Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 21 Ogos 2017

BAHASA MELAYU 2 - MODUL EKSKLUSIF BAHASA MELAYU KERTAS 2 BM SPM

MODUL EKSKLUSIF BAHASA MELAYU KERTAS 2 BM SPM  
Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]
Baca petikan dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang usaha-usaha mengekalkan keharmonian antara kaum dan cabaran memperkukuh perpaduan. Panjangnya rumusan  tidak melebihi 120 patah kata.
    Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sejak negara mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia telah menerimaPerlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan Rukunegara sebagai panduan dalam pembinaan negara. Keharmonian masyarakat dan kestabilan negara menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.
      Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses yang mudah. Pelbagai cabaran yang berliku perlu ditempuhi. Persefahaman, toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi amatlah penting. Jika kita telusuri sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan dan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa-apa yang telah kita capai selama ini melalui semangat muhibbah dan persefahaman antara kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan, dan tempat kita mencari rezeki.
       Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuh keharmonian hidup di Malaysia. Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan kepercayaan dan perpaduan antara rakyat. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian, dan kepercayaan antara rakyat. Rakyat Malaysia harus sedar dan perlu mengelakkan diri daripada mengejar agenda yang bersifat perkauman. Hal ini demikian kerana, benih-benih perbalahan yang wujud akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin.
       Di samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial. Penyelesaian kepada kemelut yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum sewajarnya menggunakan pendekatan kesederhanaan. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata yang bersifat provokasi yang dapat menjejaskan keharmonian kaum dan perpaduan hendaklah dielakkan.
            Kesimpulannya, keharmonian hidup masyarakat antara kaum hendaklah dikekalkan. Setiap masalah perlu ditangani secara penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar tidak menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak yang lain.
(Dipetik  daripada rencana Jangan Langgar Sempadan Perpaduan,” Utusan Malaysia, 01 Januari 2014)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata benih-benih perbalahan yang terdapat dalam petikan di atas? [2 markah]
(ii) Mengapakah penulis menganggap pembinaan negara bangsa sebagai suatu proses yang sukar?  [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda , wajarkah jika kita katakan bahawa negara kita telah Berjaya menjadi sebuah negara yang disegani kerana wujudnya perpaduan dalam kalanganrakyat berbilang kaum ? Kemukakan alasan anda [4 markah]
Soalan 2(b) -  Baca petikan cerpen, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya  menggunakan ayat anda sendiri.
Aku cepat-cepat beredar. Suara Doktor Murni melantun ke dinding pejal wad Unit Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma. Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riuk, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk Profesor Doktor Juaidi.
Juga si kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, tidak perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang ditentukan oleh tangan manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja, tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu, tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi pakar-pakar itu….” Sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan 10 pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi suara lembut Doktor Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang. “Dapatkan di hospital lain; segera.”
Dipetik daripada cerpen “Gerhana Manusia” oleh Aminah Mokhtar dalam Antologi Sejadah Rindu.
(i) Nyatakan keadaan pesakit yang bernama Solehah.  [ 2 markah ]
(ii) Peranan seorang doktor adalah memastikan pesakit dijaga dengan baik. Andaikan anda seorang doktor, apakah tindakan lain yang akan anda lakukan untuk menceriakan pesakit anda?  [ 3 markah ]
(iii) Kita haruslah bertanggungjawab terhadap pesakit. Berdasarkan petikan cerpen di atas, nyatakan satu peristiwa yang menunjukkan pengajaran tersebut dan satu peristiwa lain daripada keseluruhan cerpen. [ 4 markah ]
Soalan 2(c) : Petikan Prosa Tradisional  Baca petikan prosa tradisional di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
     Maka sembah Temenggung, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun dan kurnia; adapun pada malam ini patik sendirinyalah berkawal. Pada segenap pintu dan rumah saudagar dan orang kaya-kaya patik sudah tunggui; maka seorang pun tiada bertemu dengan patik-patik itu. Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.”
Maka Laksamana pun berdatang sembah, “Ya tuanku. Adapun penjurit yang datang ini bukan barang-barang penjurit, lebih tahunya daripada patik. Jika ada derma kurnia, patik hendak memohon ke bawah duli yang hendak cuba bermain dengan penjurit itu.”
Maka titah raja, “Adapun Laksamana itu tiadalah dapat jauh daripada kita. Jikalau Laksamana pergi berkawal, siapa teman kita di istana ini? Yang kita harap hanyalah Laksamana.” Maka Laksamana pun berdiam dirinya mendengar titah raja demikian itu.
Hatta beberapa hari maka segala orang kaya-kaya dan saudagar itu pun habis kecurian; syahadan semuanya datang menghadap raja. Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Maka sembah Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu ke istana kita ini.”
Maka titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana ini?”
(Dipetik daripada prosa “Kepimpinan Melalui Teladan” antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, dbp).
i) Berikan maksud rangkai kata “Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.” [2 markah]
ii) Apakah pandangan Laksamana tentang penjurit yang melakukan kecurian tersebut? [3 markah]
iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah kecurian berleluasa ? [3m]
Soalan 2(d) – Sajak Baca sajak dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
ERTI HIDUP BERERTI


