Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 28 September 2017

YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak Pemimpin negara yang amat saya kagumi.



YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak
Pemimpin negara  yang amat saya kagumi.
Menghayati perjuangan Perdana Menteri Malaysia -  YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak   -  Projek Khas Karangan  persediaan menghadapi SPM
       Malaysia hari ini dianalogikan sebagai sebuah bahtera yang dikemudikan oleh seorang nakhoda perkasa bersama-sama anak-anak kapalnya menuju ke pelabuhan jaya. Kerjasama dan perpaduan erat antara pemimpin dan masyarakat berbilang ras  menjadikan Malaysia terus makmur dan membangun, serta gah di  persada dunia. Nakhoda yang saya maksudkan ialah, YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abd Razak. Pada arena penulisan ini  saya ingin suarakan pendapat dan pandangan saya tentang ketokohan YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abd Razak . Saya dan rakan-rakan, kami nekad dan tetap memilih beliau walaupun dua, tiga kumpulan lain turut memilih beliau. Cikgu pun nampaknya hingga tidak terkata, membisu seribu bahasa, membiarkan kami meneroka minda secara ilmiah dalam kalam berbahasa. Kami mempunyai sebab, dan fakta konkrit, untuk memilih beliau antara tokoh paling kami kagumi. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat menghayati perjuangan Perdana Menteri Malaysia melalui citra bahasa kami ini.
       Sebagai frasa pengenalan YAB DS PM merupakan seorang pemimpin nombor satu negara yang telah, sedang dan akan terus berusaha membawa negara  ke mercu kegemilangan. Beliau dihormati, disayangi kerana personalitinya unggul, sopan dan amat berbudi bahasa. Laut bicaranya ikhlas serta tampil berani menempuh cabaran. Umum mengetahui, sepanjang pentadbiran beliau, banyak cabaran, banyak rintangan dan banyak dugaan terpaksa dihadapi. Dan bukan calang-calang orang boleh menghadapinya. Cabaran tidak pula mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang, bahkan terus membakar semangat beliau berjuang dalam satu barisan. Istilah ‘putus asa’ atau ‘mengaku kalah’ memang tidak ada dalam kamus hidup beliau.  Sikap beliau yang ini, amat dikagumi, dihargai oleh rakyat Malaysia. Beliau tabah dan berani menghadapi cabaran. Prinsip beliau ialah bekerja dan berusaha. Sesungguhnya, Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah terhadap orang yang sabar dan tabah dengan ujian-Nya.  Hari ini pula, kita dapat melihat  satu aliran baharu  dalam barisan kepimpinan negara, yang saya nukilkan, bagaimana gendang begitulah tarinya, sama serentak, seperti sikap amat, amat rajin bekerja YAB DS PM, kita melihat kesemua menteri , anggota kabinet negara rata-ratanya begitu aktif, begitu rajin bekerja, ikhlas berbakti dan berjuang membela nasib rakyat. Situasi ini tidak kita lihat, di mana-mana negara lain di dunia. Sememangnya, bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri dan barisan pemimpin yang tanpa  henti berjuang demi negara tercinta.
          Menyingkap dari aspek yang lebih ketara, iaitu ikatan kerjasama rakyat dan pemimpin, serta keyakinan rakyat terhadap pemimpin. Rakyat Malaysia berpegang kepada prinsip hidup, kalau berperahu biarlah berpendayung agar sampai ke tanah seberang, jangan pula  berlabuh di tebing runtuh, kelak hanyut dibawa arus. Wibawa kepimpinan negara dihargai oleh rakyat, rakyat menyokong perjuangan YAB DS PM.  Kita amat yakin pintu  persaudaraan, perpaduan terbuka seluas-luasnya pada bila-bila masa dalam kalangan rakyat dan kepimpinan negara hari ini. Yang penting dan yang utama ialah wibawa, dan integriti,  buangkanlah yang keruh ambillah yang jernih.  Jangan biarkan nila setitik merosakkan susu sebelanga. Dalam suasana negara kita yang aman damai ini  apalah salahnya kita sama-sama   merapatkan saf, mengukuhkan, menguatkan dan memantapkan lagi perpaduan bangsa demi kesejahteraan, keamanan nusa tercinta. Apalah salahnya kita sokong, kita berikan semangat, kita bantu YAB DS PM kita berjuang, bekerja, berusaha  ke arah memakmurkan negara,  sekali gus menyemarakkan lagi syiar Islam di negara kita. Tergamakkah kita membiarkan YAB DS PM berjuang habis-habisan, bersendirian. Marilah kita hulurkan tangan membantu beliau.  Ternyata  kita perlu bantu YAB DS PM kita, dan kalau bukan kita, siapatah lagi.....
