Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 21 Ogos 2017

BAHASA MELAYU MODUL TERKINI - LATIHAN BERFOKUS SPM BM KERTAS 2

BAHASA MELAYU MODUL LATIHAN BERFOKUS SPM   BM KERTAS 2 
(MASA 2 JAM 30 MINIT)
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pelaksanaan dasar MBMMBI dan kekangannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
   Kerajaan pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris(MBMMBI). Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempatyang sepatutnya dan sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama dalam pendidikan berasaskan Akta Pendidikan 1996.
     Tujuan utama pelaksanaan dasar MBMMBI ini jelas kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu kerana banyak buku ilmiah sama ada buku terbitan asal ataupun buku terjemahan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium  untuk menyampaikan ilmu pengetahuan.
     Semua guru disarankan agar memahami sepenuhnya maksud dan definisi MBMMBI serta dapat memaklumkan hasrat dan matlamat pelaksanaaan dasar ini kepada murid-murid dan masyarakat dengan jelas. Dengan meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya kebudayaan bangsa Melayu akan terpelihara dan seterusnya dapat dilestarikan.
      Umum mengetahui bahawa, dalam masyarakat pelbagai etnik, perlu wujud satu medium untuk mereka saling berhubung. Dasar MBMMBI ini diaspirasikan agar satu bentuk komunikasi yang berkesan dapat dilakukan dalam kalangan masyarakat. Hal ini akan dapat memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Di sekolah, para guru perlu membudayakan penggunaan bahasa Melayu baku agar martabat bahasa itu dapat diletakkan pada kedudukan yang sewajarnya.
     Bagi perkembangan bahasa Inggeris pula, kepentingan bahasa ini sebagai bahasa kedua tidak dapat dinafikan. Bahasa Inggeris penting sebagai alat komunikasi antarabangsa dan menjadi medium untuk wacana ilmu di peringkat tersebut. Dasar MBMMBI yang dilaksanakan ini juga memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris kerana bahasa ini membantu perkembangan kemajuan dalam sektor perniagaan dan ekonomi global pada era globalisasi ini.       
       Kesimpulannya, dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris kena pada tempatnya dan tepat pada masanya. Marilah sama-sama kita menjaga dan memartabatkan budaya bangsa kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana MBMMBI, Buletin Pendidikan, Disember 2010)
Soalan 2: Pemahaman [35 markah] Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata memartabatkan budaya. [2 markah]
(ii) Nyatakan peranan guru bagi memastikan objektif MBMMBI ini dapat direalisasikan? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dapat ditingkatkan?[4 m]
Soalan 2(b) –  Baca petikan cerpen, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
Kedua-dua belah tanganku menggigil di dalam poket jaket kain. Kedua-dua belah kakiku yang bersarung stoking bulu kambing di dalam kasut kulit, turut terasa dingin.
Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ. Pakaiannya hanya kain kapas nipis. Tudungnya ditarik menutupi sebahagian mukanya yang merah kesejukan. Kakinya berstoking lusuh. Kasutnya, aku tidak pasti sama ada aku sedang melihat warna stoking kehijauan di hujung kasutnya yang koyak, atau warna kasutnya.
Aku membeli tiga piring makanan burung dan memberinya LT5 walaupun harga satu piring Cuma LT1. Wanita tua itu menyusun sepuluh jari sebelum mengarahkan jarinya ke dada sebagai tanda terima kasih. Aku menaburkan bijirin. Beratus-ratus burung merpati berterbangan turun dari kubu tinggalan kerajaan Uthmaniah. Nasib burung itu jauh lebih baik daripada nasib wanita tua itu, dapat makanan percuma dan gambarnya diabadikan dalam kamera sedangkan wanita tua itu seakan-akan figura hidup yang tidak disedari kewujudannya.
Seorang remaja kurus datang menghampiriku. Di tangannya terdapat sebuah beg plastic hitam yang besar. Matanya melingas ke kanan kiri. Dia bercakap separuh berbisik.
“Black market, black market. Good price.” Aku teringat akan pesanan Encik Yuksel tentang bahaya membeli barang di tepi jalan. Aku menggelengkan kepala tanda tidak berminat. Remaja itu menghampiri Kak Chah dan Shahmeem. “Perfume. Wallet. Jacket. Please!”  (Dipetik  ‘Jaket Kulit Kijang’,  antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)
(i) Gambarkan keadaan wanita tua seperti yang dinyatakan dalam petikan tersebut. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah warga emas yang hidup gelandangan? [3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan tersebut dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen. [4 m]
Soalan 2(c) – Baca petikan prosa tradisional, jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu, "Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?"
Maka sembah segala orang banyak itu, "Sahaya semua tahu juga; oleh tuanku tiada mengaku, sahaya semua takut mengatakan dia anak tuanku."
Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum. Maka Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dua orang itu menjadi orangbesar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara Diraja, kerana kedua-duanya sama orang berasal. Maka Seri Nara Diraja tidak muafakat dengan Paduka Raja, senantiasa beringgit juga; beberapa kali lain Paduka Raja kedapatan dengan PadukaRaja dalam kampung Seri Nara Diraja.
Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, "Jikalaudemikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tidak muafakat sama orang besar." '
Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?"
Maka sembahnya, "Jikalau ada kurnia Duli Yang Dipertuan, baiklah, tuanku."  (‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’-Sejadah Rindu, DBP)
(i) Berikan maksud senantiasa beringgit? [2 markah]
(ii) Apakah yang terjadi setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja menjadi orang besar? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan buruk kepada negara sekiranya pemimpin tidak bermuafakat?[3m]
Soalan 2(d) – Gurindam Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
BEBERAPA PETUA HIDUP  Za’ba

Fikir dan Kata
Kurang fikir, kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Silang Sengketa
Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.

Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Ilmu
Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Dunia Pergaulan
Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Sifat-sifat yang Baik
Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman.

Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.

Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Perbuatan yang Baik
Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Sifat-sifat yang Jahat
Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.
                Kalung Bunga Za’ba, 2008 Dewan Bahasa dan Pustaka
 (i)   Barang siapa berbuat jasa,
       Mulia namanya segenap masa
Apakah maksud rangkap gurindam di atas? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu tidak boleh menggunakan bahasa yang kasar dalam pergaulan?
Berikan tiga alasan anda.  [3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran daripada gurindam tersebut.  [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan  supaya jelas menunjukkan anda faham  maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) mewangi  (ii) menyukat    (iii) menjulang   (iv) menyusut  (v) menyelam (vi) menyisih   [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Beta akan menganugerahi beliau gelaran Datuk kerana sumbangannya yang besar dalam bidang ekonomi.
(ii) Kawat berduri yang berlingkaran itu memagari kawasan di sekeliling rumahnya.
(iii) Pengetua telah melantik Cikgu Shaari sebagai guru disiplin kerana ketegasannya menjalankan tugas. [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Serunding daging yang dikeluarkan oleh Syarikat Deen itu telah dieksport ke negaranegara Timur Tengah dan mendapat sambutan yang amat mengalakkan.
 (ii) Kempen anti-rokok yang sudah berlangsung sejak beberapa tahun lalu masih belum dapat menyedari rakyat tentang bahaya yang berpunca daripada rokok.
(iii) Orang ramai disarankan menghadkan pengambilan makanan berlemak agar dapat mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan.    [6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Encik Yasir berbangga hati mempamerkan lukisan-lukisannya yang cantik-cantik bersempena dengan pameran lukisan yang diadakan di Kuala Lumpur.
(ii) Kompleks membeli-belah terkemuka itu akan dibuka semula secara resmi pada minggu hadapan setelah kerja-kerja pengubahsuaian selesai dilakukan.
(iii) Rakyat di negara ini diseru agar menguburkan perasaan cintakan tanah air serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.  [6 markah]
(e) Berikan peribahasa yang sesuai berdasarkan maksud yang berikut.
(i) Nasib yang baik akan menyebabkan seseorang itu selamat atau mendapat rezeki, jika bernasib malang seseorang itu akan menghadapi masalah.
(ii) Jika melakukan sesuatu secara perlahan-lahan, akhirnya bertambah hasilnya.
(iv) Orang yang tidak tahu untuk membaiki sesuatu benda tetapi cuba membaikinya hingga benda itu menjadi rosak. [6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin    (ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(a) Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan sebuah daripada novel di bawah, huraikan watak dan perwatakan watak sampingan yang telah ditetapkan bagi novel tersebut.  [7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang dapat dikaitkan dengan kesepakatan melakukan sesuatu pekerjaan.   [8 markah]      KERTAS SOALAN TAMAT


Usaha sehabis upaya, dalam tenang, untuk dapatkan A+ BM SPM 2020

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru