimatan air menggunakan tips atau kaedah yang pelbagai memberi ruang dan peluang untuk kita mengelakkan pembaziran. Setiap bulan kita berasa amat selesa, dan lega kerana tidak perlu membayar bil air yang tinggi. Bukannya susah sangat untuk menjimatkan air. "Air tu kan sejuk...!! jadi janganlah berlama-lama duduk di dalam bilik air......!". Berjimat cermat itu amalan mulia manakala pembaziran itu membawa kerugian yang pasti akan menjejaskan kelancaran aktiviti kehidupan.
              Hasil karya Syaidatul Iffah binti Fauzi (5 sains 1 aliran agama  2017)


Iffah  mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan Pidato Piala Diraja Peringkat Kebangsaan 2016 di Kampus UIA Kuantan Pahang




                                   

Selasa, 24 Oktober 2017

langkah-langkah mengelakkan keracunan makanan-.soalan BM 1 Percubaan MRSM



Keracunan makanan yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan oleh sikap kurang prihatin seseorang terhadap penjagaan kesihatan .Sebagai pelajar yang prihatin, jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri menjadi mangsa keracunan makanan.
                                                                        
Sejak akhir-akhir  ini kes keracunan makanan semakin kerap disiarkan oleh media massa. Keracunan makanan bukan hanya berlaku di sekolah tetapi jua di rumah apabila makanan yang kita makan dicemari kuman. Jika tidak dicari jalan penyelesaian keracunan makanan bukan sahaja membuatkan seseorang muntah-muntah bahkan terpaksa dihantar ke hospital, untuk menerima rawatan. Walaupun agak terpencil, ada kes  keracunan makanan yang membawa maut. Pelbagai langkah perlu disegerakan untuk menangani isu keracunan makanan.
    Sebagai pembuka tirai perbincangan langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan diri daripada keracunan makanan adalah dengan memastikan kita tidak makan makanan yang habis tempoh. Makanlah makanan yang baru dimasak. Kajian menunjukkan sebaik-baik makanan ialah yang tersedia dalam tempoh empat jam. Makan makanan yang ‘fresh’ dengan aroma yang cukup menyelerakan dan sudah pasti makanan atau sajian itu selamat untuk dimakan. Makanan yang kita pasti, baru dimasak dapat  mengelakkan kita  terkena  keracunan makanan. Masak makanan yang  hendak dimakan dengan sempurna bagi memastikan tiada kuman di dalamnya. Ingat, keracunan makanan amat menyiksakan. Kesan sakitnya boleh memakan masa berhari-hari. Ternyata bahawa sikap prihatin kita dengan  mengamalkan makan makanan yang baru dimasak  dapat  mengelakkan  diri kita  terkena  keracunan  makanan 
      Selanjutnya kita perlu mengelakkan makan makanan yang terdedah atau tercemar .Pengusaha  atau penyedia atau pengendali makanan  mesti  memastikan makanan  yang  disediakan  bebas  daripada  bakteria  yang  menjadi  punca  keracunan makananHal ini demikian  kerana  kebanyakan masyarakat  terpaksa  makan di luar rumah  akibat kesuntukan  masa bekerja.  Pengusaha  makanan  perlu membersihkan makanan  sebelum dimasak serta  mengelakkan  makanan  yang dijual sentiasa terdedah. Sebagai contoh, peniaga kedai makan  perlu memastikan  makanan mereka  tidak dihinggapi  lalat. Ibu bapa  pula perlu  mengelakkan  mengajak  anak-anak  mereka  makan  di kedai  ataupun warung pisang sesikat,   warung yang  kotor  di tepi–tepi  jalan. Hal ini kerana  kita  tidak  pasti  tahap  kebersihan  makanan di situ  kerana  mungkin  terdedah  kepada  persekitaran    yang    tercemar. Sebagai  contoh, makanan tersebut mungkin  terdedah  kepada serangga  dan  haiwan  pembawa  penyakit   seperti  lipas lalat  dan tikus. Jelas lagi nyata  bahawa bagi  mengatasi masalah   keracunan  makanan  peranan  pengusaha  makanan amat   penting, mereka tidak boleh membiarkan  makanan terdedah dan tercemar hingga dihinggapi lalat, lipas atau anasir parasit yang lain