      Wacana fikrah selanjutnya, kita hayati pula betapa darjah sokongan rakyat terhadap perjuangan YAB DS PM. Rakyat sentiasa mendoakan agar YAB DS PM   diberi Allah ketabahan, kecekalan dan tenang mendepani pelbagai situasi. Kata bidalan kilas ikan di air, tahu jantan betinanya, rakyat tahu menilai, rakyat bijak membezakan  yang mana kaca dan yang mana permata. Rakyat boleh menilai ketulusan dan keikhlasan serta kegigihan PM YAB Dato Seri Haji Mohd Najib dan rakyat amat menyokong dan menyanjung tinggi perjuangan YAB DS PM dan barisan menteri ke arah membina dan membangunkan negara. Rakyat memberi sokongan dan kerjasama yang total, yang padu, sokongan  seratus peratus terhadap segala usaha gigih YAB DS PM tanpa kenal putus asa! Semua agenda pembangunan negara yang dipimpin dan diteraju  oleh PM YAB Dato Seri Haji Mohd Najib secara profesional  dan beretika mendapat sokongan padu, berterusan  seluruh rakyat Malaysia. Syukur Alhamdulilah hari ini berkat doa rakyat jelata, PM YAB Dato Seri Haji Mohd Najib seyogia bekerja dengan senyuman terukir di wajah apabila kejayaan demi kejayaan dicapai oleh negara dan dinikmati pula oleh rakyat.
       Sama-sama kita nostalgiakan, selepas merdeka sehingga hari ini, pembangunan adalah agenda Kerajaan Barisan Nasional untuk negara dan rakyat. Benar, kita berbangga dengan bangunan pencakar langit, litar lumba dan sebagainya, tetapi kesemua pembangunan sebegini tidak memberi impak secara langsung kepada kehidupan rakyat teramai.  Dalam kata lain tidak benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat. Oleh itu, sejak menjadi Perdana Menteri, YAB DS PM telah memastikan pembangunan negara kita mesti bersifat tertumpu kepada kepentingan rakyat teramai. Inilah asas kepada projek besar yang telah dilaksanakan, seperti Lebuhraya Pan Borneo, MRT, Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura atau HSR, East Coast Rail Link (ECRL). Projek-projek ini – meskipun adalah pembinaan dan pembangunan infrastruktur berstatus mega – adalah bertunjangkan kepada kepentingan rakyat.  YAB PM menamakan projek-projek ini sebagai ‘InfraRakyat’. Yakni suatu projek paling utama untuk mensejahterakan rakyat. Beliau amat mengharapkan agar projek-projek InfraRakyat memberi impak dan kesan yang amat bermanfaat lagi amat bermakna melengkapi keperluan kehidupan rakyat Malaysia pada masa ini dan pada masa hadapan. Semoga hasrat, impian dan harapan beliau  menjadi kenyataan, dengan izin  Allah swt  jua.
          Seterusnya kita selongkar daya usaha dan iltizam tokoh tersohor negara kita ini. Atas kapasiti beliau sebagai seorang PM  yang berwibawa lagi berkarisma beliau terus merencana dan menjana pelbagai program untuk membangunkan negara demi mensejahterakan dan menyatu-padukan rakyat . Seluruh jiwa dan raganya adalah untuk rakyat dan negaranya. Rakyat Malaysia sentiasa mendambakan pencapaian. Hari ini PM YAB DS Haji Mohd Najib yang berusaha menggerakkan Malaysia ke  arah berstatus negara maju, telah membuktikan kejituan prinsip‘ Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’, bukanlah suatu omongan kosong. Kini, pada waktu ini, konsep ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ telahpun menjadi kenyataan. Rakyat amat gembira dengan pelbagai kejayaan, pelbagai keberhasilan yang dicapai oleh negara berpaksikan pemuafakatan dan perpaduan. Rakyat amat bersyukur dan berterima kasih atas pelbagai kemajuan yang telah, sedang dan akan kita nikmati bersama-sama yang dirintis dan digerakkan oleh YAB DS PM dan Barisan Nasional ,dengan izin Allah swt. Dengan penuh keikhlasan, dan penuh rasa syukur,  kami golongan pelajar, sentiasa memanjatkan doa dan harapan agar paduka ayahanda YAB DS PM yang amat kami  kasihi ini diberi Allah sihat sejahtera, dipanjangkan usia untuk mentadbir tanah air tercinta ini.
         Kesimpulannya, rakyat Malaysia  amat berbangga mempunyai Perdana Menteri dan barisan menteri kabinet yang berintegriti  lagi berwibawa, yang ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, yang   bergerak ke  arah  matlamat ‘ satu untuk semua dan semua untuk satu’, yang meyakini hakikat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kejayaan yang dicapai oleh negara hari ini membuktikan perjuangan PM YAB Dato Seri Haji Mohd Najib bersama-sama anggota kabinet  dalam Barisan Nasional, membela nasib rakyat jelata, yang berbilang bangsa dan agama memang tidak sia-sia. Hari ini rakyat jelata melihat sendiri pelbagai transformasi dan kejayaan demi kejayaan  dicapai oleh negara. Malaysia kekal aman dan damai di bawah kepimpinan beliau. Kejayaan kita turut dicemburui oleh  negara luar dan mereka kini berusaha mencontohi negara kita dalam meneroka dan mencapai kejayaan jua– DAN yang lebih menyerlah lagi ialah, pelbagai kejayaan dicapai  oleh negara dan anak-anak watan hari ini telahpun mendapat pengiktirafan WARGA DUNIA. Renung-renungkanlah, dan fikir fikirkanlah..!!                                                                 

Oleh Mohd Zakuan Haris Shaari 5 sc 1    (Zakuan pelajar terbaik 11 A SPM 2016)

​Karya terbaik pelajar saya - cg Maznah





Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru