Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 28 September 2017

Tokoh idola saya -Yang Berhormat Dato' Seri Liow Tiong Lai

Tokoh idola saya -Yang Berhormat Dato' Seri Liow Tiong Lai

   Yang Berhormat Dato' Seri Liow Tiong Lai merupakan  seorang Menteri yang dikagumi lagi disegani. Beliau telah diamanahkan oleh YAB PM DS Najib  untuk menerajui kementerian pengangkutan dan beliau melaksanakan amanah yang diberi itu secara  berkarisma, beretika, berpandukan profesionalisme diri seorang menteri, bersama-sama anggota kementeriannya. Memang telah kita jangka sedari awalnya akan kemampuan dan kebolehan YB DS Liow mencorakkan hala tuju dunia pengangkutan negara ke aras yang tinggi dan sudah tentu  YAB PM DS Najib dan kita semua berbangga atas kejayaan yang dicapai.  Sebagai Ahli Parlimen Bentong beliau seorang negarawan yang amat disayangi rakyat. Mengapa saya memilih beliau sebagai tokoh yang saya kagumi? Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang mengagumi beliau, bahkan ramai lagi rakan sekelas saya mengklasifikasikan beliau seorang tokoh pemimpin yang unggul lagi dinamik. Ayuh kita bincangkan bersama-sama perihal  ketokohan YB DS Liow Tiong Lai.
      Sebagai kata pemula mari kita singkap latar belakang beliau. YB DS Liow telah dilahirkan di Melaka. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Nutrisi. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran dengan mengambil Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Latar belakang pendidikan beliau memberi inspirasi kepada saya dan rakan-rakan untuk belajar bersungguh-sungguh dalam SPM dan meraih kejayaan seperti beliau. Tetapi kita perlu insaf, kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya. Sudah pasti YB DS Liow belajar bersungguh-sungguh sehingga beliau mencipta kejayaan yang cemerlang. Ingat pesan cikgu kita, tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Terutama dalam pencarian ilmu, banyak onak, ranjau dan duri terpaksa kita tempuhi. Hakikat inilah yang menjadikan YB DS Liow idola, dan inspirasi saya demi SPM yang akan saya tempuhi tidak  lama lagi.
     Selanjutnya beliau melangkah sederap dengan YAB PM DS Haji Mohd Najib memajukan sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia. YB DS Liow sependapat dengan YAB PM; amat yakin sistem pengangkutan yang terancang menjadi  tonggak penggerak ekonomi negara, memacu kesinambungan kemajuan negara dalam pelbagai bidang. Bersama-sama YAB PM dan Barisan Nasional YB DS Liow berusaha memastikan sistem pengangkutan negara sentiasa berdaya maju. Sebagai contoh, dengan pembangunan berterusan rangkaian kereta api di negara ini, terutamanya dengan pelancaran Fasa 1 MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan akses dan peningkatan kualiti hidup. Lebih-lebih lagi, projek landasan kereta api antara bandar seperti Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta projek antarabangsa seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia – Singapura akan membawa kepada sistem perhubungan yang efisien dan seterusnya menyediakan peluang perkembangan untuk perniagaan tempatan. Dengan penuh gembira dan amat berbangga  YB DS Liow memaklumkan  Fasa 1 bagi Pelan Logistik dan Perdagangan telah berjaya dilaksanakan, dan antara kejayaan utama termasuk pelarasan pangkalan data logistik nasional dan penambahbaikan produktiviti pengangkutan fret. Situasi ini merupakan petanda baik untuk matlamat jangka panjang dalam transformasi Malaysia sebagai hab logistik yang berdaya saing di ASEAN. Dan saya melihat sendiri di kaca TV, di mana-mana sahaja  ada YAB PM, di situ ada YB DS Liow dan menteri-menteri yang lain, bekerja dan bekerja. Yang jelas lagi nyata, YB DS Liow bekerja, bekerja dan terus bekerja bersama-sama YAB PM dan BN demi pembangunan negara tercinta. Ketokohan beliau amat saya kagumi, beliaulah pemimpin kebanggaan saya dan rakan-rakan saya.
    Tidak dapat dinafikan, YB DS Liow  seorang menteri  yang sangat mementingkan elemen perpaduan dalam memastikan semua agenda pembangunan berjalan dengan lancar. Beliau berpendirian tegas apabila membicarakan soal perpaduan. Beliau amat bencikan perpecahan. Dan YB DS Liow amat yakin dengan perpaduan yang dipupuk sejak zaman puntung berasap hingga ke hari ini akan berkekalan selama-lamanya. Sikapnya yang positif amat terserlah pada wajahnya yang sentiasa senyum dan mudah tersenyum. Dalam kalangan pelajar, beliau lebih dikenali sebagai 'The Smiling Minister'. Kata cikgu, kalau kita ada masalah, pabila tengok wajah YB DS Liow, masalah pun segera hilang.  Umppph itu kata cikgu saya!! Tetapi yang saya lihat melalui tv, dan saya baca melalui akhbar, beliau amat tegas dan  positif tentang pentingnya perpaduan demi masa depan negara. Beliau berpendapat bahawa sebagai rakyat Malaysia kita sememangnya sangat bertuah kerana dapat mengamalkan kepercayaan dan adat resam masing-masing dalam suasana yang aman dan harmoni. YB DS Liow  begitu yakin, kejayaan-kejayaan yang dicapai jelas menunjukkan kita memiliki sebuah kerajaan  di bawah kepimpinan YAB DS Najib yang bertanggungjawab dan yang bersedia berkhidmat untuk rakyat berpaksikan perpaduan. Namun, YB DS Liow menyuarakan kebimbangannya kerana hari ini terdapat pihak yang memperlekehkan nilai-nilai murni perpaduan dan keharmonian rakyat  Malaysia lantaran mencetus suasana perpecahan dan permusuhan.  