 Aku selalu didatangi
Malam sepi
Bagai kalung
 Yang melingkari leherku
 Tidak berubah keesokan hari
Siapa yang akan menjengukku
 Keluhan seorang tua sunyi

 Keheningan tasik
Kehijauan rumput
Hanya menjadi bayangan
Di penjuru ruang zaman
Cinta dalam Rahim dilupai
Dari sulung ditendang ke bongsu
 Dari angah ditendang ke sulung balik
 Kucari erti hidup
Menderita mengerang sakit
 Berdiri tanpa ruang

 Aku bagi mereka
Tiada makna
Anakku bakaku
Baik setia mahupun derhaka
Semoga disirami benih keinsafan
Menjadi penawar dalam hati
Embun cinta atasi angin dingin
Jangan terpegun
Ada yang mati
 Ada yang hidup
 Tiada yang kekal kecuali tuhan


 Teo Wei Sing  Antologi Sejadah Rindu Tingkatan 5
(i) Apakah maksud rangkap pertama sajak di atas ? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, berikan tiga sebab mengapakah terdapat segelintir anak-anak yang jarang - jarang menziarahi ibu bapa mereka? [3 markah]
(iii) Kemukakan dua persoalan yang dapat diperoleh daripada sajak di atas. [4 markah]
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa[30 markah] Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa supaya menunjukkan anda faham  maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) proses (ii) memproses (iii) pemprosesan (iv) tafsir (v) tafsiran  (vi) pentafsiran   [6 markah]
(b) Kenal pasti ayat-ayat perintah di bawah sama ada ayat tersebut ayat perintah suruhan, ayat perintah larangan, ayat perintah silaan atau ayat perintah permintaan.
(i) Makanlah kuih raya ini dahulu.   (ii) Usah bertanya ke mana aku pergi. (iii) Jemputlah hadir ke majlis pertunangan kami.
(iv) Tolong hantarkan makanan itu sebelum tengah hari. (v) Jangan ambil wang haram.
(vi) Awak siapkan karangan itu sekarang.                          [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Azizi mempercepatkan kayuhanya agar cepat sampai ke sekolah kerana takut di denda guru.
(ii) Ahli-ahli persatuan belia diingatkan agar mengenepi perbezaan pendapat demi mewujudkan perpaduan yang menjadi motto belia seMalaysia.
(iii) Para ilmuan sedang berbincang tentang cara-cara untuk meningkat hasil negara dalam bidang komersial. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat , terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
i) Pengambilan pekerja mengikut jantina di dalam persatuan itu berdasarkan had yang ditetapkan oleh syarikat.
ii) Pelajar diharapkan bahawa bersabar kerana pihak pentadbiran sekolah akan membasmi masalah kerosakan tandas itu dengan segera.
iii) Goreng pisang Kak Kiah selesai dimakan oleh ketiga-tiga orang budak itu.    [6 markah]
(e) Berikan peribahasa yang sama maksud dengan peribahasa di bawah ini.
(i) Bagai menangguk di air keruh  (ii)Bagai gunting dalam lipatan (iii) Bagai pinang dibelah dua  [6 markah]
 Soalan 4 : Novel[15 markah]  Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih Karya Azmah Nordin  (ii) Bimasakti Menari Karya Sri Rahayu Mohd Yusop
a) Perkembangan cerita sesebuah novel bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh watak utama dan watak sampingannya. Jelaskan dua peristiwa yang melibatkan watak utama daripada sebuah novel yang telah anda kaji. [ 7 m]
b)Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar masyarakat yang  terdapat dalam setiap novel.(8m)

KERTAS SOALAN TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Komen

Jangan Tiru