 .     Umum mengetahui untuk mengelakkan keracunan makanan kita perlu memastikan kualiti makanan seperti bau, rasa, rupa dalam keadaan baik. Untuk itu, amalkan budaya makan  di rumah  bersama-sama  keluarga  bagi  memastikan kebersihan tahap  makanan benar-benar bersih.Usah disentuh atau dimakan makanan yang berbau hamis, meloyakan anak tekak. Andai dimakan jua maka risiko keracunan makanan adalah tinggi. Kita perlu sensitif terhadap makanan yang boleh dan tidak boleh kita makan. Ada orang menghadapi alahan terhadap beberapa jenis makanan. Saya cadangkan mereka meneliti dan memerhati kandungan dalam makanan tersebut untuk mengelakkan keracunan. Jangan dibeli apatah lagi dimakan makanan dalam tin yang telah kemik, atau kotak minuman yang telah terkoyak kerana di situlah punca berlakunya keracunan makanan. Elakkanlah.... elakkanlah! Hakikatnya makanan berkondisi baik tanpa bau, rasa dan rupa yang kurang menyenangkan sudah pasti dapat mengelakkan keracunan,
       Mengikut perincian saya, kita perlu mengenal pasti tahap kebersihan tempat penyediaan dan tempat penjualan makanan agar benar-benar terhindar daripada lipas, tikus dan lain-lain anasir perosak makanan. Masyarakat  harus mengambil  berat tentang kedai  makan yang  mengabaikan kebersihan. Masyarakat harus   membuat aduan  kepada pihak   berkuasa  untuk  diambil  tindakan yang segera jika terdapat kedai makanan yang  kotor.  Mereka  boleh melaporkan   masalah tersebut  di pejabat  kesihatan daerah. Biasanya pada  dinding  restoran ada ditampalkan gred kebersihan premis berkenaan dari sangat bersih hinggalah ke gred  sangat tidak bersih. Premis yang dilabel sangat tidak bersih akan diarah tutup, disaman serta diarahkan membersihkan dalam tempoh yang ditetapkan, sebelum boleh membuka semula perniagaan makananSememangnya kita perlu lebih prihatin, memerhati tahap kebersihan premis perniagaan makanan dengan melihat label yang ditampal, lihat jua cara pemakaian pengendali makanan, penjual minuman, pastikan mereka berpakaian bersih, apronnya bersih, tidak berpeluh, pastikan air peluh tidak menitis  ke dalam makanan dan minuman!!
      Jauhari berpendapat mengelakkan makan pelbagai jenis makanan dengan banyak pada satu masa penting untuk mengatasi masalah keracunan makanan. Perut kita itu bukannya tong sampah untuk dimuatkan dengan serba aneka makanan.Kekadang kerana terasyik makan, makan dan makan terasa ada suatu kelainan dalam tubuh. Perut mula memulas, sakit, sakit,......sakitnya bukan alang kepalang. Rasa berputar sekeliling kita. Sakit yang amat sakit !!  Keadaan ini merupakan tanda-tanda keracunan makanan. Kalau kita tidak berhati-hati, makan ikut nafsu, asal sedap, asal enak, asal lazat, semuanya hendak dimakan tanpa henti, bagaikan 10 hari tidak makan. Akibatnya anda, kita, jadi mangsa keracunan makanan. Kita tidak sedar ada makanan yang mengandungi asid yang berlebihan, apabila masuk ke perut kita, maka kitalah yang akan merana dan menderita yang saya istilahkan sebagai keracunan makanan. Makan berlebihan pelbagai jenis makanan dalam satu masa hendaklah dielakkan untuk menghindari dan menangani keracunan makanan.  Hakikatnya berhati-berhati dengan apa-apa yang kita makan, pilihlah yang terbaik yang bersesuaian dengan selera, tekak dan perut kita untuk mengelakkan keracunan makanan.

       Kesimpulannya, isu keracunan makanan perlu sama-sama kita pandang serius, atasi dengan penuh prihatin dan sebagai pelajar saya harapkan semua  pihak, termasuk ibu bapa, pihak sekolah, pengusaha kantin, kedai makan, restoran dan sebagainya dapat  memainkan peranan menangani isu keracunan makanan. Berilah peluang kami belajar dengan tenang tanpa gangguan isu keracunan.  Isu ini tidak boleh dipandang remeh.  Semua pihak mesti  mengutamakan  kebersihan dalam makanan  dan minuman. Racun itu pembunuh, tetapi keracunan makanan masih boleh diatasi, dan ditangani dengan kaedah yang bersesuaian, bertepatan dengan hasrat kita mengutamakan kebersihan,dan keselamatan diri kita. InsyaAllah, masih belum terlambat untuk kita menghindari isu keracunan makanan.


Karya Muhammad Nurshah  5 sains 1 ( mendapat 8A SPM sekarang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang  undang-undang di IPT)



Peribahasa – Latihan  Untuk pelajar cemerlang SPM 2018
Nyatakan peribahasa yang sesuai untuk menerangkan situasi di bawah.
(i) Setiap perkara yang hendak dilakukan  biarlah sesuai dengan kemampuan diri._______________
(ii)      Perihal orang yang berada dalam keadaan yang sangat cemas. _______________
(iii)     Usaha menasihati seseorang yang sia-sia sahaja. _______________
(iv)    Perkara yang menjadi bahan percakapan orang. _______________
(v)      Pergaduhan yang tidak menguntungkan sesiapa. _______________
(vi)    Keadaan hidup seseorang yang sangat daif. _______________
(vii)   Abu pelajar yang lemah di sekolah. Namun, bersungguh-sungguh tanpa jemu. Akhirnya, beliau dapat menguasai pelajaran setanding dengan rakan-rakan di kelas cemerlang. _____________
(viii) Setiap  kali pemuda itu berada di situ, seringkali akan berlaku pergaduhan dan dialah punca pergaduhan itu__________
(ix)    Dia amat mengasihi isterinya tetapi amat membenci kedua-dua mentuanya_______________
(x) Setelah lama di perantauan akhirnya dia membuat keputusan untuk kembali ke kampung halamannya. ____
(xi)    Dia sedar dirinya hanya hidup menumpang di rumah keluarga itu. _______________
(xii)   Aidil hanya melakukan kesilapan kecil tetapi seluruh kampung membicarakan kesilapannya itu. _______________
(xiii) Berita Ali ditangkap polis  heboh di seluruh desa walaupun keluarganya cuba menyembunyikan cerita itu  ________
(xiv) Haih, sudah beri kenapa minta balik? _______________
(xv)  Sudahlah cantik, bertambah ayu lagi pabila dikelilingi gadis-gadis cantik_______________
(xvi) Pada saat-saat orang lain dalam kesusahan, pada masa itulah dia mengaut keuntungan_______
Lengkapkan peribahasa yang berikut.
(i)                  Kalau tidak dipecah ruyung_______________
(ii)                Kalau kail panjang sejengkal_______________
(iii)               Kalau tiada angin bertiup_______________
(iv)              Kalau berperahu biarlah berpendayung_______________
(v)                Kalau merenung bintang di langit _______________
Beri maksud peribahasa
(i)             Sehari selembar benang lama-lama menjadi kain  Maksud : _______________
(ii)            Seperti api dalam sekam Maksud : _______________
(iii)           Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul  Maksud : _______________
(iv)          Seperti lembu dicucuk hidung Maksud : _______________
(v)           Seperti tikus membaiki labu   Maksud : _______________
(vi)          Siapa makan lada dia terasa pedasnya  Maksud : _______________
(vii)         Sekali air bah, sekali pasir berubah Maksud : _______________



Karya oleh Yen, Anthony, Adam, Iman, Tou Zer, Wan dan Nik akan saya terbitkan tidak lama lagi, tungggguuuu !! Kesungguhan pelajar amat saya kagumi


Jumaat, 13 Oktober 2017

KISAH LUCU



Payung Terjun
Dalam satu kejadian yang agak susah nak diterima akal, iaitu sebuah kapalterbang telah mengalami kerosakan enjin dan sedang menjunam hendak terhempas, terdapat 5 org penumpang di dalamnya tetapi beg parachute kecemasan hanya ada 4.
Berkata laa penumpang pertama, “Aku Hafiz Hashim. Malaysia perlukan aku.Kalau aku tadak, mcm mana nanti Malaysia nak menang All Englandlagi?”. Lalu dia mengambil beg pertama dan terus terjun.
Penumpang kedua pulak berkata, “Aku Hillary Clinton, bekas wanita pertama US. Aku seorang yang paling bercita-cita tinggi dan aku juga senatorNew York. Aku juga berpotensi nak jadi seorang President”. Dia pula mengambil satu  beg dan terus terjun.
Penumpang ketiga menyampuk, “Ahh… aku President US! George W. Bush.Aku ada tanggungjawab yang berat untuk menjaga sebuah negara yang kuat.Tambahan pula,akulah President yang terpandai dalam sejarah US. Org Amerika mana yang hendak melihat aku mati?”. Dia terus menyentap satu beg dan terus terjun.
Penumpang keempat, Osama Bin Laden berkata kepada penumpang kelima, seorang budak berumur 10 tahun, “Saya seorang Muslim dan saya berserah kepada Allah untuk menentukan hidup dan mati saya. Adik ambillah beg parachute yang terakhir tu”.
Budak 10 tahun itu menjawap, “Jangan bimbang. Ada satu lagi beg parachute untuk pakcik. President terpandai dalam sejarah US tu terambil beg sekolah saya”.
Selamatkan Kawan Dari Lemas
Toro dan Rori, keduanya adalah pesakit rumah sakit jiwa.
Suatu hari Toro melompat ke dalam kolam renang tapi tidak segera muncul ke permukaan. Secepat kilat, Rori melihat kawannya dalam kesulitan, sehingga dia melakukan penyelaman dan menarik Toro keluar dari kolam.
Kemudian, pengarah rumah sakit jiwa memanggil Rori ke pejabatnya dan berkata, "Rori, saya punya berita baik dan berita buruk. Berita baiknya adalah, kamu akan segera keluar dari sini kerana kamu dianggap waras kerana telah 'menyelamatkan nyawa orang lain'. Tapi sayangnya, ada khabar buruk iaitu Toro gantung diri di bilik mandi..."
"Oh tidak," Rori menjawab, "Dia memang saya gantung supaya cepat kering!"

MENGAPA SAYA TAK PERNAH MARAH PADA ISTERI SAYA LAGI ...
Pengakuan jujur Seorang Suami

Ini rahsianya...

Sewaktu berbulan madu di negara orang, isteri saya melihat seekor kucing yang nakal. Dia pun mengajak kucing yang nakal itu bermain. Tapi, tak diduga kucing nakal itu menggigit tangannya. Isteri saya tersenyum dan memberi amaran pada kucing itu sambil berkata
"SATU..."

Kemudian isteri saya kembali mengajak kucing nakal itu bermain. Sekali lagi kucing nakal itu menggigit tangan isteri saya sampai berdarah. Isteri saya kembali tersenyum dan berkata:  
"DUA..." 

Saya mulai was-was. Tapi isteri saya dengan tenangnya mengajak kucing nakal itu kembali bermain. Sayangnya, kucing itu kembali menggigit tangan isteri saya. Isteri saya berkata pada kucing itu sambil tersenyum: "TIGA..." dan isteri saya mengambil pistol dari begnya dan menembak kucing itu sampai mati.

Saya marah kepada isteri saya: "Mar, kamu sudah gila ka?" Isteri saya memandang saya sambil tersenyum dan berkata: "SATU..." 
Sejak itu saya tidak pernah marah lagi kepada isteri saya.

-SEKIAN-
Keluhan isteri
Isteri:  Bang, kenapa setelah kita bernikah, abang tak pernah ajak saya jalan-jalan lagi...?
Suami: Cuba kamu ingat-ingat.., kita bernikah dulu kerana apa?
Isteri: Ya, kerana jodoh, bang.
Suami: Nah, itulah bukti pepatah, *"Kalau sudah jodoh tak ke mana-mana."* ...

BERTERUS TERANG LAH SEBELUM NIKAH

Sayang.... sebelum kita nikah esok, biarlah abang berterus terang

"Kenapa bang?"

Lihat gambar ni

"Siapa wanita ni bang?"

Wanita ni sebenarnya ... isteri abang. Bila kita nikah esok, sayang akan jadi isteri kedua abang. Sayang marah tak?

"Abang.... demi cinta, sayang turutkan. Kalau itu dah suratan takdir dan jodoh sayang, sayang terima abang se-adanya

Sungguh murni kata kata mu, terharu abang

"Tapi bang... sayang pun nak tunjuk gambar jugak"

Erkkk... gambar apa pulak ni? Siapa lelaki ni?

"Abang teka lah... sayang pun macam abang jugak"

Apaa... ni gambar bekas suami sayang ke?

"Tak lahhh kan sayang belum pernah kahwin lagi"

Habis tu? Gambar boyfren lama sayang?

Hihihihihi... Tidakkkkk... sayang cinta abang soranngggg je tau!!

Habis tu gambar sapa ni?

"Tu gambar sayang sebelum operate!"

"Abang..... abanggggg... alaahh pengsan pulak dia!!


MURID OH MURID

*_7_* _soalan ~harian~ hairan drp anak murid bila disuruh buat latihan atau kerja sekolah._

*1*. _Cikgu, kena selang ke?_
*2*. _Buku apa cikgu?_
*3*. _Cikgu!!! tulis kat mana?_
*4*. _Tak cukup, boleh sambung sebelah tak cikgu?_
*5*. _Tajuk dia apa?_
*6*. _Cikgu, kena salin semua ke cikgu?_
*7*. _Cikgu, kena garis ke?_

😁 *_Situasi 1_*
*_Murid_*  : _cikgu, kena salin ke yg dekat whiteboard tu?_
*_Guru_*   : _ehhh....tak payah salin....tgk je...lepas ni angkat whiteboard ni pi fotostat kat pejabat._

😆 *_Situasi 2_*
*_Murid_* : _cikgu buat sekarang ke?_
*_Guru_* : _tak.....buat tahun depan._

🙄 *_Situasi 3_*
( _guru sedang menulis di whiteboard_ )
*_Murid_* : _cikguuuu..... tepi sikit..... tak nampak._
*_Guru_* : . . . . . 😡😡😡😡

😝 *_Situasi 4_*
*_Murid_* : _cikgu kalau tak cukup boleh sambung muka surat sebelah tak?_
*_Guru_* : _tak boleh..... sambung kat meja.... tak pun sambung kat atas baju kamu._

😞 *_Situasi 5_*
*_Guru_* : _siapa dah siap?_
*_Murid_* : _saya blm lg cikgu!_
~~~~~
*_Guru_* : _siapa blm siap?_
*_Murid_* : _saya dah cikgu!_

😄 *_Situasi 6_*
*_Guru_* : _ok, buka mukasurat 58, baca dan catat dlm buku nota mengikut pemahaman kamu sendiri._
*_Murid_* : _cikgu, kena baca ka?_
*_Guru_* : _dak... tak payah baca. Koyak mukasurat tu. Bubuh dlm ayaq... pastu hampa minum ayaq tu.._
*_Murid_* : _cikgu ni.. tanya pun tak boleh...._

😛 *_Situasi 7_*
*_Guru_* : _Ok... keluarkan buku dan salin nota kat dpn ni._
*_Murid_* : _cikgu, salin kat dlm buku ka?_
*_Guru_* : _tak... salin kat atas dahi kamu._

😩 *_Situasi 8_*
*_Guru_* : _semua dah dpt kertas soalan?_
*_Murid_* : _dah cikgu..._
*_Guru_* : _ok, kamu ada 1 jam 30 min utk jawab soalan peperiksaan ni. Boleh mula sekarang._
*_Murid_* : _dah boleh mula ka cikgu?_

😓 *_Situasi 9_*
*_Guru_* : _esok ada jamuan raya... jd esok mai sekolah pakai baju raya._
*_Murid_* : _cikgu, esok ada pj, nak kena pakai baju pj tak?_
*_Guru_* : _ya Allah.... ampunilah dosa hamba Mu ini..._

😒 *_Situasi 10_*
*_Guru_* : _masa ada lg 15 min. Siapkan latihan sekarang dan hantar._
*_Murid_* : _cikgu, kalau tak siap?_
*_Guru_* : _buatla dulu.... baru tahu siap ka tak..._
*_Murid_* : _kalau tak siap jugak?_

😅 *_Situasi 11_*
*_Guru BM_* : _Buat latihan pengukuhan ni dlm buku kamu._
*_Murid_* : _cikgu, buat latihan ni dlm buku apa?_
*_Guru BM_* : _buat dlm buku matematik na...._
( _Faham pulak... terus keluarkan buku BM_ )

*_Sesungguhnya mendidik memerlukan kesabaran yg tinggi.

_khas buat yg brgelar cikgu2_
Takut Bini
Dalam sebuah negeri, semua rakyat termasuk Rajanya takut bini. Suatu hari Raja kumpulkan semua rakyat jelata untuk mencari takut-takut ada suami yang tak takut pada bini, untuk mendapat petunjuk darinya. Bila semua dah berkumpul, Raja perintah siapa-siapa takut bini duduk sebelah kiri, tak takut bini duduk sebelah kanan.

Semua duduk sebelah kiri, kecuali seorang lelaki bermisai siong dan badan macam Rambo, duduk sebelah kanan bininya yang kurus kering.

Raja tanya "Awak tak takut bini?".

"Takut tuanku".

"Kenapa awak duduk sebelah kanan?".

"Bini saya suruh".
Kambing
Anak KAMBING bertanya pada ibunya. 

Anak Kambing :  Mak, kita semua ni namanya sama. Iaitu Kambing. Tak seperti manusia. Sejak kecil dah ada nama, Din, Sufie, Bakar, Osman, Jenal, Mael dan lain-lain. 
               
Mak Kambing : Nak! Manusia yang masih hidup namanya memang banyak, tapi nanti bila sudah mati, namanya satu saja. Iaitu Mayat. 

Beza pula dengan kita. Kalau kita sudah mati, baru namanya banyak. Ada yang namanya sate Kambing, gulai kambing, sup kambing,  kambing golek dan banyak lagi.

Anak kambing  : Oh gitu, Mak. 
Abang dimana?
Si isteri yang curiga kepada suami nya menalipon suaminya yang berada dirumah.
Isteri: " Hello abang dimana ni?."
Suami: " Di rumah Yang."
Isteri: " Cuba abang hidupkan blender."
Suami hidupkan blender: -" Brrreeee."
Isteri: " Ok lah. "
Esoknya si isteri talipon lagi suaminya.
Isteri: " Abang dimana ni.?"
Suami: " Di rumah yang."
Isteri: " Tolong bunyikan blender. "
Suami hidupkan blender: " Brrreee. "
Isteri: " Ok lah. "

Esoknya lagi si isteri pulang ke rumah tanpa memberi tahu lebeh dahulu. Dia mendapati suaminya tiada di rumah cuma anaknya.

Ibu: " Ayah mana pergi ? "
Anak:  " Tak tau..tapi ayah ada  bawa blender." 

<script async src="//pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js"></script>
<script>
  (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({
    google_ad_client: "ca-pub-4613969464562525",
    enable_page_level_ads: true
  });
</script>

Jangan Tiru