YB DS Liow menyeru agar rakyat menolak  elemen-elemen negatif yang memecah belahkan perpaduan  dan menasihatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan semangat kesederhanaan dan kesatuan dan biarlah suasana persaudaraan menghiasi kehidupan kita yang bagai aur dengan tebing, yang mengamalkan prinsip sedikit sama merasa, banyak sama berlaba dalam menikmati suasana perpaduan. Sesungguhnya, selaku Menteri pengangkutan YB DS Liow Tiong Lai amat mementingkan aspek perpaduan diasimilasikan dalam pelaksanaan transformasi pembangunan  pengangkutan  dan sistem perhubungan di negara tercinta ini.
          Rakyat menghayati keikhlasan beliau sebagai seorang menteri dalam kerajaan, YB DS Liow mengaspirasikan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terbela, dan ekonomi negara terus kukuh. Banyak perencanaan, perancangan dan pelaksanaan pembangunan yang beliau lakukan dengan tekun dan gigih. Kegigihan beliau benar-benar menginsafkan kita, kalau seorang pemimpin begitu berdaya maju, kita sebagai rakyat perlu menyokong segala usaha beliau. YB DS Liow berpendapat,  dalam pertumbuhan ekonomi dunia yang bergerak perlahan, kita perlu bergerak mencari peluang dan merebut peluang itu demi kesejahteraan rakyat. Kerajaan Malaysia hari ini telah berjaya membawa masuk banyak perlaburan yang mana  terutamanya dari negara China yang bernilai berbillion ringgit. Kerajaan Malaysia  menurut  YB DS Liow  terus menggembeling tenaga untuk merebut peluang bagi memastikan pelabur-pelabur luar negara masuk  melabur di negara ini dan terus memberikan peluang pekerjaan, dan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai rintangan telah ditempuhi, kepimpinan negara kita  terus mempamerkan daya ketahanan dan ketabahan dalam menempuh cabaran yang mendatang. Menurut beliau, YAB DS Najib dan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara.  YB DS Liow  dilihat amat gembira  dengan gandingan usaha  dan kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, kita akhirnya berjaya membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya dari China dan Jepun.  Justeru, pandangan jauh dan kesiapsiagaan usaha beliau bersama-sama YAB PM meningkatkan  ekonomi negara  menjadikan YB DS Liow salah seorang tokoh pemimpin negara yang saya kagumi.
          Tidak lengkap rasanya perbincangan ini, kalau saya tidak menyentuh soal keselamatan di jalan raya. Sebagai seorang menteri pengangkutan di sebuah negara yang maju serta makmur, YB DS Liow  acapkali mengingatkan kita, ’bagi sesiapa yang merancang untuk melancong, menggunakan pengangkutan pada hujung minggu atau pada bila-bila masa, sila memandu dengan berhati-hati. Marilah kita menikmati hari-hari yang berlalu dan hari-hari muka  sebagai pengguna jalan raya yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab.’Beliau menyatakan kekesalannya yang teramat sangat, apabila ada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menyebabkan jalan raya menjadi tempat berlumba, lantaran berlakulah adegan menakutkan, kemalangan ngeri, yang menghancur-luluhkan hati dan perasaan, kemalangan yang membawa maut. Angka kematiannya pula bukanlah sedikit, malah saban hari berlaku kemalangan maut di jalan-jalan raya di Malaysia. Hal ini membuatkan YB DS Liow selaku Menteri Pengangkutan sering merenung jauh, renungan yang sayu lagi menyentuh perasaan. Selagi nadi masih berdenyut, beliau  berterusan mencari dan terus mencari punca dan cara mengatasi masalah yang tiada nokhtah serta tiada penghujungnya ini.
     Kesimpulannya pembangunan bidang pengangkutan negara diterajui oleh YB DS Liow pada saat ini menghadapi pelbagai cabaran yang  memerlukan sokongan daripada rakyat  jelata untuk terus berkembang maju. Perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini sedang mengalami transformasi menyeluruh dan bergerak seiring dengan kemajuan negara. Kini pengangkutan awam telah menjadi pilihan utama rakyat. YB DS Liow menaruh harapan agar pengangkutan awam terus mendapat sambutan oleh kalangan pengguna dan  akan terus  meningkatkan perkhidmatan yang terbaik secara berperingkat –peringkat  dari segi ketepatan masa dan  perkhidmatan yang diberikan. Usaha dilakukan secara berperingkat, kerana sehari selembar benang lama-lama menjadi kain, dan beliau yakin akan  hakikat, setiap kejayaan itu bermula dengan langkah pertama. Semoga  YB DS Liow terus melangkah ke hadapan bersama-sama YAB PM Dan Barisan Nasional untuk mencipta kejayaan di bawah Kementerian Pengangkutan yang beliau terajui.

                                                                                             Oleh : Amirul Asyraf 5 silikon



Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru