Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 28 September 2017

Tokoh pemimpin negara yang paling dikagumi – Dato Seri Dr S Subramaniam

Tokoh pemimpin negara yang paling dikagumi – Dato Seri Dr  S Subramaniam
        Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, pucuk dicita ulam mendatang, Malaysia sungguh bertuah kerana  seorang tokoh perubatan menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia. Saat dan ketika yang sebeginilah yang memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.  Seorang yang sangat arif tentang selok belok kesihatan dan bersedia melakukan pelbagai prakarsa demi  memastikan kesihatan rakyat di negara kita terjaga dan terpelihara. Beliau seorang doktor perubatan. Beliau yang saya maksudkan ialah Yang Berhormat  Dato Seri Dr S Subramaniam yang  merupakan ahli politik Malaysia dari parti MIC. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kesihatan Malaysia dan perlantikan beliau merupakan satu pemilihan yang tepat oleh Yang Amat Berhormat  Perdana Menteri. Untuk kumpulan kami, kami secara seia sekata memilih  YB DS Dr S Subramaniam sebagai tokoh yang paling kami kagumi.
            Melihat daripada air mukanya, perwatakannya memang nampak  serius, waima dalam bidang kerjapun kami melihat beliau seorang yang amat-amat serius. Senyuman beliau amat mahal harganya!!! YB DS Dr S Subramaniam amat mementingkan  amalan penjagaan kesihatan dititikberatkan oleh setiap indidvidu di Malaysia tanpa mengira usia. Pada peringkat awal pentadbiran beliau, beliau menasihati dan mengajak semua masyarakat bersama-sama mengamalkan amalan ‘55555’ supaya  kekal sihat dan ceria. Intipati Amalan 5 LIMA ini ialah, antaranya, menurut beliau seluruh warga  perlu makan 5 kumpulan makanan setiap hari  bagi mendapatkan nutrien yang mencukupi untuk tubuh kita. Yang kedua, makan 5 sajian buah dan sayur setiap hari kerana setiap jenis buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selanjutnya, hadkanlah pengambilan makanan kepada 500 kalori sahaja untuk setiap waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Selain itu, hadkanlah  pengambilan gula dalam minuman iaitu 5 gram, atau 1 sudu teh untuk setiap hidangan minuman.  Di samping itu, bersenamlah sebanyak  5 kali seminggu bagi mengekalkan kesegaran dan kesihatan tubuh badan kita. Nasihat beliau lagi, Ingat dan praktikkanlah amalan 5 LIMA ini untuk mengekalkan kesihatan. Sememangnya, dengan  nasihat beliau yang tegas, lengkap dan padat menjadi YB DS DR S Subramaniam amat   kami kagumi
 .             Sebagai pelajar yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang saya dapat menghayati bahawa YB DS Dr. S Subramaniam,  seorang menteri yang sentiasa berusaha dan memberi   komitmen yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab beliau  memastikan semua rakyat Malaysia menerima perkhidmatan kesihatan yang optimum. Malaysia telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dalam perkhidmatan kesihatan apabila negara kita menduduki tempat ke-18 dalam senarai penyedia perkhidmatan kesihatan yang cekap seperti dilaporkan oleh agensi berita Bloomberg .  YB DS Dr. S Subramaniam amat berbangga kerana  KKM  yang dipimpinnya  telah berusaha dengan gigih untuk membantu rakyat dengan menyediakan rawatan perubatan yang berkualiti, murah serta mudah diakses walaupun selepas waktu kerja, atau dalam ertikata lain, perkhidmatan yang mendahulukan rakyat serta mesra pelanggan. Dan saya rasa lebih berbangga lagi  apabila beliau sendiri turun padang menangani isu colek bayi di Hospital Tanah Merah, dan menangani gejala serangan virus di Hospital Tanah Merah, di kampung saya baru-baru ini. Oh, bangganya saya kerana Malaysia mempunyai seorang YB Menteri Kesihatan yang berwibawa lagi berintegriti.
           Seterusnya, dalam usaha menyokong Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, yang mengutamakan rakyat YB DS Dr. S.Subramaniam berharap pencapaiannya boleh dimanfaatkan oleh rakyat, konsep Klinik 1Malaysia, Klinik Bergerak 1Malaysia dan Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia telah diperkenalkan dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Bagi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat,  Klinik 1Malaysia kini beroperasi di seluruh negara . Sebagai menteri di KKM beliau jua telah melakukan pendekatan baru iaitu turun padang’ untuk menyampaikan mesej-mesej ‘makan secara sihat’ dan amalan gaya hidup sihat serta usaha membasmi obesiti serta pelbagai aspek kawalan penyakit dan penjagaan kesihatan. Beliau sesungguhnya amat mengambil berat tentang penjagaan kesihatan rakyat Malaysia dengan kaedah, strategi dan caranya yang pelbagai yang menjadikan beliau salah seorang pemimpin yang saya amat hormati dan saya kagumi.
          Yang lebih mengagumkan saya ialah apabila YB DS Dr. S.Subramaniam berpendirian bahawa hidup di dunia ini penuh dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi serta ditangani dengan baik supaya mencapai matlamat yang kita idam- idamkan. Meredah cabaran bukan satu perkara yang senang tetapi  memerlukan Visi atau pandangan yang jauh serta pelaksanaan strategi yang berkesan. Usaha beliau lakukan secara proaktif, berterusan dan tanpa putus asa. Menurut beliau seperti negara-negara lain di dunia ini, negara kita menghadapi pelbagai cabaran dari aspek kesihatan. Antara cabarannya ialah mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik, serta memerangi wabak penyakit. Kesemuanya cabaran memerangi wabak penyakit diberikan tumpuan oleh YB DS Dr. S.Subramaniam  di KKM. Beliau dan pegawainya bekerja siang dan malam sebagai satu pasukan yang mantap. Sudah terang lagi bersuluh, kesanggupan beliau meredah cabaran, untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan kesihatan serta memastikan rakyat akan mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik, perkhidmatan kawalan penyakit yang berkualiti menjadikan beliau tokoh yang disegani rakyat dan saya nekad memilih beliau sebagai tokoh yang saya kagumi.
       Aspek paling nyata ialah YB DS Dr. S.Subramaniam sentiasa berusaha memastikan jumlah doktor mencukupi memenuhi keperluan negara. Beliau amat-amat berharap agar semua perkhidmatan hospital berusaha untuk  meneruskan kecemerlangan dengan membentuk dan memupuk suasana kerja harmoni serta mencari ‘win-win solutions’ dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Doktor yang cekap, dan mencukupi jumlahnya akan membentuk suasana yang harmoni. Beliau amat yakin, keharmonian itu adalah amat penting untuk menghasilkan kejayaan  melestarikan tahap kesihatan rakyat yang unggul.  Beliau berusaha agar kementeriannya memperkuat perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, menambah baik sistem perkhidmatan dan pengurusan, dan membangunkan pelan induk sumber manusia iaitu meningkatkan tahap kepakaran doktor . Sudah tentulah matlamat beliau  memastikan jumlah doktor mencukupi di semua hospital dan klinik di seluruh negara menjadikan beliau tokoh pemimpin yang dihormati lagi dikasihi
       Kesimpulannya, sebagai pemimpin politik, dan seorang pejuang bangsa  yang berpengaruh di negara ini beliau sering mengingatkan rakyat akan hakikat, perjuangan memastikan konsep rakyat sihat negara maju   tidak pernah ada nokhtahnya. YB DS Dr S Subramaniam  bersama-sama barisan pemimpin dalam Barisan Nasional, mempunyai semangat juang serta azam yang tinggi dalam penjagaan  kesihatan,  untuk mencapai tahap kesihatan rakyat Malaysia yang ideal dan yang terbaik. Sebagai seorang doktor, seorang tokoh politik dan seorang Menteri Kesihatan beliau terus berjuang memastikan kapasiti penjagaan kesihatan diutamakan dan menjadi keutamaan.

                                                                                                Oleh : Anis Syazwani 5 sc 1


Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru