Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 28 September 2017

Tokoh Tersohor Negara yang saya kagumi - Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

 
Tokoh Tersohor  Negara yang saya kagumi - Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
           Salah seorang pemimpin tersohor di negara kita  ialah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau dilantik sebagai  Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu jawatan politik kedua tertinggi Kerajaan Malaysia. Timbalan Perdana Menteri, YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dan menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim kerana memperkenan pelantikan atas cadangan dan amanah yang diberikan oleh  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak. Beliau  memikul tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri terhadap dirinya. Sebagai pelajar SPM, kami diberi tugas  berkarya tentang sesiapa tokoh tersohor negara yang kami kagumi. Kumpulan kami memilih YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kami mengambil masa membuat perincian tentang diri beliau dan sebab-sebab kami mengagumi  ketokohan tokoh tersohor ini. Marilah kita bincangkan bersama-sama perihal personaliti, ketokohan dan peranan beliau terhadap pembangunan Malaysia tercinta.
             Mula-mula kita telusuri profil diri beliau. Kredibiliti, wibawa dan kasih sayang YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap negara terbukti apabila beliau dipilih  oleh pucuk pimpinan negara bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya umum 1999.  Sebagai tokoh yang aktif, rajin bekerja dan dikasihi rakyat, Pilihan Raya Umum 1999 ditempuhinya dengan cemerlang apabila menang dengan majoriti yang amat selesa. Situasi ini tidak menghairankan kerana nama YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi   sememangnya cukup sinonim dengan pengundi di Bagan Datuk  di mana terletaknya Kampung Sungai Nipah Darat, kampung kelahirannya. Kasih sayang beliau diterjemahkan pula melalui pelbagai usaha beliau tanpa jemu, tanpa mengenal putus asa membangunkan bumi tercinta. Apabila dilantik sebagai menteri persekutuan, dan sebagai TPM beliau membuktikan ketokohannya  menjayakan pelbagai program pembangunan negara. Sebagai TPM beliau melangkah sederap bersama-sama PM, memajukan Malaysia. Jelaslah kasih sayang beliau terhadap negara menjadikan beliau tokoh tersohor yang kami kagumi.
    Selanjutnya populariti beliau tampak nyata apabila beliau memiliki pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang sebelum menceburi dunia politik. Pengalaman menjadikan beliau pemimpin yang matang dan serba boleh. Sebelum menceburi bidang politik YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang bankers dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC, Bank Simpanan Nasional dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB). Berdasarkan pengalaman itu juga beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi BSN pada tahun 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada tahun 1998. Bagaimanapun dalam tempoh masa yang sesingkat itu, beliau berjaya mengubah BSN daripada imej `bank pejabat pos' kepada sebuah bank yang cukup disegani. Sekembalinya ke arus perdana pada tahun 1999,   YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik pula sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Ternyata, pengalaman luas yang pernah dilalui oleh YAB TPM ini amat menarik perhatian kumpulan kami untuk terus meneroka  sejarah kehidupan beliau yang berwarna warni yang meningkatkan semangat kita golongan pelajar untuk berusaha demi kejayaan.
          Masa berlalu silih berganti,  selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan Datoh buat kali ketiga , YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya menambat kepercayaan Yg Bhg Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menganggotai Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pelancongan. Pemilihan itu dilihat amat bertepatan kerana pengalamannya yang luas dalam sektor perbankan dan korporat, maka beliau memang diperlukan bagi menjana sektor pelancongan yang  menjadi industri penting negara. Hubungan kerja yang akrab antara YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan YAB PM DS Mohd Najib telah agak lama terjalin erat dan mantap bagai isi dengan kuku, kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada YAB DS  Mohd  Najib semasa  YAB DS Perdana Menteri pada ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan. Mengulas perihal perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB TPM DS Dr  Ahmad Zahid Hamidi, dengan nada rendah diri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih beliau atas amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh YAB PM. Sokongan padu pula diberikan oleh barisan pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia terhadap beliau. Semua menarik nafas lega apabila beliau dilantik sebagai TPM. Pengalaman demi pengalaman dilalui menjadikan beliau pemimpin yang serba boleh, berperibadi mulia, berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menyebabkan kami amat mengagumi beliau.
            Kita telusuri pula tahap pendidikan yang diperolehi oleh  YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bapa kepada lima orang anak ini YAB TPM DS Dr  Ahmad Zahid Hamidi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai, Rungkup sebelum menyambung pelajaran di SMKA Izuddin Shah, sebuah sekolah agama tersohor di  Ipoh Perak  dan  diteruskan pula ke Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya  pada tahun 1976. Semasa di universiti, beliau menjadi editor tabloid Mahasiswa Negara yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Beberapa tahun selepas itu, YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana komunikasi di Universiti Putra Malaysia. YAB TPM  DS Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Korporat) pada tahun 2000 dan kemudiannya ijazah doktor kehormat  PhD-Komunikasi dari UPM. Kecemerlangan YAB TPM  dalam bidang ilmu menjadikan beliau seorang pemimpin yang diyakini rakyat mampu membawa negara ke  arah kecemerlangan.  Sememangnya, ketekunan beliau dalam menuntut ilmu  wajar kita  contohi dan kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam SPM kita nanti.
            Hakikat yang tidak boleh dikesisikan, sebagai seorang pemimpin nombor dua terpenting dalam negara YAB TPM  DS Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas berat yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, adil dan saksama. Perpaduan kaum diutamakan dan pelbagai program  berpaksikan perpaduan kaum dilaksanakan bersama-sama  YAB PM dan seluruh jentera Barisan Nasional.  Apabila bercakap tentang perpaduan, bukanlah sesuatu yang asing bagi YAB TPM kerana beliau mempunyai latar belakang masa silam yang begitu unik iaitu beliau mempunyai keluarga angkat berketurunan Tionghua.  Zaman kanak-kanak beliau, banyak diluangkan bersama-sama keluarga angkat. Titik titis air matanya mengenangkan memori indah masa silam,  menumpang kasih, menumpang manja dengan keluarga angkatnya, memanfaatkan zaman kanak-kanak bersama-sama membantu keluarga angkatnya berjualan. Kata bidalan, walau sejauh mana seluang melaut akhirnya kembali ke pantai jua. Setelah berjaya dan mendapat kedudukan yang tinggi beliau tidak pernah lupa akan asal usul dirinya. Tempat jatuh lagi  dikenang inikan pula tempat bermain. Pada kesempatan waktu yang ada, walau sesibuk mana pun dirinya, beliau sering mencuri masa menziarah keluarga angkatnya di samping keluarganya sendiri. Senyuman sentiasa terukir di wajahnya setiap kali bertemu dengan keluarga angkatnya yang berketurunan cina itu. Ternyata kasih sayang wujud antara mereka. Magis berlaku terutama pada setiap musim Tahun Baharu Cina – terserlah suasana keluarga bahagia, menyinari kehidupan beliau.  Tidak terungkap dek kata-kata, beliau amat-amat menyayangi keluarga angkatnya itu, dan beliau merupakan 'anak' kesayangan keluarga ini. Bagai irama dan lagu, mereka tidak boleh dipisahkan.
            Kesimpulannya, YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YAB PM DS  Mohd Najib Tun Abd Razak  merupakan suatu gandingan mantap,  ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni bersama-sama barisan kabinet negara  untuk membawa negara kita ke  arah yang lebih maju dan berdaya saing di persada dunia.  Sebagai generasi muda kami berasa amat kagum  dengan  daya kepimpinan YAB TPM dan bertuah kerana berkesempatan dipimpin oleh barisan kepimpinan yang sedia ada, yang dinamik, yang sedia berkhidmat dan berbakti untuk negara. Semoga negara kita terus maju dan terus membangun dengan cemerlangnya.
​    Oleh  Nurul Natasha 5 sains 1(Tasha memperolehi A+ BM SPM 2016



Peringatan:  semua karya perlu patuhi Format Karangan SPM


Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru